OLEH: Prof Emeritus Ahmat Adam
Saya baharu saja dimaklumkan oleh dua orang sahabat iaitu di dalam buku teks sejarah sekolah rendah untuk Darjah IV yang terbaru, nama Hang Tuah dimasukkan sebagai nama Laksamana Melaka. Sebagai seorang sejarawan yang membuat penyelidikan tentang gelaran Laksamana Melaka, saya tentunya amat keciwa dengan langkah menjadikan nama gelar yang sebetulnya berpunca daripada kesilapan membaca huruf Jawi /ta/waw/ha/ [ توه ] di dalam manuskrip lama selama lebih daripada dua abad sebagai sahih. Oleh kerana pengkaji zaman dahulu telah tersalah baca ejaan Jawi itu maka sampai ke hari ini ramai yang percaya bahawa nama Laksamana Melaka itu ialah Hang Tuah [sic]. Secara umumnya ramai orang Melayu, termasuk kaum sarjana yang tidak kritis, menganggap karya sastera “Hikayat Hang Tuah” [sic] itu sebagai buku sejarah yang menceriterakan tentang petualangan seorang pahlawan Melaka.
Sebagai anak kelahiran Melaka sendiri, saya merasa kesal atas sikap tidak pekanya mereka yang terlibat sebagai penyumbang maklumat untuk membina kurikulum sejarah bagi sekolah rendah di negara ini, lantaran tidak mahu membaca penemuan terbaru dalam penyelidikan sejarah tanahair. Jika mereka ada sedikit kesanggupan untuk membaca buku yang membicarakan masalah ini saya fikir sukatan pelajaran yang mereka hasilkan tentulah tidak akan memperlihatkan kenaifan kalau tidak pun kejahilan mereka lantaran tidak tahu bahawa ilmu sejarah menekankan dalil dan pembuktian. Telah lebih daripada sekali saya nyatakan, tokoh yang berpangkat Laksamana pada zaman kesultanan Melaka memang wujud dan dapat dbuktikan, tetapi nama “Tuah” [sic] yang diklaim sebagai nama Laksamana Melaka pada abad ke-15 itu tidak wujud sama sekali. Sebab-sebab saya mengatakan demikian sudah saya bahaskan di dalam buku saya yang berjudul “Hikayat Hang Tuha [atau Hikayat Hang Tua]”.
Satu perkara lagi yang masih cuba disebarkan oleh setengah-setengah orang di Melaka ialah bahawa kerajaan negeri Melaka telah mula dibuka pada tahun 1262 Masihi. Bahkan beberapa tahun dahulu (mungkin juga sampai sekarang) tarikh ini dipaparkan dengan bangganya oleh pihak Muzium Negeri Melaka. Dakwaan atau klaim yang mengarut ini pun telah saya bahaskan di dalam buku saya “Sulalat u’s-Salatin” dan “Antara Sejarah dan Mitos”. Tetapi sayangnya mereka yang lahap mempercayai perkara yang karut-marut tidak rajin membaca untuk mematahkan hujah yang menolak klaim yang palsu itu. Saya katakan dakwaan mengenai pembukaan Melaka ini pun karut juga kerana mareka yang bertegang merih mempertahankan tarikh yang tak masuk di akal itu tidak pernah memberikan dalil atau bukti sahih untuk menyokong pendapat mereka. Tidakkah terfikir kepada mereka yang “gullible” itu bahawa pada tahun 1262 itu kerajaan Majapahit pun belum lahir lagi?
Pernah saya tulis di Facebook beberapa tahun yang lalu mengenai “skandal” yang masih dihayati sebagai sejarah yang benar:
“In the 2013 seminar on 400 years of the Sulalat al-Salatin or Sejarah Melayu, organized by the Dewan Bahasa & Pustaka, there was a paper that this writer thinks needs to be highlighted -- not because of any extraordinary contribution to academia but more so because of its simplistic yet persuasive historical approach to the unsuspecting Malaysians especially the youths and the student populace pertaining to the history of early Melaka. We call it simplistic and yet persuasive because there are sectors within Malaysian society who, for whatever reason, might be easily seduced by an interpretation of the kind of history that appeals to ethno-nationalistic sentiments even though that history is merely based on a source rich in myths and without logical soundness of its dates. For those who cherish quality writings on the correct and honest history of Malaysia, to say that the founding of Melaka is said to have taken place in 1262 is certainly scandalous.”
Saya faham bahawa kegigihan untuk mempromosikan industri pelancongan di Melaka orang memerlukan daya tarik sejarahnya. Tetapi bukanlah “at the expense of distorting history”. Saya masih ingat pada masa saya masih bersekolah menengah di Melaka pada tahun lima puluhan dahulu orang heboh memperkatakan tentang kubur Hang Tuah [sic] di Tanjung Keling, Melaka. Dakwaan yang ternyata palsu juga ini kemudiannya telah dipertikaikan oleh seorang penduduk tempatan yang tampil mengatakan bahawa kubur itu adalah kubur seorang berketurunan India. Sekarang ini jika sesiapa pergi ke Melaka untuk melancong, bukan sahaja kubur yang didakwa kubur Laksamana Melaka yang disogokkan sebagai tempat untuk dikunjungi tetapi juga kubur yang didakwa sebgaia kubur Hang Jebat di Jalan yang kini sudah bertukar nama daripada Jonker Street kepada Jalan Hang Jebat. Tidak pernah ditanyakan ialah: Apakah bukti bagi dakwaan-dakwaan yang sebetulnya palsu ini?
