OLEH: Prof Emeritus Ahmat Adam
(Makalah yang telah disunting ini pernah dibentangkan pada Seminar Sejarah anjuran ASPENSI (Asosiasi Sarjana Pendidikan Sejarah Indonesia), yang diadakan di Bandung, pada 21 November, 2009).
Pengenalan
Benedict Anderson dalam “Imagined Communities”, mengetengahkan teori bahawa nasionalisme dicetuskan oleh apa yang disebutnya sebagai “print-capitalism”, yang membawa erti tersebarnya budaya percetakan dalam skala yang meluas (Anderson 1991: 44-46). Takrif yang diberikan oleh Anderson tentang nasionalisme sebetulnya memang lebih tepat jika gejala kebangkitan nasionalisme di Indonesia dijadikan contoh di mana persuratkhabaran (pers) peribumi sesungguhnya telah memainkan peranan yang penting dalam pertumbuhan dan penyebaranya. Melalui ‘kapitalisme cetak’ konsep nasion Indonesia itu ‘diimajinasikan’ oleh banyak pihak sesuai dengan hasrat melahirkan komuniti yang diangan-angankan oleh mereka.
Di Malaysia pun, kemunculan nasionalisme boleh dikaitkan dengan peranan komoditi cetak yang disarankan oleh Anderson. Namun, dari segi isi dan bentuknya, nasionalisme yang muncul adalah tidak terlepas dari soal ‘bangsa’ itu sendiri. Barangkali, situasi yang wujud di Malaya (atau Tanah Melayu; kedua-duanya akan digunakan), boleh lebih mudah dihuraikan jika pendekatan Anthony Smith yang memberi fokus kepada soal etnisiti dipakai untuk menerangkan gejala nasionalisme yang tumbuh dalam masyarakat Malaya (kemudiannya Malaysia) yang multietnik. Pada zaman sebelum Perang Dunia Kedua, tidak wujud satu ‘nasionalisme Malaya’; yang ada ialah nasionalisme Melayu dan nasionalisme Cina. Nasionalisme Cina yang juga didorong oleh faktor etnik, walau bagaimanpun, telah berkembang menajadi nasionalisme sosial, iaitu yang menekankan rasa kebersamaan pada satu identiti nasional (Nota: Kellas mentakrifkan nasionalisme sosial lebih sebagai ikatan sosial dan budaya daripada keturunan (Kellas 1991: 51-52). Misalnya, kebersamaan masyarakat dan budaya menjadi ikatan bagi memberikan rasa setia dan sayang kepada nasion – walaupun nasion yang ditanggapi itu bukan Malaya tetapi tanah besar China.
Pada zaman sebelum Perang Dunia Kedua, hanya nasionalisme Melayu yang menjadikan Malaya sebagai objek perjuangannya tetapi itu pun untuk merealisasikan sebuah nasion Melayu -- walaupun, pada akhirnya, komuniti yang diangan-angankan itu tidak pernah kesampaian. Sekalipun usaha telah dijalankan oleh rakyat Malaya yang multietnik dan multibudaya untuk membangkitkan satu nasionalisme Malaya dan kemudiannya Malaysia, namun usaha-usaha ini tidak berhasil dan sehingga ke hari ini pun sebuah ‘nasionalisme Malaysia’ masih di‘konstruk’. Keadaan inilah yang mendorong setengah-setengah sarjana mengungkapkan kata-kata bahawa Malaysia adalah “one state, many nations” (Nota: Pada hari ini pun isu untuk melaksanakan sebuah sistem persekolahan nasional yang tunggal, yang memakai bahasa pengantar yang sama masih dipertengkarkan oleh parti-parti politik di Malaysia yang didukung oleh kelompok etnik yang berbeza-beza). Fenomena kesukuan -- yang kuat dipengaruhi oleh “ethnonationalism”, seperti yang dibicarakan oleh Smith itu -- masih sangat menjiwai kumpulan-kumpulan etnik yang besar di Malaysia dan secara politik ia menjadi hambatan kepada upaya membina nasion Malaysia. Dengan latar belakang inilah, maka makalah ini cuba melihat pertumbuhan dan perkembangan nasionalisme di Malaya dan usaha ke arah state-building sehingga lahirnya sebuah nation-state pada tahun 1957.
Sebagai sebuah nasion, usia Malaysia sebetulnya masih terlalu muda. Kemerdekaan politik hanya diperolehinya dari British pada 31 Ogos 1957 dan ia pun adalah hasil dari usaha yang dijalankan oleh tiga kaum terbesar di Malaya iaitu Melayu, Cina dan India. Upaya untuk mendapatkan kemerdekaan itu pun hanya baru bermula pada ketika Perang Dunia Kedua berakhir. Ini tidak pula bererti bahwa sebelum 1945 tidak ada perjuangan untuk memperolehi kemerdekaan daripada belenggu penjajahan British. Secara berorganisasi, sekitar suku terakhir tahun 1945 telah pun wujud Partai Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) pimpinan orang Melayu yang bukan dari golongan bangsawan, yang berjuang untuk menyatukan Malaya dengan Indonesia di bawah gagasan yang di Malaya disebut ‘Melayu Raya’ tetapi di Indonesia di panggil ‘Indonesia Raya’.
Idea untuk merdeka daripada penjajahan British ini pada mulanya dibangunkan oleh Ibrahim bin Haji Yaakub [sic, juga dieja Yaacob] pada dasawarsa tiga puluhan -- idea yang sebetulnya telah diilhami oleh Tan Malaka sejak tahun 1926, iaitu apabila terbit buku kecilnya di Singapura yang berjudul “Massa Actie”. Gagasan Melayu Raya ini menjadi landasan wawasan Ibrahim Yaakub dan rakan-rakannya melalui pertubuhan politik yang bernama Kesatuan Melayu Muda (KMM), nama yang juga diilhami oleh organisasi seperti Jong Sumatranen Bond (“Jong” [Ύͻŋ] bererti muda), Jong Java dan Jong Minahassa. Sebagai sebuah organisasi, Kesatuan Melayu Muda yang didirikan di Kampung Baru, Kuala Lumpur, telah didaftarkan pada tahun 1938. Pada zaman sebelum Perang Dunia Kedua kebanyakan penduduk Kampung Baru, Kuala Lumur, terdiri daripada orang asal Indonesia yang berketurunan Minangkabau. Seyogia pula disebutkan di sini bahawa penubuhan KMM juga diperbantu oleh seorang komunis berasal dari Minangkabau yang bernama Sutan Djenain (Nota: Menurut Ibrahim Yaakub, Sutan Djenain sendiri yang mengusulkan nama Kesatuan Melayu Muda itu).
Kesedaran Politik Cina
![]() |
| Ibrahim Haji Yaakob |
![]() |
| Tan Melaka |
![]() |
| Moktaruddin Lasso |
Tetapi sekalipun ia menjadi organisasi yang terlarang, KMT terus aktif sampai pada tahun-tahun empat puluhan dan awal lima puluhan --- yakni zaman pasca-Perang Dunia Kedua. Lebih-lebih lagi, pada tahun 1926 Parti Kuomintang di China telah berjaya merangkul kekuasaan di bawah pimpinan Chiang Kai-shek. Bagi pemerintah British, keaktifan KMT di Malaya, walau bagaimanpun, perlu ditangani sebaik mungkin. Pada penghujung tahun 1930 sikap British terhadap orang Cina yang menganggotai parti KMT mulai lebih lunak. Pada tahun yang sama, parti KMT juga mula disaingi oleh Parti Komunis Malaya (PKM) yang didirikan dalam bulan April 1930 di Singapura, iaitu sembilan tahun selepas Mao Ze Dong mendirikan Parti Komunis Cina (PKC) di tanah besar. Melalui dua buah organisasi politik Cina inilah orang Cina di Malaya menggembleng kepedulian bangsa Cina kepada tanah besar China. Pada mulanya, selepas Parti Komunis China (PKC) di dirikan, orang Cina di Malaya bergerak di bawah kedua-dua organisasi. Tetapi selepas perpecahan KMT dari PKC dalam tahun 1924 persaingan yang hebat untuk mendapat pengaruh berlaku di antara KMT dan PKC. Pada masa Malaya belum diserang oleh tentera Jepun, parti yang terkuat ialah Kuomintang, walupun daripada setiap 200 orang Cina, seorang daripadanya pastilah menganggotai KMT. Dengan berlatarkan kegiatan politik dua aliran komuniti Cina di Malaya inilah nasionalisme Melayu itu lahir.
