Tragedi Fitnah Al-Kubra: Penilaian Terhadap Ciri-Ciri Kepimpinan Politik Khalifah Uthman Bin Affan RA
OLEH: M.A Fitri
ABSTRAK
Peristiwa Fitnah al-Kubra berlaku pada 17 Julai tahun 656M ditandai dengan pembunuhan Khalifah cUthman bin cAffan di rumahnya oleh para pemberontak. Peristiwa ini merupakan titik hitam dalam sejarah Islam di mana selepasnya tercetusnya pelbagai konflik sesama umat Islam. Kajian ini bertujuan untuk menganalisis sebanyak tiga ciri kepimpinan politik Khalifah Uthman bin Affan yang mana ketiga-tiga ciri tersebut sangat berkait rapat dengan tercetusnya peristiwa fitnah ini. Analisis dilakukan dengan menggunakan kaedah sebab-akibat bagi menghuraikan setiap ciri kemudian dikeluarkan juga iktibar dan pengajaran yang dapat diperoleh daripada peristiwa ini. Ketiga-tiga ciri tersebut adalah bersikap lembut berbanding Khalifah Umar yang bersikap keras, mengutamakan kaum kerabatnya dalam pentadbiran dan tindakan Khalifah Uthman yang enggan melepaskan jawatan setelah didesak oleh puak pemberontak. Setelah dikaji, kesemua sasaran kritikan yang dilemparkan bukanlah terhadap kelemahan atau kekurangan yang melibatkan cara Khalifah Uthman mengendalikan negara. Walhal, sasaran yang sebenar adalah lebih jauh daripada itu iaitu menjatuhkan pemerintahan Islam melalui pemerintahan beliau yang mana dengan kata lain, era pemerintahan ini dijadikan alasan dan batu loncatan bagi merealisasikan matlamat tersebut. Sungguhpun begitu, mengambil kesempatan atas sikap Khalifah Uthman yang lembut dan tidak tegas, puak pemberontak telah melihatnya sebagai titik kelemahan yang berkesan bagi menjatuhkan beliau dan akhirnya beliau telah terkorban.
Kata kunci: Fitnah al-Kubra, Khalifah Uthman bin Affan, Gerakan al-Saba’iyyah.
1.0 PENDAHULUAN
Sejarah Islam diwarnai dengan pelbagai bentuk proses perkembangan. Bermula dengan pembinaan, perkembangan, kegemilangan, kemerosotan dan seterusnya keruntuhan. Apabila membicarakan soal perkembangan sejarah yang berlaku pada era awal perkembangan Islam, sudah pasti kita akan membicarakan soal pembinaan negara Madinah oleh Nabi Muhamamd s.a.w. Setelah baginda s.a.w. selesai menjalankan tugas baginda sebagai nabi dan rasul, urusan pentadbiran dan hal ehwal umat Islam kemudiannya digalas pula oleh para Khulafa’ al-Rasyidin. Mereka terdiri daripada empat orang sahabat besar yang bersama-sama dengan baginda s.a.w berjuang menyebarkan dan menegakkan agama Islam. Keempat-empat orang sahabat tersebut ialah Abu Bakar al-Siddiq, cUmar bin al-Khattab, Uthman bin Affan dan cAli bin Abi Talib r.a. Sungguhpun begitu, dalam kertas kajian ini pengkaji hanya akan memberikan tumpuan kepada era pemerintahan khalifah yang ketiga sahaja iaitu Khalifah Uthman bin Affan r.a. Secara lebih terperinci, kajian ini akan memfokuskan juga kepada tiga isu utama iaitu isu suasana politik kekhalifahan Islam sebelum Uthman Bin Affan R.A, tragedi Fitnah al-Kubra dan analisis ciri-ciri kepimpinan khalifah Uthman bin Affan r.a. Pengkaji juga berusaha untuk melakukan sedikit pentafsiran semula sejarah hitam umat Islam ini dari sudut pentafsiran sebab dan akibat berbanding hanya menfokuskan kepada narasinya sahaja.
2.0 SENARIO POLITIK KEKHALIFAHAN ISLAM SEBELUM UTHMAN BIN AFFAN R.A
Setelah kewafatan baginda Nabi Muhammad s.a.w pada tahun 632M, Abu Bakar al-Siddiq r.a yang menjadi sahabat setia baginda dan yang memimpin solat sepanjang baginda sakit dilantik sebagai khalifah pada 8 Julai tahun 632M (Hitti 2008). Polisi Khalifah Abu Bakar sebaik sahaja dilantik menjadi khalifah adalah jelas iaitu meneruskan penghantara pasukan tentera yang dipimpin oleh Usamah bin Zaid yang sebelum ini telah dipersiapkan oleh baginda s.a.w. Selain itu, beliau juga terpaksa menghadapi golongan yang enggan membayar zakat serta golongan al-riddah. Manakala yang paling penting sekali ialah beliau memulakan gerakan pengumpulan mushaf al-Quran yang pertama dalam sejarah Islam (al-Suyuti 2013).
Menurut Rianawati (2010), ekspedisi memadamkan gerakan-gerakan penentangan tersebut telah berjaya meletakkan Khalifah Abu Bakar al-Siddiq r.a sebagai penyelamat umat Islam. Beliau telah berjaya menyelamatkan umat Islam daripada kekacauan dan kehancuran bahkan seluruh semenanjung Arab kini berjaya disatukan oleh beliau.
