OLEH: Saufy Jauhary
Ada suatu peribahasa lama yang terkenal dalam kalangan orang Melayu dan sentiasa menjadi ingatan. Tidak ada orang Melayu yang tidak hafal dan tidak faham akan peribahasa tersebut iaitu “Harapkan pagar, pagar makan padi”. Maksud bagi peribahasa ini ialah harapan diletakkan pada bahu seseorang tetapi akhirnya orang itu pula yang merosakkannya. Menurut catatan W.G. Shellabear di dalam Kitab Kiliran Budi pula ialah maksudnya orang yang amanah atau dipercayai membuat khianat.
Di dalam era zaman moden ini terdapat teori yang mengatakan bahawa “Pagar” yang di dalam peribahasa itu bukanlah sepatutnya disebut pagar, tetapi Pegar. Mereka yang membawa teori ini mengatakan tidak masuk akal apabila pagar yang bukan makhluk memakan padi, kerana yang tepat adalah Pegar yang makan padi. Dan dikatakan lagi bahawa kekeliruan ini timbul akibat tersalah baca tulisan jawi pa-ga-ra/ڤڬر. Benarkah pendapat ini?
AYAM PEGAR
Menurut Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997, Ayam Pegar atau Lophura ignita merupakan salah satu daripada spesies burung liar yang boleh didapati di Semenanjung Tanah Melayu, Borneo dan Sumatera. Ayam pegar digolongkan dalam keluarga Phesanidae, bersama-sama dengan burung kuang raya, kuang cermin, kuang gunung, merah mata dan ayam hutan. Ayam pegar bersifat omnivor yang memakan bijirin seperti padi, daun pucuk muda, buah-buahan dan haiwan-haiwan kecil seperti cacing dan siput.
Jika difikirkan dengan logik, memang Ayam Pegar inilah yang sesuai dengan peribahasa tersebut kerana Ayam Pegar ini makan padi. Malah menurut mereka yang mendokong teori ini seperti ayam biasa, Ayam Pegar ini tak mungkin makan padi pada tangkainya, tapi musuh padi yang di bawah pokok padi. Kerana itu Pegar diharapkan untuk menjaga tanaman padi daripada dirosakkan oleh musuh padi.
ASAL USUL TEORI AYAM PEGAR
Saya cuba mencari-cari dari siapakah yang mula-mula sekali membawakan teori Ayam Pegar ini. Perbincangan tentang peribahasa ini hanya muncul ketika adanya zaman Media Sosial, kerana di Media Sosiallah hebatnya perbahasan tentangnya. Persoalan tentang "Pagar" ini langsung tidak pernah dipersoalkan sebelum adanya Media Sosial. Lalu saya terjumpa di blog:
bedaduz2.blogspot.com yang telah dihantar pada 29 Disember 2011 yang menyatakan pada 3 jam yang lepas (pada tarikh tersebut), blogger berkenaan telah terbaca status kawannya dari Brunei di muka buku (
Facebook) bernama Rashid Rahman Hassan. Menurut blogger tersebut nama sebenarnya Awang Haji Abdul Rashid bin Awang Haji Damit, merupakan pemenang tempat kedua Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu 2011 yang mewakili negara Brunei.
Oleh kerana yang membuat status berkenaan adalah seorang yang berpengaruh (influencer), malah naib juara pertandingan Bahasa Melayu, sudah tentulah kenyataan beliau cepat menjadi tular malah dipercayai. Kenyataan beliau bukanlah pendapat beliau sendiri bahkan beliau sandarkan pada Dr. Burhanuddin Helmi. Siapa Dr. Burhanuddin Helmi ini? Dr. Burhanuddin Helmi yang mana? Oleh itu saya mencari lagi hinggalah saya menemui screenshot ini yang ditulis oleh page Dr. Burhanuddin Al-Helmy pada 08 Disember 2011.
