Kesultanan Riau Lingga, Pusat Sastera Dan kebudayaan Alam Melayu

OLEH: Haziq Azhar


Empayar Johor Riau berpecah kepada dua iaitu Kesultanan Johor diperintah oleh Sultan Hussein dan Kesultanan Riau Lingga diperintah oleh Sultan Abdul Rahman akibat Perjanjian Inggeris dan Belanda pada tahun 1824. Perjanjian Inggeris dan Belanda juga menjadi penanda sempadan moden yang memisahkan negara Malaysia dan Indonesia dimana Malaysia merupakan pada satu ketika dahulu dibawah jajahan Inggeris manakala Indonesia pula bekas jajahan Belanda.

Kesultanan Riau – Lingga bermula pada tahun 1824 dengan Sultan Sultan Abdul Rahman Muadzam Syah yang merupakan putera kepada Sultan Mahmud III, Sultan Johor – Riau dari Dinasti Bendahara. Pulau Penyengat dijadikan pusat pemerintahan Kesultanan Riau – Lingga. Wilayah kekuasaan Kesultanan Riau – Lingga mencakupi wilayah Kepulauan Riau, Republik Indonesia sekarang.

Kesultanan Riau – Lingga mempunyai 5 orang Sultan yang memerintah iaitu Sultan Abdul Rahman Muadzam Shah (1818–1832), Sultan Muhammad II Muadzam Shah (1823 – 1835), Sultan Mahmud IV Muzaffar Shah (1835 – 1857), Sultan Sulaiman II Badarul Alam Shah (1857 – 1883) dan Sultan Abdul Rahman II Muadzam Shah (1885 sehingga 1911). Selain itu, Yang di-Pertuan Muda Riau juga merupakan pentadbir kerajaan Riau Lingga selain daripada Sultan Riau – Lingga. 

Raja Ali Haji, Tokoh Sasterawan Melayu yang terbilang

Kesultanan Riau Lingga pernah menjadi pusat keilmuwan Alam Melayu. Buktinya, Bahasa Melayu Riau menjadi bahasa Melayu baku yang menjadi asas kepada Bahasa kebangsaan Malaysia dan Indonesia. Ini merupakan jasa Raja Ali Haji yang merupakan cucu kepada Raja Haji Fisabillah yang berperanan mengembangkan sastera Melayu. Selain itu, beliau juga banyak mengarang puisi dan buku seperti Puisi Gurindam Dua Belas, Tuhfat al Nafis, Salasilah Melayu dan Bugis, Syair Abdul Muluk dan banyak lagi. Raja Ali Haji juga banyak menulis tentang keilmuan tatanegara Alam Melayu. Beliau juga banyak melakukan usaha untuk membanteras ideologi sekularisme bagi memastikan masyarakat Riau tidak terpengaruh. Kesultanan Riau Lingga juga banyak membawa masuk para ulama agar masyarakat Riau terus berpegang teguh dengan ajaran Islam. 


Pada 7 Oktober 1857, Belanda telah menggulingkan Sultan Mahmud IV Muzaffar Shah dan menabalkan Sultan Sulaiman II Badarul Alam Syah sebagai Sultan Riau – Lingga. Tidak lama kemudian, jawatan Yang di-Pertuan Muda Riau pada sebelum ini dipegang oleh bangsawan Bugis disatukan dengan Sultan oleh Sultan Abdul Rahman II Muadzam Syah pada tahun 1899. 
Pada tahun 1911, Sultan Abdul Rahman II Muadzam Syah telah diturunkan daripada takhta kerana baginda enggan menandatangani perjanjian dengan pihak Belanda kerana menganggap perjanjian tersebut mengurangkan kuasa Sutlan. Sultan Abdul Rahman II Muadzam Syah bersama – sama dengan kerabat diraja telah membawa hartanya sekali dan melarikan diri ke Singapura. Baginda juga memerintah rakyat agar memusnahkan segala bangunan yang ada di Pulau Penyengat agar tidak diduduki oleh Belanda. Sultan Abdul Rahman II Muadzam Syah menetap di Singapura sehingga kemangkatan baginda pada tahun 1930. 

Sultan Abdul Rahman II Muadzam Syah

Rujukan:
1. A New Regime (February 15, 1911) Retrieved from: http://eresources.nlb.gov.sg/newspapers/Digitised/Article/straitstimes19110215-1.2.63 
2. Dani, R., & Antariksa, S. H. PELESTARIAN KAWASAN BERSEJARAH KESULTANAN MELAYU RIAU-LINGGA DI PULAU PENYENGAT KEPULAUAN RIAU.
Mohd. Noor, A., Ibrahim, M.H (2017). Raja Haji Ali Pemikir Ulung Alam Melayu Abad Ke 19. Dewan Bahasa dan Pustaka Kuala Lumpur. 
3. Mohd Hazmi Mohd Rusli (November 17, 2016). Pemecahan kepulauan Melayu: Adakah perjanjian British-Belanda 1824 sah? Retrieved from: http://www.astroawani.com/berita-malaysia/pemecahan-kepulauan-melayu-adakah-perjanjian-british-belanda-1824-sah-122767#.W4rHRnoUXAY.facebook
Sunandar, H., & Tamrin, H. (2017). ASPEK SOSIO POLITIS NASKAH DAN ARKEOLOGIS. Al-Fikra, 14(2), 186-212.



___________________________
~ Haziq Azhar ~
Lajnah Makalah Sejarah
_____________________________






Dapatkan buku Menangkis Fitnah Yang Terpalit Pada Bani Umayyah! Untuk keterangan lanjut sila KLIK DI SINI .





Comments