Perbandingan Angka Penduduk
Berbeza dengan situasi di Indonesia, dari sudut statistiknya angka penduduk Cina di Malaya jauh lebih besar lagi berbanding penduduk peribuminya. Politik pintu terbuka British dalam hal imigrasi ke Tanah Melayu sejak awal abad ke-19 telah pada satu waktu mencemaskan orang Melayu. Pada tahun 1901, angka penduduk Cina di Selangor, sebuah negeri yang terkenal kaya dengan timah, telah mencapai 65 peratus daripada keseluruhan penduduknya; demikian pula di Perak angka penduduk Cinanya ialah 45 peratus daripada keseluruhan penduduknya. Setelah British membuka kawasan-kawasan bandar yang baharu sehingga dapat membangun kota seperti Kuala Lumpur, Ipoh, Taiping dan Seremban, yang sebetulnya merupakan daerah-daerah yang kaya dengan timah, lebih ramai pula imigran Cina yang datang. Tetapi kehadiran mereka itu juga didampingi oleh kemunculan triad societies (kongsi gelap atau pertubuhan rahsia yang melakukan jenayah), yang memberikan perlindungan kepada tauke-tauke pemilik perlombongan timah dan firma dagang. Pada waktu itu pihak yang sebetulnya ‘berkuasa’ adalah pemimpin-pemimpin organisasi rahsia triad ini.
Pada tahun 1931 sensus penduduk di Malaya menunjukkan bahawa jumlah penduduk Melayu ialah 44.7 peratus daripada seluruh penduduk Malaya, sedangkan angka pendudak Cina dan India masing-masing pada kadar 39.0 peratus dan 14.2 peratus. (Dari tahun 1921 sampai tahun 1931 peratusan penduduk Cina juga telah meningkat dari 22 peratus menjadi 31 peratus). Sepuluh tahun kemudian, iaitu pada pertengahan tahun 1941, angka populasi Melayu di Negeri Melayu yang beraja ialah 1,968,301 berbanding dengan bilangan orang Cina, 1,455,527, dan India 595, 579. Jika dijumlahkan kedua-dua angka orang Cina dan India, maka jumlah penduduk bukan Melayu adalah 2,051,106 --- jelas mengatasi bilangan orang Melayu. Manakala di Negeri-Negeri Selat (Melaka dan Pulau Pinang) pula jumlah orang Melayu ialah 309, 051 orang berbanding dengan gabungan populasi imigran Cina dan India seramai 1,071,086 orang.
Ini menunjukkan bahawa angka kaum imigran di Tanah Melayu bagi tahun 1941, yang berjumlah 3,122,192 orang, merupakan 57.8% daripada seluruh penduduk Malaya; sedangkan angka penduduk Melayu hanyalah 42.2 peratus sahaja. Daripada angka statistik ini jelas kelihatan bahawa orang Melayu dalam tahun 1941 itu sudah pun menjadi golongan minoriti berbanding imigran asing. Bahkan keadaan yang sama juga berterusan pada tahun 1948. Pada waktu itu, ketika Parti Komunis Malaya mengambil keputusan untuk melaksanakan perang gerilanya, bilangan penduduk Cina di Malaya masih tetap tinggi, iaitu 45 peratus berbanding 43 peratus Melayu. Realiti inilah yang menyedarkan orang Melayu dan membangkitkan nasionalisme Melayu.
Nasionalisme Melayu
Di sini juga kelihatan bahawa berbeza dengan apa yang berlaku di Indonesia, nasionalisme Melayu yang lahir di Malaya dicetuskan pada mulanya oleh faktor “racial survival” dan hanya mengambil bentuk anti-imperialis pada masa kemudiannya. Keadaan yang unik ini diakui oleh Tan Malaka sendiri apabila dia menulis dalam tahun 1926:
“… Tjilaka soenggoeh, tak dapat bangsa Indonesia [baca Melayu] di Semenandjoeng Malaka [Malaya] mempertahankan diri dari kebandjiran bangsa India dan Tiongkok jang teroes mengalir kesana – Boemipoetera di kota-kota pesisir senantiasa didesak ke pinggir kota, dan jang tinggal di laoet makin sehari makin djaoeh menjingkir ke poentjak-poentjak goenoeng”
(Massa Actie 1926: 66-67).
Keprihatinan Tan Malaka ini kemudiannya diulangi oleh Ibrahim Yaakub, seorang wartawan pada suratkhabar Majlis di Kuala Lumpur, yang pada tahun 1937 telah mendirikan Kesatuan Melayu Muda (KMM). Bagi Ibrahim, yang menulis dalam tahun 1941, “Satu-satunya jalan untuk menyelamatkan orang Melayu ialah dengan mengusahakan secara politik penyatuan semula orang Melayu”. Katanya lagi, “Cita-cita untuk bersekutu” itu telah muncul “bukannya sahaja di antara umat Melayu dua million di Tanah Melayu ini, tetapi dengan umat [rumpun] Melayu di Indonesia seramai enam puluh lima million itu. Mereka ingin hendak bersatu bekerjasama menggerakkan ikatan kebangsaan bersama menuju Indonesia Raya” (Ibrahim Hj. Yaacob 1975 (1941): 20). Maksud Ibrahim ialah untuk memperjuangkan penyatuan Malaya dengan Indonesia. ‘Mimpi’ Ibrahim Yaakub inilah yang dijadikan landasan perjuangan Kesatuan Melayu Muda dan pertubuhan nasionalis selepas perang, iaitu Partai Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM).
Perjuangan KMM untuk memerdekakan Malaya bersama Indonesia, walau bagaimanapun, tidak dapat tercapai apabila Jepun menyerah kalah. Keadaan di Malaya di mana kaum imigran Cina dan India begitu besar bilangannya tidak membolehkan Ibrahim dan rakan-rakannya memobilisasi seluruh penduduk untuk menyokong gagasannya. Walaupun Ibrahim selaku ketua Giyu Gun (tentera sukarela yang didirikan oleh pentadbiran tentera Jepun), cuba meminta pertolongan dari Malayan People’s Anti-Japanese Army (Tentera Anti Jepun Rakyat Malaya) iaitu pasukan gerila komunis yang rata-rata terdiri daripada orang Cina, bantuan yang diharapkannya sia-sia belaka. Berbeza dengan keadaan di Jawa, Malaya tidak pernah menyaksikan aktiviti gerakan pemuda yang bererti. Malah rancangan KMM dan Kesatuan Rakyat Istimewa [baca: Indonesia] Semenanjung (KRIS) untuk menubuhkan kerajaan Demokratik Rakyat Malaya pun tidak membuahkan apa-apa hasil. (Nota: KRIS ditubuhkan di Singapura sekitar 1945 apabila Ibrahim menerima maklumat bahawa Ketua Staf Tentera Jepun telah bersetuju agar Ibrahim mengatur persiapan untuk kemerdekaan Malaya). Justeru yang demikian mimpi Ibrahim Yaakub untuk memerdekakan Malaya bersama Indonesia tidak menjadi kenyataan. Pada 19 Ogos 1945, Ibrahim pun mengambil keputusan meninggalkan Malaya dan kemudiannya ikut bergerak dalam revolusi Indonesia. Kegagalan KMM itu, walau bagimanapun, tidak habis begitu saja.
