OLEH: Iskandar Zulqarnain
Peristiwa yang pernah berlaku dahulu adalah merupakan sejarah yang perlu dikenang supaya menjadi peringatan agar kita tidak mengulangi kesilapan orang yang terdahulu. Serta ianya juga mampu menguatkan semangat untuk mempertahankan kedaulatan bangsa dan negara. Apa yang membezakan corak pemikiran kita dengan masyarakat di barat ialah cara kita menghargai dan memulihara warisan sejarah yang kita ada. Meskipun sejarah itu kadang kala menyakitkan, ianya dijaga rapi di negara barat supaya menjadi pengajaran buat generasi muda disana.
Pada 24 April 2017 yang lalu, krew orangperak.com telah berusaha untuk menjejaki lokasi asal kubur Residen British untuk negeri Perak yang pertama iaitu J.W.W Birch. Turut berada dalam pagar yang sama dengan kubur Birch ialah kubur tentera British yang terbunuh dalam serangan pertama ke atas kedudukan kubu pejuang Melayu apabila bermulanya Perang Perak.
Selepas serangan yang mengakibatkan angka korban yang tinggi dikalangan tentera British ini, barulah Gabenor Negeri-Negeri Selat diketika itu memohon bantuan tentera tambahan dihantar ke Perak untuk memerangi pejuang-pejuang Melayu negeri Perak. Maka pihak British menghantar ketumbukan dari India dan Hong Kong untuk membantu pasukan yang telah berada di Bandar Baru.
Kubur J.W.W Birch berserta tentera British tersebut berada di Kampung Teluk Memali yang kedudukannya tidak jauh dari Kampung Gajah. Kawasan perkuburan itu dahulunya dikenali sebagai Bandar Baru yang menjadi pusat pemerintahan negeri Perak sewaktu zaman Sultan Perak yang ke 19 iaitu Sultan Abdul Malik Mansur Shah yang memerintah dari tahun 1806 sehingga tahun 1825. Disebut pada ketika itu, Bandar Baru merupakan tempat yang sangat makmur dan mempunyai banyak kedai-kedai serta gedung-gedung.
Apabila perjanjian Pangkor ditandatangani, pihak British telah mengambil alih tempat tersebut kemudian membina rumah serta pejabat Residen British disitu dan ianya dikelilingi dengan pagar kayu tinggi yang dikawal rapi oleh tentera British. Disitu juga terdapat jeti untuk kapal-kapal perang British berlabuh serta mengawal perairan. Pasti anda semua pembaca orangperak.com sudah tahu tentang kisah yang menjadi punca terbunuhnya J.W.W Birch ditangan orang Melayu Perak.
Setelah maut dibunuh Sepuntum, akhirnya mayat Birch hanyut dibawa arus Sungai Perak. Setelah berjaya menyerang J.W.W Birch, pejuang-pejuang Melayu kemudiannya mengepung dan kemudiannya menyerang kedudukan Inggeris di Bandar Baru. Namun usaha tersebut tidak berjaya dan pejuang-pejuang Melayu berundur dan memperkuatkan kedudukan di kubu Pasir Salak. Setelah berakhirnya pengepungan tersebut, barulah mayat mendiang J.W.W Birch dijumpai di pinggir sungai tidak jauh dari kediaman residensi dan beliau dikebumikan tidak jauh dari tempat beliau dijumpai. Itulah sedikit sedutan mengenai kisah pembunuhan J.W.W Birch dan bermulanya Perang Perak.
Berbalik mengenai usaha krew orangperak.com menjejaki kubur J.W.W Birch buat tatapan pembaca semua, kedudukan kubur tersebut kini berada jauh dalam hutan sawit serta dari pusat penempatan. Jalan ke kawasan perkuburan juga tidak elok dan ianya tidak selamat untuk dilalui menggunakan kenderaan biasa. Mujurlah sahabat kami mempunyai kenderaan 4×4 yang boleh digunakan dalam usaha pencarian ini.