Pada era pemerintahan khalifah yang kedua, Khalifah Umar bin al-Khattab r.a, keadaan politik dalam negara sudah pun berada dalam keadaan yang stabil. Maka, beliau meneruskan lagi usaha yang telah dirintiskan oleh baginda s.a.w dan Khalifah Abu Bakar al-Siddiq r.a dengan melakukan peluasan wilayah Islam. Era ini menyaksikan gerakan peluasan wilayah Islam dicapai dengan begitu baik apabila satu per satu wilayah yang sebelum ini tunduk kepada Empayar Rom dan Parsi jatuh ke tangan umat Islam. Akhirnya semenanjung Arab, Syam, Iraq, Parsi dan Mesir berjaya disatukan menjadi wilayah Islam (Niswah 2015).
Pada era Khalifah Umar menyaksikan juga pelbagai inovasi pentadbiran yang telah diperkenalkan oleh beliau. Menurut Sharifah Hayaati et al (2008) perubahan dan inovasi pentadbiran yang diperkenalkan oleh beliau telah memberikan kesan yang baik kerana dnegan perkembangan kepimpinan Islam yang baik secara tidak langsung akan memangkin kepada penaiktarafan sistem pentadbiran Islam agar menjadi lebih cekap dan berkesan sekaligus membawa negara ke peringkat yang lebih cemerlang. Malahan, kekuatan pentadbiran Khalifah cUmar bukanlah hanya bergantung kepada pembangunan material semata-mata bahkan juga turut sama melibatkan nilai-nilai murni dan etika Islam selain daripada strategi yang baik sebagai asas kepada pembangunan ini.
Jadi, boleh disimpulkan bahawa di era pemerintahan dua orang khalifah sebelum Uthman bin Affan, Dunia Islam telah mengalami satu pembangunan yang pesat dan drastik ditandai dengan peluasan wilayah, penyatuan rakyat dan pelaksanaan sistem pentadbiran yang efisyen. Semua itu diwariskan kepada Khalifah Uthman tatkala beliau dibai’ah sebagai khalifah ketiga umat Islam.
3.0 TRAGEDI AL-FITNAH AL-KUBRA
Merumuskan definisi yang telah diberikan oleh para ahli bahasa, Amhazwan (2005) merumuskan bahawa fitnah yang dimaksudkan ialah peristiwa yang berlaku melibatkan umat Islam para era permulaan Islam yang terdiri daripada peperangan, perpecahan dan perselisihan pendapat dalam kalangan umat Islam sendiri. Al-Qaradawi (2006) menulis dalam bukunya berjudul Tarikhuna al-Muftara calaih menceritakan tentang betapa Islam telah menghadapi pelbagai cabaran di sepanjang perjalan sejarahnya. Antara cabaran yang dibincangkan ialah tentang al-Fitnah al-Kubra. Kata beliau:
Antara bencana yang dihadapi oleh Islam di awal kemunculannya ialah satu persitiwa yang disebut dengan al-Fitnah al-Kubra yang dimulakan dengan syahidnya khalifah Islam ketiga iaitu Khalifah Uthman bin Affan. Bencana ini kemudian diiring dengan terjadinya perbalahan dan ketegangan antara para sahabat r.a. Akhirnya mereka bermusuh dan saling membunuh dalam beberapa peristiwa peperangan yang terkenal seperti Peperangan Jamal dan Peperangan Siffin.
Khalifah keempat dalam senarai Khulafa’ al-Rasyidin ialah Uthman bin Affan. Beliau memiliki nama lengkap Abu cAbdullah, Abu cAmru dan ada juga yang mengatakan dengan Abu Laila cUthman bin cAffan bin Abi al-Ash bin Umaiyyah bin cAbd al-Syams bin Abd al-Manaf yang merupakan datuk kepada baginda Nabi Muhammad s.a.w. Beliau memiliki kuniyah Dzu al-Nurain disebabkan oleh beliau telah berkahwin dengan dua orang puteri Rasulullah s.a.w iaitu Ruqayyah dan Umm Kulthum (al-Qalqasyandi 2006).
Menurut al-Salmani (2010), pemerintahan Khalifah Uthman adalah selama 12 tahun (644-656M) yang mana dibahagikan kepada dua fasa. Adapun fitnah yang terjadi sehingga menyebabkan kesyahidannya itu berlaku pada fasa kedua pemerintahannya. Para sejarawan bersepakat bahawa persitiwa pembunuhan Khalifah cUthman menjadi punca kepada berlakunya beberapa fitnah dalam kalangan umat Islam. Antara lain seperti al-Sallabi (2008) menyatakan bahawa:
Adalah fitnah pembunuhan Uthman r.a merupakan sebab kepada terjadinya pelbagai peristiwa fitnah yang lain. Terdapat pelbagai punca yang menyebabkan berlakunya tragedi pembunuhan beliau seperti kesan-kesan kemewahan dalam kalangan masyarakat, perubahan keadaan sosial ketika itu, keluarnya para sahabat daripada kota Madinah, asabiyyah jahiliyyah, terhentinya ekspedisi pembukaan dan sebagainya.
Al-Khalidi (2007) menyatakan bahawa bermulanya fitnah pada tahun ketujuh daripada pemerintahan Khalifah Uthman iaitu pada tahun 30H. Ketika itu segala urusan menjadi tidak teratur, perselisihan bertambah teruk, musuh-musuh Islam sudah mula mempersiapkan pasukan tentera mereka secara rahsia di kota Bashrah, Kufah dan Mesir.
