Sejarah Pasukan Polis di Selangor

OLEH: Saufy Jauhary

Sultan Ala' uddin Sulaiman Syah bersama Sultan Perak, Sultan Iskandar memeriksa perbarisan Polis Selangor semasa pembukaan Masjid Ala' uddin di Kampunh Bandar, Kuala Langat

Sultan Sir Abdul Samad menaiki takhta Selangor pada tahun 1857. Di bawah pemerintahan baginda , jajahan Klang diserahkan kepada Raja Abdullah bin Raja Jaafar. Pada tahun 1867, Raja Abdullah dicabar oleh Raja Mahadi dan menyebabkan tercetusnya Perang Klang (1867 – 1873). Pada tahun 1870, Sultan menyerahkan pentadbiran negeri kepada menantunya, Tengku Kudin yang merupakan Putera Sultan Kedah. Pada tahun 1871, Tengku Kudin merekrut Van Hagen dan Cavaleiri bagi membentuk pasukan polis terdiri daripada 30 orang Eropah dan seramai 80 orang sepoi India.
Pada tahun 1872, sebahagian besar anggotanya ditempatkan di Kuala Lumpur bagi menghadapi ancaman Sayyid Masyhor. Caveleri dan Van Hagen terbunuh akibat serangan hendap oleh Raja Mahadi dan Kuala Lumpur ditawan oleh Sayyid Masyhor pada Ogos 1872.


Sultan Abdul Samad, Sultan Selangor keempat

Apabila J.G. Davidson dilantik sebagai Residen British pada tahun 1874, beliau telah menyerahkan pembentukan Pasukan Polis Selangor kepada Kapten Harry Charles Syers. Pada Julai 1878, anggota Pasukan Polis Selangor meningkat ke angka 270 orang dan kesemuanya adalah orang  Melayu. Balai-balai Polis dibina di Jugra, Klang, Kuala Lumpur, Damansara, Kuala Kubu Lama, Sungai Pelong, Hulu Selangor, Sabak Bernam, Kanching, Krian, dan Hulu Langat.

Pada tahun 1882, Ibu Pejabat Polis Selangor dipindahkan dari Klang ke Kuala Lumpur. Pusat Pentadbiran Polis Selangor yang diketuai oleh H.C. Syers terletak di Jalan Bukit Bluff (Ibu Pejabat Polis Bukit Aman sekarang). Pasukan Polis Selangor terus berkembang pesat terutamanya pada akhir tahun 1880-an sebelum H.C. Syers berpindah ke Pahang.


Kapten H.C Syers, Ketua Polis Selangor pada tahun 1896

Pusat Latihan Polis Bluff Road (sekarang Bukit Aman) pada tahun 1920. Dua buah blok bangunan di atas bukit ialah Ibu Pejabat Polis Bukit Aman (lama) yang menjadi pusat pentadbiran polis Negeri-Negeri Melayu Bersekutu sejak tahun 1896.

Rumah Pasung (Balai Polis Lama Jugra), Kuala Langat

Rumah Pasung yang terletak di kira-kira 50 meter dari Pengkalan Batu Hampar berhampiran Bukit Jugra telah dibina oleh Kapten Harry Charles Syers, pegawai Polis British pada tahun 1878. Ketika itu, Jugra berfungsi sebagai pusat pemerintah dan pentadbiran Kesultanan Selangor. Ia dibina bagi tujuan mengawal keselamatan dan aktiviti harian penduduk setempat khasnya menahan pesalah-pesalah yang melakukan jenayah.


Pemandangan runtuhan bangunan Balai Polis Lama Jugra, Kuala Langat sebelum kerjs-kerja konservasi bangunan dibuat pada tahun 2003.

Bahan binaannya terdiri daripada batu granit yang dipotong berbentuk empat segi. Ia dilengkapi dengan lokap bagi menempatkan pesalah-pesalah yang telah dijatuhkan hukuman dan digunakan sehingga tahun 1890 apabila Penjara Pudu dibina.

Bagunan dua tingkat ini berperanan sebagai Rumah Pasung sehinggalah pentadbiran Selangor berpindah ke Klang pada tahun 1882. Rumah Pasung ini membuktikan bahawa masyarakat pada zaman pemerintahan Sultan Abdul Samad hidup di bawah pentadbiran kerajaan yang mempunyai undang-undang sebagai satu sistem keadilan. Perpindahan pemerintahan Selangor dari Jugra ke Klang menyebabkan fungi Rumah Pasung semakin berkurangan. Pada tahun 1929, sebuah balai Polis baru telah di bina di Teluk Datuk berikutan dengan ramai penduduk membuka kawasan baru di sana.


