Sultan Bayazid Khan I, Sang Penakluk Kilat (Yildrim)


OLEH: Haziq Azhar



Sultan Bayazid Khan I merupakan Sultan Turki Uthmaniyyah yang keempat yang memerintah daripada tahun 1389 sehingga tahun 1402. Sultan Bayazid Khan I digelar sebagai “Yildrim” yang bermaksud “kilat” kerana beliau berjaya menakluki dan memperluaskan wilayah kekuasaan sepantas kilat. Oleh itu, ghazi – ghazi Islam menggelar beliau sebagai Yildrim disebabkan kepantasan beliau dalam menakluki negeri – negeri yang menjadi ancaman kepada Empayar Turki Uthmaniyyah.


Sultan Bayazid Khan I mewarisi takhta Empayar Turki Uthmaniyyah selepas ayahandanya, Sultan Murad Khan I terbunuh ketika Pertempuran Kosovo pada tahun 1389 akibat ditikam oleh sedaldu. Pada yang sama, beberapa buah negeri (Beylik) seperti Saruhan, Aydin, Mentense dan Karaman naungan dibawah Empayar Turki Uthmaniyyah di Anatolia telah mengisytiharkan kemerdekaan daripada Empayar Turki Uthmaniyyah. Sejurus itu, Sultan Bayazid Khan I dengan sepantas kilat telah menyerang dan menakluki beberapa buah negeri di Anatolia. Selepas berjaya menakluki negeri – negeri di Anatolia, Sultan Bayazid Khan I telah menubuhkan sebuah pentadbiran berpusat dan kesemua negeri – negeri Anatolia, Balkan dan Albania diperintah secara langsung oleh Sultan Turki Uthmaniyyah. Begitu juga Bulgaria turut diperintah secara langsung oleh Sultan apabila Raja Bulgaria telah mengundur diri daripada takhta. Begitu juga dengan nasib Amir – Amir Turki yang terpaksa melarikan diri selepas Sultan Bayazid Khan I berjaya menakluki negeri mereka dan meminta perlindungan daripada Timurlink. Dikatakan zaman pemerintahan Sultan Bayazid Khan I berakhirnya pengaruh Kesultanan Turki Seljuk selepas berjaya mengalahkan Amir – Amir Turki. Selain itu juga, Empayar Turki Uthmaniyyah menjadi kuasa tunggal di Asia Kecil. 



Selain terkenal dalam ilmu peperangan, Sultana Bayazid Khan I juga amat mahir dan pintar dalam diplomasi antara kerajaan – kerajaan di sekitar Timur Tengah dan Eropah. Sultan Bayazid Khan I telah mempereratkan lagi hubungan diplomatik dengan Kesultanan Mamluk di Mesir yang diperintah oleh Sultan Al Zahir Sayf Al Din Barkuk. Sultan Bayazid Khan I juga memberi bantuan kepada Mamluk di Mesir untuk membebaskan pedagang – pedagang Mamluk yang ditahan oleh Genoese di Kafa. Sultan Bayazid Khan I menganggap bantuan tersebut adalah disebabkan semangat persaudaraan sesama kaum Muslimin.


Raja Sigismund merupakan Raja Hungary telah melihat Sultan Bayazid Khan I sebagai satu ancaman yang serius ke atas Dunia Kristian dan memberi amaran kepada beberapa buah kerajaan Kristian di Eropah. Beliau juga berpendapat kejayaan Sultan Bayazid Khan I menyatukan seluruh Anatolia di bawah kekuasaan Empayar Turki Uthmaniyyah akan memberi kelebihan kepada Turki dan kestabilan politik dalaman akan memudahkan Empayar Turki Uthmaniyyah melanjutkan cita – cita mereka untuk menakluki seluruh Benua Eropah dibawah panji – panji Islam. Oleh itu, Raja Sigismund telah melakukan seruan peperangan Salib keatas Empayar Turki Uthmaniyyah yang turut mendapat sokongan penuh daripada Paus di Vatikan dan beberapa kerajaan Kristian di Eropah. Paus di Vatikan turut menjanjikan pengampunan dosa bagi sesiapa yang menyertai peperangan Salib menentang Empayar Turki Uthmaniyyah. Seruan tersebut mendapat sambutan daripada masyarakat Eropah seperti Perancis, Inggeris, Jerman, Bosnia, Rhodes, Transylvania dan banyak lagi untuk turut serta menentang Empayar Turki Uthmaniyyah. Oleh itu, Raja Sigismund telah menubuhkan sebuah organisasi Kristian yang dinamakan “Order of the Dragon” yang merupakan sebuah organisasi ketenteraan dimana pemimpin – pemimpin Order of the Dragon terdiri daripada raja – raja Eropah dimana bertujuan untuk menghalang kemaraan Empayar Turki Uthmaniyyah daripada menguasai benua Eropah dan Dunia Kristian. 




