Buntut, Tongkeng, Cenonot Dan Cinonggeng Serta Tulang Sulbi

OLEH: Abu Amru Radzi Othman


Buntut atau punggung pada makhluk sama ada hidup atau mati merujuk pada bahagian paling belakang atau terbawah. Ia juga boleh merujuk kepada dubur.

Perkataan yang sama adalah burit serta pantat. Bukan sahaja diguna untuk manusia dan haiwan malah pada benda tidak bernyawa. Contohnya buntut kuali, buritan kapal dan pantat cawan.

Tanpa sedar juga, wujud beberapa peribahasa yang disandarkan pada buntut atau pantat, seperti 'pantat kuning' yang bermaksud kedekut/kikir, atau 'hitam bagai pantat belanga' yang menggambarkan buruk rupa serta 'seperti lebah, mulut membawa madu pantat membawa sengat' sebagai sindiran kepada wanita cantik dan manis tutur kata tetapi berperangai jahat.

Kita selalu mendengar istilah tulang sulbi bila membicarakan tentang kebangkitan di hari akhir. Contohnya hadis dari Abu Hurairah, dia meriwayatkan bahawa Rasulullah saw bersabda: "Semua bahagian tubuh anak Adam akan dimakan tanah kecuali tulang sulbi yang darinya ia mulai diciptakan dan darinya dia akan dibangkitkan" (HR Al Bukhari, Nasa'i, Abu Dawud, Ibn Majah dan Ahmad).

Bagi manusia, tulang sulbi itu dirujuk pada bahagian coccyx. Dan pada ayam pula disebut sebagai pygostyle, satu bahagian tulang berdaging di hujung ekor. Tulang tersebut sama maknanya dengan tulang tongkeng. Tongkeng adalah belakang badan di sebelah bawah.

Mungkin bahagian pygostyle inilah yang dipanggil sebagai cinonggeng atau cunut alias cenonot yang merujuk pada bahagian yang lebih spesifik iaitu bahagian atas punggung ayam tempat bulu ekor tumbuh.

Orang Utara lebih mengenal istilah cinonggeng, manakala di bahagian Selatan - seingat kami - lebih mengenal sebagai tongkeng.

Apapun, perkataan pantat, buntut dan punggung itu pada dasarnya bukanlah kata-kata lucah atau kasar. Masakan ia dianggap kasar jika ia diguna dalam peribahasa oleh leluhur kita.

Cuma ia akan menjadi lucah atau bertukar sifat kepada bahasa kasar jika diguna untuk maksud yang tidak senonoh alias keji lagi jahat.




___________________________
~ Abu Amru Radzi Othman ~
Lajnah Sejarah Dan Tradisi
_____________________________

Comments