Keris Taming Sari Ada Disimpan Di Perak

OLEH: Iskandar Zulqarnain


Ramai yang mengetahui akan kehebatan Datuk Laksamana Hang Tuah yang menjadi lagenda orang Melayu. Kisah kehebatan beliau semestinya akan disekalikan dengan kesaktian Keris Taming Sari yang didakwa memberikan kekebalan kepada sang pemunya keris tersebut.

Sejak dari kecil kita diceritakan mengenainya. Namun masih ramai yang tertanya-tanya dimanakah Keris Taming Sari kini berada. Kisah lagenda Keris Taming Sari bermula apabila Sultan Melaka bersama rombongan istana pergi ke Pulau Jawa untuk meminang puteri Raja Jawa. Apabila rombongan diraja Melaka tiba di kraton (istana), muncul seorang pendekar Jawa yang bernama Taming Sari memohon izin dari Raja Jawa Sang Prabu, untuk menentang pahlawan dari Melaka.

Hang Tuah setelah diperkenan Sultan Melaka turun ke gelanggang untuk bertarung melawan Taming Taring. Kedua-dua pahlawan bertempur dengan penuh kehebatan hingga tidak dapat dijangka siapakah yang dapat memenangi pertarungan tersebu. Namun dengan kebijaksanaan Laksamana Hang Tuah bermain helah akhirnya Taming Sari gugur di tangan Hang Tuah. Dengan kemenangan tersebut, Sang Prabu menghadiahkan keris milik Taming Sari kepada Hang Tuah.




Keris Taming Sari. Imej dari orangperak.com

Setelah keris Taming Sari berpindah tangan, nama Taming Sari tetap kekal di keris yang kini dalam permilikan Hang Tuah. Keris sakti ditangan Laksamana Hang Tuah mengawal dan membawa Melaka kepada keamanan, kejayaan dan penuh kemasyuran.

Setelah beberapa ketika berlalu, berlaku perbalahan politik di istana Melaka dan Keris Taming Sari jatuh ke tangan Hang Jebat. Hang Tuah disingkir dari Istana dan dijatuhi hukuman mati oleh Baginda Sultan namun hukuman tersebut tidak dilaksanakan oleh Bendahara dan Hang Tuah dibawa ke tempat lain jauh dari pengetahuan Sultan. Hang Jebat yang merasakan sahabatnya dianiaya oleh Sultan akhirnya memberontak dan membuat huru-hara di istana.

Dengan keris Taming Sari berada digenggaman Hang Jebat, seluruh tentera Melaka sekalipun tidak mampu untuk melukakan beliau. Sultan yang menyesal dengan kejadian tersebut akhirnya menyebut akan kesetiaan Hang Tuah yang tiada tolok bandingnya kepada baginda.

Apabila didengar oleh Bendahara maka beliau dengan memohon ampun kemudian menyatakan beliau tidak melaksanakan hukuman yang dititahkan Sultan ke atas Hang Tuah sebaliknya menyorokkan Hang Tuah ditempat yang tidak diketahui Sultan. Gembira dengan perkhabaran tersebut akhirnya Sultan menitahkan agar Hang Tuah kembali ke istana sebagai pahlawan untuk bertarung melawan Hang Jebat sahabat karibnya sendiri. Hang Tuah ralat dengan arahan tersebut namun titah Sultan harus dipatuhi.

Dalam pertarungan diantara Hang Tuah dan Hang Jebat tersebut, Hang Tuah berjaya merampas kembali Keris Taming Sari dari Hang Jebat juga dengan menggunakan helah dan telah menikam lalu membunuhnya.


Seperti kata pepatah, setiap masa ada orangnya dan setiap orang ada masanya. Selepas itu, Hang Tuah dan Keris Taming Sari menjadi legenda. Tidak seorang pun yang pasti dimanakah sebenarnya Hang Tuah menghabiskan umurnya setelah mengundur diri dari Istana Melaka kerana pusara beliau ada di tiga negeri. Tiada yang dapat memastikan yang mana satu sebenarnya asli, di negeri Melaka, Riau atapun di Palembang.

Begitu pula dengan keberadaan Keris Taming Sari. Sebahagian orang percaya setelah Hang Tuah gagal meminang Puteri Gunung Ledang untuk baginda Sultan, Hang Tuah pun mengundur diri dari Istana kerana merasa malu. Beliau kemudiannya memulangkan Keris Taming Sari kepada baginda sultan. Tidak lama kemudian Kesultanan Melaka runtuh diserbu Portugis.

Sultan dan sebahagian besar kerabat istana berundur ke Kampar (Riau) di Sumatera dan Keris Taming Sari dibawa serta. Disana baginda Sultan menganugerahkan Keris Taming Sari kepada puteranya Raja Mudzaffar yang kemudian berangkat ke Perak dan menjadi Sultan pertama Kesultanan Perak. Keris Taming Sari kemudiannya menjadi regalia kebesaran Kesultanan Perak sejak tahun 1528.

Namun demikian, ada versi lain yang kisah keris ini yang menyatakan Datuk Laksamana Hang Tuah merasa amat malu setelah gagal meminang putri Gunung Ledang untuk baginda Sultan, Hang Tuah tak pernah kembali lagi ke Istana Melaka dan membuang Keris Taming Sari di Sungai Duyung, Melaka. Disebabkan itu ada yang beranggapan keris yang kini ada di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar hanyalah replika. Pihak Istana Perak membantah dakwaan yang menyatakan keris tersebut palsu.

Kini, keris Taming Sari merupakan keris pusaka Istana, keris kerajaan dan digunakan pada adat kebesaran diraja Perak. Ianya kini berubah menjadi begitu mewah dengan lapisan emas pada seluruh sarung dan bilahnya, serta taburan permata pada hulunya. Bukan sebarang orang dan sebarang waktu dapat melihatnya. Dan lagenda tetap menjadi legenda begitu pun hikayat akan tetap menjadi hikayat.




___________________________
~ Iskandar Zulkarnain ~
Sahabat PENA

Comments