Anehnya budaya tidak, ataupun kurang, membaca sumber sejarah yang sahih bukan sahaja didapati dalam kalangan orang awam Malaysia umumnya, tetapi amat disayangi, ada pula orang-orang yang mengaku dirinya sebagai sarjana tidak membaca sumber sejarah dengan betul. Misalnya, terdapat professor yang mendakwa ada tiga sumber yang menunjukkan Laksamana Hang Tuah itu wujud. Tiga sumber itu katanya ialah dokumen Ryukyu dan artifak dari Ryukyu dan sumber Portugis. Saya ketawa bila membaca dakwaan sang professor itu di akhbar. Jelas sekali sama ada professor ini tidak membaca sumber-sumber yang disebutnya itu dengan hati-hati ataupun dia langsung tidak faham apa yang dibacanya dalam bahasa Inggeris. Saya berani berkata demikian kerana saya telah semak sendiri dokumen Ryukyu (atau dokumen “Rekidai hoan”) di dalam buku Prof. Atsushi Kobata dan Mitsugu Matsuda. Dalam koleksi dokumen-dokumen Ryukyu itu terdapat 16 surat-surat yang ditulis oleh pihak kerajaan Ryukyu dan juga Melaka antara tahun 1463 dan 1481. Sang professor itu juga mendakwa telah membaca karya Walter de Gray Birch (berasaskan teks Portugis tahun 1774) mengenai Ulasan Afonso Dalboquerque tentang Melaka. Tetapi adakah apa-apa yang dinyatakan oleh Dalboquerque yang membuktikan kewujudan manusia yang bernama “Hang Tuah” [sic]? Jikalah sang professor itu atau sesiapapun yang suka dengan “fake history” cuba meluaskan pembacaannya sedikit, dan cuba memahami apa yang dibacanya, maka akan mudahlah disahkan bahawa di dalam mana-mana sumber pun tidak ada nama Hang Tuah [sic] disebut. Justeru demikian, apakah tulisan orang-orang seperti ini dan juga mereka yang pernah memimpin badan seperti Institut Kajian Sejarah dan Patriotisme Malaysia, yang tidak pernah belajar menyelidiki bidang sejarah secara teratur boleh dipegang hujahnya? Ternyata mereka yang mengaku “sejarawan” atau “sarjana” itu tidak tahu apa ertinya sejarah. Demikian juga boleh disoalkan ialah: Apakah sandaran ilmiah yang dipegang oleh penggubal kurikulum atau sukatan pelajaran sejarah untuk murid-murid sekolah rendah yang telah disebutkan di atas, sehingga sanggup membohongi sejarah tanah air melalui pendidikan? Sebenarnya saya merasa mual untuk membicarakan isu ini lagi. Tetapi apabila saya dengar bahawa sukatan pelajaran sejarah untuk murid-murid Darjah IV di sekolah rendah di Malaysia akan memasukkan hujah bahawa nama Laksamana Melaka ialah “Hang Tuah” [sic], maka saya rasa terpanggil untuk menjalankan tanggungjawab saya sebagai sejarawan yang membuat penyelidikan dan menulis hasil penyelidikannya dengan mengkritik perkara yang tidak betul dan menyanggah upaya membohongi sejarah negara.
Seperti yang telah pernah saya tulis di Facebook:
“It is with much regret that this writer has to drag this matter of historical importance yet again, that a similar attempt to distort history was made by using uncorroborated evidence. Every respected historian knows that one of the principal methods in history writing is to demythologize history. Historians are supposed to separate myths from facts. While the “Sejarah Melayu” or the Malay Annals is a much respected piece of literary work and thus can also be a very useful historical material for historians, it nevertheless cannot be said to be a full-pledged historical work. In other words it is not a book of history.”
Demikian juga kesilapan orang Melayu selama berabad-abad kerana menganggap “Hikayat Hang Tuah [sic, Tuha]” itu sebagai karya sejarah. Tidak ramai orang Melayu yang tahu bahawa dalam seluruh teks hikayat itu hanya seorang raja Melaka yang memerintah dan namanya ialah Sang Maniaka. Mula-mula dia menjadi raja di Bentan tetapi kemudian berpindah ke Melaka apabila Melaka dibuka, dan menjadi raja Melaka sampai berkahirnya kisah dongeng Laksamana Melaka yang bergelar Hang Tuah [sic, Tuha].
Pemintaan saya kepada mereka yang dilantik sebagai penggubal kurikulum sejarah untuk murid-murid sekolah, hubaya-hubayalah kalian, kerana membohongi sejarah tanah air adalah juga dosa besar kepada ilmu dan juga kepada masyarakat Malaysia.
Wallahualam
___________________________
~ Prof. Emeritus Sejarah Ahmat Adam ~
Ahli Sejarah
Telegram: https://t.me/gerakanpenamy
Instagram: https://www.instagram.com/gerakanpenamy
_____________________________
Comments
Post a Comment