OLEH: Halim Abdurrahman
Cerita bermula apabila Jepun menerima khabar risik bahawa rakyat Kalimantan dipimpin para Sultan mahu 'memberontak' melawan Jepun. Berita ini telah membuatkan pemerintah tentera Jepun wilayah Kalimantan marah, lalu memerintahkan askarnya menangkap rakyat, tokoh, Sultan dan kerabat Sultan.
Pada bulan April 1944, kesemua mereka yang disenaraikan Jepun ini telah ditangkap dan dizalimi dengan begitu sadis sekali. Ada yang dibuang ke dalam lubang, ditanam hidup-hidup, ditembak dan dipenggal kepala. Mengikut sumber, sekitar 21 ribu orang telah menjadi korban pembantaian ini. Antara yang dipenggal ialah putera Sultan Pontianak iaitu Pangeran Adipati dan Pangeran Agung, manakala Sultan Muhammad Al-Qadrie (Sultan Pontianak) telah ditangkap dan dikatakan beliau mangkat di penjara. Sultan Sambas iaitu Sultan Muhammad Ibrahim Saifuddin juga ikut dibunuh, bersama dengan Gusti Saoenan (Penembahan Ketapang), Tengku Idris (Penembahan Sukadana), Gusti Mesir (Penembahan Simpang), Syarif Salleh (Penembahan Kubu), Gusti A.Hamid (Penembahan Ngabang), Ade Muhammad Arif (Penembahan Sanggau), Gusti Muhammad Kelip (Penembahan Sekadau), Gusti Djafar, Raden Abdul Bahry (Penembahan Sintang), Muhammad Taufiq (Penembahan Mempawah), Raden Nalaprana dan ramai lagi para bangsawan serta tokoh kerajaan Melayu.
Peristiwa hitam ini dinamakan sebagai Peristiwa Mandor Berdarah 1944.
_______________________
- Kebangkitan Kaum Dayak Kalimantan -
Namun, perasaan marah itu tetap dipendam oleh pemimpin Dayak supaya perang tidak pecah segera. Antaranya satu usaha cuba dilakukan oleh pemimpin Dayak Desa Sikucing (Tayan Hilir) untuk berunding dengan Mandor Jepun (Osaki) bagi menyelesaikan isu antara pekerja paksa rela kaum dayak dengan orang Jepun. Namun rundingan itu dibalas oleh Osaki dengan cara kekerasan, dia cuba membunuh dua pimpinan Dayak dalam rundingan tersebut iaitu Pang Suma dan Pang Linggan. Malang nasib Osaki, dia pula yang terbunuh ditangan tokoh Dayak berkenaan.
Susulan kematian Osaki, pemimpin tertinggi tentera Jepun iaitu Nagatami lalu mempersiapkan kekuatan militer bagi melawan kaum Dayak Desa SiKucing (Tayan Hilir)
Bau perang sudah dihidu oleh pemimpin-pemimpin Dayak, kemudian segera itu mereka mengedarkan 'Mangkuk Merah' ke segenap Kalimantan Barat. Mangkuk Merah merupakan tradisi kaum Dayak bagi menandakan perang bakal bermula, dari situlah kaum Dayak seluruh Kalimantan Barat bersatu tenaga membentuk ketumbukan tentera menghadapi pasukan Jepun.
Pada bulan Jun 1944, perang Dayak vs Jepun meletus. Perang ini dianggap antara perang paling bersejarah di Kalimantan melibatkan penjajah Jepun. Ramai yang terbunuh termasuk pemimpin tertinggi Jepun dan pemimpin kaum Dayak.
Gambar:
Patung selamat datang di Museum Kalimantan Barat, menggambarkan kerukunan dan persatuan Suku Dayak dan Suku Melayu, dua suku terbesar di Kalbar.
___________________________
~Halim Abdurrahman~
Lajnah Sejarah Dan Tradisi
Telegram: https://t.me/gerakanpenamy
Instagram: https://www.instagram.com/gerakanpenamy
_____________________________
Comments
Post a Comment