OLEH: Muhamad Haris Ismail
1. Setelah membaca tulisan balas Entiti Syiah (ES) terhadap tulisan saya (https://bit.ly/2quNgFj), didapati beliau hanya pandai:
✓ copy & paste petikan hadith secara sembrono tanpa melihat huraian ulama hadith.
✓ beliau juga tidak bersetuju dengan ulasan ulama hadith semisal Ibn Hajar al-‘Asqalani [wafat 852H] terhadap hadith Sahih al-Bukhari.
✓ beliau juga turut menggunakan akal & nafsu sendiri ketika mengolah hadith sedangkan ulama hadith lebih tahu secara riwayah & dirayah.
Bagaimanapun, dalam tulisan ini saya akan balas secara berperingkat dan fokus isu satu persatu kerana ES dalam tulisan beliau banyak menyebut isu lain dengan terlalu banyak jenayah ilmiah yang dilakukan oleh ES.
2. Dalam tulisan balas ES berkata: “Bagaimana Imam Bukhari boleh berguru dengan seorang yang ghuluw? Bagaimana Sunnah boleh mempercayai Bukhari sedangkan gurunya ghuluw? Malah Imam-Imam hadis lain turut mengambil periwayatan Khalid dengan banyaknya.”
3. Saya katakan: kenyataan ES di atas itu jelas menunjukkan kejahilan ES terhadap seni hadith khususnya mengenai manhaj al-Bukhari [wafat 256H] & Muslim [wafat 261H] (“al-Shaikhan”) ketika mengtakhrijkan perawi hadith dalam Sahih al-Bukhari & Muslim (“al-Sahihan”). Berdasarkan pembacaan saya, rasanya perlu saya jelaskan ini terlebih dahulu.
4. Bagi menjawab kenyataan ES pada point no.2 di atas, saya katakan memang benar Khalid bin Makhlad al-Qatawaniy [wafat 213H] (“al-Qatawaniy”) merupakan kibar syuyukh al-Bukhari sebagaimana kata Ibn Hajar, TETAPI BUKAN SEMUA hadith al-Qatawaniy dikutip al-Bukhari:
Al-Hafiz al-Zaila’i [wafat 762H] dalam Nasb al-Rayah (10-341/1) menyebut:
مجرد الكلام في الرجل لا يسقط حديثه، ولو اعتبرنا ذلك لذهب معظم السنة، إذ لم يسلم من كلام الناس، إلا من عصمه الله، بل خرج في "الصحيح" لخلق ممن تكلم فيهم، ومنهم جعفر بن سليمان الضبعي. والحارث بن عبد الأيادي. وأيمن بن نابل الحبشي. وخالد بن مخلد القطواني. وسويد بن سعيد الحدثاني. ويونس بن أبي إسحاق السبيعي. وغيرهم، ولكن صاحبا الصحيح رحمهما الله إذا أخرجا لمن تكلم فيه، فإنهم ينتقون من حديثه ما توبع عليه، وظهرت شواهده، وعلم أن له أصلاً، ولا يروون ما تفرد به، سيما إذا خالفه الثقات
Maksudnya: “Sekadar mengkritik perawi tidak menggugurkan hadithnya. Sekiranya kita menganggap demikian (gugur hadithnya), maka hilanglah sebahagian besar sunnah. Ini kerana perawi selamanya tidak selamat dari kritikan manusia kecuali Allah melindunginya, bahkan telah dinukilkan di dalam al-Sahih (al-Bukhari & Muslim) beberapa orang perawi yang dikritik antaranya Ja’afar bin Sulaiman al-Dhuba’I, al-Harith bin ‘Abd al-Iyadiy, Aiman bin Nabil al-Habasyi, KHALID BIN MAKHLAD AL-QATAWANIY, Suwaid bin Sa’id al-Hadathaniy, Yunus bin Abi Ishaq al-Sabi’I dan selain dari mereka. Akan tetapi Imam al-Bukhari dan Muslim rahimahumallah, apabila mereka menukilkan perawi hadith yang ada kritikan padanya, mereka memilih hadith perawi itu yang mempunyai tawabi’ ke atasnya, terpancar jelas syawahidnya dan diketahui ada asalnya. Mereka tidak meriwayatkan hadith perawi yang menyendiri dengan riwayatnya, apatah lagi jika ia menyelisihi darjat tsiqat.”