Nasionalisme Melayu yang berorientasi ke Indonesia ini terus didukung oleh sebahagian orang Melayu yang bukan dari golongan aristokrat sampai pada waktu British kembali mejajah semula Malaya, Singapura, dan wilayah-wilayah Borneo Utara iaitu kira-kira dua minggu selepas Jepun mengaku kalah dalam perang pada 15 Ogos 1945. Sekitar dua bulan selepas itu, iaitu pada 17 Oktober 1945 atas prakarsa Parti Komunis Malaya diupayakan pula penubuhan Partai Kebangsaan Melayu Malaya. (Nota: PKM mengambil inisiatif ini kerana pada ketika tentera British masih belum mendarat di Malaya, pasukan gerila komunis Cina telah mengambil aksi sepihak secara menghukum individu-individu Melayu yang berkolaborasi dengan pemerintah tentera Jepun. Sebagai akibat dari tindakan balas dendam ini orang Melayu di beberapa daerah telah menjalankan pogrom terhadap orang Cina. Peperangan rasial ini sangat mengkhuatirkan PKM dan justeru kerana itulah inisiatif diambil buat mendirikan PKMM atau Malay Nationalist Party itu). Orang tengah yang ditugaskan merealisasikan penubuhan PKMM ialah Mokhtaruddin Lasso, seorang komunis yang berasal dari Sumatera Barat. Pada kongres pertama PKMM, yang diadakan pada 30 November 1945 di Ipoh, Mokhtaruddin pun dipilih untuk mengetuai parti politik Melayu yang mendahului United Malays National Organisation (UMNO) atau Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu yang secara rasminya didirikan pada 11Mei 1946.
PKMM walau bagaimanapun tidak mudah mendapat sokongan kaum elit Melayu dari kalangan aristokrat. Sekalipun pengikutnya terdiri daripada kalangan rakyat di luar bandar, masalah besar yang dihadapinya ialah kekurangan pemimpin yang berkaliber. Selepas Ketua pertamanya, Mokhtaruddin, menghilangkan diri, PKMM telah dipimpin oleh Burhanuddin al-Helmy, seorang doktor “homeopathy” yang mempunyai pemikiran yang sejalan dengan Muhammad Yamin dan Sukarno. Dr. Burhanuddin, adalah seorang Islamis yang punya komitmen kepada idea bangsa Melayu sebagai pencitra definitif dalam merangka identiti nasional Malaya. Dia beranggapan bahawa sifat Malaya yang berbilang kaum (multirasial) dan multibudaya itu mestilah bermula dengan menjelaskan nama bangsa atau citizenship (kewarganegaraan)nya --- yang menurutnya mestilah dinamakan “Melayu”.
“PUTERA” & “AMCJA”
Dr. Burhanuddin, bersama-sama dengan Ahmad Boestamam, dan Ishak Haji Muhammad sesungguhnya berperanan besar dalam perundingan dan tawar-menawar dengan para pemimpin suku-suku kaum bukan Melayu, terutamanya Cina, India dan Serani (Eurasia). Sebagai taktik untuk menampilkan kepelbagaian pertubuhan Melayu yang beraliran kiri, sebuah konfederasi yang dinamakan Pusat Tenaga Rakyat (PUTERA) telah dibentuk pada 22 Februari 1947 bagi menjalankan rundingan dan “bargaining” bersama-sama dengan organisasi kiri bukan Melayu yang duduk dalam gabungan “All-Malaya Council of Joint Action” (AMCJA). (Nota: AMCJA yang asalnya bernama “Pan Malayan Council of Joint Action” didirikan pada 22 Disember 1946 dan dianggotai oleh organisasi kiri seperti Malayan Democratic Union, Malayan Communist Party, Persekutuan Kesatuan Buruh Singapura, pertubuhan-pertubuhan perniagaan China yang konsrvatif dan pertubuhan Tamil, termasuk parti Malayan Indian Congress).Penubuhan AMCJA ini berasaskan tiga prinsip, iaitu: i) bahawa Singapura harus diakui sebagai sebahagian daripada Malaya; ii) bahawa sebuah pemerintahan sendiri (self-government) harus diwujudkan; dan iii) bahawa hak kerakyatan yang sama bagi semua orang yang menganggap Malaya sebagai negara tetapnya perlu diberikan. Hasil perbincangan yang dicapai ialah badan-badan itu bersetuju menubuhkan sebuah pakatan antara-kaum yang diberi nama PUTERA-AMCJA bagi tujuan menghadapi kekuatan penjajah British yang jelas lebih merasa selesa untuk berunding dengan UMNO dalam hal-hal keperlembagaan berbanding dengan puak kiri yang radikal.
Seyogia diingati, sebaik sahaja British menjajah semula Tanah Melayu, mereka telah pun mempunyai rancangannya sendiri tentang “state-building” di Malaya. Rancangan ini mengambil kira situasi politik pada tahun 1930an yang telah membuka mata British bahawa di Malaya telah muncul masyarakat kolonial yang majmuk sifatnya. Periode itu juga memperlihatkan suara lantang sebahagian orang Cina yang menuntut hak-hak politik yang sama dengan anak negeri. Ketika Jepun menyerang pertahanan British di Malaya dan Singapura, yang berakhir dengan penaklukan tentera Jepun secara mudah ke atas wilayah jajahan British di Asia Tenggara, dan disusuli pula dengan situasi politik yang berbeza apabila Malaya diperintah oleh Jepun, tampak kepada pihak kolonial British bahawa yang bersungguh-sungguh menentang Jepun adalah dari kalangan penduduk Cina. Dalam diam-diam rupa-rupanya sejak tahun 1943 lagi, Whitehall, iaitu pejabat kolonial di London, telah mempersiapkan satu rancangan yang bakal mengubah format pemerintahan kolonial zaman pasca Perang Dunia Kedua untuk Malaya.
MALAYAN UNION
Menurut rancangan para anggota “British Malaya Planning Unit” di London, sudah sampai waktunya untuk memutuskan situasi terkini dari masa lampau Malaya dengan menyemak semula perjanjian-perjanjian lama British dengan raja-raja Melayu. Perubahan yang paling utama dirancangkan ialah bahawa sebuah pemerintahan Malaya yang disatukan dengan pentadbiran yang bercirikan sentralisasi (pemusatan kuasa) perlu dilaksanakan. Ini bererti bahawa dalam tanah jajahan Kesatuan Malaya (Malayan Union) yang bakal diwujudkan itu, raja-raja Melayu seharusnya akan melepaskan hak-hak kedaulatan mereka kepada kerajaan British bagi mempersatukan tiga unit pemerintahan yang berjalan selama ini iaitu Negeri-negeri Melayu Bersekutu (Federated Malay States), Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu (Unfederated Malay States) dan Negeri-negeri Selat (Straits Settlements). Menurut rancangannya ketiga-tiga unit administratif ini akan bersatu dalam sebuah kerangka keperlembagaan yang dinamakan “Malayan Union”. Melalui Union ini British juga merancang untuk menyelesaikan masalah populasi imigran yang amat besar di Malaya, khasnya orang Cina. Kepada British satu kerakyatan yang sama bagi semua orang harus diantisipasikan. Keberadaan orang asing yang begitu besar jumlahnya yang dari sudut ekonominya pula sangat dominan perlu diberikan perhatian. Tambahan pula, dalam dasawarsa tiga puluhan orang Cina yang lahir di Negeri-Negeri Selat telah pun melaungkan tuntutan agar mereka diberikan hak-hak politik yang sama dengan orang Melayu. (Nota: Seperti yang ditulis pada tahun 1945 oleh salah seorang pemimpin Cina yang terkenal, iaitu Tan Cheng Lock, yang kemudiannya menjadi Presiden Malayan Chinese Association, “Kaum bukan Melayu yang tinggal di Malaya mempunyai sama hak untuk dianggap sebagai bumiputera, sama seperti orang Melayu dan orang-orang Malaysia [maksudnya Indonesia] yang tinggal [di Malaya] yang bersama-samanya membentuk kurang daripada 50 peratus daripada seluruh populasi, dan mereka [golongan bukan Melayu] pun wajar diberikan bahagian yang sama dan lumayan dalam pemerintahan dan pentadbiran negara”.) (Tan Cheng Lock 1947: 54).Kebangkitan “UMNO”
Tetapi tanpa diduga British, begitu mereka mempermaklumkan rancangan Malayan Unionnya, dengan serentak pula bangkit suara bantahan orang Melayu terhadap gagasan itu. Kebangkitan orang Melayu ini anehnya dikepalai oleh elit Melayu yang berpendidikan Inggeris yang rapat hubungannya dengan golongan aristokrat. Di bawah pimpinan Dato’ Onn bin Jaafar, seorang mantan Menteri Besar Johor, UMNO bangkit sebagai suara nasionalisme Melayu yang lantang menuntut agar Malayan Unon dibubarkan. Melihat betapa UMNO mendapat dukungan kuat rakyat Melayu, PKMM pun terpaksa bersuara pula membantah perlaksanaan Malayan Union, walaupun pada mulanya ia disokong lantaran ideanya yang progresif dari segi menyatukan Malaya dan mengurangi kuasa raja-raja.
