Qatar: Duri Dalam Daging Kepada GCC?

OLEH: Abu Taqiyuddin


Qatar : Duri dalam daging kepada GCC?

Berdasarkan sejarah, hubungan diplomatik Qatar mempunyai pasang surut dengan negara anggota GCC yang lain. Selain gemar mengambil tindakan secara unilateral dalam satu-satu isu, Qatar dilihat sebagai duri dalam daging kepada kesatuan GCC.

Tindakan Bahrain, UAE dan Arab Saudi memutuskan hubungan diplomatik dengan Qatar bukanlah satu perkara baru. Sebelum ini pada 5 Mac 2014, Bahrain bersama-sama dengan Arab Saudi dan UAE, pernah bertindak memanggil pulang duta mereka dari Doha, Qatar ekoran tindakan Qatar yang menyokong pergerakkan Ikhwanul Muslimin di Mesir (Yang mana IM diistiharkan sebagai kumpulan pengganas oleh kerajaan UAE, Arab Saudi, Bahrain, Jordan dan Mesir) selain menyokong beberapa pertubuhan pengganas lain seperti Hezbollah dan Al-Qaeda.

Qatar seringkali dilihat bertindak diluar konsensus yang dipersetujui dalam GCC, sekaligus mencetuskan perbalahan diantara negara berkenaan dengan negara anggota yang lain. Hubungan luar Qatar dengan Arab Saudi misalnya tegang baru-baru ini apabila media Qatar mengkritik usaha Arab Saudi menganjurkan sidang kemuncak US-ARAB-ISLAM di Riyadh baru-baru ini, disamping memuji Iran sebagai kuasa baru dunia Islam. Untuk rekod, Qatar dan Iran berkongsi lapangan Gas yang menjadi sumber ekonomi Qatar.

Walaupun Menteri Luar Qatar, Mohammed bin Abdulrahman bin Jassim Al Thani menafikan laporan berita berkenaan, dan menyatakan bahawa stesen TV mereka telah di ceroboh oleh hacker, namun alasan berkenaan tidak dapat diterima oleh kebanyakkan negara anggota GCC terutama sekali Arab Sa`udi, Bahrain dan UAE. Arab Saudi dan UAE bertindak menghalang siaran Al-Jazeera dari memancarkan siaran ke negara berkenaan, malah beberapa laman web berita dari Qatar turut di'block'.

Malah menurut laporan perisikan Arab Saudi mendapati, Qatar telah menghantar beberapa orang diplomat mereka ke Iraq untuk bertemu dengan pegawai tertinggi tentera Al-Quds (yang dibiayai oleh Iran) sebelum menghadiri sidang kemuncak US-ARAB-ISLAM).

Tindak-tanduk Al-Jazeera, syarikat penyiaran yang dibiayai oleh kerajaan Qatar yang gemar melaporkan berita-berita yang memburukkan negara jiran turut menjadi punca kepada perbalahan diantara Qatar dengan negara anggota GCC yang lain. Sikap Al-Jazeera yang gemar mewar-warkan kelemahan negara anggota GCC tetapi dalam masa yang sama mendiamkan diri dengan kelemahan Qatar dilihat sebagai satu tindakan Qatar yang cuba memburukkan negara anggota GCC yang lain demi kepentingan ekonomi negara berkenaan.


TINDAKAN MALAYSIA?

Dalam hal ini, apa yang boleh dilakukan oleh Malaysia adalah tidak mencampuri urusan diantara negara berkenaan selain membiarkan negara-negara berkenaan menyelesaikan sendiri urusan rantau mereka. Perkara ini bukanlah asing bagi negara kita, kerana ketika Malaysia dibentuk, negara kita juga berhadapan dengan situasai yang sama (era konfrantasi Malaysia-Indonesia).

Selain itu Malaysia mungkin boleh bertindak sebagai mediator (walaupun adalah lebih baik Kuwait atau Oman menjadi mediator - kedua-dua negara GCC ini belum lagi memberikan sebarang kenyataan memutuskan hubungan diplomatik dengan Qatar.)

Nota : Buat masa ini, Bahrain, Arab Saudi, UAE telah memutuskan hubungan diplomatik dengan Qatar selain Mesir (Bukan negara GCC). Kuwait dan Oman (Negara Anggota GCC) sehingga pada ketika ini masih tidak bertindak memutuskan hubungan diplomatik dengan Qatar


___________________________
~ Abu Taqiyuddin ~
Sahabat PENA

Comments