Orang-Orang Terengganu 1880-1900an di Era Sultan Zainal Abidin III

OLEH: Izmal Karim


Petikan & Sejarah : Orang-Orang Melayu Terengganu – 1880 - 1900an.

Deskripsi :

Petikan di bawah memaparkan perilaku,cara hidup dan kerjaya orang Melayu Terengganu sekitar 1880-1900an di zaman awal pemerintahan Sultan Zainal Abidin III ( 1881 – 1918) Kesultanan Terengganu.

“Keadaan dan tingkah laku dan peribadi orang-orang Melayu Terengganu ini di dapati jauh bezanya dengan tingkah laku dan peribadi orang-orang Melayu Pahang dan Kelantan.Orang Melayu Terengganu ini bertabiat suka hidup aman; tidak suka bertabiat kasar atau berkelahi atau berperang (kecuali orang Melayu Terengganu yang diam di Besut dan Setiu yang bertabiat agak garang terhadap bangsa asing). Pada amnya, kecenderungan hidup orang Melayu Terengganu itu ialah hendak bekerja iaitu mereka tidak membangga-banggakan bangsa dan negeri mereka.

Sultan Zainal Abidin III
Orang Melayu Terengganu itu ialah suatu bangsa yang kuat memegang ugama Islam, lebih kuat daripada lain-lain orang Melayu di Tanah Melayu; di mana-mana tempat dalam negeri Terengganu itu ada orang mengajarkan pengajaran ugama Islam: tetapi mereka banyak pula mempercayai kepercayaan-kepercayaan karut yang di hubungkan dengan ajaran ugama Islam. Anak-anak mereka dari kecil lagi telah di ajar membaca Mukaddam (Juz Amma) dan setelah khatam lalu membaca Al –Quran dengan tiada mengetahui apa-apa maknanya dalam bahasa Melayu. Kepandaian membaca dan menulis tulisan Jawi boleh di katakan umum di ketahui oleh orang Melayu di seluruh Terengganu. Akhlak mereka sangatlah baik jika di bandingkan dengan akhlak orang-orang Melayu di lain-lain negeri Melayu; dan kesihatan mereka nampaknya baik.

Pekerjaan yang terutama di buat oleh orang-orang melayu Terengganu itu ialah bertani, menangkap ikan (nelayan), membuat berjenis-jenis barang,bekerja dalam hutan dan membuat perahu.

Mereka yang mengerjakan pertanian itu ialah bertanam padi,jagung, ubi kayu, keledek, membuat gambir, berkebun kelapa,tebu, bertanam berjenis-jenis pokok buah-buahan dan ada pula yang bertanam buluh. Mereka bertanam jagung,ubi kayu dan keledek itu ialah setelah lepas menuai padi. Mereka yang ramai bertanam buluh itu ialah dekat Jeram Kelemang dan buluh-buluh itu di jual mereka untuk membuat dinding-dinding rumah dan pagar.

Orang melayu Terengganu yang jadi nelayan itu mendiami kampung-kampung nelayan yang ada di sepanjang pantai laut Terengganu. Mereka menangkap ikan ke laut dengan menggunakan perahu-perahu dan jaring-jaring. Mereka bekerja kuat ialah pada masa laut tiada bergelora iaitu pada bukan musim angin timur-laut, iaitu di antara bulan Mac hingga bulan November tiap-tiap tahun. Pada masa angin timur-laut yakni pada masa laut bergelora, antara bulan Disember –Februari tiap-tiap tahun, mereka tidak dapat pergi menangkap ikan ke laut.

Pada masa musim mereka menangkap ikan itu, pendapatan tiap-tiap seorang nelayan itu hitung panjang ialah delapan ringgit sebulan, tetapi jika perahu yang mereka gunakan itu perahu mereka sendiri, dapatlah lebih sekali ganda daripada itu. Beribu-ribu pikul banyaknya ikan yang di dapati oleh nelayan-nelayan itu di jemur, di keringkan di kampung-kampung nelayan di sepanjang pantai laut Terengganu itu, tujuh perlapan daripadanya ikan-ikan itu dihantar ke Singapura dan yang seperlapan lagi di jual dalam negeri dan ke negeri-negeri yang berjiran. Nelayan-nelayan itu banyak pula membuat belacan daripada Ikan-Ikan dan udang-udang yang mereka dapati itu.

Orang-orang Melayu Terengganu yang membuat berjenis-jenis barang itu ialah bertenun kain, membuat barang-barang daripada besi dan tembaga, dan ada pula yang membuat perahu. Mereka yang bertenun itu ialah bertenun kain benang kapas dan benang sutera ataupun kain benang kapas yang di beri berbunga sutera; pekerjaan bertenun kain itu terutamanya di buat oleh orang-orang perempuan. Mereka yang membuat berjenis-jenis mangkuk tembaga, cembul-cembul untuk tepak sirih, berjenis-jenis pisau, badik, tumbuk lada, pedang, lembing dan tombak. Barang-barang tembaga dan besi buatan orang Melayu Terengganu itu termasuk dalam jenis tukangan yang sangat baik.”

Rujukan :
Sejarah Terengganu. Haji Buyong Adil. Dewan Bahasa dan Pustaka.1974.Pemerintahan Sultan Zainal Abidin (III).m/s142-144.

___________________________
~ Izmal Karim ~
Sahabat PENA

Comments