Bagi British, kebangkitan umat Melayu buat kali pertamanya secara besar-besaran itu sangat mengkagetkan mereka. Di kalangan mantan pegawai-pegawai kolonial British yang bersara di London pun terdapat kritikan keras terhadap dasar British yang baru itu. Mereka pun menyokong himbauan orang Melayu agar Malaya dikekalkan sebagai milik orang Melayu. Demonstrasi, protes, dan juga petisyen pemimpin-pemimpin Melayu itu akhirnya berjaya menggagalkan Malayan Union walaupun ia telah dilaksanakan pada 1 April 1946. Gabenor Malayan Union yang pertama, Sir Edward Gent terpaksa mundur kerananya. Tidak lama selepas itu UMNO pun muncul sebagai parti politik yang bakal menyuarakan kehendak dan tuntutan orang Melayu. Maka berlakulah rundingan semula antara British, UMNO dan wakil-wakil Raja Melayu. Tetapi ketika rundingan dan tawar-menawar ini dilangsungkan tampak jelas bahawa kerajaan British telah meminggirkan para pemimpin PUTERA-AMCJA. British dengan terus terang menganggap rundingan hanya boleh dijalankan dengan UMNO --- justeru, katanya, hanya orang-orang UMNO yang boleh dipercayai.
Kegagalan pakatan gabungan PUTERA-AMCJA itu membawa padah pula kepada kerjasama antara pemimpin kiri Melayu dan Cina. Pada bulan Januari 1948, Dewan Perniagaan Cina yang berpengaruh telah menarik kembali dukungannya kepada organisasi gabungan itu. Sikap pro-Indonesia yang dianuti oleh PKMM dengan wawasan “Melayu Raya”nya, dan tuntutan agar ‘Melayu’ dijadikan asas identiti nasional untuk semua yang memegang kewarganegaraan Malaya, serta bahasa Melayu dijadikan bahasa rasmi Malaya (yang semuanya dijadikan asas ‘Perlembagaan Rakyat’) telah menimbulkan keraguan kepada bangsa-bangsa bukan Melayu, khasnya Cina.
Yang lebih mengecewakan gabungan PUTERA-AMCJA itu ialah apabila British besepakat dengan UMNO dan Raja-Raja Melayu agar dilaksanakan perlembagaan Persekutuan bagi menggantikan perlembagaan Malayan Union pada 1 Februari 1948, tanpa Singapura dimasukkan di dalam Malaya. Perlembagaan yang disebut Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu itu menggariskan beberapa titik fundamental yang kemudiannya menjadi precedent (contoh duluan) pada waktu perlembagaan Merdeka dan perlembagaan Malaysia dirangka. Misalnya, beberapa tuntutan orang Melayu seperti pengiktirafan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan Malaya, kedudukan khas atau istimewa orang Melayu dari segi pengambilan masuk ke dalam perkhidmatan awam kerajaan, pemberian biasiswa negeri, pemberian lesen dan permit berniaga, dan hak tanah simpanan untuk orang Melayu, adalah perkara-perkara pokok yang dimasukkan ke dalam perlembagaan Persekutuan 1948. Aksi British dan UMNO ini dengan sendirinya menjadikan gabungan PUTERA-AMCJA yang mahukan sebuah perlembagaan alternatif dilaksanakan untuk Malaya, mengalami perpecahan. Kejayaan British mengelakkan perpecahan dengan elit tradisional Melayu membawa kepada tahap kedua dalam upaya British meneruskan rancangan “state-building”nya
Rundingan British dengan elit Melayu yang berpendidikan Barat di dalam UMNO itu pun bukanlah tanpa kericuhan. Dato’ Onn yang tidak percaya kepada sikap British, pada mulanya berkeras mahu mempertahankan ciri keMelayuan sebagai asas pembinaan nasion Malaya pada waktu itu. Menyedari bahawa orang Melayu berada di tangga yang paling lemah jika berlumba dengan orang Cina khasnya dalam hampir semua bidang kehidupan, Dato’ Onn bahkan tidak terburu-buru merancangkan kemerdekaan yang cepat untuk Malaya. Tetapi di pihak British sendiri mereka merasakan bahawa sekalipun Malayan Union (tanpa Singapura) yang mereka rancangkan telah gagal, namun mereka berasa selesa apabila konsep Persekutuan diterima oleh UMNO,kerana gagasan itu pun mempunyai ciri-ciri utama yang terkandung di dalam Malayan Union, iaitu hasrat untuk memberikan hak kewarganegaraan kepada penduduk Cina dan India. Oleh yang demikian, sekalipun pada mata kasarnya supremasi politik telah dikembalikan kepada orang Melayu, namun pada hakikatnya sifat multietnik yang ditekankan oleh British akan terus menjadi asas yang fundamental bagi kemerdekaan Malaya dan kemudiannya penubuhan Malaysia.
“DARURAT”
Kesungguhan British untuk merealisasikan sebuah negara bangsa yang bersifat berbilang kaum dapat dilihat pada cara dan strategi kuasa kolonial itu menghadapi zaman ‘Darurat’ (1948 - 1960) yang diisytiharkan pada pertengahan tahun 1948 apabila Parti Komunis Malaya -- yang kecewa dengan kegagalan British melaksanakan tindakan-tindakan demoktratik yang dituntut oleh parti itu -- telah mengambil keputusanan untuk memberontak. (Nota: Kepada setengah-setengah pihak, ‘Darurat’, yang merujuk kepada perang gerila British terhadap PKM di dalam Persekutuan Tanah Melayu, adalah sebetulnya masalah Cina. Penyelesaiannya hanya boleh dibuat dengan cara mendapatkan kerjasama dari penduduk Cina. Ada pandangan yang mengatakan bahawa untuk mendapatkan kerjasama orang Cina, komuniti itu harus diberikan kepercayaan dan rasa gairah untuk berperanan dengan lebih besar dalam ‘Darurat’ iaitu dengan memberikan kepada mereka “privilege” (keistimewaan) yang akan membuat mereka merasakan kewajaran mengapa mereka harus mempertahankan kepentingan mereka; caranya ialah dengan membuat mereka merasakan bahawa Malaya adalah negeri yang harus diberikan tumpuan kasih sayang mereka. Pandangan lain pula mengatakan bahawa justeru kerana sifat orang Cina yang sukar dipujuk maka hanya dengan cara paksa sahaja, iaitu dengan menggunakan segala kekuatan tentera, baru gerakan komunis yang mereka terajui dapat dipatahkan).Kewarganegaraan berasaskan “Jus Soli”
Pada tahun 1947, keanggotaan PKM terdiri daripada 11,000 orang Cina, 760 India dan sekitar 40 orang Melayu dan Indonesia Dengan menggunakan alasan untuk memenangi hati komuniti Cina agar tidak mendukung gerakan komunis di Malaya, British di samping mendalangi penubuhan parti Malayan Chinese Association dalam bulan Januari 1949, juga mendesak Dato’ Onn Jaafar, pemimpin UMNO waktu itu agar bersetuju untuk melebarkan peluang-peluang bagi membolehkan orang Cina memiliki kewarganegaraan Malaya dengan berasaskan prinsip “jus soli”. (Nota: Istilah “jus soli” bererti “hak kepada bumi” (yakni hak kerakyatan berasaskan kelahiran di sesebuah wilayah). Isu memberikan kemudahan kepada orang Cina menjadi warganegara agar sebuah identiti Malaya dapat dilahirkan telah menyebabkan Dato’ Onn berbalah dengan Menteri-Menteri Besar di negeri-negeri Melayu. Perbantahan ini telah pun berlaku sejak bulan November 1949 lagi).
