Asal Usul Kata “Takkan Melayu Hilang Di Dunia”

OLEH: Saufy Jauhary


“Takkan Melayu Hilang di dunia” adalah satu kata-kata yang disandarkan kepada Laksamana Hang Tuah. Jika di sebelah Kepulauan Riau dan Sumatera pula sebutannya  adalah “Takkan Melayu Hilang Di Bumi”. Kata-kata ini seolah-olah satu slogan keramat yang menaikkan semangat orang  Melayu dalam menempuh pelbagai cabaran.  Jika kita menelusuri dua sumber hikayat Melayu yang menceritakan tentang kewujudan Hang Tuah, iaitu Sulalatus Salatin dan Hikayat Hang Tuah, kedua-dua buah karya klasik tersebut tidak menyatakan bahawa Hang Tuah ada menyampaikan kata-kata seperti itu. Persoalannya dari manakah asal usul slogan itu jika bukan dari dua buah karya klasik tersebut?

Terdapat pihak yang berpendapat bahawa asal usul kata-kata tersebut adalah berasal dari novel karya A. Samad Ahmad bertajuk Dosaku yang diterbitkan pada tahun 1946. Oleh kerana latar di sebalik penulisan novel ini cukup signifikan, maka terlahirlah slogan Takkan Melayu hilang di dunia. Benarkah dakwaan ini? Jika dakwaan ini benar bermaksud A. Samad Ahmadlah orang yang bertanggungjawab mencipta slogan ini. Namun benarkah?


Berkenaan Novel Dosaku

Novel Dosaku sebenarnya bukan diterbitkan pada tahun 1946 tetapi menurut maklumat dari carian google, novel ini telah diterbitkan pada tahun 1950 oleh Dewan Bahasa Dan Pustaka. Dosaku adalah sebuah novel sejarah yang berlatarkan zaman pemerintahan Sultan Mahmud di Melaka hingga zaman kejatuhan Melaka di tangan Portugis. Dalam novel ini, Hang Tuah menuturkan “Takkan Melayu Hilang Di Dunia” ketika beliau hendak menghembuskan nafasnya yang terakhir. A. Samad Ahmad menulis:-

“Nafas Laksamana tinggal satu-satu sahaja lagi, tetapi perjuangan untuk menyampaikan pesanan itu belum selesai. Ketika itu seolah-olah ternampak-nampak di mata Laksamana hal keadaan anak-anak muda Melaka itu dalam perjuangan mereka menentang langgaran musuh yang terbayang di dalam sangkaannya tadi itu, maka dengan susah payah keadaannya seolah-olah mengumpulkan segala tenaga dan kekuatannya dapatlah juga Laksamana mengeluarkan sepatah kata lagi, kata yang terakhir dengan terputus-putus bunyinya –“Tak-Me-la-yu-hi-lang-di dunia!”.” (Dosaku, Halaman 89)



Kenang-Kenanganku Di Malaya

Buku ini adalah tulisan ulama melayu Indonesia yang terulung iaitu Haji Abdul Malik bin Abdul Karim Amrullah (HAMKA) yang diterbitkan di Singapura pada tahun 1957 oleh Setia Darma Trading Co. Oleh kerana buku ini diterbitkan di Singapura malah dalam tulisan Jawi, buku ini tidak diketahui kewujudannya oleh rakyat Indonesia sendiri.  Pada tahun 2019, pihak Jejak Tarbiah telah menerbitkan kembali buku ini dengan ditransliterasikan dari tulisan Jawi ke Rumi.



Perkaitan buku ini dengan slogan “Takkan Melayu Hilang Di Dunia” ialah apabila Hamka yang begitu mendalam cintanya terhadap bangsa dan Tanah Melayu telah ikut menyambut kemerdekaan Malaya pada tahun 1957 dengan penuh rasa terharu. Malah dengan penuh semangat Hamka telah menyeru nama Hang Tuah dengan berkata: “Hai Hang Tuah! Terbuktilah sekarang apa yang pernah engkau katakan: Bahawa Melayu tidak akan hilang dari dunia!” (Kenang-kenanganku di Malaya, Halaman 3)

Hamka sebagai orang luar dari Tanah Melayu sudah tentu tidak ada kaitan dengan Novel Dosaku yang diterbitkan pada tahun 1950 itu. Malah tidak ada bukti novel Dosaku itu telah tersebar ke sebelah Sumatera dan Kepulauan Melayu. Jadi bagaimanakah Hamka boleh berkata “Melayu tidak akan hilang dari dunia” dengan disandarkan kata-kata tersebut kepada Hang Tuah. Namun terdapat juga pendapat yang menyatakan bahawa lafaz tersebut telah jadi sangat masyhur melalui pelbagai medium khususnya ketika penentangan Malayan Union hingga akhirnya Hamka tersalah anggap bahawa ia adalah kalam dari Hang Tuah.



