OLEH: Dr Sahul Hamid Mohamed Maiddin
Pensejarahan gaya Marx memecahkan kebiasaan sebelumnya yang lebih didominasi oleh gaya pensejarahan Leopold von Ranke yang berkisar tentang sejarah politik dan diplomasi. Marx menekankan kepentingan ekonomi sebagai asas penggerak sejarah.
Revolusi industri yang meletus pada penghujung abad ke-18 meningkatkan hubungan antara manusia dengan mod pengeluaran. Hubungan ini mendedahkan kepada pembahagian/pengkhususan kerja. Pengkhususan kerja pula kemudiannya mewujudkan jurang antara masyarakat. Majikan terus kaya manakala golongan pekerja terus tinggal dalam gelembung sosioekonomi yang dicipta oleh para majikan. Eksploitasi dan penipuan berleluasa.
Kitaran ini meminggirkan kumpulan besar masyarakat yang hidup sebagai pekerja. Marx ketika itu mendapati tiada sejarawan yang berani menulis untuk memprotes kekejaman pemerintah Prussia yang dibiayai oleh para majikan tersebut. Marx mendapati golongan yang memegang faktor ekonomi adalah golongan yang memegang punca kekuasaan.
Sebagai wartawan, Marx sendiri mula menulis mendedahkan kezaliman para majikan dan tuan tanah yang dilindungi oleh pemerintah. Pemerintah Prussia sebelum itu menghalang Marx, yang memiliki PhD dalam bidang Falsafah, daripada menjadi Pensyarah universiti. Namun, dasar pemerintah Prussia yang menekankan kemahiran ekonomi pada awal abad ke-19 dengan sendirinya memangkin kelahiran golongan terpelajar dan mahasiwa yang radikal dan revolusioner.
Pada Oktober 1843 Marx berpindah ke Paris dan bergiat lebih aktif dalam perjuangan membela golongan yang tertindas. Dari sini Marx bersama Engels menghasilkan karya agungnya berjudul The Communist Manifesto yang diterbitkan di London pada 1848. Walau bagaimanapun, pandangan Marx tentang sejarah dinukilkan dalam The German Ideology (1846) dan The Paris Manuscript (1844).
Marx menerangkan bagaimana manusia mula berkembang hasil interaksi sesama sendiri. Beliau membahagikan perjalanan sejarah kepada TIGA TAHAP utama.
Usaha manusia dalam menghasilkan keperluan seperti makanan, minuman dan tempat tinggal dianggap sebagai "Tahap Pertama Sejarah".
Kemudian apabila usaha ini sudah dipenuhi, maka manusia mencari keperluan baharu dan berusaha untuk merealisasikannya. Lalu terhasillah "Tahap Kedua Sejarah".
Aktiviti dan interaksi masyarakat dengan ekonomi yang berterusan mencetuskan pertumbuhan penduduk. Ini mempengaruhi cara pengeluaran untuk memenuhi keperluan yang sentiasa berubah. Inilah "Tahap Ketiga Sejarah" yang dicadangkan oleh Marx.
Keseluruhan tahap sejarah inilah, menurut Marx, yang akan menghasilkan mobiliti sosiopolitik dalam masyarakat. Dari era perhambaan kepada feudalisme. Kemudian berpindah kepada era kapitalisme. Dari kapitalisme muncul sosialisme sebagai reaksi dan akhirnya lahirlah komunisme. Pada tahap komunisme, terbentuk masyarakat ideal yang tidak lagi wujud perbezaan kelas dalam masyarakatnya. Persengketaan tidak lagi wujud dan keadaan ini kekal selama-lamanya. Peringkat inilah yang diimpikan oleh Karl Marx dalam pensejarahannya. Satu ciri penting pensejarahan Marx yang menjadi titik penting penolakan golongan beragama adalah penafian Marx tentang campurtangan/penjelasan unsur ketuhanan dalam proses sejarah manusia.
Tercapai atau tidak masyarakat utopia impian Marx? Jawapannya ada pada hari ini.
Penafian: Tulisan ini bukan bertujuan untuk merasuk pembaca menjadi pengikut Marx tetapi hanya sebagai ilmu tambahan bagi mengenali pendekatan penulisan sejarah
___________________________
~ Dr Sahul Hamid Mohamed Maiddin ~
Unit Sejarawan
Unit Sejarawan
Telegram: https://t.me/gerakanpenamy
Instagram: https://www.instagram.com/gerakanpenamy
_____________________________
Dapatkan buku Menangkis Fitnah Yang Terpalit Pada Bani Umayyah! Untuk keterangan lanjut sila KLIK DI SINI .


Comments
Post a Comment