Dr. Burhanuddin al-Helmy atau Dato’ Seri Dr. Burhanuddin bin Muhammad Nur al-Hilmi adalah seorang tokoh politik yang menjadi pengasas kepada Parti Islam Se-Malaysia (PAS) dan telah meninggal dunia pada tahun 1969. Oleh itu bukanlah beliau yang empunya page tersebut. Namun tidak pasti adakah kenyataan tersebut memang kenyataan Dr. Burhanuddin al-Helmy suatu masa dahulu atau sekadar pendapat admin yang mengendalikan page tersebut.
Oleh kerana sangat terkenal teori yang baru ini, dengan tidak disangka-sangka seorang Profesor Madya telah terpengaruh teori ini. Beliau adalah Profesor Madya Dr. Nor Hisham Osman, merupakan seorang Pensyarah Jabatan Linguistik, Akademi Pengajian Melayu (APM), Universiti Malaya. Beliau telah menyiarkan satu dialog untuk menjelaskan tentang teori tersebut di dalam akhbar Berita Harian bertarikh 11 Januari 2012.
Apabila seorang Profesor Madya dari Jabatan Linguistik, Akademi Pengajian Melayu juga menyokong pendapat 'Pegar' menggantikan 'Pagar' dalam peribahasa tersebut, siapakah yang tidak percaya dengan dakwaan tersebut. Sudah tentulah orang awam menerima sahaja apatah lagi ianya kelihatan seperti dapat diterima akal. Bahkan sejujurnya saya juga pada masa itu antara orang yang dapat menerima pandangan tersebut kerana pada masa itu saya tidak cukup ilmu dan tidak mempunyai rujukan yang lengkap untuk menolaknya.
DBP MENJAWAB
Pihak Dewan Bahasa dan Pustaka pernah menjawab tentang persoalan ini dalam laman web Pusat Rujukan Persuratan Melayu menerusi ruangan Khidmat Nasihat
30/12/2011
"Pendapat (kedua-dua peribahasa) yang banyak dibincangkan di ruang maya ini belum dapat dipastikan kesahihannya kerana sehingga kini belum ada dapatan/kajian yang dapat mengesahkan kebenarannya. Maklumat terperinci tentang peribahasa tersebut juga tidak ada dalam pangkalan data kami kecuali peribahasa (asal) yang kita ketahui."
27/01/2012
"Saudara, seperti yang dinyatakan dalam jawapan yang sebelum ini mungkin ada benarnya 'Harapkan pegar, pegar makan padi' beranalogikan fakta pagar tidak boleh makan padi dan pada zaman dahulu pagar tidak memagari sawah padi. Namun sehingga tidak ada dapatan/kajian yang dapat mengesahkan kebenarannya."
EJAAN JAWI PAGAR, BUKAN PEGAR
W.G. Shellabear (1862-1947) di dalam bukunya Kitab Kiliran Budi dalam tulisan rumi menuliskan peribahasa tersebut sebagai 'Pagar makan padi'. Oleh itu agak menghairankan apabila ada pihak yang mendakwa terdapat kesalahan membaca perkataan pagar dalam huruf jawi. Kalau mahu dikatakan bahawa W.G. Shellabear itu orang British dan telah tersalah membaca perkataan tersebut juga tidak tepat, kerana beliau menyusun buku tersebut bukan dengan seorang diri, bahkan dibantu oleh seorang guru Melayu bernama Sulaiman bin Muhammad Nor. Pada bahagian pendahuluan, W.G. Shellabear menyatakan, "Bahawa ada pun Kitab Kiliran Budi ini mengandungi berbagai-bagai peribahasa, kias-ibarat, perumpamaan dan sindir-ejekan yang telah kami usahakan mengumpul dan menyiasatnya dari beberapa buah kitab atau buku yang lama-lama dan juga dari lisan orang-orang Melayu sendiri yang ahli dalam ilmu peribahasa, bidalan dan seumpamanya."
Semasa saya membaca Hikayat Hang Tuah, ketika sampai pada kisah Patih Kerma Wijaya sedang memfitnah Hang Tuah di hadapan Raja Melaka, ada dituturkan 'Pagar makan padi'. Demikan katanya,
"Patik persembahkan sembah derhaka ke bawah duli. Apatah gunanya patik sekalian dijadikan pegawai lagi? sedang seorang berbuat cabul di dalam istana lagi tiada terbunuh oleh patik, istimewa pula musuh dan seteru Duli Yang Dipertuan akan lawan oleh patik sekalian; seperti pantun Melayu: 'Pagar makan padi'!"