Sebenarnya pendapat ini adalah salah sama sekali. Hamka telah mengetahui akan slogan Takkan Melayu Hilang Di Dunia ini sebelum penerbitan novel Dosaku pada tahun 1950 lagi. Buktinya Hamka ada menyebutkan slogan ini di dalam  Syair yang beliau karangkan di atas Bukit St. John, Melaka pada tahun 1943, iaitu ketika beliau melawat Malaya ketika di zaman penjajahan Jepun. Hamka menulis:

“Setelah selesai peringatan ulangtahun itu, kami pun kembali ke Seremban dan terus ke Melaka. Sampai di Melaka sempatlah saya berkeliling bertemasya melihat tempat-tempat yang bersejarah. Dan setelah beberapa lama termenung di tepi pantai Selat Melaka itu, saya pun mendakilah ke atas Bukit St. John sisa-sisa benteng Portugis itu. Maka lebih kelihatan jelaslah lautan di hadapan mata, di balik lautan itulah Pulau Sumatera. 

Hari baik langit cerah. Orang Jepun yang mengiringkan saya itu berdiam diri menunggu di kaki bukit di atas mobil dengan tidak mendesak-desak. Maka tibalah ilham kenangan-kenangan kepada sejarah kebesaran Melaka yang telah hilang 400 tahun yang telah lalu, dan mengalirlah susunan syair dengan tidak tertahan-tahan. Sehingga payahlah pena menari di atas cabikan kertas buruk yang dikeluarkan dari dalam saku-saku amplop-amplop tua dan surat-surat kawat yang belum dibalas. Ditulis di sebelahnya demikian bunyinya:

Di atas runtuhan Melaka lama,
Penyair termenung seorang diri,
Ingat Melayu kala jayanya,
Pusat kebesaran nenek bahari.

Di atas munggu Bukit St. john,
Penyair duduk termenung seorang,
Jauh pandangku ke pantai sana,
Ombak memecah di atas karang.

Awan bergerak mentilau bernyanyi,
Murai berkicau bayu merayu,
Kenang melayang di alam sunyi,
Teringat zaman yang lama lalu.

Sunyi dan sepi hening dan lingau,
Melambai sukma melatih tulang,
Semangat Hang Tuah rasa mengimbau,
Menyeru umat mengenangkan Tuhan.

Di sini dahulu tegak kebesaran,
Adat resam teguh berdiri,
Duduk semayam Yang Dipertuan,
Melimpahkan hukum segenap negeri.

Di sini dahulu Laksamana Hang Tuah,
Satria moyang Melayu sejati,
Jaya Perkasa gagah dan mewah,
“Tidak Melayu hilang di Bumi.” 

(Kenang-kenanganku di Malaya, halaman 15 – 18)

Kesimpulannya, untuk menyatakan bahawa kata-kata “Takkan Melayu Hilang Di Dunia” adalah berasal dari novel Dosaku karya A. samad Ahmad (1950) adalah tidak tepat, kerana Hamka telah mengungkapkannya dalam Syair yang dikarang pada tahun 1943. Malah Hamka telah menisbahkannya kepada Hang Tuah. Saya berpendapat kata-kata tersebut memang telah berlegar-legar dalam kalangan orang-orang Melayu (Semenanjung, Sumatera, Borneo dan Seluruh Kepulauan Melayu) dengan dinisbahkan kepada Hang Tuah dan diwarisi dari turun-temurun. Sebab itulah A. Samad Ahmad memasukkannya di dalam novelnya dan itu bukanlah bermakna A. Samad Ahmad adalah pencipta kata-kata tersebut. Malah saya juga tidak berani untuk menyatakan bahawa memang Hang Tuahlah pemilik slogan tersebut.

Ada seperkara lagi yang ingin saya sentuh, iaitu terdapat pihak yang mendakwa bahawa terdapat satu sambungan bagi kata-kata tersebut. Mereka menyatakan bahawa ayat yang lengkap adalah “Takkan Melayu hilang di dunia, selagi berpegang teguh dengan Islam”. Ayat ini walaupun benar maksudnya tetapi untuk dikatakan bahawa inilah ayat yang lengkap adalah satu keganjilan. Hal ini kerana yang menyatakan hal tersebut tidak membawakan sebarang bukti pun malah jika di cari di mana-mana manuskrip lama pun takkan dijumpai.

Rujukan:

1) Dosaku, A. Samad Ahmad, terbitan Dewan Bahasa Dan Pustaka
2) Kenang-Kenanganku Di Malaya, HAMKA, terbitan Jejak Tarbiah


___________________________
 Saufy Jauhary
Lajnah Sejarah & Tradisi 

Comments

  1. maaf bertanya. apakah maksud pantun takkan melayu hilang di dunia secara jelas?

    ReplyDelete

Post a Comment