Simbol Order of the Dragon
Namun, pakatan tentera Salib iaitu Order of the Dragon dibawah pimpinan Raja Sigismund ini tidak sedikitpun menggentarkan Sultan Bayazid Khan I sebaliknya, beliau berserah kepada Allah S.W.T untuk memohon perlindungan daripada bala ancaman tentera Salib. Pertempuran Nicopolis telah tercetus pada tahun 1396 antara pakatan tentera Salib dan Empayar Turki Uthmaniyyah. Kemenangan yang telah memihak kepada Sultan Bayazid Khan I dan bala tenteranya menyebabkan beberapa saki baki tentera Salib yang terselamat terpaksa melarikan diri dan Raja Sigismund telah terpaksa menanggung malunya akibat kalah dalam peperangan tersebut. Sultan Bayazid Khan I telah menghantar dutanya ke Kaherah, Mesir bagi memberitahu khabar gembira mengenai kejayaan tentera Turki Uthmaniyyah mengalahkan pakatan tentera Salib. Beliau telah menjadi ikon dan pahlawan Islam yang dihormati oleh seluruh umat Islam pada ketika itu. 


Kemenangan Sultan Bayazid Khan I telah memberi semangat kepada beliau untuk meneruskan cita – cita beliau untuk menakluki kota Konstantinopel yang merupakan jantung kepada Empayar Rom Byzantine. Namun begitu, beliau terpaksa membatalkan hasrat beliau untuk memerangi Empayar Rom Byzantine disebabkan ancaman terbaru yang bakal beliau hadapi iaitu Timurlink yang menyerah di wilayah Empayar Turki Uthmaniyyah iaitu Anatolia. Buat pada masa ini, Kaisar Rom Byzantine telah menarik nafas lega kerana ancaman Timurlink menyebabkan Sultan Bayazid membatalkan hasrat beliau untuk memerangi kota Konstantinopel. Pada masa yang sama, Amir di negeri Iraq terpaksa melarikan diri selepas diserang oleh Timurlink dan memohon perlindungan dengan Sultan Bayazid Khan I. Timurlink telah mengutuskan sebuah surat untuk menyerahkan Amir Iraq kepada beliau. Namun permintaan Timurlink telah ditolak secara mentah – mentah oleh Sultan Bayazid Khan I. Oleh itu, Timurlink telah mengisytiharkan peperangan dengan Empayar Turki Uthmaniyyah dalam peperangan Ankara pada tahun 1402 Masihi. Kekuatan bala tentera Timurlink yang lebih daripada 80,000 orang dan manakala Sultan Bayazid membawa kekuatan bala tentera lebih daripada 120,000 orang. Namun kepintaran dan kelicikan Timurlink dalam peperangan menyebabkan Sultan Bayazid Khan I telah kalah dalam pertempuran di Ankara dan akhirnya beliau telah menjadi tahanan Timurlink dalam penjara. Sultan Bayazid Khan I telah meninggal dunia dalam tahanan Timurlink pada tahun 1402. Kemangkatan Sultan Bayazid Khan I pada tahun 1402 telah menyebabkan putera – putera Sultan Bayazid Khan I seperti Mehmed Celebi, Suleyman Celebi, Musa Celebi dan Isa Celebi telah berperang sesama sendiri untuk merebut takhta Sultan Turki Uthmaniyyah. Fasa ini dinamakan “Fasa Kekosongan Tahkta” (Ottoman Interregnum). 



Rujukan:
1. Hamka, Sejarah Umat Islam Edisi 2016. 
2. Somel, S. A. (2010). The A to Z of the Ottoman Empire (No. 152). Rowman & Littlefield.
3. Har-El, S. (1995). Struggle for domination in the Middle East: the Ottoman-Mamluk war, 1485-91 (Vol. 4). Brill.
4. Molnár, M. (2001). A concise history of Hungary. Cambridge University Press.
5. Öney, G., Bulut, L., Çakmak, Ş., Daş, E., Demir, A., Demiralp, Y., ... & Ünal, R. H. (2013). Early 6. Ottoman Art: The Legacy of the Emirates. Museum With No Frontiers, MWNF (Museum Ohne Grenzen).





___________________________
~ Haziq Azhar ~
Lajnah Makalah Sejarah
_____________________________

Dapatkan buku Menangkis Fitnah Yang Terpalit Pada Bani Umayyah! Untuk keterangan lanjut sila KLIK DI SINI .


Comments