OLEH: Saufy Jauhary
Haji Abdullah Hukum bin Abdul Rahim (1835-1943) adalah seorang Datuk Dagang di Sungai Putih (yang kini dinamakan Jalan Bangsar). Beliau berasal dari kariah Sungai Abu jajahan Sungai Penoh negeri Kerinchi, Sumatera. Beliau mula merantau ke Semenanjung bermula tahun 1850 pada umur 15 tahun. Beliau telah hidup di negeri Selangor dengan melalui dua zaman, iaitu zaman pemerintahan Melayu (1850-1874) dan zaman pemerintahan Inggeris (1874-1943).
Pada tahun 1929, Haji Abdullah Hukum telahpun bersara sebagai Datuk Dagang. Terdetik di dalam hati beliau untuk menziarahi kampung halamannya di Sumatera. Bulan Disember 1929 beliau telah berangkat menuju ke negeri Kerinchi bersama-sama dengan Isteri, dua orang anaknya dan seorang cucu. Ketika menziarahi kubur bapanya di Gunung Kelikir, beliau telah terserampak dengan makam yang dipuja oleh orang ramai, dan melakukan upacara-upacara syirik di makam tersebut. Melihat situasi seperti itu, beliau menjadi berang dan telah membantah amalan-amalan yang mereka lakukan serta merosakkan tempat pemujaan tersebut.
Haji Abdullah Hukum menceritakan:
“Dua hari di belakang saya pun ziarah ke kubur ayahanda saya di Gunung Kelikir namanya, iaitu suatu tempat yang tertinggi mendaki kira-kira setengah batu. Sebagai kenang-kenangan maka saya tanam batu nisan. Kemudian saya melawat pula suatu tempat bernama Kota Tebat di mana adanya suatu makam yang dipuja orang sebagai keramat yang besar. Saya dapat izin masuk ke dalam, saya dapati di dalamnya penuh dengan panji-panji ada yang kuning ada yang putih bergayutan di sana sini.
Saya dipandu oleh orang di situ kepada suatu batu besar di mana kononnya ada kesan tangan keramat. Banyak orang di situ meminta pertolongan kepadanya konon ada jin di situ. Oleh kerana pada pengajian saya perbuatan yang demikian itu karut dan boleh jadi syirik entah bagaimana saya telah terlanjur menista ketua-ketua kampung di situ lalu saya katakan bodoh dan macam-macam lagi sehingga diberi nasihat oleh orang di situ jangan takbur kepada keramat itu ditakuti kelak kena kutuk seperti sakit atau bencana-bencana lain. Saya pun bertambah marah lalu saya menepuk dada dan berkata jika betul ada jin yang tuan-tuan sembah itu marilah makan saya ini. Dan lagi kata saya tiada disembah melainkan Allah (s.w.t). Di dalam itu saya jerumuskan batu itu dan perasapan-perasapan di situ pun saya lempar-lemparkan. Akhirnya saya beri nasihat kiranya orang di situ menjauhkan kepercayaan yang membawa kepada kesesatan. Rasanya sampai sekarang jin itu tiada mendatangkan apa-apa bencana kepada saya.”
Tindakan Haji Abdullah Hukum yang mengingkari amalan-amalan yang khurafat lagi syirik itu merupakan amar makruf nahi mungkar yang dilaksanakan oleh beliau. Sebagai orang beriman beliau merasa tidak senang apabila kemungkaran berlaku di depan matanya. Sebagaimana firman Allah SWT: "Orang-orang yang bertaubat, yang beribadat, yang memuji Allah, yang mengembara, yang rukuk, yang sujud, yang mengajak kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran , serta yang menjaga batas-batas hukum Allah dan gembirakanlah orang-orang yang beriman." (Surah at-Taubah Ayat 112). Kepercayaan kepada benda-benda yang boleh dijadikan keramat seperti pokok, kubur, telaga dan sebagainya, serta memuja, memohon pertolongan dan melepaskan nazar pada benda-benda berkenaan dan percaya ianya mempunyai kuasa selain dari Allah SWT adalah membawa kepada syirik dan bertentangan dengan kepercayaan tauhid kepada Allah SWT. Ini terkandung dalam firman-Nya: "Dan janganlah Engkau (Wahai Muhammad) menyembah atau memuja yang lain dari Allah, yang tidak dapat mendatangkan manfaat kepadamu dan juga tidak dapat mendatangkan mudarat kepadamu. Oleh itu, sekiranya Engkau mengerjakan yang demikian, maka pada saat itu menjadilah engkau dari orang-orang yang berlaku zalim (terhadap diri sendiri dengan perbuatan syirik itu)."(Surah Yunus ayat 106).
SUMBER RUJUKAN
1) Kuala Lumpur Dari Perspektif Haji Abdullah Hukum, halaman 47, terbitan Berita Publishing, cetakan 1997.
2) Kedudukan Amalan Khurafat Di Pulau Besar, Melaka Menurut Syarak: http://www.muftimelaka.gov.my/jmm/pdf/Wacana_Pendidikan_dan_Kefahaman_Fatwa/Kedudukan_Amalan_Khurafat_Di_Pulau_Besar_Melaka_Menurut_Syarak.pdf
[Legasi Pemikir - LEKIR]
Comments
Post a Comment