Dukungan yang diberikan oleh Onn Jaafar terhadap Jawatankuasa Hubungan Kaum yang mengusulkan agar prinsip “jus soli”, dipakai untuk pemberian kewarganegaraan secara automatik -- yang berarti bahawa barang siapa yang lahir di Malaya wajar diberikan kewarganegaraan Malaya telah membangkitkan bangkangan dari kalangan orang Melayu. Pada bulan Mei para mahasiswa Melayu di Universiti Malaya di Singapura telah mengkritik usul Jawatankuasa Hubungan Kaum yang disokong Dato’ Onn itu. Melalui memorandum yang dikirim, Presidennya menyesalkan aksi jawatankuasa itu. Menurutnya, sekalipun ada tanda-tanda bahawa British akan membantu kesejahteraan orang Melayu melalui penubuhan Federal Malay Development Board (Lembaga Pembangunan Melayu Persekutuan) dalam bulan Disember 1949 (yang kemudiannya dikenali dengan nama Rural Industrial Development Authority atau R.I.D.A. (Penguasa Industri Pembangunan Desa), namun adalah tidak masuk akal untuk menjadikan usaha itu sebagai tukar-ganti dengan pemberian kewarganegaraan kepada ratusan ribu imigran dalam sekelip mata. Protes para mahasiswa Melayu itu turut disokong oleh Malay Graduates Society (Persatuan Melayu Berijazah) yang menuduh Dato’ Onn Jaafar terjebak oleh pujukan dari anggota-anggota bukan Melayu dalam Jawatankuasa Hubungan Kaum.
(Nota: Jawatankuasa Hubungan Kaum atau “Communities Liaison Committee”, yang didirikan pada bulan Januari 1949 atas inisiatif Malcolm MacDonald dianggotai oleh 5 orang Melayu, dan 4 orang Tionghoa. Mulai Ogos 1949 anggota nya terdiri daripada 6 orang Melayu, 6 Cina, dan seorang dari setiap komuniti India, Serani, Selon, dan Eropah. Walaupun pada mulanya jawatankuasa ini bertindak sebagai forum yang mendiskusikan isu-isu yang berunsur konflik antara masyarakat, tetapi lama kelamaan ia berfungsi sebagai badan yang membincangkan soal-soal politik, seperti kewarganegaraan, dasar pendidikan, perlaksanaan pemilihan wakil di majlis Persekutuan dan majlis tempatan serta mengemukakan saranan-saranan mengenainya).
Ketika usul kewarganegaraan itu ingin dibahaskan dalam mesyuarat agung UMNO pada bulan Mei 1950, ia pun menjadi sangat hangat sehingga mesyuarat agung UMNO itu terpaksa ditunda kepada tarikh lain – iaitu 10 dan 11 Jun 1950. Sebetulnya, tujuan British meminda perlembagaan 1948 itu ialah untuk membolehkan rakyat yang bukan terdiri daripada kaum bumiputera di negeri-negeri yang diperintah oleh Raja-raja Melayu diberikan hak kewarganegaran dengan dikenakan beberapa syarat:
Orang Asia atau Serani yang lahir di negeri yang diperintah oleh Raja Melayu sebelum atau selepas tarikh perlaksanaan undang-undang itu boleh diberikan kerakyatan dengan syarat ibu atau bapanya lahir di negeri berkenaan;
Mana-mana orang Asia atau Serani yang lahir di negeri yang diperintah oleh Raja Melayu, walaupun ibubapanya tidak lahir di negeri itu, tetapi boleh diberikan hak dengan syarat bersumpah bahwa kesetiaannya ialah kepada Raja Melayu;
Orang yang ibu atau bapanya tidak lahir di negeri Melayu tetapi menjadi rakyat Raja, maka sekalipun orang itu tidak lahir di negeri tersebut, mereka pun boleh menjadi rakyat asalkan mengaku setia kepada negeri berkenaan; dan
Mereka yang di bawah umur pun boleh menjadi warganegara asalkan bapanya menjadi rakyat Raja.
Upaya untuk memudahkan pemerolehan kewargnegaraan ini, walau bagaimanapun, ditentang habis-habisan oleh UMNO dalam mesyuarat luar biasanya pada 10 dan 11 Juni 1950. Jawatankuasa Induk parti itu sebaliknya menghendaki hanya dua jenis kewarganegaraan diakui: i) kewarganegaraan negeri untuk mereka yang lahir di negeri di mana ibu bapanya dilahirkan; dan ii) kewarganegaraan Persekutuan yang diperolehi secara “operation of law” (perlaksanaan undang-undang), atau melalui pendaftaran atau naturalisasi.
Nota: Kewarganegaraan secara naturalisasi bererti seseorang yang telah mencapai usia 18 tahun boleh memohon untuk menjadi warganegara jika: i) telah tinggal di Persekutuan selama sekurang-kurangnya delapan daripada dua belas tahun berturut-turut; ii) mempunyai tingkah-laku yang baik; iii) dan bersumpah akan memberikan kesetiaan kepada Malaya dan iv) boleh bercakap dalam bahasa Melayu yang mudah
Begitu kerasnya bantahan daripada UMNO telah memaksa Dato’ Onn menyatakan keinginannya untuk mengundurkan diri daripada menjadi pemimpin parti itu. Walaupun dia kemudiannya dapat dipujuk untuk kembali memimpin UMNO, namun rasa malu dan bosan dengan pendirian parti yang dianggapnya terlalu rasial, mendorongnya mengambil keputusan pada 26 Ogos 1951 untuk keluar dari UMNO buat selama-lamanya, dan tidak lama kemudian iaitu pada 16 September 1951 dia pun mendirikan Parti Kemerdekaan Malaya (Independence of Malaya Party).
Ordinan 1951 dan isu kewarganegaraan
Bantahan dari UMNO terhadap isu kewarganegaraan itu sebenarnya tidaklah efektif. Hasil dari politik lihai British, pindaan yang dibuat pada Perlembagaan Persekutuan (1948) telah menghasilkan Ordinan 1951 yang lantas melaksanakan saranan Jawatankuasa Hubungan Kaum mengenai kewarganegaraan. (Nota: Menurut Ordinan ini ada dua cara untuk memperoleh kewarganegaraan Persekutuan. Pertama, ialah sebagai pemegang kerakyatan United Kingdom dan jajahan-jajahannya, dan dilahirkan di Negeri Selat (Pulau Pinang atau Melaka); kedua, seseorang itu boleh menjadi warganegara jika dia merupakan rakyat salah sebuah negeri yang diperintah oleh Raja Melayu. Dengan helah British memberikan kelonggaran-kelonggaran ini maka hasilnya ialah, pada tengah malam 14 September 1952, bilangan orang Cina dan India yang menjadi warganegara Malaya pun mencapai angka 1,200,000 orang (yakni 60 peratus daripada seluruh populasi Cina di Malaya), manakala orang India mencapai angka 180,000. Mereka yang menjadi warganegara Persekutuan melalui pendaftaran dan naturalisasi pula ialah 351,826 orang.
