Sang Laksmana Empayar Uthmaniyyah

OLEH: Muhamad Hazim


  Umat Islam juga mempunyai ‘lanun’ yang luar biasa yang hidup di era Uthmaniyyah. Pelayar ini lahir di Gelibolu (Gallipoli), pada tahun 1468 dan meninggal pada tahun 1554. Beliau ialah Muhiddin Piri atau lebih dikenali sebagai Piri Reis, anak kepada Haci Mehmet. Pakcik beliau merupakan laksamana yang masyhur ketika itu, Kemal Reis. Berkenaan anak-anak yang dilahirkan di kawasan ini, Ibn Kemal, Ahli Sejarah Turki berkata, “Kanak-kanak Gelibolu membesar di dalam air seperti buaya. Buaian mereka adalah kapal. Mereka tidur dengan nyanyian (bunyi) laut dan kapal pada waktu siang dan malam,”

  Piri Reis juga dibesarkan seperti kanak-kanak Turki yang lain di Gallipoli serta mendapat pendidikan di rumah dan sekolah rendah yang serba sedikit telah menyebabkan beliau lebih memahami tentang dunia ini. Sewaktu Piri berusia 12 tahun, beliau telah menyertai krew pakciknya, Kemal Reis. Begitu lah selalunya seorang yang luar biasa, diasah dan didedahkan kepada dunia realiti dengan didikan yang betul sejak kecil lagi tetapi tidak semestinya jika telah lanjut umur bermakna kita telah terlewat kerana peluang itu sentiasa wujud buat sesiapa yang bijak untuk memanfaatkannya.

  Piri merupakan seorang pemerhati yang begitu teliti dan hero laut yang akan sentiasa terpahat namanya di dalam sejarah kerana jasanya yang tiada tandingan. Beliau bermula kerjayanya sebagai pengawal kepada pakciknya serta terlibat dalam pelbagai aktiviti di laut. Kita boleh menelusuri kehidupan beliau dengan menelaah bukunya, ‘Bahriye’, yang bermaksud ilmu pelayaran, sebanyak 753 muka surat.

  Piri Reis juga telah mencatit di dalam notanya segala yang dilaluinya dan menghimpunkan dalam buku itu (Bahriye) kerana baginya setiap apa yang tidak dicatat akan lupa; dan setiap perkara atau hal perlu ditulis tepat pada masanya supaya jika beliau ke tempat yang sama semula, beliau akan mengetahui segalanya tentang kawasan itu dengan sebenar-benarnya. Hal ini demikian, boleh direflekkan pada diri kita sebagai penuntut ilmu, bahawasanya segala yang diajar itu perlu dicatat dan diulang sentiasa dan akhirnya perlu diaplikasikan!

  ‘Bahriye’, karya agung Piri Reis, merupakan buku rujukan untuk ke Aagean dan Mediterranean kerana beliau telah berlayar hampir ke seluruh kawasan tersebut sehinggakan telah mendapat peluang emas untuk mengkaji lebih lanjut tentang pelabuhan Adriatik, Itali, Perancis, Tunisia dan Sepanyol serta mencatit kesemua kejadian dan apa yang dilihatnya di dalam buku tersebut. Beliau telah siapkan karya ini sekitar tahun 1520.

  Berdasarkan kitab itu, boleh digambarkan beliau sebagai seorang penulis travelog yang ulung dan luar biasa kerana setiap satu perkara atau kejadian, akan dinyatakan secara terperinci olehnya. Misalannya, ketika menerangkan tentang bandar dan pelabuhan Salonica, beliau menulis tentang saiz bandar tersebut, posisi kubu yang wujud, kenyataan bahawa kapal-kapal besar mampu diletakkan di pelabuhan tersebut serta memberi ukuran-ukuran berkaitannya seperti seorang ‘arkitek’ di lautan. Bukan hanya kawasan, bahkan juga peperangan yang disertai (angka tidak pasti) oleh krew pakciknya itu dicatat dengan tepat beserta tarikh.   

  Beliau juga telah nyatakan di dalam pengenalan bagi buku Bahriye tentang kepayahan melukis peta, kepentingannya dan kenapa perlunya melukis peta dengan ukuran yang tepat. Walau begitu kecil kesalahan dari segi ketepatan dilakukan sewaktu membuat dan melukis peta, akan menyebabkannya tiada nilai kerana kesilapan tersebut akan merubah segalanya termasuk para pelayar akan mengahadapi kesusahan dalam mengetahui jarak serta mencari kawasan yang ingin dituju.

  Peringatan oleh laksmana ini, jika kau ingin mengembara, perlulah difahami cara penggunaan kompas dengan betul supaya tidak dicampakkan diri di dalam kesusahan; kerana tidak diketahui ke arah mana kamu sedang belayar. Jalan darat pun guna Google Maps, apatah lagi laut yang luasnya 2/3 bumi. Begitu juga dalam hidup, perlu dirancang dengan sebaiknya serta menjadikan ilmu yang benar dan guru yang berwibawa sebagai pembantu dalam menggapai cita-cita yang diingini. Jika diteliti, Allah juga memberi kita kompas untuk hidup di muka bumi ini iaitu Al-Quran kerana kita hanyalah hamba kepada Tuhan yang Maha Esa.

  Pelayar yang bernilai buat peradaban Uthmaniyyah ini bukan sahaja telah menulis ‘Bahriye”nya tetapi juga telah menghasilkan dua peta yang sangat penting. Tetapi daripada keseluruhan peta tersebut, hanya 1 bahagian sahaja yang dapat ditemukan. Apa yang menarik tentang lukisan petanya di sebelah timur Amerika dan kawasan Barat Afrika, Portugal dan Sepanyol, adalah hampir sama keseluruhannya dengan peta yang dihasilkan pada zaman moden ini. Ini telah menunjukkan kehandalan Piri Reis dalam menguasai teknik pemetaan (cartography). Piri Reis akan sentiasa dikenang walau namanya tidak dikenali kerana kegigihan dan kehebatan beliau dalam menggapai misi beliau untuk melukis peta beliau dalam menggapai misi beliau untuk melukis peta dengan tepat.

*Buat sesiapa yang berminat, buku yang berjudul ‘Bahriye’ masih dijual dan boleh didapati di kedai-kedai buku di Turki.

Rujukan:
- Life and Works of Piri Reis, 1975, Prof. Dr. Afetinan.
- Bahriye, 1935 (diterbitkan), Piri Reis.

___________________________
~ Muhamad Hazim ~
Lajnah Sejarah Dan Tradisi
_____________________________

Comments