Dari segi situasi masyarakat yang berada di era pemerintahan Khalifah Uthman r.a pula berbeza daripada masyarakat yang ada pada dua era khalifah sebelumnya. Adalah menjadi sunnatullah bagi mana-mana masyarakat sekali pun akan mengalami perubahan dari masa ke semasa. Maka, boleh dikatakan bahawa masyarakat yang hidup masa era pemerintahan beliau ini memiliki berbezaan dari segi nilai pemikiran, ketahanan serta keimanan mereka berbanding dengan masyarakat sebelumnya (Marzuki 1994). Menurut al-Khalifah (2011), para sahabat r.a telah berjaya menghadapi fitnah yang paling besar. Fitnah tersebut ialah fitnah selepas daripada kewafatan baginda nabi Muhammad s.a.w. Melalui pembai’ahan Abu Bakar al-Siddiq sebagai khalifah, maka fitnah tersebut pun lenyap dan secara rasami bermulalah era kekhalifahan pertama dalam Islam.
Sikap dan perangai masyarakat era kepimpinan Khalifah Uthman r.a inilah yang menjadi pencetus kepada terjadinya fitnah ditambah pula dengan kemuculan gerakan al-Saba’iyyah yang cuba mengeruhkan lagi keadaan. Cerminan sikap masyarakat ketika itu dapat dilihat melalui tindakan-tindakan mereka yang biadap dan keterlaluan khususnya apabila mereka mentohmah dan menfitnah para sahabat r.a yang dilantik menjadi gabenor mereka. Al-Khalifah (2011) menjelaskan bahawa telah berlaku beberapa pemecatan yang melibatkan wilayah Mesir dan Kufah di era pemerintahan Khalifah Uthman r.a. Pemecatan tersebut adalah berpunca daripada tuntutan tidak berasas yang dikemukakan kepada khalifah dan khalifah terpaksa menunaikannya. Di Mesir, seorang sahabat nabi s.a.w yang terkenal iaitu Amru bin al-cAsh telah dipecat walhal beliau telah dilantik oleh baginda s.a.w, khalifah Abu Bakar dan cUmar. Mereka meminta supaya dilantik cAbd Allah bin Sa’d bin Abi Sarh. Manakala di Kufah pula, mereka telah menuntut supaya dipecat gabenornya Sa’id bin al-Ash dan dilantik pula seorang sahabat yang mulia Abu Musa al-Asycari. Namun, beliau pula dituduh sebagai seorang yang tidak cekap. Situasi masyarakat seperti inilah yang terpaksa dihadapi oleh Khalifah Uthman bin Affan.
Kemuncak tragedi fitnah bermula pada awalnya dengan isu pemalsuan surat Khalifah Uthman yang mana memerintahkan supaya gabenor Mesir, Abd Allah bin Sa’d bin Abi Sarh untuk membunuh kumpulan Muhammad bin Abu Bakar yang telah dilantik sebagai gabenor Mesir yang baru bersama beberapa orang rakyat Mesir yang datang mengadu kepada khalifah. Menurut al-Suyuti (2013), ketika Muhamamd bin Abu Bakar bersama dengan rombongannya ketika dalam perjalanan menuju ke Mesir, mereka telah menangkap seorang hamba berkulit hitam yang ketika itu sedang memaju untanya dengan cepat seakan-akan ada yang mengejarnya. Apabila ditahan, hamba tersebut mengatakan bahawa dia merupakan hamba kepada Khalifah Uthman yang dihantar untuk menemui gabenor Mesir (Ibn Abi Sarh) walhal gabenor Mesir yang baru sudah ada di hadapannya. Ternyata surat tersebut berisi:
Jika datang Muhammad bin Abu Bakar bersama si fulan dan si fulan, maka bunuhlah mereka semua dan batalkan isi kandungan surat yang dibawah olehnya. Tetaplah bertugas seperti biasa sehinggalah datang perintah daripadaku dan penjarakanlah mereka yang datang mengadu kepadaku itu sehingga datang perintah lain daripadaku insha Allah.
Maka hal ini telah menyebabkan kemarahan di pihak Muhammad bin Abu Bakar dan orang-orang Mesir yang ada bersama dengannya. Lalu, mereka berpatah balik ke kota Madinah. cAli bin Abi Talib dan Muhamamd bin Maslamah kemudiannya bertemu dengan khalifah bagi memohon izin supaya perwakilan daripada Mesir itu menghadap beliau. Ketika itu, Marwan bin al-Hakam ada bersama cUthman dan tatkala Marwan meminta izin untuk menguruskan hal ini, beliau diperintahkan untuk keluar dan tidak mencampuri urusan tersebut. Khalifah cUthman bin cAffan kemudiannya bersumpah dengan nama Allah bahawa beliau tidak tahu menahu tentang surat tersebut hatta tidak menulisnya (Marzuki 1994).
