Nilai Sentimental Jambatan Nordin Di Parit

OLEH: Freddie Aziz Jasbindar


Jambatan Nordin memainkan peranan yang amat penting dalam menghubungkan jalan antara Pekan Parit dan Tanjung Belanja yang juga merupakan laluan kalan Ipoh ke Bruas. Jambatan Nordin ini mempunyai nilai sentimental yang tinggi buat penduduk di sekitarnya kerana pada asalnya, ia hanya berkerangka besi dan berlantaikan kayu sahaja. Pada waktu itu, jambatan itu juga dipanggil sebagai Jambatan Bailey.




Jambatan Bailey ialah sejenis jambatan mudah alih pasang siap yang mempunyai kekuda. Jambatan jenis ini dibangunkan oleh pihak British untuk kegunaan tentera semasa Perang Dunia Kedua dan banyak digunakan oleh unit-unit askar jurutera British dan Amerika Syarikat. Apabila lalu sahaja di jambatan itu dengan kenderaan, bunyinya boleh kedengaran dari jauh.


Sebuah jambatan Bailey memiliki kelebihan kerana pembinaannya tidak memerlukan peralatan khas atau pun berat. Bahagian-bahagian kayu dan besi bersaiz kecil dan ringan agar dapat diangkut menggunakkan lori dan kemudian dipasang dengan tangan tanpa penggunaan kren. Jambatan Bailey ini amat kukuh dan dapat menampung kereta kebal. Jambatan-jambatan Bailey masih kekal digunakan secara meluas dalam projek-projek pembinaan awam dan bagi menyediakan tempat laluan sementara buat pejalan kaki dan kenderaan.


Kini, Jambatan Nordin yang baru lebih kukuh dan selamat. Jambatan yang baru ini selamat dirasmikan oleh DYMM Paduka Seri Sultan Azlan Shah pada 7 Jun 1999. Keberangkatan baginda disambut oleh MB Perak pada ketika itu YAB Tan Sri Dato’ Seri Ramli Bin Ngah Talib dan Menteri Kerja Raya Malaysia Dato’ Seri S Samy Vellu.

___________________________
~ Freddie Aziz Jasbindar ~
Sahabat PENA

Comments