OLEH: Ahmad Dailami
Kota Rome ditubuhkan pada tahun 753 BC oleh adik beradik kembar, Romus dan Remulus. Kisah mengenai asal usul dan kelahiran mereka sebahagian besarnya diselubungi oleh mitos orang-orang Rome. Dikatakan Romus dan Remulus ialah hasil perhubungan dewa yang dianggap oleh orang-orang Rome sebagai dewa peperangan, digelar Mars, dan seorang gadis paderi (priestess) yang bernama Rhea Silvia yang merupakan salah seorang dari kumpulan paderi wanita yang disebut 'Vestal Virgins'[1].
Apa yang jelas diketahui, orang-orang Rome percaya dan amat berpegang teguh kepada mitos ini. Mereka memandangnya sebagai penjelasan bagi asal usul mereka. Ia juga menjadi sumber inspirasi dan asas yang mencorakkan identiti mereka, dimana mereka percaya bahawa mereka ialah keturunan dewa Mars, disebut 'anak-anak Mars' (the sons of Mars).
Romus dan Remulus dilahirkan di kota Alba Longa [2], salah satu antara kota-kota silam di semenanjung tanah Italy yang terletak berhampiran Rome ke arah selatannya (Pada ketika ini Rome belum wujud, hanya kawasan tanahnya sahaja yang ada). Dikatakan sejurus selepas mereka dilahirkan, raja yang memerintah Alba Longa ketika itu, yang juga merupakan bapa saudara mereka, mengarahkan mereka agar dibunuh. Mereka ditinggalkan di tebing sungai Tiber dengan harapan mereka akan mati.
Namun mereka diselamatkan oleh dewa Tiberinus, dewa yang menguasai sungai Tiber dan dibesarkan di lokasi yang bakal menjadi kawasan dimana tertubuhnya Kota Rome nanti. Menurut kisah yang popular, Romus dan Remulus telah diselamatkan oleh seekor serigala betina (she-wolf) yang telah membesarkan mereka dengan menyusukan mereka. Setelahnya, mereka diambil pula oleh seorang penggembala kambing, Faustulus. Mereka membesar dengan membantu Faustulus menggembala kawanan kambing, tanpa menyedari asal usul mereka bahawa mereka sebenarnya adalah dari keturunan raja Alba Longa.
Kota Rome terletak di tebing sungai Tiber yang mengalir dari pergunungan Apennines yang membahagikan semenanjung Italy menjadi dua[3]. Kawasan dimana kota ini terletak mempunyai segugusan tujuh bukit yang menjadi tapaknya, yang disebut The Seven Hills of Rome, nama-namanya ialah Aventine, Caelian, Capitoline, Esquiline, Palatine, Quirinal dan Viminal.
Untuk dipendekkan cerita, ketika sedang memikirkan tapak yang sesuai untuk menubuhkan kota baru ini, Romus dan Remulus bertengkar. Romulus memilih bukit Palatine, sedangkan Remus menyukai bukit Aventine. Pertengkaran ini menjadi semakin sengit hingga Romulus membunuh Remus dan seterusnya menyempurnakan penubuhan Kota Rome. Romulus menjadi raja Rome yang pertama dan memulakan fasa pertama dalam sejarah ketamadunan Rome, yakni kerajaan Rome (Roman Kingdom).
______________________________
[1]. Vestal Virgins: mereka ialah gadis-gadis suci dewi Vesta, yang mengikut mitos kepercayaan Rome merupakan dewi rumah dan keluarga. Mereka mempunyai kedudukan penting dalam ritual agama dan kepercayaan orang-orang Rome. Mereka dibebaskan daripada tanggungjawab kemasyarakatan untuk berkahwin dan melahirkan anak, malah harus menyatakan ikrar untuk kekal sebagai gadis selama 30 tahun dan terus mengabdi kepada tanggungjawab mereka.
[2]. Saya tidak dapat mencari peta yang baik untuk menerangkan lokasi Alba Longa kerana kota ini telah pupus. Ia ditawan oleh tentera Rome sekitar pertengahan kurun ke-7 BC, setengah dekad selepas penubuhan Rome. Dikatakan tentera Rome dibawah pimpinan raja Rome yang ke-3, Tullus Hostilius telah berjaya menawan kota tersebut. Tullus memerintahkan supaya askar Rome menghapuskan kota tersebut dan memindahkan penduduknya ke Rome, menjadikan populasi Rome bertambah dua kali ganda.
[3]. Keadaan bentuk muka bumi semenanjung tanah Italy dan lapangan Latium (Latium plain) dimana kota Rome diasaskan akan dibincangkan dengan lebih terperinci di masa akan datang.
___________________________
~ Ahmad Dailami ~
Telegram: https://t.me/rmb_slf
Twitter: https://www.twitter.com/rmb_slf
Instagram: https://www.instagram.com/rmb_slf
Web Site: 🖥 http://revolusimelayubaru.blogspot.com
_____________________________
Dapatkan buku Menangkis Fitnah Yang Terpalit Pada Bani Umayyah! Untuk keterangan lanjut sila KLIK DI SINI .
Comments
Post a Comment