Akhirnya, mereka semua tahu bahawa surat tersebut ditulis oleh Marwan bin al-Hakam. Lalu, mereka meminta supaya cUthman menyerahkan Marwan namun tuntutan tersebut ditolak oleh beliau. Akibatnya, para pengikut Muhamamd bin Abu Bakar mengepung rumah khalifah (al-Suyuti 2013). Kepungan tersebut berlaku selama 40 hari. Penduduk kota Madinah ketika itu pula masing-masing membawa pedang bersedia seandainya berlaku pemberontakan. Pada hari yang ke-30, para pengepung kemudiannya mengetatkan kepungan dan menyekat makan dan minum khalifah. Sehinggakan cAli bin Abi Talib r.a berteriak kepada mereka:
Wahai manusia, bahawa apa yang kamu semua lakukan ini langsung tidak seperti sikap orang mukmin bahkan juga sikap orang kafir. Janganlah memutuskan bekalan makanan orang ini (Uthman bin Affan r.a). Hatta orang-orang Rom dan Parsi pun apabila menawan seseorang mereka akan memberikan makanan dan minuman. Apa yang dilakukan oleh orang ini? Mengapa kamu semua mengepung rumahnya dan ingin membunuhnya?
Lalu mereka menjawab: “Demi Allah kami tidak akan membiarkan dia makan dan minum!” (al-Khalifah 2011). cAli, al-Zubair, Talhah dan beberapa orang sahabat yang lain turut menghantar anak-anak mereka untuk mengawal rumah khalifah bagi tidak membenarkan sesiapa masuk dan meminta beliau untuk menyerahkan Marwan. Tatkala melihat keadaan itu, Muhamamd bin Abu Bakar bersama pengikut-pengikutnya menghujani pintu rumah khalifah dengan anak panah sehingga menyebabkan al-Hasan juga turut terkena panah. Hal tersebut telah membangkitkan kemarahan Bani Hasyim lalu, lalu Muhamamd bin Abu Bakar memasuki rumah Uthman melalui salah satu rumah orang Ansar. Sungguhpun begitu, tiada siapa yang mengetahui siapakah yang bersama dengan Muhammad bin Abu Bakar ketika itu. Sebaik sahaja menemui Uthman, beliau terus memegang janggut Uthman lalu Uthman berkata: “Demi Allah, seandainya ayahnya itu melihat apa yang kamu lakukan kepadaku ini, nescara dia tidak akan gembira dengan perbuatanmu kepadaku itu.” Mendengar kata-kata itu, Muhammad bin Abu Bakar mulai sedar dan melepaskan genggamannya. Lalu orang yang menuruti beliau pun tiba dan terus memukul Uthman sehingga beliau meninggal dunia dan mereka terus melarikan diri melalui tempat mereka masuk itu tadi. Mengetahui hal itu, isteri Uthman Na’ilah al-Farafisah mengkhabarkan bahawa Amir al-Mukminin telah dibunuh (al-Suyuti 2013).
Berkenaan dengan si pembunuh Khalifah Uthman bin Affan, yang jelasnya bukanlah Muhammad bin Abu Bakar setelah terkesima mendengar ucapan Uthman kepadanya. Maka terdapat banyak riwayat yang menceritakan tentang pembunuh tersebut. Namun yang pasti apa yang disepakati ialah para pembunuh tersebut merupakan pemberontak dari Mesir. Al-Khalifah (2011) menukilkan riwayat daripada Muhamamd bin Talhah bin Ubaidillah r.a beliau berkata:
Dikhabarkan kepadaku Kinanah hamba kepada Umm al-Mu’minin Safiyyah dia berkata: “Aku menyaksikan pembunuhan cUthman r.a...Aku (Muhamamd bin Tahlah) bertanya kepadanya: “Adakah terdapat pada Muhamamd bin Abu Bakar itu kesan daripada darah cUthman?” Dia menjawab: “Ma’adza Allah, beliau (Muhamamd bin Abu Bakar) memasuki rumahnya namun setelah itu beliau keluar tanpa sebarang kesan darahnya.” Aku bertanya lagi kepada Kinanah: “Jadi siapakah yang membunuh Uthman?” Dia berkata: “Seorang lelaki daripada penduduk Mesir.”
Sungguhpun begitu, Marzuki (1994) merumuskan bahawa komplot pembunuhan khalifah Uthman itu didalangi oleh gerakan Saba’iyyah yang menyasarkan para pegawai yang dilantik oleh khalifah sehinggalah akhirnya nyawa beliau sendiri terkorban. Sejak itu, kedudukan umat Islam menjadi tidak jelas disebabkan oleh sukarnya membezakan antara orang yang baik dan orang yang berniat jahat terhadap Islam. Amat sukar membezakan mana satu kawan dan lawan memandangkan semuanya sudah bercampur dalam masyarakat Islam.
4.0 ANALISIS CIRI-CIRI KEPIMPINAN KHALIFAH UTHMAN BIN AFFAN
Kita sebagai generasi umat Islam yang terkemudian sudah semestinya sangat menghormati dan menjunjung kemuliaan yang dimiliki oleh para sahabat r.a. Mereka semua sebagaimana yang telah disifatkan oleh Allah s.w.t:
Nabi Muhammad (s.a.w) ialah Rasul Allah; dan orang-orang yang bersama dengannya bersikap keras dan tegas terhadap orang-orang kafir yang (memusuhi Islam), dan sebaiknya bersikap kasih sayang serta belas kasihan kasihan sesama sendiri (umat Islam). Engkau melihat mereka tetap beribadat rukuk dan sujud, dengan mengharapkan limpah kurnia (pahala) dari Tuhan mereka serta mengharapkan keredaanNya. Tanda yang menunjukkan mereka (sebagai orang-orang yang soleh) terdapat muka mereka - dari kesan sujud (dan ibadat mereka yang ikhlas). Demikianlah sifat mereka yang tersebut di dalam Kitab Taurat; dan sifat mereka di dalam Kitab Injil pula ialah: (bahawa mereka diibaratkan) sebagai pokok tanaman yang mengeluarkan anak dan tunasnya, lalu anak dan tunasnya itu menyuburkannya, sehingga ia menjadi kuat, lalu ia tegap berdiri di atas (pangkal) batangnya dengan keadaan yang mengkagumkan orang-orang yang menanamnya. (Allah menjadikan sahabat-sahabat Nabi Muhammad, s.a.w dan pengikut-pengikutnya kembang biak serta kuat gagah sedemikian itu) kerana Ia hendak menjadikan orang-orang kafir merana dengan perasaan marah dan hasad dengki - dengan kembang biaknya umat Islam itu. (Dan selain itu) Allah telah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari mereka, keampunan dan pahala yang besar.