Oleh kerana naskhah yang saya baca ini adalah tulisan rumi, yang ditransliterasikan oleh Kassim Ahmad, saya tidak dapat mengetahui tulisan Jawinya. Disebabkan itu saya terpaksa menyemak sendiri manuskripnya di laman web British Library, kerana pihak British Library telah mendigitalkan beberapa manuskrip Melayu.
Hasil penelitian saya terhadap dua buah manuskrip di dalam laman web tersebut, tidak ada satu pun manuskrip Hikayat Hang Tuah yang menulis pa-ga-ra yang membawa kepada sebutan 'Pegar', sebaliknya ditulis dengan pa-alif-ga-ra yang membawa kepada sebutan 'Pagar'.
1) Manuskrip British Library Add MS 12384, halaman f.140v:
2) Manuskrip British Library Or 16215, halaman f.102r:
Oleh itu, pendapat yang mengatakan ejaan jawi yang sebenar pa-ga-ra/ڤڬر adalah salah sama sekali. Sudah tentulah pendapat tersebut berdasarkan sangkaan samata-mata, tidak berdasarkan fakta.
MENGAPA MEMAGAR SAWAH PADI?
Timbul persoalan, apakah tujuan memagar sawah padi? bukankah seperti kelihatan satu kerja yang sia-sia?Sebenarnya, tujuan membuat pagar di sawah padi adalah untuk menjaga sawah padi daripada diganggu oleh haiwan-haiwan pemakan rumput seperti lembu, kerbau, kambing dan babi. Memagar sawah padi adalah amalan yang dilaksanakan pada zaman dahulu kerana zaman dahulu haiwan-haiwan seperti lembu dan kerbau ini banyak berkeliaran di kampung, berbeza dengan zaman sekarang. Hal ini dibuktikan apabila kita meneliti di dalam teks undang-undang Melayu. Dalam undang-undang Melayu pada zaman dahulu, terdapat peruntukan undang-undang berkenaan membuat pagar di sekeliling sawah padi. Undang-undang tersebut adalah untuk menjamin hak tuan tanah sawah yang telah mengambil langkah memagar sawahnya berbanding orang yang tidak memagar sawah.
1) Undang-undang Melaka (digubal pada zaman Kesultanan Melayu Melaka)
Di dalam Fasal (22) menyatakan, "Adapun hukum pagar huma itu, jikalau sudah orang memagar, maka orang lain itu tiada terpagar olehnya. Jikalau dimakan babi atau dimakan kerbau, mengganti padi itu, karena taksirnya tiada terpagar olehnya. Jikalau habis padi itu, diganti semuanya itu. Demikianlah hukumnya. Adapun hukum orang mencuri pagar huma atau tanaman. Jikalau bertemu dengan tuannya, dirampas barang yang dibawanya itu ya'ni seperti keris atau golok atau parang atau pisaunya itu sekalian diambil orang dan diikat, dibawa kepada tuannya itu. Itulah hukumnya, dihukumkan hakim." [halaman 126, Undang-undang Melaka, terbitan Yayasan Karyawan Kuala Lumpur]
2) Undang-undang Kedah (digubal pada tahun 1650 Masihi)
Di dalam fasal yang kelima dinyatakan, "Jikalau sudah menanam padi maka hendaklah segera hantarkan kerbau itu ke padang besar atau barang tempatnya serta segera membakar bendang itu membubuh rembatnya tiga; maka pagar itu dengan siratnya; maka teguhlah pagar itu kepada undang-undang. Maka barangsiapa tiada mahu menghantarkan kerbaunya kepada palangnya maka hendaklah kawal kerbaunya siang malam, tambat teguh-teguh. Jika membelah ia kerbau itu pada pagar rembat tiga dimakannya padi, maka padi yang dimakannya itu seperdua-seperdua pada seperdua-seperdua
kupang tera; dan jika siang hari, sekupang tera. Dan,jika ditangkap kerbau itu wajiblah tuan kerbau ganti padi itu. Jika ditikam orang pada ketika malam kerbau itu mermbelah pagar pada rembat tiga, jika mati kerbau itu, mati sahajalah." [halaman 19, Undang-Undang Kedah, terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka]
Pada fasal yang keenam pula dinyatakan, "Barang siapa tiada lagi sudah pagarnya, maka dimasuk oleh kerbau makan padi, tiadalah berganti; jika ditikam kerbau itu, berganti kerbau. Barang siapa sudah pagarnya maka dimasuk oleh kerbau pada tempat pagar yang belum sudah itu, dimakan kerbau padi orang yang sudah memagar itu. Jikalau pada siang hari, atas orang yang empunya pagar itulah mengganti harganya orang yang dimakan kerbau itu, akan harganya pada seperdua-seperdua
