Nama Kunyah Di Dalam Budaya Melayu

OLEH: Taufiq Tuah

Nama kunyah ialah nama yang dimulai dengan perkataan 'Abu' atau 'Ummu'. Lebih membawa makna mudah ialah 'Ayah kepada' atau 'ibu kepada'. Kemudian disandarkan pula dengan nama anak sulung ataupun anak kesayangannya. Kadang-kala hanya disandarkan kepada apa sahaja yang disayanginya. Bermakna tidak semestinya disandarkan kepada anak. Budaya ini memang banyak digunakan oleh orang Arab kerana nama persis ini memberi makna penghormatan.

Di dalam budaya kita, penggunaan seperti ini tidak dijadikan sebagai nama samaran. Banyak di antara orang Melayu sendiri mempunyai nama samaran yang sangat berbeza daripada nama asal, tanpa ada menyelitkan apa-apa tanda suku atau keturunan. Malah nama samaran kita kebanyakannya berubah mengikut tempat dan zaman. Misalnya Hang Tuah yang pada akhir umurnya digelar Pak Tua. Juga seperti Tok Janggut dan Tok Gajah yang sebenarnya ada nama asalnya sendiri yang sangat jauh bezanya dengan nama samaran.

Namun kita juga menggunakan nama kunyah secara tidak sedar dan selalunya melibatkan orang yang dekat dengan kita. Di sini diberikan misal yang panjang,

Salman mempunyai 3 orang anak. Sulung bernama Azman, tengah bernama Arif dan bongsu bernama Aiman.  Apabila Salman menjadi perbualan kawan-kawan anaknya, kebiasaannya Salman akan digelar 'Bapak Azman' . Kadang kala juga disandarkan juga kepada anak-anak lain seperti 'Bapak Arif' atau 'Bapak Aiman'. Ini ialah contoh-contoh kegunaan nama kunyah di dalam masyarakat kita tetapi tidak lah menjadi nama samaran rasmi. Hanya menjadi nama panggilan sementara apabila Salman menjadi bahan bualan. Namun apabila kawan-kawan anak mereka berhadapan dengan Salman, mereka akan tetap memanggil Salman sebagai 'Pakcik'. Hal ini kerana bagi budaya kita, menyebut 'pakcik' ialah lebih dihormati berbanding memanggil 'Bapak Azman'.

Namun tidak dapat dinafikan bahawa budaya nama kunyah ini ialah sunnah Rasulullah SAW dan juga sunnah para sahabat. Malah Rasulullah SAW sendiri ada nama kunyahnya dan tidak memberi orang lain mengambil nama kunyahnya seperti hadis,


سَمُّوْا باسمي ولا تَكَنَّوْا بكنيتي ، فإني أنا أبو القاس

“Silakan memberi nama dengan namaku, namun jangan berkunyah dengan kunyah ku. Kunyah ku adalah Abul Qasim” (HR. Bukhari 3114, Muslim 2133)

Maka kita dapat kenali bahawa nama kunyah kepada Rasulullah SAW ialah Abul Qasim. Malah, ramai para sahabat yang menggunakan nama kunyaj sehingga kadang-kala kita hanya mengetahui nama kunyah mereka tanpa mengetahui nama asal mereka.

Misalnya Abu Bakr yang tidak ramai mengenali nama baginda ialah  Abdillah Bin Abu Quhafah. Abu Hurairah pula ialah bernama Abdurrahman Bin Sakhr (terdapat khilaf tentang nama sebenar baginda).

Oleh itu nama kunyah menjadi sunnah kepada Rasulullah SAW juga para sahabat. Tidak menjadi kesalahan kepada kita untuk mencipta nama kunyah kita sendiri dan menggunakan nama tersebut.

Wallahualam



___________________________
       Taufiq Tuah
       ~
Lajnah Makalah Agama
_____________________________



Comments