Rumah Pasung kini telah dibangunkan kembali dan dijadikan sebuah muzium


Replika uniform Ketua Polis Balai bagi Polis Persekutuan Tanah Melayu


Perisai rotan ini digunakan oleh anggota Polis Pencegahan Rusuhan sejak tahun 1948. Ia diperbuat daripada rotan asli tempatan dan dianyam seperti perisai bagi kegunaan mempertahankan diri sewaktu anggota Polis Pencegahan Rusuhan bertugas mengawal rusuhan.



Cota kayu ini digunakan oleh anggota Polis Pencegahan Rusuhan sejak tahun 1948. Ia diperbuat daripada kayu tempatan bagi mempertahankan diri sewaktu anggota Polis Pencegahan Rusuhan bertugas mengawal rusuhan.





Gari tangan jenis Hiatt buatan British. Digunakan oleh pasukan Polis mulai tahun 1955. Digunakan oleh Pasukan Polis Persekutuan Tanah Melayu termasuk Pasukan Polis Selangor.

Telefon yang digunakan oleh pasukan Polis Persekutuan Tanah Melayu termasuk pasukan Polis Selangor pada tahun 1955.

Kereta Perisai  GMC 15 CWT

CT 15A dikenali sebagai GMC adalah sebuah kereta perisai yang dugunakan oleh Polis Persekutuan Tanah Melayu untuk membawa dan mengiringi pasukan keselamatan membuat rondaan di kawasan yangterdedah kepada ancaman pengganas Komunis sekitar tahun 1948 hingga 1960 (zaman darurat). Kenderaan ini telah dibina oleh syarikat GM Motors Canada ketika Perang Dunia Kedua dan dianggarkan sebanyak 185 buah sahaja yang terdapat di seluruh Malaysia. Kenderaan pacuan empat roda ini lasak dan mudah dikendalikan di kawasan laluan yang sempit.








Stor Peluru Bukit Jugra

Bangunan ini dibina oleh pihak British sewaktu mentadbir Jugra pada akhir abad ke-19 hingga awal abd ke-20. Kedudukannya di atas Bukit Jugra memberikan ruang mudah bagi British untuk meningkatkan kawalan keselamatan jajahan pentadbirannya. Di samping itu, kedudukannya yang strategik berhampiran dengan laluan Sungai Langat  mempermudahkan lagi proses pengangkutan dan pemindahan peluru atau ubat bedil ke kawasan-kawasan yang berhampiran. Bangunan ini dibina dari batu bata bersimen dengan ketebalan satu kaki dan berukuran lapan kaki tinggi, enam kaki lebar dan sepuluh kaki panjang. Ia hanya mempunyai satu pintu masuk sahaja diperbuat daripada besi padu. Bumbung bangunannya agak melengkung bagi memudahkan pengaliran air hujan dan juga dilengkapi dengan lubang udara yang berfungsi bagi peredaran udara.

Stor Peluru di Bukit Jugra

Kedudukannya dari bangunan Balai Polis Lama Jugra (Rumah Pasung) adalah sejauh 500 meter manakala dari bangunan Pejabat Daerah Lama British adalah sejauh 300 meter sahaja. bangunan stor ini merupakan satu-satunya tempat menyimpan peluru yang pernah dijumpai setakat di kawasan Jugra dan sekitarnya. Bentuk bangunan stor peluru ini hampir menyerupai bangunan stor peluru berhampiran Kota Raja Mahadi, Klang. Perbezaannya adalah dari segi saiznya  di mana bangunan stor peluru  di Klang lebih besar dari segi ukurannya berbanding dengan stor peluru di Bukit Jugra. Luas bangunan stor peluru Bukit Jugra ini ialah 2469 meter persegi (No. Lot  624) dan telah diwartakan pada 19 November 2002 dengan nombor pewartaan P.U. (A) 492. Pada tahun 2006, Lembaga Muzium Selangor telah mengambil inisiatif memelihara bangunan ini bagi tujuan pengekalan tapak tanah bersejarah peringkat Negeri Selangor.

Stor Peluru berhampiran Kota Raja Mahadi

Sumber: Muzium Insitu Jugra



___________________________
~ Saufy Jauhary ~
Lajnah Sejarah Dan Tradisi

Comments