OLEH: Saufy Jauhary
Perempuan Melayu terkenal dengan sikap lemah lembut dan sopan santun sama ada dalam tutur kata dan lenggang lengguk mereka. Namun begitu dalam di antara ramai perempuan Melayu terdapat juga yang telah menjadi seorang srikandi. Dalam Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka, maksud srikandi ialah pertama, Isteri Arjuna yang gagah berani. Maksud kedua, wanita yang gagah berani atau pahlawan wanita. Dalam sejarah Alam Melayu telah dicatatkan bahawa terdapat wanita-wanita yang gagah berani, malah kegagahan dan keberanian mereka mengatasi kaum lelaki. Di dalam artikel ini saya akan dedahkan tiga orang srikandi yang menempa nama dalam sejarah tentang kepahlawanan mereka.1) URDUJA
Dalam pengembaraan Ibnu Battutah iaitu pengembara Arab yang terkenal, beliau dicatatkan telah singgah di nusantara di antara tahun 1332 hingga 1346 Masihi. Ketika beliau singgah di sebuah negeri bernama Tawalisi, beliau telah berjumpa dengan seorang puteri raja yang gagah berani. Tawalisi adalah sebuah negeri bukan Islam (Kafir) yang dikatakan terletak di Kepulauan Sulu. Namun terdapat pendapat yang menyatakan bahawa Tawalisi adalah negeri Kelantan. Oleh itu sama ada di Kepulauan Sulu atau Kelantan, negeri Tawalisi adalah negeri Melayu.
Puteri Raja yang bernama Urduja itu mempunyai keunikan tersendiri iaitu pandai bertutur dalam bahasa Turki malah pandai menulis Arab. Ketika berlaku peperangan, Puteri Urduja sendiri turun ke medan perang dan bertarung dengan orang-orang lelaki. Malah baginda dapat memenggal kepala raja musuhnya itu. Ibnu Battutah menceritakan di dalam kitab pengembaraannya yang terkenal iaitu Rihlah Ibn Battutah al-Musammah Tuhfah al-Nuzzar fi Ghara’ib al-Amsar wa ‘Aja’ib al-Asfar:-
Kami seterusnya tiba di negeri Tawalisi dan rajanya juga bernama Tawalisi. Ia merupakan sebuah negeri yang luas dan rajanya sama seperti raja China. Baginda memiliki jong yang banyak dan digunakan untuk memerangi penduduk China sehinggalah mereka memohon pendamaian daripada baginda, dengan syarat-syarat yang tertentu.
Penduduk negeri Tawalisi ialah penyembah berhala dan memiliki rupa paras yang menawan. Mereka menyerupai orang Turki dari segi bentuk dan raut wajah. Selain itu, pada kulit mereka terdapat tompok merah. Mereka juga merupakan orang yang berani dan gagah. Kaum wanita mereka menunggang kuda dan pandai memanah di samping turut berperang, sama seperti lelaki. Kami singgah di salah sebuah pelabuhan mereka di Kailukari yang merupakan kota mereka yang paling cantik dan paling besar. Di situlah juga putera raja mereka tinggal. Apabila kami berlabuh di pelabuhan, tentera mereka pun datang. Nakhoda kapal turun menemui mereka dan membawa bersama-sama dengannya hadiah untuk putera raja. Apabila nakhoda bertanya tentang putera raja kepada mereka, mereka pun memberitahu beliau bahawa ayahandanya melantik putera tersebut sebagai pemerintah di tempat yang lain dan melantik puteri baginda yang bernama Urduja sebagai pemerintah kota itu.
Pada hari kedua ketibaan kami di Pelabuhan Kailukari, puteri itu menjemput nakhuzah iaitu nakhoda yang juga pemilik kapal, karani iaitu jurutulis, saudagar dan pembesar-pembesar disamping tandil iaitu panglima tentera berjalan kaki serta sabah salar iaitu panglima kumpulan pemanah untuk menghadiri jamuan yang disediakan untuk mereka, mengikut adatnya. Nakhoda kapal mahu supaya aku turut hadir bersama-sama dengannya tetapi aku enggan kerana mereka ialah orang kafir dan aku tidak boleh memakan makanan mereka. Apabila semua orang tiba di sisi baginda, puteri itu pun bertanya kepada mereka, “Adakah sesiapa lagi antara kamu yang tidak hadir?” Nakhoda pun manjawab, “Yang tinggal hanyalah seorang lelaki iaitu seorang bakhsyi (yang bermaksud ‘Kadi’ dalam bahasa tempatan). Beliau tidak memakan makanan penduduk di sini.” Puteri Urduja pun bertitah, “Panggillah dia ke mari!” Pengawal-pengawal puteri pun datang bersama-sama dengan rakan-rakan nakhoda kepadaku dan berkata, “Penuhilah jemputan tuan puteri.” Oleh itu, aku pun menemui Puteri Urduja yang sedang meraikan majlisnya yang meriah dan hebat.
