Keunggulan Keris Dari Alam Melayu

OLEH: Abu Amru Radzi Othman

Keris adalah senjata peribadi umat Melayu. Ia bukanlah senjata bertempur yang utama, melainkan jika semua senjata telah tiada.

Penciptaan keris sangat rumit dan penuh seni. Malah seninya sangat halus. Pada bilahnya sahaja ada sekitar 20 bahagian yang perlu dibentuk semacam tulang keris, mata keris, kepala cicak, ekor cicak, belalai gajah, lidah gajah, lambai gajah, kepak gajah, kambing kachang, duri mengkuang, janggut, dagu, rigi, kendek, ganja, aring, kepit, sepit rotan, ekor dan lain-lain lagi.

Pelbagai jenis besi diadun untuk membentuk sebilah keris. Tindanan pelbagai besi ini akan melahirkan bentuk pamor. Makanya bentuk pamor bagi setiap bilah keris adalah sukar untuk ditiru.

Sungguh bilah keris itu keras dan tahan lantaran berbagai jenis besi dipadu. Paling kurang 7 jenis. Dan kekuatannya dapat diketahui oleh pandai besi dengan menjentik mata keris untuk mendengar bunyinya.

Dan setiap sisi keris, dari tuntong keris (hujung) sampai ke hulu, malah ke sarungnya, akan punya simbol dan falsafahnya. Setiap suku Melayu akan menzahirkan corak tersendiri dalam pembuatan keris.

Hampir kesemua suku-suku Melayu akan menghasilkan mata keris yang tidak berkilat melainkan Melayu di Filipina.

Dan saiznya juga ada pelbagai seperti jumlah lok. Paling panjang adalah seukuran manusia dan ia diguna untuk majlis istiadat dan bukan untuk pertahanan diri.

Melihat keris sedari bilahnya sampailah kepada sarungnya akan membuatkan kita tertanya-tanya "begitu hebat bangsa kita suatu masa dahulu dalam ilmu pertukangan besi yang dimiliki oleh para Empu dan betapa halusnya kerja seni leluhur kita".

Metalurgi yang diciptakan oleh bangsa kita pada masa lampau sangat tinggi. Cukuplah keris sahaja sebagai buktinya. Itu belom lagi difikirkan bagaimana Keris Picit dihasilkan; apakah dibentuk dengan jari sang Empu?

Abu Dulaf Al Muhalhil yang singgah di Kedah Tua pada tahun 940 Masihi menulis:

"Ketika aku tiba di Kalah, aku dapati tempat itu cukup indah; dikelilingi oleh dinding tembok, taman bunga dan air yang mengalir dari mata air di tanah. Aku melihat tambang bijih yang tidak dapat dibandingkan dengan yang lainnya di dunia ini. Di dalam kota aku melihat para pembuat pedang 'Qala'I', iaitu pedang asli India ... .seperti di China, ada orang-orang yang memakan daging yang tidak disembelih. Rakyatnya memiliki sistem hukum, yang termasuk penggunaan penjara dan sistem denda sebagai bentuk hukuman. Mereka makan gandum, kurma, sayuran yang ditimbang sebelum dijual dan roti yang dijual dalam tumpukan. Mereka tidak memiliki pemandian Turki (hamam), tetapi mandi di sungai yang mengalir deras. Mata wang mereka adalah dirham perak ... disebut 'fahri'. Kain sutra sangat mahal seperti keadaan orang-orang di China. Raja Kalah membayar ufti ke China, dan menyebut nama Maharaja China dalam 'khutbah Jumaat' mereka dan Raja Kalah menghadap ke arah Mahajara (ke arah negara China) ketika berdoa ... " (Paul Wheatley, The Golden Khersonese)

Abu Dulaf dirasakan keliru ketika itu dengan beranggapan Raja Kedah Tua mendoakan Maharaja China saat dalam khutbahnya kerana nama Sultan Al Mutaqqi di Damsyik tidak disebutkan sebaliknya mendoakan nama raja lain. Kemungkinan raja yabg didoakan adalah Raja Srivijaya (Zabaj).

Apakah ketika 940M itu Kedah Tua sudah menganut Islam dari catatan diatas? Lalu Dr Syed Naguib Al Attas membuat kesimpulan bahawa Islam telah dianut oleh Kedah sejak kurun ke 9M lagi, iaitu sekitar 877.

Manakala Idrisi ahli geografi Arab menulis dalam kitabnya Al Rujjar:

“Orang-orang Zabag (Srivijaya atau Kedah Tua) telah pergi ke Tanah Sofala dan mengeksport besi.Dari sana mereka membekalkannya ke seluruh tanah India.Tiada besi yang mampu menandingi besi-besi mereka dari segi mutu dan ketajaman.”

Jika dibangdingkan keris di Muziim Negara, tidaklah sebanyak di Muzium Pasir Salak. Mungkin di muzium-muzium lain lebih dari itu.

Makanya keris adalah simbol Melayu, sehinggakan ia menjadi senjata yang melambangkan bangsa kita dari zaman berzaman.

Kerana itu setiap raja Melayu akan punya keris yang dijadikan alat kebesaran negara.

Belalai Gajah

Corak pamor yang indah


Keris Picit





___________________________
~ Abu Amru Radzi Othman ~
Lajnah Makalah Sejarah
_____________________________




Dapatkan buku Kemunculan Misteri Pemuda Bani Tamim Di Akhir Zaman! Untuk keterangan lanjut sila KLIK DI SINI .









Baca juga artikel bersiri: Keris

Comments