Mengkritik Melayu Apa yang Orang Tak Kritik

OLEH: Taufiq Tuah


Sejak zaman berzaman, orang Melayu mempunyai kemandirian diri yang hebat. Orang Melayu itu pandai mereka berinovasi samada daripada sektor ekonomi, sosial, politik dan lain-lain. Bagaimana kita melihat orang Melayu itu hebat dalam pemerintahan, agong dalam peperangan, molek dalam kehidupan sosial malah kaya dengan hasil bumi.

Namun hal ini tidak membuatkan Melayu terlepas dari kritikan. Adapun penulis sangat tertarik dengan kritikan-kritikan yang diberikan kepada orang Melayu daripada orang Melayu sendiri. Sebagaimana dalam sejarah kita melihat kaum muda sebagai pengkritik Melayu yang paling lantang. Mereka mengkritik Melayu dalam pelbagai aspek demi memperbetulkan apa yang telah tersilap (di mata mereka) untuk orang Melayu.

Begitu juga dengan kritikan mereka-mereka selepas kaum muda. Saya tertarik dengan kritikan seorang sosok tokoh iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad. Dia mengkritik Melayu dengan istilah yang terus (tanpa kias). Sehingga slogan terkenal daripada beliau ialah "Melayu Mudah Lupa" dan juga "Melayu Pemalas". Walaupun hakikatnya istilah "Melayu Pemalas" ini telah dibangkitkan sebelum beliau lagi dan telah ramai tokoh Melayu lain yang juga telah menulis buku membantah kenyataan ini.

Saya mengira ini semua ialah bentuk kritikan membangun dan tulisan balas kepada kritikan itu membuktikan yang budaya kritis di dalam masyarakat Melayu itu wujud.

Namun di sini ingin saya mengkritik perkara yang paling perlu dikritik untuk orang Melayu sejak dahulu lagi. Saya mengira saya bukan lah orang pertama yang akan membuka kritikan ini, tetapi saya menganggap saya hanga mengulang kritikan ini agar kritikan berbentuk nasihat ini akan terus berjalan dari generasi ke generasi.

Kritikan Pertama
Betapa orang Melayu sejak dahulu hingga kini masih ramai yang bermudah-mudah dengan urusan aqidah dan agama. Asbab 'Pawang' itu syirik, orang Melayu menukar istilah mereka kepada 'Ustaz Perubatan Islam' sedangkan ramai di antara mereka (bukan semua) sebenarnya menggunakan kaedah sama dengan bomoh. Jin yang bisa memasuki saluran darah Muslimin yang solat 5 waktu akhirnya terperangkap di dalam botol kosong yang ditiupkan padanya bisikan bacaan Al-Quran tanpa tajwid.

Malah ada 'ustaz perubatan Islam' ini yang kononnya menggunakan jin Islam sebagai bantu perubatan. Sedangkan segala sangkaan ini ialah tetap syirik. Bukan sekadar Syirik, tapi sebenarnya telah menunggang agama.

Bagaimana daripada sehingga kini pun masih ada melayu yang membela saka. Mencari cincin berbatu delima lalu meminta dikhadamkan cincinya. Mencari keris di kampung-kampung yang masih jelas lakar wafaknya. Buku mojarobat yang ditulis dibeli, terlupa bahawq para sahabat itu hanya "hasbunallah wani'mal wakeel" sahaja pada lidah mereka.

إِنَّ اللّهَ لاَ يَغْفِرُ أَن يُشْرَكَ بِهِ وَيَغْفِرُ مَا دُونَ ذَلِكَ لِمَن يَشَاءُ
“Sesungguhnya Allah tidak akan mengampuni dosa syirik kepada-Nya dan Dia akan mengampuni dosa lainnya yang berada di bawah tingkatannya bagi siapa saja yang dikehendaki oleh-Nya.”
(Surah An Nisaa’: 116)

Kritikan Kedua
Budaya syirik masih dilakukan oleh orang Melayu sedangkan Islam sudah sebati dalam Melayu. Adat-adat memuja dewa laut dan semangat padi segala mambang saka dan khadam. Orang Melayu lah yang mencipta segala tarian memuja ini. Tarian Makyong, Tarian Piring, Kuda Kepang dan lain-lain. Sudah jelas lagi bersuluh asal tarian-tarian ini daripada pemujaan khurafat.