Di hadapan Puteri Urduja, ada wanita-wanita yang memegang tali kekang dan mereka merentangkannya untuk baginda. Sementara di sekeliling baginda pula ada kaum wanita yang duduk dan mereka ialah wazir-wazir wanita. Mereka duduk di bawah katil iaitu di atas kerusi yang diperbuat daripada cendana. Seterusnya di hadapan Puteri Urduja ada kaum lelaki. Tempat duduk Puteri Urduja dihampari oleh sutera dan di atasnya digantungkan tirai daripada sutera. Sementara kayunya pula ialah cendana dan terdapat juga kepingan emas di atas tempat duduk tersebut. Selain itu, ada juga bangku-bangku kayu yang berukir, di atasnya terdapat banyak perkakas yang diperbuat daripada emas dan bersaiz besar serta kecil seperti teko, perhiasan-perhiasan kecil selain cawan. Nakhoda memberitahuku bahawa ia dipenuhi oleh sejenis minuman yang dibuat daripada gula dan dicampur dengan herba. Orang ramai meminumnya selepas makan dan ia berbau harum serta manis rasanya. Di samping itu, minuman tersebut juga menyegarkan tubuh, mengharumkan bau nafas, menghadamkan makanan dan membantu hubungan jenis.
Apabila aku mengucapkan salam kepada puteri, baginda bertitah dalam bahasa Turki, “Hasan misan yakhsya misan (khusymisan yakhsyimisan),” yang bermaksud, “Apa khabar dan bagaimana keadaan kamu?” Baginda mendudukkanku berhampiran dengannya. Puteri Urduja juga pandai menulis tulisan Arab. Baginda bertitah kepada salah seorang khadamnya, “Dawat wabitka katuz.” Katuz bermaksud ‘dakwat’ dan ‘kertas’. Dakwat dan kertas pun dibawa kepada baginda dan aku menulis, “Bismillahirrahmanirrahim.” Puteri Urduja lantas bertanya, “Apakah ini?” Aku pun memaklumkan kepada baginda, “Tandarinam,” dan ia bermaksud ‘nama Allah’. “Baginda bertitah pula, “Khasyan,” yang bermaksud ‘baik’. Kemudian puteri bertanya kepadaku, “Dari mana kamu datang?” Aku pun memberitahunya, “Dari negeri India.” Baginda bertanya lagi, “Negeri lada hitam?” Jawabku, “Ya, tuanku!” Seterusnya baginda bertanya kepadaku tentang negeri itu dan kisah-kisahnya. Aku pun menceritakan semuanya. Kemudian Puteri Urduja bertitah, “Beta mesti memerangi negeri tersebut dan menjadikannya sebagai milik beta kerana sesungguhnya beta berasa kagum dengan harta serta tenteranya yang banyak.” Aku pun berkata kepadanya, “Lakukanlah, tuanku!” Seterusnya Puteri Urduja memerintahkan supaya aku dikurniai baju, beras sebanyak dua muatan yang dipikul oleh gajah, dua ekor kerbau, sepuluh ekor kambing, empat ratl air mawar dan empat martaban iaitu jag besar yang dipenuhi oleh halia, lada, limau, serta mangga. Semuanya telah diasinkan dan ini adalah antara barang yang disediakan untuk berlayar.