sekupang tera. Jikalau malam pun atas orang yang empunya pagar juga mengganti dia pada seperdua
kupang tera. Dan, tatkala sudah bunting padi itu tiadalah berharga itu padi dimakan, kerbau itulah diserahkan pada tuan kerbau itu, jangan diambil jadi taksir tuan padi. Maka harta peroleh padi orang banyak dekat bendang Itu diganti padi binasa itu." [halaman 19, Undang-Undang Kedah, terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka]
3) Qanun Pahang (Zaman pemerintahan Sultan Abdul Ghaffar Mahyuddin Shah 1592 - 1614)
Tertulis di dalam teks Qanun Pahang I, Fasal yang menyatakan, "Hukum yang huma terbakar oleh orang lain jika angin, tiada apa salahnya. Maka jika hangus disuruh orang itu memerun hingga sudah jika tanah itu orang besar-besar, jika huma orang kecil, kadar setengah perunnya. Itulah hukumnya. Adapun membakar huma yang tiada tahu, sama berhuma itu. Adapun hukum pagar huma itu jika sudah membakar, maka orang lain tiada terbakar olehnya. Jika termakan babi atau kerbau padi itu, kena taksir kerana tiada dipagar olehnya. Jika habis padi itu ganti sepahanya. Demikianlah hukumnya. Adapun jika orang mencuri pagar huma atau tanaman lain bertemu dengan tuannya, dirampas barang yang dibawanya seperti keris, golok, pisaunya itu. Sekalian itu diambil maka diikat dibawa kepada tuannya. Demikianlah hukumnya." [halaman 71, Qanun Pahang, terbitan Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi 2019]
Manakala di dalam teks Qanun Pahang II pula, dalam bab ketiga, menyatakan, "Hukum orang bertanam-tanaman. Maka hendaklah segala kamu yang bertanam-tanaman itu kamu perbuat pagarnya, jangan kamu taqsir menangguhi dia. Sebermula pada tanam-tanaman itu atas dua perkara; suatu tanaman itu berpagar jika masuk kerbau lembu maka tertikam pada malam menyilih (sebelah) harganya tetapi pada qaul asah menyilih semuanya harga tanaman itu, disilih empunya kerbau itu. Kedua, tiada berpagar jika tertikam pada malam menyilih semuanya tiadalah empunya kerbau itu. Jika pada siang, tertikam asa pulang dua hukumnya melainkan masyhur nakalknya kerbau itu sehingga menyilih harga jua. Tanaman itu disilih oleh empunya kerbau itu." [halaman 80, Qanun Pahang, terbitan Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi 2019]
Selain daripada teks Undang-Undang Melayu, saya juga terjumpa bukti yang menunjukkan pada zaman dahulu sememangnya sawah padi dipagar oleh para pesawah. terdapat di dalam teks naskhah Kisah Pelayaran Abdullah Ke Kelantan. Pada tahun 1838, Abdullah Munsyi telah sampai di Kelantan dengan misi menyampaikan surat Gabenor Singapura kepada Raja Kelantan. Ketika itu sedang berlaku perang saudara. Dalam perjalanan beliau hendak ke Istana Raja, beliau tidak boleh melalui jalan utama sebaliknya terpaksa melalui jalan pedalaman termasuk melalui sawah-sawah padi yang berpagar. Berikut adalah teksnya, "Kemudian sahaya bertiga dan anak perahu tiga orang bersama-sama dengan Tengku Temena pun berjalanlah ke darat. Bukannya pada jalan yang dahulu itu, ini berjalan dalam kampung-kampung orang. Adapun berjalan itu berlari-lari anak. Maka adalah sahaya lihat sambil berjalan itu banyaklah pohon-pohon yang ada compang-compang dan putus dahannya dan yang ada tumbang sekal dimakan peluru. Dan yang ada rumah-rumah ia pun habis romping-ramping dimakan piluru. Maka selalu juga berbunyi meriam di sebelah sana itu. maka adapun berjalan itu bukannya menurut jalan besar, berpusing-pusing kampung dan sawah padi, masuk pagar keluar pagar, masuk ke dalam belukar."
