Menelusuri Pantai Zaman: Kejatuhan Melaka (Siri 1)

OLEH: Prof. Emeritus Sejarah Ahmat Adam


Menelusuri pantai Zaman: 
Penaklukan Melaka oleh Portugis, Tahun 1511 
(Sedikit perubahan telah dibuat terhadap rencana yang pernah diterbitkan di dalam majalah Dewan Budaya 2013. Untuk kepentingan pelajar dan pencinta sejarah di fb, penghargaan dan terima kasih ditujukan kepada pihak DBP)

Makalah ini bertujuan untuk mengajak pembaca merenung kembali sebuah peristiwa penting dalam sejarah tanahair. Walaupun tulisan ini didasarkan pada sumber kontemporari dan sekunder Portugis, tetapi dengan tujuan untuk mengimbangi maklumatnya “Sulalatu's-Salatin” atau “Sejarah Melayu”  telah juga digunakan sebaik mungkin agar dapat mencerminkan pandangan pengarangnya terhadap peristiwa malang yang menimpa kesultanan Melaka yang masyhur itu.

Afonso Dalboquerque tiba di Pelabuhan Melaka
Pada 1 Julai 1511 armada Portugis yang terdiri daripada 18 buah kapal, tiga daripadanya berupa ghali panjang, yang memuatkan 1,400 orang soldadu (iaitu 800 orang Portugis dan 600 Malabari) telah berlabuh di pelabuhan Melaka. Angkatan laut yang diketuai Kapten-Jeneral Afonso Dalboquerque mula-mulanya melabuhkan sauh berhampiran dengan sebuah pulau kecil di perairan Melaka. Melihat betapa banyak kapal, jong, banting (kapal bertiang dua), sampan dan perahu yang berjenis-jenis yang sarat dengan muatan dagangnya beralabuh disepanjang pantainya, Afonso Dalboquerque amat terkesan dengan kemakmurannya pelabuhan Melaka dan bandarnya yang tersergam besar. Walaupun hampir semua rumah-rumahnya dibina daripada kayu tetapi terdapat juga bangunan-bangunan yang menampilkan seni bina yang indah, disertai penduduknya yang ramai yang tinggal di kawasan datar dan tinggi.
Kendatipun pada mulanya hasrat Afonso Dalboquerque hanyalah untuk membalas dendam terhadap Sultan Melaka, kerana merasakan bangsa Portugis telah dimalukan oleh Sultan Mahmud Syah dalam peristiwa Diogo Lopez de Sequeira pada tahun 1509, tetapi apabila melihat betapa Melaka mempunyai kekayaan yang luar biasa, dan kedudukannya yang sesuai sebagai bandar perdagangan, dan menyaksikan pula dengan matanya sendiri akan kehebatan Melaka sebagai kota pelabuhan, maka tidaklah menghairankan jika Afonso Dalboquerque sesungguhnya telah terpukau, dan pada hati kecilnya memang terselit niat untuk menakluki negeri Melayu yang kaya-raya itu.

Kali pertama Melaka dikunjungi Portugis
Hampir dua tahun sebelum Dalboquerque datang dengan angkatan perangnya itu, Melaka telahpun didatangi pada 1 Ogos 1509 oleh angkatan kapal dagang Portugis yang diketuai oleh Diogo Lopez de Sequeira. Ekspedisi yang terdiri daripada lima buah kapal itu telah menggemparkan rakyat dan pembesar Melaka serta kaum pedagang di pelabuhan Melaka apabila ia menunjukkan kehadirannya dengan melepaskan bedilan meriam. Walaupun ketika ia baru tiba Kapten Diogo Lopez de Sequeira telah diangkat anak oleh Bendahara Seri Maharaja, namun pembesar Melaka sejak mula lagi telah menjadi gusar dengan cara biadab yang ditunjukkan oleh utusan de Sequeira yang bernama Hierom Teixera, yang secara kasar dan tanpa beradat telah menyerahkan surat bertulisan Arab daripada Raja Portugal, Emanuel, kepada seorang raja Melayu. Para bangsawan Melaka juga gempar dengan perbuatan tidak beradab Teixera yang “mengenakan rantai emas berpermata pada leher Bendahara Seri Maharaja”, seperti yang telah dilukiskan oleh pengarang Sejarah Melayu (Sulalatu's-Salatin naskhah Krusenstern, 1798:171: 2 ).