Nakhoda kapal memberitahuku bahawa Puteri Urduja mempunyai kumpulan wanita, khadam perempuan dan jariah-jariah yang berperang seperti kaum lelaki dalam pasukan tenteranya. Baginda sendiri keluar dengan pasukan tentera itu yang terdiri daripada kaum lelaki dan wanita lalu melancarkan serangan ke atas musuh baginda. Baginda turut terlibat dalam pertarungan antara seorang dengan seorang, bersama-sama dengan pahlawan. Nakhoda juga turut memberitahuku bahawa peperangan yang sengit telah berlaku antara puteri tersebut dengan beberapa orang musuhnya dan banyak tentera yang terkorban. Mereka hampir-hampir tewas lalu baginda mara sendiri ke barisan hadapan dan menembusi barisan tentera. Akhirnya baginda tiba di sisi raja yang diperanginya. Puteri Urduja lantas melontarkan lembing yang menyebabkan raja tersebut terbunuh dan tenteranya raja itu tertewas. Kemudian Puteri Urduja membawa pulang kepala raja tersebut dengan hujung lembing dan kerabat baginda telah melucutkan dari lembing itu dengan nilai harga yang tinggi.
Setelah Puteri Urduja pulang ke pangkuan ayahandanya, baginda dilantik oleh ayahandanya sebagai pemerintah di kota yang sebelumnya berada di bawah kekuasaan saudara lelakinya. Nakhoda turut memberitahuku bahawa ada antara putera raja yang melamar Puteri Urduja tetapi baginda bertitah, “Beta tidak akan berkahwin melainkan dengan seseorang yang dapat bertarung dengan beta dan menewaskan beta.” Mereka tidak menyahut cabaran untuk bertarung dengan baginda kerana takut akan kecelakaan yang akan menimpa diri seandainya baginda dapat menewaskan mereka.
2) TUN FATIMAH
Tun Fatimah adalah anak perempuan Bendahara Melaka iaitu Bendahara Seri Maharaja Tun Mutahir. Selain itu baginda adalah permaisuri Melaka, isteri kepada Sultan Mahmud Syah. Kisah permulaan Tun Fatimah sangat tragis. Pada mulanya baginda dinikahkan oleh bapanya dengan Tun Ali, anak Seri Nara Diraja. Namun setelah itu telah berlaku fitnah ke atas keluarga baginda hingga ayahandanya Bendahara Tun Mutahir, Suaminya dan adik beradik lelakinya dihukum bunuh semuanya oleh Sultan Mahmud.
Setelah peristiwa tersebut, baginda dinikahi oleh Sultan Mahmud Syah dan ditabalkan menjadi Permaisuri Melaka. Kisah kemunculan baginda sebagai seorang srikandi adalah ketika Melaka telah jatuh ke tangan Portugis.
Cerita-cerita rakyat Pelalawan (Kampar), yang diwariskan turun temurun dari generasi ke generasi memperlihatkan ketokohan Tun Fatimah dan suaminya iaitu Sultan Mahmud dalam perjuangan mereka merebut kembali Melaka dan menghalau penjajah Portugis dari bumi Melayu. Mereka berdua sebagai pemimpin dengan segala kebolehan menarik minat dan menaikkan semangat orang Melayu agar pantang menyerah serta terus menerus berjuang melawan Portugis. Bahkan baginda Sultan Mahmud dan Tun Fatimah turut bekerja membantu dan mengawasi kubu-kubu pertahanan yang dibangunkan di beberapa tempat di aliran Sungai Kampar, dalam wilayah kerajaan Pekan Tua, Kampar. Dengan demikian, Sultan Mahmud Syah menunjukkan keteguhan hati dalam melawan Portugis, dan Tun Fatimah menampilkan sosok dirinya sehingga baginda digelar “Cik Puan Seri Kampar” oleh rakyat Pekan Tua Kampar yang menjadi lagenda hingga sekarang.
Bertahun-tahun lamanya Sultan Mahmud Syah dan Tun Fatimah mengabdikan diri membela bumi Melayu walaupun selalu dalam ancaman Portugis. Upaya itu antara lain dibuktikan dengan membangunkan kubu (tembok) di Kota Kara dan Kopak di Pulau Bintan, serta kubu-kubu lainnya di beberapa tempat di Pekan Tua Kampar, yang menjadi markas dan tempat menempa semangat juang orang-orang Melayu beserta segala pendukungnya melawan Portugis. Di antaranya adalah kubu Pengkalan Panduk, kubu Bandar Nasi-nasi, kubu Pengkalan Melaka (sebagai benteng terakhir di Kampar). Di Kubu Pengkalan Melaka inilah Sultan Mahmud Syah dan Tun Fatimah mengucapkan sumpah setia untuk berjuang merebut Melaka dan mengangkat maruah Melayu. Bahkan sumber tempatan meriwayatkan, di kubu ini Sultan Mahmud dan Tun Fatimah mengingatkan puteranya Raja Ali (yang kelak menjadi Raja Pekan Tua bergelar Sultan Alauddin Riayat Syah). Sejauhmana tekad baginda Sultan Mahmud dan Permaisuri Tun Fatimah untuk melanjutkan peperangan, dapat disemak dari pantun yang diucapkan mereka:
Pulau Sarap Pulau Sejugi,
Ketiga dengan Pulau Pinang,
Walaupun lesap Mahkota kami,
Maruah Melayu takkan hilang.