[Surah al-Fath: 29]
Mereka sebagai generasi terawal yang memperjuangkan agama Islam sudah pasti memiliki kemuliaannya yang tidak dimiliki oleh kita semua. Hal ini telah dibuktikan oleh baginda s.a.w sendiri dengan sabdaannya daripada Abu Hurairah r.a yang bermaksud:
Janganlah kamu semua mencela para sahabatku! Janganlah kamu semua mencela para sahabatku! Demi Zat yang jiwaku berada ditangan-Nya, sekiranya salah seorang daripada kamu menginfakkan emas sebesar Gunung Uhud, tidaklah setara infak kamu itu walaupun cukup satu cupak apatah lagi separuh daripadanya.
[H.R Muslim 2540]
Berkenaan dengan kemuliaan dan kelebihan para sahabat r.a khususnya tokoh yang dibicarakan dalam kajian ini, al-Suyuti (2013) menjelaskan:
Seluruh pengikut Ahl al-Sunnah telah bersepakat bahawa semulia-mulia manusia yang ada selepas baginda Rasulullah s.a.w ialah Abu Bakr kemudian cUmar, cUthman dan cAli serta bakinya sehingga mencukupi 10 orang sahabat, para sahabat yang menyertai Peperangan Badar dan Uhud…
Namun begitu, apabila melibatkan pengkajian sejarah Islam yang berlaku ketika era ini memerlukan para sejarawan untuk menganalisis dan mentafsir peristiwa-peristiwa yang berlaku. Analisis dan pentafsiran sejarah tersebut bukanlah untuk mencari kesalahan dan kekurangan bagi bertujuan untuk mencerca dan merendah-rendahkan generasi ketika itu (sahabat). Bahkan, peristiwa yang berlaku ketika itu adalah berikutan daripada punca-punca tertentu baik daripada sikap dan tingkah laku. Melalui penganalisisan peristiwa akan membawa kepada satu kesimpulan yang mana dapat dijadikan panduan dan pedoman bagi generasi yang akan datang. Sebagaimana dalam kertas kajian ini, pengkaji berusaha untuk menganalisis ciri-ciri kepimpinan Khalifah Uthman bin Affan bagi mengetahui apakah hubungan antara ciri-ciri kepimpinan tersebut dengan tercetusnya al-Fitnah al-Kubra yang membawa kepada pembunuhan beliau sendiri.
Al-Qaradawi (2006) tatkala membicarakan soal perlunya penulisan semula sejarah Islam, beliau mengatakan bahawa dalam hal ini muncul pelbagai aliran moden yang cuba mentafsirkan semula sejarah Islam bertunjangkan aliran-aliran dan ideologi-ideologi moden hari ini. Walhal sepatutunya sekiranya ingin menulis kembali sejarah Islam katanya:
Jika kita ingin menulis kembali sejarah Islam, kita perlulah menentukan apakah tujuan disebalik penulisan tersebut. Kemudian, kita mengkaji kelemahan-kelemahan yang hendak kita kritik itu supaya ia tidak berulang kembali ke atas umat ini. Jadi, kita juga seharusnya menentukan saluran yang sesuai bagi menjadi panduan kepada penulisan sejarah Islam itu.
Maka, kajian ini adalah bertujuan untuk mengkaji kelemahan yang kekurangan yang ada ketika itu seterusnya menyimpulkan beberapa iktibar dan pengajaran daripadanya. Hal ini diharapkan dapat membantu kita daripada melakukan kesilapan yang sama pada masa kini dan akan datang.
Disebabkan oleh keterbatasan ruang untuk membicarakan tentang keseluruhan isu yang melibatkan ciri-ciri kepimpinan Khalifah cUthman bin cAffan, maka pengkaji hanya menumpukan kepada tiga isu utama yang menonjolkan dengan jelas bentuk kepimpinan yang diamalkan. Menurut Amhazwan (2005), ketiga-tiga ciri tersebut ialah bersikap lembut berbanding Khalifah Umar yang bersikap keras, mengutamakan kaum kerabatnya dalam pentadbiran dan tindakan Khalifah Uthman yang enggan melepaskan jawatan. Setiap satu ciri tersebut disertakan juga kesannya bagi menunjukkan hubungan antara sebab dan akibat dalam sesuatu peristiwa sejarah.