Sekalipun orang Portugis telah menunjukkan sikap “tiada tahu bahasa” yang sedemikian rupa, namun kedatangan angkatan Portugis untuk berdagang itu diterima juga oleh Sultan Mahmud Syah. Diogo Lopez de Sequeira diizinkan menggunakan bangsal di pelabuhan untuk tujuan berdagang. Bendahara Tun Mutahir pun memberikan galakan sehingga termeterai perjanjian untuk menjalin hubungan dagang dengan  para pedagang dari Portugal. Tetapi entah mengapa, perjanjian itu tidak terlaksana. Perhubungan antara de Sequeira dan rakan-rakannya dengan para pembesar Melaka pun segera memburuk. Syak wasangka orang Melayu terhadap orang Portugis itu beransur-ansur membawa kepada perseteruan.

Sumber Portugis mendakwa kapal-kapal Diogo Lopez de Sequeira telah diserang oleh banting-banting (perahu bertiang dua) orang Melaka. Tetapi sumber Sejarah Melayu menyatakan pihak Potugis telah menggunakan meriamnya untuk membedil ke arah pantai dan mengakibatkan kematian beberapa orang rakyat Sultan. Sebagai kesan daripada itu, sekitar dua puluh orang Portugis yang diketuai oleh Rui de Araujo, yang serba lengkap dengan senjata masing-masing, telah ditangkap dan dibawa ke daratan untuk ditahan.  Melihat betapa rakan-rakannya telah ditawan, Diogo Lopez de Sequeira dan orang-orang Portugis selebihnya pun membongkar sauh kapal-kapal mereka dan lantas meninggalkan Melaka. Pada mata orang Portugis itu tindakan kesultanan Melaka terhadap Portugis jelas menunjukkan bahawa pembesar-pembesar Melaka sebenarnya tidak berminat untuk berdagang dengan mereka. Namun di sebalik itu,. Namun di sebalik itu, tentulah ada sesuatu yang tidak disenangi oleh Bendahara Seri Maharaja dan orang Islam di Melaka terhadap gelagat orang putih yang datang itu yang menyebabkan Diogo Lopez de Sequeira dan teman-temannya tidak disukai, pada hal kehadiran pedagang-pedagang asing yang lain seperti dari India, Cina, Pegu, Arab dan Parsi sangat dialu-alukan oleh Melaka.

Utimutiraja [Sri Utama Raja] dan Portugis
Apakah ada sesuatu di dalam perangai dan budi pekerti orang Eropah yang memang tidak disenangi oleh orang Melaka? Pertemuan pertama Melayu-Portugis ini pun ternyata berlaku dalam keadaan syak dan prasangka. Ini dikeruhkan lagi oleh perasaan hasad seorang pedagang kaya Jawa, yang bernama Utimutiraja (Sri Utamaraja), yang  telah membisikkan ke telinga Diogo Lopez de Sequeira bahawa lantaran wujudnya perselisihan faham antara Portugis dengan para pembesar Melaka itu ada kemungkinanya dia akan dibunuh oleh Raja Melaka. Muslihat Sri Utamaraja ini bertambah membingungkan lagi apabila sumber Portugis menyebutkan bahawa salah seorang anaknya telah naik ke kapal Diogo Lopez de Sequeira dan merancang untuk membunuh Portugis pada masa anak-anak kapalnya masih berada di darat. Peristiwa 1509 ini berlaku ketika Bendahara Seri Maharaja Tun Mutahir masih lagi berkuasa, iaitu sebelum dia dibunuh dalam tahun 1510 oleh Sultan Mahmud Syah yang, menurut “Sejarah Melayu”, telah termakan hasutan dan fitnah Raja Mendeliar dan Naina Sura Dewana, dua saudagar "Keling" (India Selatan) yang "berdakwa-dakwaan antara sesamanya" (“Sulalatu's-Salatin” naskhah Krusenstern, 1798: 177: 2 - 178).