Sebahagian penutur cerita rakyat (lazimnya disebut “Hikayat Sultan Mahmud dan Tun Fatimah”) menyatakan bahawa pantun ini adalah pantun dari Tun Fatimah kemudian diucapkan oleh Sultan Mahmud Syah. Jelasnya pantun ini mencerminkan sikap pantang menyerah dan sikap pahlawan sejati yang kukuh menjunjung maruah dan martabat Melayu. Bahkan masih banyak pantun-pantun lainnya yang dijadikan kenangan oleh rakyat Pelalawan, yang lazimnya disebut “Pantun Sultan Mahmud” atau “Pantun Tun Fatimah Cik Puan Seri Kampar”. Di antara pantun-pantun yang dimaksudkan ialah:-
Dari Melaka ke Kuala Linggi,
Duduk berhenti melepas lelah,
Daripada menyembah orang Peringgi,
Eloklah mati berkalang tanah.
Walau rumput sudah menjalar,
Dahan kayu bercabang juga,
Walau laut sudah terbakar,
Sampan Melayu berlayar juga.
Batang nangka batang bergetah,
Buahnya besar bercabang tinggi,
Orang Melaka pantang menyerah,
Orang Kampar berpantang lari.
Walaupun rumput mati terlapah,
Uratnya tidak mahu tenggelam,
Walaupun laut menjadi darah,
Semangat Melayu tidakkan padam.
Pantun-pantun ini dahulu selalu dituturkan di dalam pertemuan-pertemuan adat atau di dalam kegiatan upacara adat di kalangan masyarakat Pelalawan. Kisah-kisah mengenai kepahlawanan Sultan Mahmud dan Tun Fatimah, dituturkan mulai dari istana Kesultanan Pelalawan sampai ke rumah-rumah rakyat. Dengan demikian, pantun dan kisah-kisah dimaksudkan kekal menjadi warisan turun-temurun.
Di dalam berbagai kisah rakyat Pelalawan, keagungan dan keutamaan Tun Fatimah banyak diperkatakan. Baginda bukan sahaja dianggap sebagai isteri yang setia, tetapi juga sebagai seorang yang berpendirian teguh, berpandangan jauh, berani dan tabah dalam menanggung derita. Ketokohan baginda menjadi suri tauladan bagi rakyat dan generasi berikutnya, dan kisahnya tetap dituturkan selama ratusan tahun.
Dalam kisah rakyat Pelalawan Riau, Tun Fatimah bertitah:
“….Walaupun hamba seorang perempuan, tetapi bukanlah tempat hamba di dapur, sebab di dalam berperang kaum perempuan pun mengangkat keris dan pedang. Barangsiapa di antara rakyat Melaka dan Kampar merasa dirinya orang Melayu, marilah bersama baginda merempuh supaya tidak dicerca anak cucu kita dikemudian hari. Barangsiapa merasa dirinya orang Melayu marilah kita balaskan sakit hati keluarga kita yang tewas, marilah kita berbulat hati menghadapi orang-orang kafir durjana itu….”
Selanjutnya Tun Fatimah menitahkan lagi:
“……barangsiapa merasa kaumnya diinjak Peringgi, yang merasa anak lakinya diperhina orang, Marilah bersama-sama menuntut bela untuk menghapus arang di kening….”
Dalam bahagian lain kisah rakyat Riau, dinyatakan:
“…..maka Cik Puan pun berangkat ke Kubu Pangkalan Melaka bersama baginda beserta sekalian hulubalang dan hamba rakyat Melaka dan rakyat Kampar, berduyun-duyun bagaikan anai-anai bubus dengan tempik dan soraknya. Maka Cik Puan pun puas hatinya kerana melihat orang Melaka dan orang Kampar seiya sekata, sehingga baginda pun tersenyum pula memandang kerukunan rakyatnya itu….”