Ciri-ciri
|
Kesan
|
Bersikap lembut berbanding Khalifah Umar yang bersikap keras.
|
Kebaikan khalifah telah disalahgunakan oleh sebahagian golongan yang ingin mencetuskan fitnah diketuai oleh Abdullah bin Saba’ (al-Sallabi 2008).
|
Mengutamakan kaum kerabatnya dalam pentadbiran.
|
Pelbagai jawatan penting diisi oleh kaum Bani Umaiyyah yang merupakan keluarga khalifah Uthman.Tuduhan nepotisme mulai tersebar (Hitti 2008).
|
Tindakan Khalifah Uthman yang enggan melepaskan jawatan.
|
Sekiranya beliau bersetuju untuk melepaskan jawatannya sudah tentu ia akan menjadi satu kebiasaan di mana apabila setiap kali rakyat tidak menyukai pemimpinnya, mereka akan memecatnya (Amhazwan 2005).
|
Isu pertama adalah berkenaan Khalifah Uthman bin Affan r.a merupakan seorang yang bersikap lembut berbanding pendahulunya iaitu Khalifah Umar bin al-Khattab r.a bahkan semua mengenali beliau sebagai seorang yang lemah lembut dan pemurah. Sehinggakan dalam soal urusan pemerintahan juga beliau menggunakan pendekatan yang sebegitu. Al-Suyuti (2013) menyatakan hal ini dengan memetik kata-kata daripada al-Zuhri:
ولي عثمان اثنتي عشرة ستة، يعمل ست سنين لا ينقم الناس عليه شيئا، وإنه لأحب إلى قريش من عمر بن الخطاب لأن عمر كان شديدا عليهم...
Maksudnya:
Khalifah Uthman menjawat jawatan sebagai khalifah selama 12 tahun. Pada enam tahun pertamanya tiada seorang pun yang menentangnya memandangkan beliau lebih disukai oleh kaum Quraisy berbanding Umar al-Khattab yang telah bersikap tegas terhadap mereka...
Sikap lemah lembut Khalifah Uthman r.a ini dapat dilihat dengan jelas melalui beberapa polisi pentadbiran beliau yang ternyata berbeza dengan polisi yang digunakan pada era Khalifah Umar. Antaranya ialah polisi mengendurkan pergerakan para rakyat yang terdiri daripada para sahabat terutamanya daripada kaum Muhajirin Quraisy (Marzuki 1994).
Namun begitu, akibat daripada keizinan para sahabat untuk keluar dari kota Madinah telah menyebabkan mereka masing-masing menyebarkan pengaruh mereka sehingga timbulah perselisihan antara mereka dengan Khalifah Uthman bin Affan r.a. Antara sahabat yang mula berselisih pendapat dengan khalifah ialah Abu Dzar al-Ghiffar r.a. Para pengikut Abu Dzar pula bukanlah orang yang benar-benar memahami Islam sehinggakan gabenor Syam ketika itu Muawiyyah bin Abu Sufyan r.a mengadukan hal ini kepada khalifah. Lalu Abu Dzar r.a dipanggil ke kota Madinah setelah berbincang dengan khalifah, Abu Dzar al-Ghiffari sendiri memilih untuk tinggal di satu tempat bernama al-Rabzah yang terletak tidak jauh dari kota Madinah (Murtiningsih 2018).
Malangnya, perselisihan ini telah dimanfaatkan oleh golongan penentang Khalifah Uthman khususnya golongan al-Saba’iyyah yang telah mengekspliotasi isu ini untuk menggangu gugat politik Khalifah cUthman r.a serta merosakkan hubungan sesama umat Islam bagi mengeruhkan lagi suasana (Marzuki 1994).
Apabila kita menilai semula isu ini, adalah tidak dapat dinafikan bahawa setiap pemimpin memiliki ciri-ciri kepimpinan yang berlainan. Perbezaan sikap antara Khalifah Umar yang tegas dengan penggantinya Khalifah Uthman yang lemah lembut itu telah diambil kesempatan oleh musuh-musuh Islam. Andai kata beliau bersikap tegas terhadap musuh-musuh Islam ini sebagaimana yang dilakukan oleh pendahulunya, sudah tentu golongan ini akan tidak berani membuat sebarang onar terhadap masyarakat Islam ketika itu.
Manakala isu kedua ialah melibatkan tindakan Khalifah cUthman yang mengutamakan kaum kerabatnya dalam pentadbirannya. Al-Suyuti (2013) menyatakan bahawa Ibn al-Musayyab ketika ditanya oleh al-Zuhri berkenaan dengan peristiwa pembunuhan khalifah Islam ketiga ini beliau mengatakan:
Sesungguhnya ketika Uthman memerintah, terdapat segolongan daripada para sahabat yang tidak menyukai polisi pemerintahannya disebabakan oleh beliau lebih cenderung kepada kaumnya. Maka beliau banyak melantik selama tempoh pemerintahannya adalah kebanyakannya berasal daripada Bani Umaiyyah yang bahkan tidak pernah hidup bersama Rasulullah s.a.w. Mereka yang dilantik ini tidak disenangi oleh para sahabat Rasulullah namun Uthman tidak memecat mereka.