Kelonggaran undang-undang yang telah membolehkan orang Cina, India dan lain-lain mendapatkan hak kewarganegaraan ini membawa implikasi yang besar terhadap politik pembinaan nasion Malaya di kemudian harinya. Melalui Ordinan 1951 itu, pada penghujung tahun 1953, sekitar 4,424,650 orang telah, sama ada menjadi warganegara, ataupun memiliki syarat kelahiran yang diperlukan untuk didaftar sebagai warganegara (Nota: Oleh kerana jumlah angka penduduk ialah 5,705,952, maka ini bererti hanya sekitar 1,281,300 orang yang tidak termasuk dalam mana-mana kategori di atas. Tetapi bilangan mereka yang lahir di luar Malaya adalah 911,300 orang).
Seperti yang telah dinyatakan, isu pindaan Perlembagaan 1948 itu sememangnya tidak popular di kalangan orang Melayu, Pada umumnya, anggapan mereka ialah bahwa Malaya adalah negeri Melayu. Prinsip ‘Malaya untuk orang Melayu’ ini pun dilaungkan oleh Persatuan Melayu Semenanjung, sebuah parti yang didirikan pada 3 September 1950. Selain dari isu ini, ikhtiar Dato’ Onn untuk membuka keanggotaan parti itu kepada orang Cina dan India juga telah ditentang oleh anggota-anggota UMNO. Inilah juga yang menyebabkan dia meninggalkan UMNO dan lantas mendirikan Parti Kemerdekaan Malaya atau Independence of Malaya Party (IMP) pada 16 September 1951.
Dalam pidatonya pada acara merasmikan penubuhan IMP, Dato’ Onn berkata: ‘Objektif IMP ialah untuk mendirikan sebuah negara Malaya yang berdaulat, yang tujuannya adalah kesejahteraan dan kemajuan rakyat berdasarkan persamaan peluang dan hak serta obligasi politik, sosial dan ekonomi.’ Tetapi penampilan citra multietnik ini yang dibuat oleh Dato’ Onn melalui IMP pun tidak mendapat dukungan orang Cina. MCA yang dipimpin oleh Tan Cheng Lock dan mereka yang pernah bergerak di dalam KMT malah lebih senang memilih UMNO sebagai rakan yang bakal menyertai pilihanraya untuk majlis perbandaran dan negeri yang bermula pada Disember 1951.
Tahun 1951 mencatat sejarah penting bagi Malaya. Pembunuhan Pesuruhjaya Tinggi Henry Gurney oleh Parti Komunis Malaya pada 17 Oktober tahun itu membawa petanda bahawa gerakan komunis di Malaya telah mencapai efek yang berkesan dalam perang gerila mereka melawan British. Tahun itu juga memperlihatkan kekalahan Parti Buruh di tangan Parti Konservatif di England. Huru-hara yang ditimbulkan oleh PKM mendorong Setiausaha bagi Tanah Jajahan, Mr. Oliver Lyttleton, berkunjung ke Tanah Melayu pada bulan November 1951 dengan tujuan untuk membuat penilaian terhadap keadaan politik di Malaya, khasnya isu pembunuhan Pesuruhjaya Tinggi British dan pertukaran kepemimpinan UMNO. Pada kesempatan lawatan Lyttleton itu, Tunku Abdul Rahman dan anggota delegasinya dari UMNO cuba menimbulkan isu kemerdekaan untuk Malaya tetapi mendapat jawapan yang bersifat mengelak.
Betapapun demikian, apabila Sir Gerald Templer dilantik sebagai Pesuruhjaya Tinggi yang baru, sikap British terhadap situasi politik di Malaya berubah kepada dasar dwi-fungsi yang lebih agresif. Dengan memperkenalkan “Briggs Plan”, Templer bertujuan memerangi komunis secara lebih bersungguh-sungguh. Panglima Tentera Lt. General Harold Briggs merancang untuk memisahkan anggota masyarakat Cina yang menjadi sumber sokongan PKM daripada mereka yang berpendirian neutral. Untuk itu kampung-kampung baru di seluruh Malaya pun di bina bagi tujuan pengasingan anggota-anggota masyarakat Cina yang dianggap sebagai simpatisan komunis itu. Hasilnya, sekitar 532,000 orang telah dipindahkan ke kampung-kampung baru Cina. Pada waktu yang sama orang Cina juga diberikan hak kewarganegaraan demi memujuk mereka agar tidak menyokong PKM. Pada waktu inilah British mulai menunjukkan tanda-tanda untuk mempersiapkan prasarana bagi tujuan kemerdekaan untuk sebuah Malaya yang sifatnya multietnik dan bukan komunis. Langkah pertamanya ialah dengan mengadakan pilihanraya untuk majlis perbandaran dan majlis tempatan. Dalam konteks ini jugalah harus dilihat langkah menganjurkan dialog, kerjasama dan permuafakatan antara kaum seperti yang terbukti daripada kewujudan Jawatankuasa Hubungan Kaum yang merupakan upaya dan percubaan Dato Onn membuka pintu UMNO kepada anggota bukan Melayu, dan permuafakatan UMNO-MCA mendirikan parti Perikatan.
Parti PERIKATAN
Kesepakatan mendirikan parti Perikatan UMNO dan MCA ternyata telah menyebabkan perikatan itu muncul sebagai pemenang dalam pilihanraya yang diadakan bagi memilih anggota Majlis Perbandaran Kuala Lumpur dalam tahun 1952. Dari 12 daerah pengundian, Parti Perikatan memenangi 9 kerusi, sedangkan IMP yang ikut serta dalam pilihanraya itu hanya memenangi 2 sahaja dan satu kerusi dimenangi oleh calon Bebas. Kejayaan ini mendorong parti Perikatan untuk meneruskan kerjasama politik antara kaum.
Sepanjang periode 1952 – 1953 parti Perikatan terus menunjukkan kejayaan dalam pilihanraya-pilihanraya yang diadakan untuk pengundian bagi majlis perbandaran, majlis daerah dan majlis negeri. Kejajayaan-kejayaan yang diraih Perikatan atau ‘Alliance’ itu mendorong para pemimpinnya untuk menjadikan gabungan kerjasama dalam perikatan tersebut sebagai organisasi yang kekal, bukan sahaja untuk tujuan-tujuan politik tetapi juga untuk menggembleng kerjasama inter-rasial dalam memperjuangkan kemerdekaan. Atas usaha parti Perikatan, tuntutan pun dibuat agar pilihanraya umum diadakan dalam tahun 1954. Tetapi tuntutan ini bukanlah mudah dipenuhi oleh kerajaan British, seperti yang dialami oleh Tunku Abdul Rahman. (Nota: Tuntutan parti Perikatan itu berasaskan beberapa perkara: i) Anggota yang terpilih mestilah tidak kurang daripada 75 peratus dari jumlah yang akan dipilih; ii) pegawai-pegawai kerajaan mestilah diberi izin mengambil bahagian dalam politik; iii) semua orang yang lahir di dalam Persekutuan Tanah Melayu yang telah menetap di Malaya selama lima tahun berturut-turut hendaklah diizinkankan mengundi; mereka yang lahir di Malaya tetapi bekerja di Singapura hendaklah diizinkan mengundi sekiranya mereka telah tinggal di Malaya selama tidak kurang daripada tujuh tahun sebelum pilihanraya; iv) pilihanraya perlulah diadakan tidak lewat daripada November 1954; pemilihan mestilah berdasarkan undi majoriti; anggota yang terpilih mestilah layak di lantik menjadi Menteri dalam Kabinet Persekutuan. Halangan dan rintangan yang dialami Tunku, akibat tindak-tanduk pegawai kolonial, termasuk juga dari raja-raja Melayu sendiri, pada masa-masanya mencetuskan hubungan yang tegang sehingga Tunku sebagai ketua Perikatan membuat ancaman bahwa jika pemerintah British tidak bersetuju dengan tuntutan parti Perikatan itu maka parti itu akan menjalankan politik tidak mahu bekerjasama. Lantaran khuatir akan kemungkinan Parti Negara Dato’ Onn (yang berpendirian ‘Malaya untuk orang Melayu’) menjadi pilihan alternatif bagi rakyat Malaya, maka British akhirnya bersetuju dengan beberapa syarat tuntutan itu: iaitu tentang tarikh pilihanraya umum dan penubuhan sebuah Jawatankuasa Bebas bagi mengkaji persiapan keperlembagaan untuk kemerdekaan Malaya. Akhirnya, British pun bersetuju untuk mengadakan pilihanraya umum pada tahun 1955.