Dengan dibantu maklumat dari penduduk kampung akhir kami berjaya menemui kawasan perkuburan tersebut. Setibanya di perkuburan tersebut kami mendapati yang perkuburan ini sudah lama tidak berjaga. Kawasan perkuburan ini sudah dipenuhi dengan semak samun serta pagar-pagar besi sudah reput dan tumbang. Selain dari kubur J.W.W Birch, turut terdapat empat lagi kubur tentera British terutamanya kubur Kapten Innes yang merupakan pegawai Inggeris pertama yang terbunuh dalam Perang Perak apabila beliau memimpin pasukannya menyerang kubu orang-orang Melayu di Pasir Salak.
Dalam maklumat yang kami terima melalui pegawai di Kompleks Sejarah Pasir Salak, hasil kajian Jabatan Warisan Negara berdasarkan rekod-rekod yang ada mendapati bahawa jasad J.W.W Birch, Kapten Innes dan 3 lagi pegawai tentera British yang terkorban masih lagi berada dikawasan perkuburan tersebut. Bahkan terdapat rekod yang menunjukkan bahawa pihak kerajaan British pernah mengadakan satu dana khas dan memberikan elaun kepada 2 orang penduduk Kampung Pulau Juar untuk menjaga dan membersihkan kawasan perkuburan tersebut.
Namun pemberian elaun ini telah dihentikan apabila negara mencapai kemerdekaan dan tanggungjawab untuk menjaga kawasan perkuburan ini diserahkan kepada Jabatan Warisan Negara yang ditubuhkan selepas kemerdekaan. Ini sekali gus menafikan khabar-khabar angin yang menyebut bahawa jasad J.W.W Birch dipindahkan dari kawasan perkuburan tersebut dan dibawa ke England serta kawasan perkuburan tersebut hanya sekadar ada batu peringatan kematian Birch berserta didalamnya terdapat pakaian Residen British tersebut.
Dalam maklumat lain, terdapat rekod yang menyatakan bahawa Mat Arshad (penterjemah kepada J.W.W Birch dan terbunuh pada hari yang sama Residen British tersebut dibunuh) dikebumikan dengan jarak kira-kira 12 rantai dari kubur J.W.W Birch. Jabatan Warisan Negara sekarang ini masih lagi dalam usaha untuk menjejaki kubur Mat Arshad tersebut.
Ianya sesuatu yang sangat memalukan melihat kawasan perkuburan ini berada dalam keadaan yang tidak terjaga apatah lagi tahun ini merupakan Tahun Melawat Perak 2017. Kawasan perkuburan ini sepatutnya dipelihara kerana ianya merupakan rentetan dari kisah perjuangan orang-orang Melayu dalam mempertahankan kedaulatan tanah air. Apakah kerana ianya kubur milik seorang yang dianggap musuh maka tidak ianya perlu dijaga? Sedangkan kawasan perkuburan La Cambe yang menempatkan lebih 20,000 jasad tentera Nazi Jerman di Perancis dijaga dan dijadikan kawasan peringatan mengenai peristiwa sedih yang dialami oleh Perancis sewaktu dijarah oleh Nazi Jerman.
Semoga pihak-pihak yang bertanggungjawab mengambil inisiatif untuk memulihara kawasan perkuburan di Kampung Teluk Memali ini dan mungkin juga boleh diletakkan galeri untuk mengenang punca penentangan orang-orang Melayu keatas pihak British yang akhirnya menyebabkan residen pertama negeri Perak ini dibunuh. Ianya turut dapat menambahkan kawasan perlancongan sejarah dikawasan berkenaan selain dari makam-makam Sultan yang sedia ada dan Kompleks Sejarah Pasir Salak.
___________________________
~ Iskandar Zulqarnain ~
Instagram: https://www.instagram.com/gerakanpenamy
_____________________________
Comments
Post a Comment