Namun orang Melayu ini suka berinovasi. Mereka ingin teruskan segala tari ini. Lalu mereka kononnya buang segala jampi khurafatnya, dan hanya tinggal mereka menari sahaja.

Sedar atau tidak mereka sebenarnya sedang menarikan tarian khurafat (ritual pemujaan jin). Apakah mereka rasa dengan membuang jampinya sudah cukup untuk 'halalkan' tari tersebut? Jika bisa halal begitu, maka bakal halal lah juga ritual pemujaan Black Metal jika dibuang jampi serapahnya. Maka bakal halal jugalah memegang colok di hadapan kubur Cina jika dibuang jampi budhanya. Bakal halal juga lah terhangguk kepala di dinding Baitulmaqdis jika dibuang tauratnya.

مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ
"Barangsiapa menyerupai suatu kaum maka ia termasuk bagian dari mereka”
(HR Abu Dawud, hasan)

Kritikan Ketiga
Orang Melayu itu banyak menunggang agama. Orang Melayu itu menjual sebotol air dibacakan Surah Yasin dengan harapan pandailah anak yang meminumnya dan sihatlah tubuh badan. Sedangkan air yang sama boleh sahaja orang yang membeli itu buat sendiri. Hajatkan kepada Allah sendiri apa yang mereka hajatkan. Namun apakandaya, orang dah jual agama ini. Ada pula yang membeli.

Sebagaimana mereka yang menjual ayam yang diperdengarkan kepadanya 30 juzuk. Akhirnya semua produk Melayu itu semuanya akan berkisarkan 'Yasin' , '30 Juzuk' dan 'Ruqyah'. Itupun orang Melayu masih buta dan berhusnuzon. Sedangkan ayat Al-Quran yang suci ini telah disalah guna menjadi produk perniagaan.

وَذَرِ الَّذِينَ اتَّخَذُوا دِينَهُمْ لَعِبًا وَلَهْوًا وَغَرَّتْهُمُ الْحَيَاةُ الدُّنْيَا
“Dan jauhkanlah diri dari orang-orang yang menjadikan agama mereka sebagai permainan dan hiburan dan mereka pula telah diperdayakan oleh kehidupan dunia”.
(Surah al-An’am; 70)

Kritikan Keempat
Orang Melayu itu mudah mengatakan "itu ajaran Islam" sedangkan tiada di dalam Al-Quran dan Hadis sahih. Orang Melayu ada yang mengamalkan melenggang perut dan mereka kata "ini perbuatan Islam". Sedangakan itu adat yang tiada asasnya dari Rasulullah Salallahualaihiwasalam.

Orang Melayu lah yang mencipta tahyul mahyul lalu mengatakan "ini dari hadis nabi" sedangkan tidak ada pun hal itu daripada hadis nabi. Sehingga terkenal lah hadis palsu "Belajar lah sampai ke negeri China". Sehingga terkenal lah hadis palsu "Sesiapa yang banyak bertanya maka lemah lah imannya".

Akhirnya ibadah-ibadah baharu muncul dan disandarkan kepada Rasulullah secara dusta.

إِنَّ كَذِبًا عَلَىَّ لَيْسَ كَكَذِبٍ عَلَى أَحَدٍ ، مَنْ كَذَبَ عَلَىَّ مُتَعَمِّدًا فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنَ النَّارِ
“Sesungguhnya berdusta atas namaku tidaklah sama dengan berdusta pada selainku. Barangsiapa yang berdusta atas namaku secara sengaja, maka hendaklah dia menempati tempat duduknya di neraka.”
(HR. Bukhari no. 1291 dan Muslim no. 4).

Maka ini lah serba sedikit kritikan yang orang Melayu perlu untuk perhalusi. Inilah kritikan yang sangat perlu untuk Melayu fahami. Agar Melayu itu menjadi bangsa yang membela agamanya. Bukan bangsa yang meratah agamanya. Ini lah kritikan yang perlu sangat ditekan dari zaman berzaman. Wallahualam.

___________________________
Taufiq Tuah 

Comments