[halaman 67, Kisah Pelayaran Abdullah, Oxford University Press, Kuala Lumpur]
Keratan manuskrip Kisah Pelayaran Abdullah Ke Kelantan
AMALAN MEMASANG PAGAR PADA SAWAH PADI DI INDONESIA
Mungkin amalan memasang pagar pada sawah padi ini kelihatan agak janggal bagi rakyat Malaysia di zaman moden ini, tetapi menurut bacaan saya pada berita-berita di Indonesia, didapati amalan memasang pagar ini tetap masih dilakukan oleh para pesawah di negara itu. Bukan sahaja mereka memasang pagar kayu, tetapi ada juga yang memasang pagar kawat besi, pagar plastik dan ada yang memasang pagar zink. Masing-masing dengan fungsinya tersendiri.
Tentera Indonesia membantu pesawah memasang pagar daripada buluh dan batang kayu untuk mengelakkan gangguan haiwan ternakan seperti kerbau dan lembu di Tanjung Agung, Sumatera Selatan.
Seorang pesawah di Ngawi, Jawa Timur memasang galvalum atau zink aluminium untuk menghalang pencerobohan tikus.
Pesawah di Kacamatan Tugumulyo, Sumatera Selatan sedang memasang pagar daripada plastik untuk mengelakkan serangan tikus.
Pesawah di Kacamatan Langgudu, Nusa Tenggara Barat sedang memasang kawat dawai untuk tujuan menghalang kambing dan lembu memakan padi.
Di Sangubanyu, Jawa Tengah terdapat pesawah yang memasang pagar jaring dan zink untuk menghalang pencerobohan memerang di sawah.
PAGAR MAKAN PADI TIDAK LOGIK
Ada yang berpandangan pagar makan padi tidak logik kerana lebih logik Ayam Pegar yang makan padi. Sebenarnya memang dalam kesusasteraan Melayu itu penggunaan unsur kiasan yang tidak logik atau tidak realistik adalah perkara biasa. Contohnya peribahasa kawan makan kawan, merentas lautan api, panjang tangan, genggam bara api biar sampai jadi arang, dan sebagainya Semua ini tidak masuk akal, tetapi itulah kesenian dan kehalusan di dalam sastera Melayu, yang sepatutnya tidak menjadi sesuatu yang dipertikaikan. Sedangkan kalau ingin diikutkan logik, membela Ayam Pegar untuk menjaga padi juga tidak logik. Takkanlah orang Melayu ingin menjaga padinya dengan membela haiwan yang makan padi?
Rujukan:
1) Kitab Kiliran Budi, terbitan Pustaka Antara, cetakan 1963.
2) Undang-Undang Melaka, Undang-undang Melaka, terbitan Yayasan Karyawan, cetakan 2016.
3) Undang-Undang Kedah, terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, versi E-Book.
4) Qanun Pahang, terbitan Universiti Kebangsaan Malaysia, cetakan 2019.
5) Kisah Pelayaran Abdullah, terbitan Oxford University Press, cetakan 1964.
6) Hikayat Hang Tuah, terbitan Dewan Bahasa dan Pustakan, cetakan 2017.
[Legasi Pemikir - LEKIR]
Comments
Post a Comment