Arif (2015) memetik komentar yang diberikan oleh Muhamamd Abu Zahrah mengenai isu ini. Beliau mengaitkan tindakan pelantikan kaum kerabat Bani Umaiyyah dalam jawatan-jawatan kerajaan oleh Khalifah Uthman adalah berpunca daripada kurangnya perbincangan antara beliau sendiri dengan para sahabat yang lain. Walhal perbincangan bersama para sahabat yang lain sebelum membuat sebarang keputusan adalah menjadi satu polisi ketika mana era Khalifah Abu Bakar dan Umar r.a. Sungguhpun begitu, tidaklah semua pegawai yang dilantik oleh Khalifah Uthman itu tidak baik bahkan ada yang dapat melaksanakan tugasnya dengan baik. Namun, tidak juga dinafikan terdapat pegawai-pegawainya yang didapati bersikap keras terhadap rakyat, apabila diadukan kepada beliau tiada tindakan dikenakan kepada pegawai tersebut. Hal ini sebagaimana kes yang melibatkan gabenor Mesir yang dilantik oleh Khalifah Uthman r.a iaitu Abd Allah bin Sa’ad bin Abi Sarh yang merupakan saudara sesusuan khalifah.
Al-Suyuti (2013) dalam hal ini menceritakan bahawa rakyat Mesir datang mengadukan kepada Khalifah Uthman tentang kelakuan buruk yang dilakukan oleh Abd Allah bin Sa’ad bin Abi Sarh. Lalu khalifah kemudiannya mengutus surat kepada beliau dan memberikan peringatan yang keras tentang apa yang telah dilakukan olehnya. Malangnya Ibn Abi Sarh tidak mengendahkan peringatan tersebut bahkan membunuh orang-orang Mesir yang datang mengaduk kepada khalifah. Setelah itu, sekitar 700 orang Mesir datang ke kota Madinah lalu mereka memasuki Masjid Nabawi dan mengadukan hal tersebut kepada para sahabat r.a. Kemudian sahabat seperti Talhah bin cUbaidillah, Ali bin Abi Talib hatta Ummu al-Mu’minin cAisyah juga mengutus surat meminta supaya diberikan keadilan kepada rakyat Mesir yang mengadu itu. Maka, khalifah mengambil keputusan untuk melantik Muhamamd bin Abu Bakar sebagai gabenor Mesir yang baru sebagaimana yang diminta oleh penduduk Mesir itu.
Maka, dapat disimpulkan bahawa tindakan melantik kaum kerabat sebagai pegawai-pegawai kerajaan yang ternyata berkemampuan untuk mentadbir adalah tidak salah Sebagaimana Mu’awiyyah bin Abi Sufyan yang menjadi gabenor Syam. Namun, apabila sudah ternyata bahawa pegawai-pegawai tersebut tidak berkemampuan dan menindas rakyat seperti Ibn Abi Sarh ini, maka seharusnya dia dipecat dan diganti dengan yang lebih baik. Dalam hal ini, tindakan Khalifah Uthman itu adalah wajar. Namun, tindakan khalifah ini telah diambil kesempatan oleh musuh-musuh Islam bagi mentohmah bahawa seolah-olah Khalifah cUthman telah melakukan nepotisme yang tercela.
Isu ketiga adalah berkenaan dengan tindakan Khalifah Uthman yang enggan melepaskan jawatan setelah didesak oleh para pemberontak. Pendirian yang ditunjukkan oleh beliau ini adalah bersandarkan kepada sebuah hadis yang telah disabdakan oleh baginda Nabi Muhamamd s.a.w kepada dirinya:
يا عثمان إنه لعل الله يقمصك قميصا فإن أرادوك على خلعه فلا تخلعه لهم
Maksudnya:
Wahai Uthman, boleh jadi Allah akan memakaikan kamu dengan satu pakaian sehingga apabila mereka mahu kamu menaggalkannya maka janganlah kamu tanggalkannya sebagai mana permintaan mereka.
[H.R al-Tirmidzi dan al-Hakim]
Marzuki (1994) dalam menjelaskan maksud hadis ini mengatakan bahawa kerana berpegang dengan pesanan nabi Muhamamd s.a.w kepadanya ini, Khalifah Uthman bin Affan dengan tegas menolak tuntutan para pemberontak yang menuntut supaya beliau melepaskan jawatan. Hadis ini juga menjelaskan bahawa kumpulan-kumpulan yang cuba menentangnya itu benar-benar jahat, memusuhi Islam dan mereka sebenarnya adalah orang-orang munafiq. Jika mereka benar-benar berjuang atas prinsip kebenaran dan keadilan Islam, mereka sudah tentu tidak akan memilih jalan sebegini sehingga akhirnya mengorbankan nyawa khalifah sendiri. Hal ini juga bertepatan dengan pendapat yang diutarakan oleh Amhazwan (2005) yang mengatakan:
Sekiranya beliau bersetuju untuk melepaskan jawatannya sudah tentu ia akan menjadi satu kebiasaan di mana apabila setiap kali rakyat tidak menyukai pemimpinnya, mereka akan memecatnya.
Jadi, kita dapat simpulkan bahawa dalam soal ini, Khalifah Uthman r.a menunjukkan ciri kepimpinannya yang terbaik iaitu “berani kerana benar, takut kerana salah”. Sekiranya benarlah kesalahan itu dilakukan oleh beliau, mengapa beliau sanggup menggadaikan nyawanya sendiri di tangan para pemberontak tersebut?
