OLEH: Haziq Azhar
Kesultanan Langkat merupakan salah satu kerajaan monarki Melayu yang terletak di Sumatera Timur. Kesultanan Langkat diasaskan oleh Dewa Shahdan yang dikatakan Putera Kerajaan Aru pada 1540. Baginda melarikan diri selepas penyerangan Aceh keatas Aru lalu menubuhkan Kerajaan Langkat. Selepas itu, kepimpinan Kerajaan Langkat digantikan oleh Dewa Sakti, putera kepada Dewa Shahdan.
Kesultanan Langkat pada suatu ketika dahulu terkenal dengan kemakmuran ekonomi dan salah satu kerajaan yang paling terkaya di Sumatera Timur. Selain itu, Kesultanan Langkat juga berstatus “Lange Politiek Contract” dimana polisi ekonomi dan luar ditentukan oleh Hindia Belanda (V.O.C). Namun, para Sultan yang memerintah kerajaan masing – masing masih lagi berkuasa. Wilayah kekuasaan Kesultanan Langkat meliputi Pulau Kompei, Besitang, Lepan, Babalan dan Pulau Sembilan.
Seperti yang kita ketahui, Sultan merupakan ketua kerajaan dan pemerintah yang tertinggi dalam hierarki Kesultanan Langkat. Manakala, Luhak merupakan Majlis Menteri yang dipimpin oleh Pangeran. Selepas itu, Kejeruan dipimpin oleh Datuk bertanggungjawab kepada Luhak. Peringkat pentadbiran terbawah sekali adalah Penghulu. Sultan Langkat mencontohi cara pentadbiran Kesultanan Siak Inderapura dimana susunan Lembaga Datuk Berempat.
Kesultanan Langkat mempunyai undang – undang berdasarkan hukum syariat Islam dan adat – istiadat kaum Melayu. Oleh kerana Kesultanan Langkat dibawah Hindia Belanda, Kesultanan Langkat hanya mencampuri urusan yang berkaitan kesalahan berkaitan dengan adat dan tidak membayar cukai. Manakala, jenayah – jenayah seperti membunuh, mencuri dan merompak diuruskan oleh Hindia Belanda. Didalam undang – undang Kesultanan Langkat juga memperuntukkan hak keistimewaan orang Melayu yang selaku kaum pribumi asli dimana mereka menerima nikmat dan hak seperti melarang kaum Melayu bekerja sebagai kuli di ladang dan bantuan – bantuan seperti beras, duit, minyak dan geran pemilikan tanah untuk tujuan komersial perladangan daripada Sultan Langkat kepada kaum Melayu.
Kesultanan Langkat juga amat menjadi tempat tumpuan para ulama untuk menyebarkan dakwah agama Islam. Syekh Abdul Wahab Rokan merupakan tokoh ulama besar Kesultanan Langkat yang bertanggungjawab menasihati Sultan Langkat yang berkaitan dengan hal ehwal agama. Selain itu, Syekh Abdul Wahab Rokan juga antara tokoh yang bertanggungjawab menyebarkan ajaran tarekat Naqsyabandiyyah di Langkat.
Tengku Amir Hamzah
Kesultanan Langkat mencapai zaman kegemilangan dibawah pemerintah Sultan Abdul Aziz. Seri Paduka Baginda Sultan merupakan putera kepada Sultan Musa dan Tengku Maslurah. Sultan Abdul Aziz terkenal dengan sifat yang bijaksana, wibawa dan amat menitik berat hal ehwal rakyat jelata. Kemasyhuran Sultan Abdul Aziz amat terkenal sehingga ke Pulau Jawa. Jadi, tidak menghairankanlah kenapa Kesultanan Langkat menjadi tumpuan masyarakat Jawa untuk bermukim di Kesultanan Langkat.
Sultan Abdul Aziz amat mementingkan pendidikan kepada rakyat. Oleh itu, Baginda Sultan membina Masjid Azizi yang bukan sahaja untuk beribadah tetapi juga menjadi pusat pendidikan Islam. Sultan Abdul Aziz juga membina sekolah yang mengikut acuan pendidikan Barat kepada rakyat iaitu Hollandsch Inlandsche Schools, dimana sekolah tersebut hasil kerjasama dengan pihak Belanda. Oleh itu, tidak menghairankanlah kenapa Kesultanan Langkat mampu melahirkan tokoh – tokoh ilmuwan seperti Syekh Abdul Wahab Rokan dan Tengku Amir Hamzah.
Masjid Azizi
Pada tahun 1946, Kesultanan Langkat antara kerajaan – kerajaan monarki yang menerima nasib yang paling tragis dimana beberapa kerabat diraja Langkat dan bangsawan Melayu ditangkap dan dibunuh. Parti Komunis Indonesia telah menghasut rakyat agar bangkit menentang Sultan dan para feudal. Oleh itu, semasa revolusi sosial berlaku, keadaan yang begitu kecoh dan anarki di negeri Langkat. Peristiwa yang paling tragis sekali berlaku adalah tragis pemerkosaan keatas Puteri Sultan Langkat dan pembunuhan Tengku Amir Hamzah yang tragis, seorang kerabat diraja dan penyair Indonesia yang terkenal. Istana Sultan Langkat juga turut dibakar oleh pihak komunis. Setelah itu, Kesultanan Langkat telah menjadi sebahagian daripada Republik Indonesia sehingga sekarang dan entiti Kesultanan Langkat hanya kekal menjadi Lembaga Adat dan Kebudayaan masyarakat Melayu Langat.
Rujukan:
Purnawibowo, S. (2018). Perspektif Perdagangan Maritim di Selat Malaka Berdasarkan Data Baru Hasil Observasi di Situs Pulau Kompei. Berkala Arkeologi Sangkhakala, 13(26), 262-273.
Saragi, D. R. (2016). REVOLUSI SOSIAL DI KESULTANAN LANGKAT TAHUN 1946 (Doctoral dissertation, UNIMED).
Kurnia, R. D. (2015). SISTEM PEMERINTAHAN KESULTANAN LANGKAT. Journal Analytica Islamica, 4(1), 155-166.
Windari, S. (2017). Kesultanan Langkat Di Sumatera Utara Pada Masa Sultan Abdul Aziz (1897-1927 M). JUSPI (Jurnal Sejarah Peradaban Islam), 1(1), 29-47.
___________________________
~ Haziq Azhar ~
Lajnah Makalah Sejarah
Telegram: https://t.me/gerakanpenamy
Instagram: https://www.instagram.com/gerakanpenamy
_____________________________
Dapatkan buku Menangkis Fitnah Yang Terpalit Pada Bani Umayyah! Untuk keterangan lanjut sila KLIK DI SINI .
Comments
Post a Comment