Sejarah Agrobank

OLEH: Syafiq Murat

Bank Pertanian Malaysia (BPM) adalah sebuah badan berkanun Kerajaan yang ditubuhkan pada 1969 di bawah Akta Parlimen 1969. Sejarah penubuhan BPM adalah ekoran daripada resolusi Kongres Ekonomi Bumiputera Kedua yang mengesyorkan agar Kerajaan menubuhkan sebuah institusi kewangan yang khusus memberi kemudahan pinjaman untuk sektor pertanian. Syor ini dibangkitkan kerana pada masa tersebut, khususnya pada tahun-tahun 60-an ramai petani dan nelayan yang kebanyakannya orang Melayu tertekan oleh orang tengah yang menyediakan modal pertanian. Bank perdagangan pula enggan membiayai aktiviti pertanian dari kalangan petani dan nelayan kerana aktiviti pertanian mereka kecil dan tidak ekonomik. Kegagalan menyediakan cagaran oleh petani miskin menutup sama sekali peluang mereka mendapatkan pinjaman dari bank perdagangan.

Idea menubuhkan sebuah "bank pertanian" menjadi realiti pada tahun 60-an apabila Kerajaan memutuskan bagi memajukan projek tanaman padi di Pengairan MUDA. Kos pembinaan infrastruktur Pengairan Muda dibiayai oleh pinjaman Bank Dunia dan di dalam perjanjian pinjaman, Bank Dunia mensyaratkan supaya Kerajaan Malaysia menubuhkan sebuah badan bagi mengendalikan kredit pusingan pengeluaran padi di kalangan penanam padi.






Berpandukan kelulusan Rang Undang-undang BANK PERTANIAN MALAYSIA (BPMB) pada 19 Disember 2007, BPM diperbadankan di bawah Akta Syarikat 1965 dan dikenali secara komersial sebagai Agrobank iaitu sebuah bank milik Kerajaan di bawah pengawasan Menteri Kewangan Diperbadankan. Dengan tumpuan kepada pertanian, pembiayaan Agrobank bagi sektor pertanian adalah berpandukan dasar yang ditetapkan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

Berkuatkuasa 1 Julai 2015, Agrobank secara rasminya beroperasi sebagai bank perbankan Islam sepenuhnya. Dengan perkembangan pesat sektor perbankan Islam di negara ini, peralihan Agrobank kepada sistem perbankan Islam sememangnya merupakan perkembangan yang positif. Peralihan ini membolehkan Agrobank menyediakan produk dan perkhidmatan kewangan Islam bagi memenuhi keperluan industri makanan halal. Urusniaga-urusniaga patuh Syariah yang mendokong produk halal ini seterusnya membantu meningkatkan lagi keyakinan para pelabur dan pengguna terhadap status halal yang terdapat pada produk halal keluaran Malaysia.




___________________________
~ Syafiq Murat~
Sahabat PENA



Comments