Apa Yang Anda Mesti Tahu Tentang 25 Januari Di Mesir?

OLEH: Mohd Faizal Sabhon


Assalamualaikum WBT,

Pembaca sekalian,

1. Saban tahun menjelang 25 Januari, selepas tahun 2011, ia menjadi satu tarikh yang sinonim dengan isu keselematan terutama di awal-awal tahun pasca revolusi 25 Januari 2011. Pada tahun-tahun 2012 hingga 2014 sebahagian orang menanti apakah akan berlaku sesuatu yang “dahsyat” atau gelombang kebangkitan rakyat berulang di Mesir.

2. Sebagai saksi peristiwa, memang Januari dan Februari 2011 diakui sebagai tahun yang mencabar kerana sebuah kerajaan dijatuhkan melalui satu perhimpunan besar rakyat.

3. Rakyat yang menuntut keadilan sosial, baik pulih ekonomi dan sedikit integriti dalam pentadbiran. Itu tiga paksi utama mereka.

4. Ditambah dengan ura-ura pencalonan Gamal Mubarak, anak Husni Mubarak dalam pilihanraya presiden yang mana sepatutnya dijadualkan pada ketika itu pada tahun 2012.

5. Pergerakkan bawah tanah yang bersifat “kanan” adalah untuk tujuan PENAMBAH BAIKKAN, namun dikotori bermula pada 28 Januari oleh kumpulan “kiri” yang berideologi yang menunggang agama hingga melibatkan kumpulan negara asing. Ini dibuktikan dalam siri perbicaraan yang berlangsung di Mahkamah. Saya rasa tepu untuk menjelaskan kerana melalui ruangan ini telah berkali-kali menulis perkara ini.

TARIKH SEBENAR REVOLUSI RAKYAT

6. Revolusi 25 Januari ini sebenarnya telah diperbaiki dengan revolusi 30 Jun 2013 apabila kumpulan ideologi pelampau yang menunggang agama dijatuhkan dan bermula tahun 2014, sebenarnya, rakyat Mesir lebih menyambut dan mengiktiraf revolusi 30 Jun berbanding 25 Januari.

7. Ini kerana, revolusi 25 Januari dicuri oleh kumpulan berideologi pelampau yang menunggang agama seterusnya menggantikan kerajaan umpama tukar kulit semata dan tiada sesuatu yang baharu yang dapat dirasai atau dijangkakan akan memberi kesan hingga menyebabkan rakyat keluar sekali lagi pada 30 Jun 2013.

8. Saban tahun, selaku pengurus sebuah konsultan pengurusan pelajar, seakan menjadi rutin untuk menjawab kepada ibu bapa keadaan semasa Mesir dan rumos akan berlaku huru hara di Mesir.

9. Pelik lagi hairan, mengapa masih ada sebahagian kumpulan pelajar di Mesir gagal memahami keadaan sebenar dan menyebarkan rumos yang salah. Agak melucukan apabila ada dikalangan mereka menggunakan persatuan pelajar untuk menyampaikannya dan membayangkan seolah-olah mesti berjaga-jaga kerana ada sesuatu yang besar bakal berlaku.

10. Sedangkan rakyat Mesir bercuti dan melapangkan masa meraikan cuti pada hari tersebut.

11. Sebenarnya 25 Januari TIDAK TERLALU SINONIM dengan tarikh revolusi atau kebangkitan gelombang pertama tahun 2011.

25 JANUARI PERJUANGAN MARUAH DAN TANAH AIR MESIR

12. Jauh dari itu, tarikh 25 Januari adalah satu tarikh keramat bagi Mesir lambang keberanian rakyat mempertahankan negara dari kuasa asing yang menceroboh institusi penting mereka dan darah para syuhada yang gugur pada tarikh berkenaan, pada tahun 1952.

13. Sebab itu pada malam tadi, Presiden hadir dalam acara memperingati mereka dan khutbah jumaat semalam bertemakan keberanian dalam perjuangan mempertahankan negara hingga ke titisan darah terakhir.

PEMANSUHAN PERJANJIAN 1936

14. Bermula pada jam 7 pagi, 25 Januari 1952, Tentera British yang lengkap dengan kereta perisai dan tentera-tentera yang lengkap seramai 7,000 kekuatan tentera menuju ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen Ismailiah, sebuah bandar berhampiran Suez.