Dorongan semangat yang tekad dan kuat dari Tun Fatimah menciptakan semangat Melayu yang terus marak, menumbuhkan rasa “senasib sepenanggungan”, “seaib dan semalu” antara sesama orang Melayu dari Melaka hingga Kampar, yang kemudian melebar sampai ke kawasan Melayu lainnya di Sumatera. Tertanamnya “semangat Melayu” itu menyebabkan orang-orang Melayu ingin merebut kembali Negeri Melaka dan mempertahankan kemerdekaannya. Setelah melalui perjalanan panjangnya melawan penjajahan Portugis baik ketika suaminya iaitu Sultan Mahmud Syah masih hidup mahupun sesudah mangkat, Tun Fatimah yang bergelar Cik Puan Seri Kampar itu akhirnya mangkat di Pekan Tua, Kampar. Baginda dimakamkan di sebelah makam suami baginda.
Menurut Tennas Effendi, sasterawan Melayu dari Sumatera (1936 – 2015) bahawa orang-orang tua yang merupakan bekas kerajaan Pelalawan (Pekan Tua Kampar) selalu mengingatkan bahawa Tun Fatimah adalah teladan yang patut dan layak diteladani, kerana ketabahan dan ketelusan hatinya dalam berjuang serta pengorbanan yang luar biasa untuk menegakkan maruah Melayu.
3) CIK PUTIH
Pada tahun 1868 hingga 1873 telah berlaku Perang Saudara di Selangor. Perang ini asalnya bermula di Klang antara Raja Mahadi dan Raja Abdullah kemudian melarat hingga ke seluruh daerah di Selangor termasuk Kuala Lumpur. Setelah Raja Abdullah meninggal dunia, muncul Tengku Kudin yang merupakan menantu kepada Sultan Selangor dengan cita-cita untuk mengembalikan keamanan di negeri Selangor.
Oleh itu berperang pula Raja Mahadi dengan Tengku Kudin. Ketika peperangan di Kuala Lumpur inilah, di Ampang muncul seorang Srikandi bernama Cik Putih yang tiba-tiba menjadi Imam Perang untuk menentang tentera-tentera Pahang yang di bawah perintah Tengku Kudin. Hal ini diceritakan oleh Haji Abdullah Hukum yang menyaksikan peristiwa tersebut. Pada ketika itu blok tentera Raja Mahadi di Ampang diketuai oleh Tengku Mahmud. Manakala bagi blok Tengku Kudin pula diketuai oleh Raja Layang. Haji Abdullah Hukum menceritakan di dalam riwayatnya yang dinamakan Riwayat Kuala Lumpur:
Apabila Tengku Mahmud undur atau lari balik ke Kuala Lumpur dari Ampang maka orang Pahang pun mendesak dan Kuala Lumpur pun terkepung pula. Orang Pahang berjaga dan bertunggu di dalam hutan sekeliling Kuala Lumpur dan ketika itu Raja Layang orang Minangkabau yang tersebut lari dari Kajang ke Rekoh itu telah tiba pula mengambil bahagian memerangi Kuala Lumpur di sebelah orang Pahang.
Raja layang itu balik, banyak membawa bala tentera dan kawan-kawannya, semua orang Minangkabau belaka. Pahlawan-pahlawan yang terbilang gagah perkasa ialah Pahlawan Tuan Syeikh Muhammad Taib, Pahlawan Tuan Syeikh Muhammad Ali, Haji Kecik, Imam Perang Mat Aris, Khatib Raja dan Ginti Ali.
Pahlawan kedua-dua belah pihaknya hampir-hampir tiap-tiap hari bertempik meminta lawan tetapi tidak pernah berjuang betul-betul sebab berjauh-jauhan kerana langkah perang masa itu kebanyakannya hendap-menghendap atau ganti henti-menghenti sahaja dan yang terpencil atau alpa nescaya kena jadi penggilap mata keris musuh ataupun jika berani melanggar kubu atau orang yang di dalam kubu berani keluar menyerang baharulah berguna segala silat pencak pendekar dan masa itulah jua berguna ilmu kebal serta kegagahan segala panglima.
Begitulah perang-perang hendap-menghendap itu berjalan lama, kata yang bercetera, iaitu Tuan haji Abdullah Hukum, bertahun juga pada masa Kuala Lumpur itu terkepung orang dalam Kuala Lumpur tersangat susah sebab makatan (makanan) kurang, nasi dianduk dengan umbut dan mempulur itu pun syukur kalau dapat akhirnya hampir-hampir semua orang merasa lemas bagai tikus dalam perangkap.