5.0 PENUTUP
Bagi memahami sesuatu peristiwa sejarah dengan baik, adalah perlu untuk kita bersikap adil dalam menilai sesuatu peristiwa itu. Sungguhpun begitu, Marzuki (1994) menjelaskan bahawa sasaran kritikan yang dilemparkan bukanlah terhadap kelemahan atau kekurangan yang melibatkan cara Khalifah cUthman mengendalikan negara. Walhal, sasaran yang sebenar adalah lebih jauh daripada itu iaitu menjatuhkan pemerintahan Islam melalui pemerintahan beliau yang mana dengan kata lain, era pemerintahan ini dijadikan alasan dan batu loncatan bagi merealisasikan matlamat tersebut. Setelah dianalisis ketiga-tiga ciri kepimpinan Khalifah cUthman bin cAffan sebagaimana di atas dapatlah disimpulkan bahawa:
1.Seorang pemimpin tidak boleh bersikap terlalu lembut sehingga membolehkan musuh mengambil kesempatan terhadapnya. Sebagaimana firman Allah s.w.t yang bermaksud: “Dan ingatlah (wahai Muhammad), ketika orang-orang kafir musyrik (Makkah) menjalankan tipu daya terhadapmu untuk menahanmu, atau membunuhmu, atau mengusirmu. Mereka menjalankan tipu daya dan Allah menggagalkan tipu daya (mereka), kerana Allah sebaik-baik yang menggagalkan tipu daya”. Surah al-Anfal ayat 30. Oleh itu, adakalanya kita perlu bersikap tegas sehingga menyebabkan musuh menjadi takut untuk menentang.
2.Dalam isu melantik individu bagi mengisi suatu jawatan atau pekerjaan, kriteria utamanya adalah kelayakannya untuk memikul tugas tersebut walaupun dia berasal daripada keluarga kita. Ia selari dengan firman Allah s.w.t yang bermaksud: “…sesungguhnya sebaik-baik orang yang ayah ambil bekerja ialah orang yang kuat, lagi amanah". Surah al-Qasas ayat 26. Sekiranya sudah jelas ketidaklayakkannya, maka semestinya digantikan dengan yang lebih layak.
3.Sekiranya kita berada dipihak yang benar, janganlah rasa takut dan tunduk kepada kebatilan. Firman Allah s.w.t yang bermaksud: “...sesungguhnya yang salah itu sememangnya satu perkara yang tetap lenyap". Surah al-Isra’ ayat 81.
RUJUKAN
1. Al-Khalidi, Salih cAbd al-Fattah. 2007. Al-Khulafa’ al-Rasyidin Baina al-Istikhlaf wa al-Isytisyhad. Damsyiq: Dar al-Qalam.
2. Al-Khalifah, Hamid Muhamamd. 2011. Al-Insaf fi ma Waqa’ fi al-cAsr al-Rasyidi min al-Khilaf. Riyadh: Dar al-Mayman li al-Nasyr wa al-Tawzi’.
3. Al-Qalqasyandi, Ahmad bin cAbd Allah. 2006. Ma’thar al-Inafah fi Ma’alim al-Khilafah. Beirut: Alim al-Kutub.
4. Al-Qaradawi, Yusuf. 2006. Tarikhuna al-Muftara cAlaih. Kaherah: Dar al-Syuruq.
5. Al-Sallabi, cAli Muhammad. 2008. Haqiqah al-Khilafah Baina al-Sahabah fi Ma’rakah al-Jamal wa al-Siffin wa Qadiyyah al-Tahkim. Beirut: Dar al-Ma’rifah.
6. Al-Salmani, cAbd Allah Taha. 2010. Tarikh al-Khulafa’ al-Rasyidin. cAmman: Dar al-Fikr.
Al-Suyuti, Jalal al-Din. 2013. Tarikh al-Khulafa’. Qatar: Wazarah al-Awqaf wa al-Syu’un al-Islamiyyah.
7. Choirun Niswah. 2015. Pendidikan Islam pada Masa Khulafa Al-Rasyidin dan Bani Umayyah. Tadrib 1(2): 171-186.
8. Marzuki Haji Mahmood. 1994. Isu-isu Kontroversi dalam Sejarah Pemerintahan Khulafa’ al-Rasyidin. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
9. Muhammad Amhazwan. 2005. Tahqiq Muwaqif al-Sahabah fi al-Fitnah min Riwayat al-Imam al-Tabari wa al-Muhaddithin. Kaherah: Dar al-Salam.
10. Muhammad Arif. 2015. Pemerintahan Khalifah Usman bin Affan; Analisis Historis Sebab-Sebab Munculnya Pemberontakan. Tesis Sarjana, Bidang Sejarah dan Peradaban Islam, Pascasarjana, Universitas Islam Negeri Alauddin, Makassar.
11. Murtiningsih. 2018. Tuduhan Nepotisme Terhadap Utsman Bin Affan dan Pengaruhnya Terhadap Kekhalifahan Ali bin Abi Thalib. Jurnal Raden Fatah 19(1): 159-176.
12. Philip K. Hitti. 2002. History of the Arabs; From the Earliest Times to the Present. New York: Palgrave Macmillan.
13. Rianawati. 2010. Sejarah & Peradaban Islam. Pontianak: STAIN Pontianak Press.
Sharifah Hayaati Syed Ismail al-Qudsy, Asmak Ab. Rahman & Mohd Izani Mohd Zain. 2008. Efektif Governan dan Pelaksanaannya dalam Pentadbiran Islam. Jurnal Syariah 16: 465-496.
___________________________
~ M.A Fitri ~
Lajnah Makalah Sejarah
Telegram: https://t.me/gerakanpenamy
Instagram: https://www.instagram.com/gerakanpenamy
_____________________________
Comments
Post a Comment