Keangkuhan Dalboquerque
Pengusiran Diogo Lopez de Sequeira dan penahanan orang-orang Portugis yang lain telah menjadi alasan kuat bagi Kapten-Jeneral Afonso Dalboquerque untuk menunujukkan keangkuhan Eropah demi ‘mengajar’ orang Islam yang memang sangat dimusuhinya seperti yang pernah dilakukannya di Goa. Maka demikianlah yang terjadi pada tanggal 1 Julai 1511. Penduduk Melaka pun gempar dengan kedatangan armada Portugis yang terdiri daripada sembilan belas buah ghali dan fusta. Bedilan meriam juga telah dilepaskan atas arahan Dalboquerque selama kira-kira setengah jam sebagai tanda bahawa mereka bukan berniat muhibah.

Kesan daripada peristiwa itu telah menyaksikan pada keesokan harinya, Afonso Dalboquerque dikunjungi oleh dua buah pencalang (perahu besar) yang membawa utusan raja Melaka, untuk bertanyakan tentang hajat dan maksud kedatangan Portugis itu. Utusan itu juga memberitahu bahawa Sultan Melaka hanya mahukan perdamaian. Dalboquerque memberitahu bahawa kedatangannya itu ialah untuk membebaskan orang-orang Portugis yang dipenjarakan di Melaka. Walaupun Sultan Mahmud Syah cuba memberi dalih dengan meletakkan kesalahan kepada Bendahara Melaka -- seolah-olah kesemua yang telah berlaku yang menyebabkan orang-orang Portugis itu dipenjarakan adalah angkara Almarhum Bendahara Tun Mutahir --- sambil menyatakan bahawa oleh sebab itulah maka Tun Mutahir telah dihukum bunuh, namun tohmah itu tidak dapat meyakinkan dan mententeramkan hati Dalboquerque, dan Kapten-Jeneral Portugis itu sedikit pun tidak  berganjak daripada tuntutannya.

Beberapa hari kemudian, pencalang-pencalang raja yang keluar dari muara sungai Melaka dianggap oleh orang Portugis sebagai percubaan untuk menunjuk-nunjukkan kekuatan kerajaan Melaka. Dalam pada itu Dalboquerque yang masih tertunggu-tunggu akan jawapan daripada Sultan mengenai keadaan orang Portugis yang ditahan itu telah pun mengarahkan beberapa pencalang Portugis yang dilengkapi senjata agar menyusur pantai berdekatan bandar Melaka seolah-olah mereka mahu membuat tinjauan untuk menaksir kekuatan kubu pertahanan kesultanan Melaka dan juga untuk mengenal pasti tempat yang akan membolehkan tentera Portugis mendarat. Langkah memperagakan ghali dan jong-jong mereka juga bertujuan untuk menakut-nakutkan orang Melaka dengan cara menunjuk-nunjuk sebagai membalas kemunculan beberapa buah pencalang raja dan perahu yang dilihat oleh Portugis sebagai usaha kesultanan Melaka  untuk memperagakan kekuatannya.
Tindakan hulubalang Portugis menunjuk-nunjukkan itu menyebabkan pada keesokan harinya Afonso Dalboquerque dikunjungi lagi oleh utusan Raja Melaka yang menanyakan apa sebenarnya yang diperlukan oleh Portugis. Utusan Raja Melaka juga memberikan helah mengenai ketiadaan orang Portugis yang ditahan itu ikut bersama-samanya, dengan memberikan alasan bahawa kelambatan penyerahan orang-orang Portugis itu justeru kerana pakaian persalinan mereka masih sedang dibuat. Dalam pada itu, seorang tahanan Portugis, iaitu seorang pemuda bernama Bastiao [Bastian atau Sebastian] telah dihantar untuk mengadap Dalboquerque. Tetapi sumber Portugis menyatakan bahawa Dalboquerqure mengesyaki bahawa kunjungan Bastiao sebenarnya adalah bertujuan untuk seolah-olah melapmelaporkan tentang betapa besarnya pertahanan Melaka, dan tujuan dia dihantar pun seolah-olah ingin menyatakan betapa pihak kesultanan mengharapkan angkatan Portugis itu akan meninggalkan Melaka tanpa sebarang kekecohan.

Bersambung..




___________________________
~ Prof. Emeritus Sejarah Ahmat Adam ~
Ahli Sejarah
_____________________________






Dapatkan buku Menangkis Fitnah Yang Terpalit Pada Bani Umayyah! Untuk keterangan lanjut sila KLIK DI SINI .




Comments