Peristiwa Berdarah Bechah Kemahang Di Lenggong

OLEH: Iskandar Zulqarnain


Selepas Jepun menyerah kalah pada 1945, berlakunya suatu keadaan dimana tiada satu pentadbiran tetap untuk mengawal keamanan di Tanah Melayu. Disebabkan itu Parti Komunis Malaya mengambil kesempatan tersebut untuk menjadi pemerintah dan antara tindakan pertama yang mereka lakukan ialah dengan segera menduduki balai-balai polis. Mereka seterusnya menjalankan dasar untuk membalas dendam terhadap mereka yang disyaki menjadi talibarut Jepun.

Orang awam yang dituduh ini dibicarakan di dalam mahkamah yang disebut sebagai ‘Mahkamah Rakyat’. Mahkamah ini tidak mengikut peraturan antarabangsa dan pembuktian hanya cukup sekadar cakap mulut sahaja. Parti Komunis Malaya yang mempunyai ramai keahlian dikalangan orang Cina menyebabkan orang-orang Melayu merasakan mereka diancam oleh orang Cina.



Disebabkan itu ramai diantara orang-orang Melayu yang menyertai pasukan pertahanan yang ditubuhkan oleh pentadbiran British bagi menentang pengganas komunis dan sekaligus mencetuskan peristiwa Darurat pertama untuk mengawal pengaruh komunis. Darurat yang diisytiharkan ini menyebabkan pengganas komunis semakin tertekan dan lebih kerap menyerang orang awam yang tidak bekerjasama dengan mereka.

Dalam artikel kali ini orangperak.com ingin berkongsi sebuah kisah yang menjadi bukti kekejaman pihak komunis terhadap orang awam iaitu Peristiwa Bechah Kemahang di Lenggong supaya menjadi iktibar buat kita dalam mempertahankan maruah bangsa dan negara.

Gambar sekadar hiasan

Dahulu kawasan Lenggong, Grik yang dikelilingi hutan belantara serta berbukit bukau diakui merupakan kawasan hitam di semenanjung Tanah Melayu kerana menjadi laluan yang menghubungkan kawasan selatan tanah air ke Pantai Timur serta bersempadan dengan Thailand.

Laluan ini sentiasa digunakan oleh pihak komunis dan memudahkan mereka untuk lari berlindung di kawasan sempadan apabila diburu oleh pihak tentera. Di Lenggong sahaja terdapat banyak peristiwa berdarah yang berlaku iaitu pembunuhan anggota keselamatan dan penduduk yang enggan bekerjasama dengan pihak komunis.

Antara tragedi berdarah yang berlaku di kawasan Lenggong ialah ‘Peristiwa Bechah Kemahang’ di Changkat Berangan, Lenggong pada tahun 1952 iaitu ketika era keganasan komunis memuncak. Dalam peristiwa ini pihak pengganas komunis telah menyerang sebuah bas awam yang berulang alik dari Taiping ke Grik. Bas ini digelar penduduk sebagai ‘Mail Car’ kerana sering membawa bungkusan pos dan penumpang pada waktu itu.

Gambar sekadar hiasan


Pihak komunis menahan bas tersebut ketika melalui jalan di Bechah Kemahang. Semua 30 penumpang diarahkan turun kerana komunis mengesyaki bas itu membawa anggota risikan tentera mahupun pihak polis. Namun selepas menggeledah dan menyoal siasat, pihak komunis yang tidak menemui individu ataupun sebarang barang yang dikehendaki mula bertindak ganas terhadap penumpang bas tersebut.

Menurut cerita dari saksi dan penduduk dikawasan sekitar Bechah Kemahang, pihak pengganas komunis menggantung sampai mati seorang wanita Cina dan dua lelaki Melayu di sebuah pondok estet di tepi jalan. Penumpang lain pula dibawa ke gua di Banjaran Bintang Hijau yang berada jauh didalam hutan dan dijadikan tahanan sebagai amaran kepada anggota keselamatan dan orang kampung supaya jangan yang berani cuba melawan mereka.

Setelah beberapa lama, seorang anggota polis yang juga Ketua Balai Polis Lenggong (ketika itu) dipanggil Pak Cu Kote telah menyampaikan amanat sekiranya mahu semua penumpang itu selamat, penduduk kampung perlu melawan komunis berkenaan. Bertitik tolak daripada itulah, terbentuknya kumpulan digelar tujuh bersaudara yang mengabadikan nama Osman Mat Piah sebagai pejuang kampung dan bangkit menyerang dengan beraninya kubu berkenaan dan menyelamatkan tebusan.


Anggota homeguard tujuh bersaudara itu terdiri daripada Osman Mat Piah bersama dua beradik, Hussien dan Yaakob serta disertai tiga lagi anak Yaakob iaitu Mior Ahmad, Mior Kassim dan Mior Ariffin berserta menantunya, Sulaiman Pandak Yusoff. Dengan hanya bersenjatakan senapang patah yang dibekalkan kepada pasukan kawalan kampung, tujuh bersaudara itu berjaya menyelamatkan tebusan selepas berlaku pertempuran selama tiga hari yang menyebabkan semua 30 komunis terbunuh.

Pada tahun tersebut juga berlakunya nahas udara sebuah pesawat penyerang dan pengebom British, Bristol Brigand PH755 terhempas ketika operasi mengebom sarang komunis di kawasan berkenaan menyebabkan tiga krew pesawat terbunuh. Krew pesawat Bristol Brigand RH 755 yang terkorban ialah juruterbang Basil Cochrane, Sarjan James Blacklock Armstrong dan Cyril John Alexander Cox.



___________________________
~ Iskandar Zulkarnain ~
Sahabat PENA

Comments