Bagaimana Tanah Peneroka Jawa Menjadi Tanah Rizab Melayu Di Selangor

OLEH: Saufy Jauhary


Negeri Selangor boleh dikatakan negeri yang teramai sekali suku Jawa di Malaysia. Jika jumpa saja rakyat Selangor pasti mereka adalah orang Jawa ataupun setidak-tidaknya berdarah Jawa sama ada dari sebelah bapa atau sebelah ibu. Dari segi sejarah, orang-orang Jawa telah berhijrah dari Tanah Jawa ke negeri Selangor sejak dari tahun 1880 Masihi lagi. Penghijrahan orang-orang Jawa adalah secara berperingkat hinggalah mencapai tahun 1940-an.




Perkembangan pertanian kopi dalam tahun 1880-an dan 1890-an telah menarik perhatian orang Jawa ke Selangor. Beberapa permohonan untuk membuka tanah untuk menanam kopi di kalangan orang Jawa dan orang Melayu telah diterima oleh British.

Pada tahun 1886 orang Jawa telah berjaya membuka ladang kopi secara kecil-kecilan di kuala Lumpur, sementara itu di Kelang, Datuk Dagang telah menanam pinang dan padi di kawasan seluas 600 ekar dengan menggunakan buruh Jawa.

Pada awal tahun 1890-an, Daerah Ulu Selangor dilaporkan telah dipenuhi oleh orang Melayu Asing terutama Jawa, Minangkabau dan Kerinci yang menanam kopi, buah-buahan dan padi.

Sebelum British mentadbirkan negeri-negeri Melayu, tanah mudah untuk dimiliki dan sesiapapun bebas meneroka pada mana-mana tanah yang diingini. Apabila British mula mengambil alih pentadbiran di negeri-negeri Melayu, tanah merupakan salah satu sumber penting dalam perkembangan ekonomi Selangor. Kerajaan British telah mengambil langkah untuk melindungi tanah orang Melayu yang telah mereka warisi sejak zaman nenek moyang mereka lagi agar tidak terlepas ke bangsa asing.

Kerajaan British menegaskan dalam tahun 1912 bahawa,

"The Government is entirely opposed to any proposition which involved the ousting of the native inhabitants from their acestral lands, steps are being taken to prevent such a calamity."

terjemahan;

"Pihak kerajaan menentang sepenuhnya terhadap apa-apa juga cadangan yang melibatkan pengusiran penduduk asal dari tanah nenek moyang mereka, langkah-langkah sedang diambil untuk mengelakkan bencana seperti itu."

Undang-undang yang lebih ketat juga telah dimasukkan dalam Undang-Undang Tanah simpan Orang Melayu No. 15, 1913. Pengertian Melayu di sini merangkumi orang Melayu dari Kepulauan Melayu seperti Borneo, Jawa, Sumatera dan Makassar.

"Malay means a person belonging to any Malayan race who habitually speaks the Malay Language or any Malayan Language and professes the Moslem religion."

terjemahan:

"Melayu bermaksud seseorang yang berbangsa Melayu yang kebiasaannya bercakap dalam bahasa Melayu atau mana-mana bahasa orang Melayu dan mengaku beragama Islam."

Ini bermakna dengan jelas, orang Jawa adalah tergolong dalam istilah Melayu, dan dengan itu penempatan orang Jawa telah diwartakan oleh kerajaan sebagai tanah simpanan Melayu. Langkah ini selari dengan tujuan kerajaan Selangor (British) untuk mengekalkan kedudukan orang Melayu sebagai penduduk dalam bidang pertanian.

Pada tahun 1931, dalam laporan Jawatankuasa Penanaman Padi sekali lagi disyorkan betapa mustahaknya diindungi masa hadapan bumiputera di negeri-negeri Melayu. Oleh itu semua kawasan yang sesuai untuk pertanian padi hendaklah dijadikan tanah simpanan Melayu.

SUMBER: Orang Jawa Di Selangor. Penghijrahan Dan Penempatan 1880-1940, Terbitan Dewan Bahasa Dan Pustaka, Cetakan Kedua 1987.

___________________________

~ Saufy Jauhary ~
Lajnah Sejarah Dan Tradisi
_____________________________

Comments