15. Semua ini berlaku kerana Parlimen Mesir telah bersetuju memansuhkan perjanjian 1936 Mesir - Britain. Ini berlaku pada 8 Oktober 1951 apabila Perdana Menteri Kerajaan Mesir pada ketika itu, Mustafa Al Nuhas Basha dengan berani mengemukakan usul pemansuhan perjanjian Mesir - Britain yang dimetrai pada 26 Ogos 1936.

16. Pemansuhan perjanjian itu bermaksud, kewujudan tentera di kawasan Terusan Suez adalah tidak sah dan mereka adalah tentera penjajah seperti tahun sebelum 1936. Berdasarkan perjanjian 1936, tentera British hanya boleh berada di kawasan sekitar Terusn Suez iaitu ISMAILIAH, SUEZ dan PORT SAID sahaja. Dalam masa 20 tahun atau sepatutnya 1956, tentera British hendaklah keluar dari tanah air Mesir.

17. Namun, seperti biasa, penjajah mahu melanggar perjanjian. Pada Mac 1950, British menuntut rundingan semula semua perjanjian 1936. Rundingan bermula selama sembilan bulan dan British seperti berkeras mahu mengekalkan tentera British di Mesir walau selepas tamat perjanjian kelak. Mesir TIDAK BERSETUJU dan tiada kata sepakat dicapai.

KEBIJAKSANAAN AL NUHAS BASHA


18.Mustafa AL NUHAS Basha sebagai perdana menteri ketika itu menyedari muslihat British dan meletakkan masa depan dan kepentingan negara mendahului segalanya, maka beliau pada masa itu telah menyusun strategi lebih pantas menggagalkan perancangan British.

19. Ini kerana, menyedari hakikat bahawa kedudukan beliau sebagai Perdana Menteri atau ketua eksekutif boleh dipecat bila-bila masa oleh Raja Farouk yang walaupun sebagai Raja Berperlembagaan, Raja memang berkuasa mutlak melantik dan memecat Perdana Menteri. Ia kuasa Prerogatif Raja ketika itu. Walaubagaimana pun, AL NUHAS BASHA tidak dipecat sebaik kelulusan parlimen terhadap pemansuhan perjanjian 1936.

20. Oleh kerana kedudukan tentera British adalah berstatus tentera penjajah bermula 8 Oktober 1951, maka pendudukan mereka tidak sah dan bersamanya juga tamat keistimewaan pengecualian cukai barang-barang British yang masuk ke Mesir. Kedutaan British di Mesir membantah keputusan parlimen Mesir.

INSIDEN BERDARAH 25 JANUARI 1952

21. Brigder Jeneral Hexham ketua penguasa tentera British di Suez telah menghubungi Menteri Dalam Negeri Mesir ketika itu, FUAD SIRAG BASHA mengancam akan bertindak keras jika tidak menyerahkan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Ismailiah.

22. FUAD SIRAG BASHA mengarahkan ibu pejabat polis berkenaan supaya terus bertahan dan tidak menyerahkannya kepada British.

23. Maka bermulalah pengepungan Ibu Pejabat Polis berkenaan pada 7 pagi 25 Januari 1952 oleh 7,000 tentera British.

24. Setelah Polis menyatakan dengan keras tidak akan menyerahkan Ibu Pejabat Polis berkenaan pada pagi itu, maka berlakulah serangan antara kedua-dua belah pihak hingga 50 Anggota Polis Mesir gugur sebagai syahid manakala 80 yang lain cedera parah. Jumlah keseluruhan anggota polis di sana pada ketika itu dianggarkan lebih kurang 800 anggota.

25. Laporan serangan berkenaan mendapat liputan meluas di corong-corong radio ketika itu dan cepat tersebar hingga ke segenap lapisan rakyat di Mesir. Justeru Mesir telah membawa perkara tersebut ke PBB dan mendapat perhatian di sana. Britian memanggil pulang Dutanya ekoran insiden buruk berkenaan.

KEBAKARAN BESAR KAHERAH 26 JANUARI 1952

26. Ini tidak terhenti, rakyat Mesir mula marah. Maka pada 26 Januari 1952 berlaku pula kebakaran besar di Kaherah yang mengakibatkan kerugian besar perniagaan-perniagaan atau premis asing terutama sekali milik British.

