Pensejarahan: Antara Propaganda Dan Pencerahan

OLEH: Dr Sahul Hamid Mohamed Maiddin


Tersinggung sedikit laman sejarah yang popular baru-baru ini. Ramai yang melenting, dan tak kurang juga ramai yang bersetuju dengan tulisan saya. Bukanlah sengaja saya merancang untuk mengkritik laman itu, tetapi kerana saya terpanggil dek kerana ilmu sejarah sewenang-wenangnya ditafsirkan mengikut kehendak diri.

Ya, memang saya bukan intelektual dan tak ingin acah-acah pun seperti yang disindir oleh ahli page popular itu. Saya sekadar seorang bekas buruh sektor binaan yang berjuang keras sebelum kini memiliki Ijazah Sarjana Muda Sejarah, Master Sejarah dan PhD Sejarah. Dan saya tertanya-tanya juga apakah maksud sebenar intelektual yang difahami oleh admin page tersebut? Saya pernah diajar dengan bahasa paling mudah oleh mentor saya Prof Adnan Nawang bahawa intelektual ialah seorang yang mampu berhujah [secara rasional], dan kemudian mampu pula mempertahankan hujahnya [secara empirikal.]

Adapun berkaitan penulisan sejarah, ia merupakan satu disiplin ilmu yang mempunyai teori dan falsafahnya sendiri. Ramai orang boleh menulis tetapi tidak semua boleh menjadi sejarawan. Sepertimana ilmu biologi asas bagi doktor, ilmu lukisan teknikal asas bagi jurutera, begitu pula bagi seorang sejarawan, mestilah dia menguasai atau tahu falsafah sejarah.

Setelah mengenali Herodotus dan Thucydides, kalau mahu menulis sejarah sepertimana ia benar-benar berlaku, ia Rankean (Leopold von Ranke), kalau menganalisis dari sudut dialektika materialisme ia Marxist. Kalau suka sejarah sosial dari bawah ia Annales. Kalau gemar menggunakan sejarah sebagai alat propaganda maka anda ikutlah Joseph Goebbles, Menteri Propaganda Nazi atau Roeslan Abdulgani dan Sukarno dari Indonesia. Dan kalau ingin mengasosiasikan pensejarahan dengan Islam maka jadilah seperi Ibn Khaldun dan Al-Masu'di.

Pada banyak keadaan saya gemar memilih aliran Rankean bagi mempersembahkan sejarah sebagaimana ia berlaku. Dan diadun pula dengan pendekatan Al-Masu'di yang menitikberatkan amanah yang tinggi dalam memelihara ketulenan fakta fan tafsiran peristiwa yang berlaku. Beliau, hatta menulis sejarah dengan menuruti rantaian perawi bagi memastikan isinya benar-benar autoritatif. Penulisan sejarah sangat objektif tetapi masih berada di bawah "ranking" perekodan hadith Nabi saw. Hadith mempunyai ilmu rijal misalnya yang meneliti latar belakang setiap perawi hadith. Pensejarahan tidak begitu tetapi paling tidak ada panduan asas iaitu, "sebelum kenali sejarah, kenali sejarawannya." Sejarah tidaklah serinci ilmu Hadith namun ada piawaiannya yang tersendiri. Ia tidak kudus, tetapi ia harus tulus.

Begitulah setiap ilmu ini ada disiplin dan tertibnya yang tersendiri.
Tulislah sejarah, tetapi tulislah dengan telus dan tulus. Tulislah sejarah, tapi elakkan menulisnya dengan "preconceived notion." Jangan jadikan sejarah sebagai alat propaganda. Sejarah, pada satu ekstrim, ia menjadi alat pencerahan dan pada ekstrim yang lain ia menjadi alat penjajahan.

___________________________
Dr Sahul Hamid Mohamed Maiddin ~
Unit Sejarawan
_____________________________

Comments