Ukuran Timbangan Dan Mata Wang Kesultanan Kedah

OLEH: Abu Amru Radzi Othman


Umat Melayu semasa zaman Sriwijaya telah menggunakan Sistem Saga untuk timbangan. Lantas Kedah yang merupakan sebahagian dari wilayah Sriwijaya turut menggunakan sistem tersebut. Sistem tersebut semakin mantap apabila Kedah menjadi negara Islam.

Sistem ini dipanggil sebagai ‘Sistem Saga’ oleh sebab ‘batu timbangan’ yang paling asas digunakan adalah dari biji-biji Saga Kundi. Dalam sistem ini, skala timbangan yang diwujudkan adalah berdasarkan gandaan berat biji saga jenis ini. Purata berat biji Saga Kundi ini adalah 0.118 gram.

Antara unit ukuran yang sempat ditemukan dalam Kesultanan Kedah adalah kati, tahil, paha, mas (juga dipanggil emas atau jampal), kundi, kupang, riyal, pitis dan tera.

Sebahagian dari unit ukuran ini dijadikan sistem mata wang pula seperti mas dan kupang. Dikatakan dalam Tarikh Salasilah Negeri Kedah, sewaktu masa pemerintahan Sultan Mahmud Syah II dicetak wang emas dan wang timah.

Dalam buku Relation de divers Voyages curieux, Jenderal Augustine de Beaulieu berkata tentang sistem timbangan di Kedah:

"Mereka menempa, katanya, sejenis matawang serupa dengan sol Perancis, daripada logam yang lebih bermutu, yang mereka sebut Tera, yang mana 32 keping bersamaan nilai satu Riyal, mereka menimbang dengan tahil, tetapi tahil di sana bersamaan empat Tahil di Acheh”

Satu hal yang perlu diketahui adalah maksud tera dalam Bahasa Melayu adalah cap atau mohor atau tanda. Kata terbitannya adalah 'tertera' atau 'menera'.

Emas yang dikeluarkan dengan tanda (tera) oleh pihak pemerintah dimaksudkan sebagai mata wang. Mata wang ini dicetak menggunakan timbangan berat sedia ada, yang sama sahaja dengan sistem timbangan ketika itu. Makanya nama matawang itu disebut bercampur aduk bersama-sama dengan unit-unit berat. Hal ini berlaku lantaran pada masa itu, logam emas menjadi bahan mata wang. Justeru emas yang bukan dalam bentuk wang tetap dapat digunakan setelah dipastikan beratnya tepat dan kualitinya (ketulinannya) sama.

Tarikh Salasilah Negeri Kedah ada tentang sistem ukuran timbangan di negeri tersebut:

"Maka akan perbelanjaan tera: dua belas tera satu pitis, seratus lima puluh tera dua belas pitis setengah, jadi sekupang. Enam ratus tera empat kupang, jadi sejampal. Dua jampal seriyal. Jadi, seribu dua ratus tera seriyal’. Demikianlah dipertetapkan oleh Duli Baginda Sultan Yang Maha Mulia perbelanjaan dan sukatan itu"

Dari ayat diatas dapat kita keluarkan jadual persamaan supaya lebih mudah faham:

12 tera = 1 pitis
150 tera = 12 ½ pitis = 1 kupang (emas)
600 tera = 4 kupang =1 jampal (emas)
1200 tera = 2 jampal = 1 riyal (perak)

Atau

1 pitis = 12 tera
1 kupang = 150 tera
1 kupang = 12 ½ pitis
1 jampal = 4 kupang
1 jampal = 600 tera
1 riyal = 2 jampal
1 riyal 1200 tera

Jadual diatas agak sukar difahami oleh masyarakat hari ini lantaran perbezaan sistem timbangan yang digunakan.

Didapati bahawa 1 kupang sekitar 0.60 g emas setelah duit Kupang Kedah yang ditemukan di tapak-tapak arkeologi ditimbang.

Untuk ukuran timbang yang lain, kita temukan beberapa unit lagi seperti:

1 kati = 16 tahil
1 tahil = 4 paha
1 paha = 4 mas
1 mas / jampal = 4 kupang
1 riyal = 2 jampal
1 riyal = 1200 tera
1 pitis = 12 tera
1 kupang = 150 tera
1 kupang = 12.5 pitis
1 kupang = 5 kundi

Tahil Cina lebih ringan dari Tahil Melayu. Begitu juga dengan Kati Cina lebih ringan dari Kati Melayu.

Nota:

Disaring dari tulisan Ibrahim Bakar yang bertajuk Weight Scale And Money serta Weight System Ever Used In Kedah.


___________________________
~ Abu Amru Radzi Othman ~
Lajnah Sejarah Dan Tradisi
_____________________________

Comments