Politik Tawar-Menawar
Apabila pilihanraya umum untuk seluruh Malaya diadakan pada tahun 1955 tampak jelas bahawa kerjasama UMNO-MCA itu berhasil. Pada tahun 1953 parti “Alliance” telah disertai oleh Malayan Indian Congress (MIC) yang mewakili masyarakat India. Tetapi ketika pilihanraya umum hendak dijalankan, telah timbul masalah mengenai dua perkara yang menguji perpaduan parti gabungan itu. Pertama ialah mengenai pembahagian kawasan pilihanraya. Daripada 52 kawasan yang ditandingkan, anggota-anggota UMNO mahukan kadar pembahagian kerusi diikut menurut nisbah penduduk. Sebelum itu nisbah yang dipersetujui ialah 40 kerusi untuk UMNO dan 12 untuk calon MCA. Tetapi anggota-anggota MCA mahukan lebih daripada 12 kerusi. Apabila para anggota UMNO menghendaki lebih daripada 40 kerusi maka perbalahan antara Melayu-Cina itu pun menjadi tegang sehinggga Ketua parti Perikatan, Tunku Abdul Rahman pun mengugut akan mundur dari jabatan presiden parti itu jika nasihatnya tidak didengari. Namun, pada akhirnya yang mengalah ialah UMNO sendiri kerana Tunku Abdul Rahman telah membenarkan MCA diberikan 15 kerusi pilihanraya dan dua kerusi kepada parti MIC yang baru menjadi anggota.
Perkara kedua -- yang sebetulnya lebih serius -- ialah mengenai upaya menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi Malaya. MCA tidak bersetuju dengan usul ini, dan sebaliknya menuntut agar bahasa Cina juga dijadikan bahasa rasmi selain bahasa Melayu. Bahkan ada pula anggota ekstremis di dalam parti itu yang mahukan dasar berbilang bahasa (“multilingualism”) diterima untuk penggunaan dalam mesyuarat di Dewan Undangan Negeri dan Persekutuan. Tidak menghairankan, tuntutan ini ditentang oleh UMNO. Perbalahan bertambah parah apabila desakan menjadikan bahasa Cina sebagai bahasa rasmi Malaya itu disalurkan melalui beberapa “guild” (persatuan) Cina. Namun atas rayuan Tan Cheng Lock, Presiden MCA, usul itu kemudiannya telah digugurkan. Inilah kali pertama konflik antara Cina-Melayu mengenai isu bahasa terserlah. Masalah bahasa yang ada kaitannya dengan sistem pendidikan kebangsaan timbul semula pada tahun 1956 apabila Jawatankuasa Pelajaran Razak membuat resolusi untuk mewujudkan sekolah kebangsaan yang akan mengutamakan bahasa Melayu dan Inggeris sebagai bahasa pengantar. Laporan Razak itu kemudiannya melahirkan Ordinan Pendidikan 1957 yang antara lain mengusulkan agar Sekolah Rendah Umum Melayu menggunakan bahasa Melayu sebagai pengantar sedangkan Sekolah Rendah Jenis Umum menggunakan bahasa Inggeris, Cina dan Tamil sebagai pengantar utamanya. Manakala di peringkat menengah, hanya akan wujud Sekolah Kebangsaan yang menggunakan bahasa Melayu dan silabus yang sama untuk semua. Laporan Razak, yang juga menetapkan bahawa hanya bahasa Melayu dan Inggeris sahaja yang akan diizinkan untuk mengambil ujian kebangsaan, telah ditentang keras oleh masyarakat Cina melalui Persatuan Guru-Guru Sekolah Cina Bersatu dan Jawatankuasa Pengurusan Sekolah Cina Seluruh Malaya.
Walaupun pilihanraya yang diadakan pada bulan Julai 1955 itu telah memperlihatkan penyertaan parti-parti politik Melayu seperti Parti Islam Se Tanah Melayu (PAS), yang didirikan pada tahun 1953, Parti Negara yang didirikan oleh Dato’ Onn pada awal 1954, Parti Buruh, dan beberapa parti kecil lain, Melayu dan bukan Melayu, parti Perikatan tetap meraih kemenangan. Tampak jelas munculnya dua aliran pendirian dalam pilihanraya umum 1955 itu. Satu aliran mahukan agar identiti ‘Malaya yang multietnik’ ditonjolkan dengan memberikan kedudukan istimewa kepada orang Melayu, dan satu lagi yang memperjuangkan Malaya untuk orang Melayu seperti yang disuarakan oleh Dato’ Onn melalui Parti Negaranya. Demikian pula, upaya Dr. Burhanuddin Helmy untuk menggerakkan golongan pemuda melalui Kongres Belia Melayu Se Malaya, agar dapat menguatkan lagi undi yang ingin mengekalkan Malaya untuk orang Melayu pun sia-sia belaka. Daripada 52 kawasan pengundian yang ditandinginya, parti Perikatan telah memenangi 51 kerusi. Hanya satu kerusi dimenangi oleh Parti Islam Se Tanah Melayu (PAS). Ironinya ialah bahwa keputusan undi dalam peilihanraya 1955 itu menunjukkan bahawa yang menentukan kemenangan mana-mana parti adalah orang Melayu kerana daripada angka 1, 280,000 orang penduduk yang layak mengundi, 84.2 peratus adalah terdiri daripada orang Melayu, 11 peratus Cina dan kurang daripada 5 peratus India. (Nota: Namun begitu, ketika pilihanraya umum tahun 1959 diadakan bilangan pengundi Cina telah meningkat ke angka 36 peratus, dan India 7 peratus; sedangkan undi Melayu merosot ke 57 peratus.
Membentuk Pemerintahan Sendiri
Kemenangan Perikatan yang begitu signifikan ini membolehkan pemimpinnya dari UMNO, Tunku Abdul Rahman Putra, untuk membentuk pemerintahan sendiri atau “self-government” dengan dia dipilih sebagai Ketua Menteri Persekutuan Tanah Melayu. Pembentukan ‘kerajaan’ Perikatan itu mencatat permulaan pada langkah mempersiapkan Malaya untuk kemerdekaan dengan menekankan kaedah politik kerjasama antara kaum yang berasaskan “consociational politics” atau politik tawar-menawar. Sebagai upaya hendak menyelesaikan masalah Darurat yang masih berjalan, pada hujung Desember 1955, Tunku Abdul Rahman dan anggota kabinetnya telah mengadakan rundingan dengan Parti Komunis Malaya di Baling tetapi usaha ini tidak mencapai sebarang kejayaan.
Kejayaan Parti Perikatan memenangi pilihanraya umum pertama dalam sejarah perlaksanaan demokrasi di Malaya telah mendorong Tunku Abdul Rahman untuk mengadakan rundingan dengan pemerintah British di London. Sebuah ‘Misi Merdeka’ yang diketuai oleh Tunku Abdul Rahman telah berkunjung ke London bagi mengadakan rundingan dengan pihak pemerintah British pada bulan Februari 1956. Pada waktu itu parti yang memerintah Britain ialah Parti Buruh, yang dari segi pendirian kolonialnya lebih terbuka untuk memberikan kemerdekaan kepada Malaya.