27. Perdana Menteri Mustafa AL NUHAS Basha dipecat oleh Raja Farouk ekoran insiden ini. Kebangkitan rakyat tidak boleh lagi dibendong. Raja kelihatan seolah-olah tidak menyebelahi rakyat.

RAKYAT YANG TERGURIS DAN MULA PEMBENTUKAN SEBUAH REVOLUSI

28. Pemecatan AL NUHAS BASHA bukan sahaja mengguris hati rakyat, bahkan meyebabkan pengasasan revolusi oleh sekumpulan tentera Mesir yang berpengkalan di Arish, atau bekas Tentera Batalion Keenam Unit Infrantri Tentera Diraja Mesir yang pernah berperang di Palestin pada tahun 1948. Jeneral Jamal Abdul Naser adalah Timbalan Komander Batalion yang mengetuai PERTAHANAN FALUJAH, PALESTIN hingga dikepung dan kekurangan senjata kerana korupsi istana Mesir hingga beliau meluahkan dalam memorinya:

“تبدد جنودنا امام تحصينات"

Maksudnya :

PERJUANGAN SIA-SIA TENTERA TANPA SENJATA YANG LENGKAP DAN BERDEPAN KEPUNGAN ISRAEL.

Maksud beliau amat luas jika sesiapa membaca memorinya. Pengkhianatan sebuah negara kecil arab yang membuat perjanjian genjatan senjata tanpa berbincang dengan pihak Mesir telah menyebabkan kemaraan tentera Mesir di Palestin gagal dan Gamal sendiri telah ditembak oleh musuh. Beliau pulang dengan penuh kekecewaan di sebalik pengkhianatan, kekurangan bekalan, dan berazam untuk melaksanakan revolusi terhadap negaranya sendiri dengan menjatuhkan Raja yang dilihat proksi Inggeris.

29. Maka, 25 Januari 1952 adalah titik tolak penting pergerakkan tentera Mesir membebaskan Mesir dari campur tangan asing setelah melihat tiada lagi ruangan politik yang mampu mempertahankan maruah tanah air. Kira-kira kurang enam bulan selepas itu, atau 23 Julai 1952, tentera Kem Arish atau kumpulan yang dinamakan “TENTERA PEMBEBAS” maju mara ke Istana Abdeen Kaherah, Ibu Pejabat kem Tentera Kaherah dan radio Mesir telah ditawan pada malam hari tersebut menggulingkan Raja Mereka yang sedang bersemayam di Istana Musim Panas di Iskandariah.

KEMUNCAK PERJUANGAN MEMPERTAHANKAN MARUAH

30. Selepas Revolusi 23 Julai 1952, maka tarikh 25 januari diumumkan sebagai Hari Kemerdekaan Ismailiah. Namun pada tahun 2009, Kerajaan Husni Mubarak dengan berani mengumumkan 25 Januari bermula tahun itu sebagai Hari Polis dan Cuti Umum.

31. Pelik dan hairan, kira-kira dua tahun selepas itu ada pergerakan memilih tarikh tersebut sebagai “hari revolusi rakyat” seolah-olah mahu memadamkan tarikh asal untuk sebuah perjuangan maruah dan tanah air.

32. Teori konspirasi yang sukar dinafikan namun Kuasa ALLAH S.W.T mengatasi segalanya. Revolusi rakyat sebenar menuntut keadilan sosial dan penambah baikkan kerajaan benar-benar berlaku hanya pada 30 Jun 2013 dan untuk itu, tarikh sebenar revolusi rakyat Mesir ialah 30 Jun 2013 kerana sejak tarikh itulah, kejayaan demi kejayaan dikecapi oleh rakyat Mesir hasil tuntutan yang asalnya pada 25 Januari 2011 hanya tercapai selepas revolusi 30 Jun 2013.



33. Untuk itu, jangan kita bimbang setiap 25 Januari. Hanya “kumpulan yang kecewa” sahaja cuba melakukan provokasi dan pastinya sejak 2014, mereka terus gagal kerana mereka bukan kumpulan utama sejak 25 Januari 2011 sebaliknya kumpulan yang menangguk di air yang keruh.

___________________________
 Mohd Faizal Sabhon
Sahabat PENA

Comments