5. Inilah manhaj al-Shaikhan dalam menerima sesuatu hadith dari perawi. Walaupun al-Qatawaniy banyak tohmahan buruk serta menyendiri dalam meriwayatkan hadith, beliau masih dinilai tsiqah & soduq. Justeru dapat disimpulkan al-Shaikhan hanya mengutip hadith:
✓ yang mempunyai tawabi’ dan syawahid yang kuat
✓ yang tidak diriwayatkan perawi secara menyendiri
✓ yang perawinya adalah tsiqah
Oleh sebab itu hadith al-Qatawaniy dalam isu hadith talbiyah 'Arafah ini tiada dalam al-Sahihan kerana ia tidak memenuhi syarat al-Shaikhan sebagaimana disebut di atas. Adapun al-Hakim dalam al-Mustadrak mengatakan ia mengikut syarat al-Shaikhan, namun menurut ulama hadith, ia hanyalah tasahul al-Hakim dalam menilai hadith al-Shaikhan.
6. Tambahan pula, Ibn Rajab al-Hanbali [wafat 795H] dalam Syarah ‘Ilal al-Tirmizi (776/2) menyebut al-Qatawaniy hanya mengambil hadith dari penduduk Madinah dan Sulaiman bin Bilal sahaja:
القطواني يؤخذ عنه مشيخة المدينة وابن بلال فقط، يريد سليمان بن بلال، ومعنى هذا أنه لا يؤخذ عنه إلا حديثه عن أهل المدينة وسليمان بن بلال منهم لكنه أفرده بالذكر
Maksudnya: “Al-Qatawaniy hanya mengambil hadith dari sheikh-sheikh Madinah dan Ibn Bilal iaitu Sulaiman bin Bilal sahaja. Ini bermakna beliau tidak mengambil hadith kecuali dari penduduk Madinah dan Sulaiman bin Bilal sahaja, akan tetapi beliau menyendiri dalam meriwayatkannya."
Maka, dalam hadith talbiah di 'Arafah yang dibincangkan sebelum ini, jika dilihat pada jalur hadith riwayat al-Nasai’i, Ibn Khuzaimah & al-Baihaqiy, al-Qatawaniy mengutip hadith dari ‘Ali bin Salih [wafat 154H] yang bukan penduduk Madinah. Maka atas dasar itu hadith talbiah itu tidak dikutip oleh al-Shaikhan.
7. Manakala Ibn ‘Abd al-Hadiy [wafat 744H] dalam Tanqih al-Tahqiq fi Ahadith al-Ta’liq (75/1) mengatakan al-Shaikhan juga tidak menukilkan hadith, kecuali hadith itu datang dari Yahya bin Ma’in [wafat 233H] wafat 744H] dalam Tanqih al-Tahqiq fi Ahadith al-Ta’liq (75/1) mengatakan al-Shaikhan juga tidak menukilkan hadith, kecuali hadith itu datang dari Yahya bin Ma’in [wafat 233H]
واعلم أن كثيرًا ما يروي أصحاب الصحيح حديث الرجل عن شيخ معين لخصوصيته به ومعرفته بحديثه وضبطه له، ولا يخرجون حديثه عن غيره لكونه غير مشهور بالرواية عنه ولا معروف بضبط حديثه أو لغير ذلك
Maksudnya: “Ketahuilah bahawasanya kebanyakan hadith yang diriwayatkan oleh ashab al-Sahih adalah dari Yahya bin Ma’in kerana keistimewaan beliau mengenai pengetahuan perawi dan ilmu hadith serta kejituan ilmu mengenainya. Mereka tidak menukilkan hadith dari orang lain kerana tidak popular dengan periwayatan hadith serta tiada pengetahuan mengenai aspek ketelitian hadith atau lain-lain.”