Menyediakan Perlembagaan bagi Malaya Merdeka
Bagi British, syarat untuk Malaya merdeka telah dipenuhi apabila wujud kerjasama antara dua komuniti etnik yang utama, iaitu Cina dan Melayu. Sikap toleransi atau bertolak-ansur menjadi asas kerjasama interetnik sampai kini. Untuk merangka Perlembagaan Malaya yang merdeka, UMNO dan MCA telah mencapai kesepakatan agar dibentuk sebuah suruhanjaya perlembagaan yang bebas dalam tahun 1956, iaitu Suruhanjaya Reid (yang dianggotai oleh Lord William Reid (United Kingdom), Sir Ivor Jennings (United Kingdom), bekas King’s Counsel yang pernah memegang jawatan Naib-Canselor Universiti Cambridge. Jennings juga merupakan seorang pakar par excellence (luar biasa) dalam Suruhanjaya itu; Sir William McKell (Australia), mantan Gabenor-Jeneral Australia, yang pernah menjadi Menteri Kehakiman; Hakim B. Malik (India), mantan Hakim Besar di Mahkamah Tinggi Allahabad, yang punya pengalaman luas dalam penafsiran undang-undang konstitusional; dan Hakim Halim bin Abdul Hamid (Pakistan) seorang Hakim Mahkamah Tinggi yang berpengalaman dalam membentuk Perlembagaan Pakistan. Dengan dipengerusikan oleh Lord Reid, seorang Anggota Parlimen British, juga mantan Peguam Cara Negara, dan Hakim Mahkamah Rayuan yang terkenal di Britain, Suruhanjaya itu bertanggungjawab untuk meneliti dengan saksama segala usul dan cadangan yang datang dari semua komuniti melalui pertubuhan masing-masing untuk dimasukkan ke dalam perlembagaan yang hendak digubal. Tujuan utama Suruhanjaya itu ialah agar perlembagaan yang dirangka itu akan menjadikan Malaya sebuah negara yang demokratik. Suruhanjaya Reid telah menerbitkan laporannya pada bulan Februari 1957, dan ia ternyata telah menunjukkan kepekaannya teradap persoalan ‘kedudukan istimewa’ orang Melayu, justeru sebagai pengakuan bahwa orang Melayu adalah pemilik asal Tanah Melayu, suatu hal yang didasarkan atas perjanjian-perjanjian dan traktat antara British dan Raja-raja Melayu sejak zaman terdahulu. Tetapi sebahagian masyarakat Cina di Malaya, walau bagaimanapun, tetap tidak berpuas hati dengan hasil yang dilaporkan oleh Suruhanjaya tersebut.
Mengenai kedudukan orang Melayu, Pasal 19 (i) (d) dalam Perjanjian Persekutuan Tahun 1948 juga telah dijadikan rujukan oleh Suruhanjaya Reid. Di antara perkara-perkara yang terpenting yang dimaktubkan di dalam Perlembagaan 1957 itu ialah:
Soal hak istimewa orang Melayu, khasnya yang berkaitan dengan tanah simpanan Melayu;
Jaminan kepada kedudukan Raja-Raja Melayu dan perwujudan institusi Yang Dipertuan Agung. Institusi ini berperanan sebagai pelindung hak-hak istimewa orang Melayu.
Islam sebagai agama rasmi Persekutuan; tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dalam keadaan yang damai dan harmonis di mana sahaja di dalam Persekutuan;
Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi mulai tahun 1967;
Kuota khas untuk orang Melayu dalam perkhidmatan kerajaan, pemberian biasiswa kerajaan dan pemberian lesen, dan permit.
Sebagai imbalannya, warganegara bukan Melayu diberikan konsesi dari segi pemberian hak kewarganegaraan yang akan membolehkan mereka menjadi warganegara melalui “jus soli” atau melalui proses undang-undang dengan memenuhi syarat-syarat mastautin, bahasa dan sumpah setia. Sebagai warganegara mereka boleh mengambil bahagian dalam kehidupan berpolitik – hak yang tidak pernah diberikan pada zaman sebelum Perang Dunia Kedua. Buat pertama kalinya mereka juga boleh memasuki perkhidmatan kerajaan untuk memegang jawatan-jawatan pentadbiran walaupun peluang ini dibataskan pada kuota 4 : 1 seperti yang diaplikasikan untuk Melayu berbanding bukan Melayu. Mereka juga secara bebas boleh mengamalkan budaya dan adat resam mereka.
Persetujuan terhadap soal-soal keperlembagaan ini yang dicapai melalui politik ‘tawar-menawar’; dan kaedah ‘consociational’ inilah yang bertahan sehingga kini sebagai landasan dalam proses pembinaan Malaysia sebagai negara bangsa. Isu-isu yang dianggap sensitif kepada mana-mana suku kaum dibincangkan terlebih dahulu secara tertutup antara elit parti politik; jalan penyelesaiannya yang ditemukan selepas perbincangan merupakan “interethnic adjustment” (pelarasan interetnik) dan keputusannya hanya diberitahukan kepada masyarakat awam setelah persetujuan dicapai.
Kesimpulan:
Sejarah pembinaan nasion Malaysia masih berusia muda. Pada awalnya, ciri utama yang membentuk nasionalisme pada zaman sebelum Malaysia didirikan, adalah sifat etnisitinya atau lahirnya “ethnonationalism” di kalangan orang Cina dan Melayu. Sampai ke zaman Malaya memperoleh kemerdekaannya, state-building yang banyak diperbantu oleh British, pun tidak meletakkan asasnya kepada nasionalisme Malaya – tetapi sebaliknya, ia lebih didorong oleh cita-cita pragmatik yang membolehkan kerjasama antara elit dari kumpulan-kumpulan etnik yang bebeza untuk berkoperasi membebaskan Malaya dari penjajahan Inggeris. Dalam pada itu tidak pula dapat dilupakan faktor tekanan yang diberikan oleh Parti Komunis Malaya. Melalui gerakan perang gerilanya, PKM telah mempercepatkan British mengatur ikhtiar untuk menyerahkan kemerdekaan kepada Malaya sekalipun nasion yang diimajinasikannya tidak dihayati atau dikongsi bersama, bahkan ditolak oleh orang Melayu.
Apabila Persekutuan Malaysia dibentuk pada tahun 1963, kerangka yang ada pada Persekutuan Tanah Melayu pun dijadikan contoh duluan (precedent) buat mempersiapkan Perlembagaan Malaysia. Bahkan tujuan Malaysia didirikan pun, bagi orang Melayu, sebahagiannya adalah didorong oleh hasrat mahu menyelesaikan masalah etnisiti yang mencirikan politik bernegara sejak 1957. Tetapi politik antara kumpulan-kumpulan etnik masih tetap bersifat sayembara antara kaum yang mencirikan sejarah pembentukan negara bangsa Malaysia. Keharmonian, keamanan, dan kesejahteraan yang dialami oleh rakyat Malaysia sampai kini, walau bagaimanapun, dapat dicapai justeru karena prinsip tawar-menawar itu dijadikan landasan perundingan di antara suku-suku bangsa dan komuniti yang menjurus kepada power-sharing (perkongsian kuasa) antara mereka. Kelanjutan pendekatan politik konsosiasi inilah yang, hingga ke hari ini, menjadi pegangan elit politik Malaysia, baik yang dari parti-parti yang membentuk pemerintahan koalisi, mahupun yang dari parti pembangkang.
Wallahu’alam.
Nota:
Senarai bibliografi yang merangkumi sumber rasmi, seperti fail-fail pegawai perisikan British, dan Konsul Amerika, serta buku-buku dan makalah boleh dirujuk di dalam buku Melayu, Nasionalisme Radikal dan Pembinaan Bangsa (2013).
___________________________
~ Prof. Emeritus Sejarah Ahmat Adam ~
Ahli Sejarah
Telegram: https://t.me/gerakanpenamy
Instagram: https://www.instagram.com/gerakanpenamy
_____________________________




Comments
Post a Comment