Syahdan pada suatu hari sebaik-baik matahari akan condong ke sebelah Maghrib dengan tiba-tiba semua orang telah menjadi gempar manakala seorang perempuan muda berumur hanya kira-kira 20 tahun bernama Cik Putih sementelah pula dia cantik putih bagi namanya isteri bagi Raja Asal (seorang kepala Jawa) telah berseru di hadapan orang ramai dengan suara yang merdu bunyinya katanya, “Hai sekalian hulubalang! Apa fikiran kamu sekalian? Kita nampaknya hampir tewas, makanan pun tinggal sedikit dan orang kita banyak yang telah mati. Jika kita bertahan begini sahaja tentulah kita seolah-olah memeram batu. Sebab itu izinkanlah saya keluar mengambil bahagian berperang. Saya redha mengorbankan nyawa saya hatta jika saya akan bertemu dengan maut sekalipun.”
Apabila mendengar perkataan itu maka hulubalang sekalian kedengaran bertempik mengatakan, “Jangan encik keluar, selagi ada hayat kami biarlah kami mati dahulu.”
Kemudian daripada itu terjadilah cakap-cakap di antara satu sama lain sampai riuh bunyinya serata kubu. Dengan sekonyong-konyong kira-kira pukul tiga petang hari itu Cik Putih tadi telah kelihatan sedia akan menjadi Imam Perang. Dia memakai seluar Acheh belang merah hitam, berbaju sutera tangan pendek, rambutnya terhurai sampai ke betis, bertanjak telepok benang mas dan tampannya pun telah menjadi hebat umpama emas permata intan lebih-lebih lagi oleh kerana senjatanya pedang dan keris serta dengan selaras senapang.
Oleh kerana kehebatan itu maka suaranya pun menggegar mengandungi perangsang. Katanya, “Hai hulubalang sekalian, berserahlah kita kepada Allah dan ikutlah saya!” Dia pun berjalan keluar kubu diiringkan oleh sekalian hulubalang dengan segala tempik sorak yang gempita bunyinya menuju tempat orang Pahang dan Raja Layang, iaitu di tepi hutan Bukit Timbalan (sekarang Weld Hill namanya).
Apabila dilihat oleh musuh maka mereka pun keluar menyonsong. Apalagi bertemulah di situ buku dengan ruas, berperang tidak berkubu dan tidak menghendap-hendap melainkan berhadapan ganti tetak-menetak dan pancung-memancung dan disitulah silat pencak kedua-dua pihaknya berjuang mana yang kena undur atau terbaring di situ hingga sampai kira-kira pukul enam petang baharu bersuak.
Maksud keluar menyerang ini ialah langkah hendak menewaskan musuh. Apabila perang ini bersuak ertinya musuh tidak tewas sungguhpun orang Pahang dan orang Raja layang balik ke tempatnya dan Cik Putih balik ke kubunya tetapi apa yang dimaksud telah menjadi hampa kerana musuh masih kuat dan kubunya tak dapat ditawan. Sebaliknya pihak Cik Putih telah merasa gentar kalau-kalau diserang oleh musuh pada masa itu tentu sahaja akan tewas sebabnya yang besar sekali kurang makanan. Suatu mesyuarat telah diadakan malam itu kerana mencari fikiran dan semua halnya telah ditampi teras dan didapati kebimbangan kerana kekuatan musuh. Keputusan mesyuarat ialah “undur”.
SUMBER RUJUKAN
1) Pengembaraan Ibnu Battutah Jilid 2, terbitan IKIM, cetakan 2014.
2) Sulalatus Salatin Sejarah Melayu, Diselenggarakan oleh A. Samad Ahmad, terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, cetakan 2015.
3) Kisah Melaka 1511, terbitan IKSEP, cetakan 2006.
4) Kuala Lumpur Dari Perspektif Haji Abdullah Hukum, terbitan Berita Publishing Sdn. Bhd, cetakan 1997.
___________________________
Saufy Jauhary
Lajnah Sejarah & Tradisi PENA
Telegram: https://t.me/revolusimelayubaru
Instagram: https://www.instagram.com/revolusimelayubaru
_____________________________
Comments
Post a Comment