Atas dasar itu Ibn ‘Abd al-Hadiy rahimahullah terus menyatakan:
فإن صاحبي الصحيح لم يحتجا به إلا في شيخ معين لا في غيره، فلا يكون على شرطهما. وهذا كما يخرج البخاري ومسلم حديث خالد بن مخلد القطواني عن سليمان بن بلال وعلي بن مسهر وغيرهما، ولا يخرجان حديثه عن عبد الله بن المثنى، وإن كان البخاري قد روى لعبد الله بن المثنى من غير رواية خالد عنه
Maksudnya: “Maka sesungguhnya al-Shaikhan tidak berhujah dengan hadith dari orang lain melainkan dari Yahya bin Ma’in kerana (orang lain itu) tidak memenuhi syarat mereka berdua. Oleh kerana itulah al-Bukhari & Muslim menukilkan hadith Khalid bin Makhlad al-Qatawaniy dari Sulaiman bin Bilal, ‘Ali bin Mushir dan selainnya. Mereka tidak menukilkan hadith riwayat al-Qatawaniy dari ‘Abd Allah bin al-Muthanna, kerana sesungguhnya al-Bukhari telah meriwayatkan hadith ‘Abd Allah bin al-Muthanna tanpa melalui jalan riwayat Khalid bin Makhlad al-Qatawaniy.”
8. Berdasarkan hujah di atas dan mengikut pengadilan atau “benchmark” al-Shaikhan terhadap hadith al-Qatawaniy khususnya hadith talbiah ‘Arafah, maka jelas terbukti hadith talbiah di ‘Arafah dari Khalid bin Makhlad al-Qatawaniy ini mempunyai ‘illah kuat iaitu:
✓ al-Qatawaniy hanya mengutip hadith dari penduduk Madinah & Sulaiman bin Bilal. Adapun dalam hadith tidak bertalbiah di 'Arafah beliau mengambil dari ‘Ali bin Salih yang bukan penduduk Madinah.
✓ al-Qatawaniy banyak menyendiri dalam meriwayatkan hadith. Maka atas sebab itu beliau mempunyai banyak mungkarul hadith.
Maka hujah orang yang mengatakan hadith tidak bertalbiah di ‘Arafah kerana takut pada Muawiyah serta membenci Ali adalah hadith kuat kerana al-Qatawaniy itu guru al-Bukhari ADALAH HUJAH TIDAK TEPAT kerana hadith itu tidak diterima disisi al-Shaikhan dan syarat mereka. Ini kerana al-Shaikhan memilih dan menyaring hadith agar sunyi dari hadith mungkar serta sifat bidaah & tasyayyu, sebagaimana diterangkan di atas.
TIDAK BERTALBIAH ADALAH MASALAH KHILAF FIQHIYYAH
9. Suka saya katakan isu tidak bertalbiah di 'arafah adalah isu khilaf fiqhiyyah pada ketika itu. Bahkan jika ingin sabitkan Muawiyah melarangnya, tiada bukti jelas dan nyata bahawa Muawiyah melarang bertalbiah. Yang lebih pelik, ia adalah kurun pertama yang mana Nabi s.a.w sebut sebaik-baik kurun. Kalaulah Muawiyah menghalang bertalbiah, takkan tiada satupun dari kalangan sahabat menasihati atau menegurnya?
Al-Sindiy [wafat 1138H] dalam Hasyiah al-Sindiy ‘Ala Sunan al-Nasa’I (252/5) mengatakan:
وَبِهَذَا ظهر منشا الْخلاف بَين الْعلمَاء فِي التَّلْبِيَة فِي عَرَفَات وَظهر أَن الْحق مَعَ أَي الْفَرِيقَيْنِ
Maksudnya: “Dan atas sebab ini telah timbul khilaf di kalangan ulama mengenai isu talbiah di ‘Arafah dan jelas kebenaran juga telah bersama bagi kedua-dua pihak.”
10. Al-‘Allamah Sheikh Adam ibn Musa al-Atyubi al-Wallawiy dalam Zakhirah al-‘Uqba fi Syarh al-Mujtaba (347/25) mengatakan sangkaan Ibn 'Abbas (تركوا السنة من بغض علي) itu tidak tepat:
يعني أنه كان يتقيّد بالسنة، فكان يلبّي يوم عرفة. وهذا الذي قاله ابن عباس رضي اللَّه تعالى عنه يحتمل أن يكون لما رأى معاوية رضي اللَّه تعالى عنه ترك التلبية بعرفة ظنّ أن تركه لبغض عليّ رضي اللَّه تعالى عنه، والظن قد يخطىء. والذي يظهر أن معاوية إنما تركه لعدم علمه بسنية التلبية فيها. واللَّه تعالى أعلم بالصواب
Maksudnya: “Bahawasanya ia membawa maksud Ibn ‘Abbas RA seorang yang mengamati sunnah, kerana itulah beliau bertalbiah pada hari ‘Arafah. Dan apa yang diungkapkan oleh Ibn ‘Abbas RA yang mana ketika beliau berpandangan Muawiyah RA meninggalkan talbiah di ‘Arafah adalah atas dasar sangkaan beliau meninggalkannya kerana membenci ‘Ali RA, dan sangkaan itu kadangkala salah. Dan apa yang jelas disini ialah Muawiyah meninggalkannya kerana tiada pengetahuannya mengenai sunnah talbiah, dan hanya Allah Taala yang lebih tahu yang betul.”
Ini adalah benar walaupun Ibn ‘Abbas hebat & masyhur dengan fatwanya, beliau masih lagi seorang manusia yang boleh melakukan kesilapan. Sebagai contoh fatwa beliau yang mengharuskan mut’ah yang beliau menarik balik selepas dikhabarkan bahawa Nabi s.a.w mengharamkannya sebagaimana direkodkan dalam Sunan al-Tirmizi (421/3) dan lain-lain. Maka disini jelas pendapat yang bersandarkan pada sangkaan atau syak bukan dalil kukuh,
kerana mungkin Ibn ‘Abbas tidak mengetahui situasi sebenar kenapa orang tidak bertalbiah ketika itu.
11. Ini juga turut di tegaskan oleh Dr. Rasyid Benkiran, khatib Masjid Huzaifah bin al-Yaman di Kenitra, Maghribi:
لم يأت في الحديث ما يبين سبب ترك معاوية للتلبية وأقرب إلى العقل والمنطق أنه جهل هذه السنة كما جهل عديد من الصحابة بعض السنن ولا يقدح في معاوية بسبب هذا الأمر
Maksudnya: “Tidak terdapat sebab yang diterangkan di dalam hadith kenapa Muawiyah meninggalkan talbiah, dan yang paling dekat pada akal dan perbicaraan bahawasanya Muawiyah jahil mengenai sunnah talbiah ini sebagaimana jahilnya sebilangan sahabat terhadap sunnah-sunnah lain, dan tidak perlulah untuk memburukkan Muawiyah disebabkan perkara ini.” (Rujuk: http://howiyapress.com/12252-2/)
Pesanan saya kepada BK, jangan hanya menukilkan status hadith sahaja, tetapi lihatlah perbahasan ulama hadith & huraian mereka mengenai hadith tersebut serta bagaimana mereka meluruskan pandangan. Melihat banyak artikel BK, beliau banyak tidak bersetuju huraian ulama hadith, dan ini menyukarkan jika ingin membawa kepada perbicaraan hadith lain.
SILA BACA SIRI 1 DAN SIRI 3
[ Segala latar belakang, sifat dan pandangan oleh penulis artikel ini tidak semestinya mencerminkan pendirian RMB ]
___________________________
~ Muhamad Haris Ismail ~
Sahabat PENA
Telegram: https://t.me/gerakanpenamy
Instagram: https://www.instagram.com/gerakanpenamy
_____________________________
Dapatkan buku Menangkis Fitnah Yang Terpalit Pada Bani Umayyah! Untuk keterangan lanjut sila KLIK DI SINI .


Comments
Post a Comment