Terkuburnya Utusan Melayu Cetakan Jawi

OLEH: Taufiq Tuah


Utusan Melayu merupakan salah satu akhbar yang terawal di Malaysia. Akhbar ini ialah antara akhbar terawal milik penuh orang Melayu dan sering membawakan semangat-semangat nasionalisme kepada masyarakat Melayu. Walaupun hakikatnya mereka boleh dikira sebagai pada awalnya akhbar berhaluan kiri dan pro-Indonesia. Namun tidak menolak jasa dan usaha mereka dalam membentuk pemikiran masyarakat Melayu.

Pada awalnya akhbar Utusan Melayu sebenarnya bertulis jawi. Namun akhirnya penulisan mereka dalam tulisan Jawi telah ditamatkan. Sedangkan mereka ialah antara penaik semangat Melayu. Bagaimana akhbar seperti itu boleh melupakan tulisan jawi dan mengangkat tulisan rumi?

Hal ini adalah kerana A.Samad Ismail (ahli Utusan Melayu sendiri) yang pada ketika itu sangat berpengaruh di dalam Angkatan Sasterawan 50 (ASAS 50). Pada tahun 1954, ASAS 50 telah mengemukakan cadangan tulisan rumi sebagai tulisan rasmi persuratan Melayu di dalam Kongress Persuratan Melayu Kedua. Kemudiannya cadangan ini diterima dan dilaksanakan.

Alasan ASAS 50 ialah kerana kononnya tulisan rumi lebih berbentuk menyatukan masyarakat nusantara sebagaimana tulisan rumi telah menyatukan Indonesia. Maka persuratan Melayu di dalam rumi terus diutamakan.

Nasib tulisan jawi di Malaya seluruhnya akhirnya hampir terkubur. Pelbagai sektor dan institusi telah merumikan fail dan dokumen. Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pula muncul pada Kongres Persuratan Melayu Ketiga dan pada ketika itu memang telah dirasmikan rumi. Maka DBP juga terpaksa menuruti perumian persuratan Melayu sebagaimana di dalam kongres yang lebih awal.

Orang-orang Melayu pula semakin hari semakin selesa membaca dan menulis dalam rumi berbanding jawi. Selepas keputusan itu, siapa sangka kempen perkasa jawi pula terpaksa dibuat. Kerana orang Melayu akhirnya semakin lupa pada jawi. Kempen-kempen ini bermula sekitar 1980-an, beberapa tahun selepas keputusan menyemarakkan tulisam rumi diluluskan. Menunjukkan bahawa masa yang agak singkat sahaja diambil, boleh memadamkan tulisan jawi daripada relevan.

Kempen-kempen jawi dibuat oleh sekolah-sekolah namun tidak mampu mengekang kebiasaan rumi dalam masyarakat.

Pada 1967, diterbitkan Utusan Malaysia iaitu akhbar persis Utusan Melayu tetapi bertulisan rumi. Pada ketika Utusan Malaysia diterbitkan, Utusan Melayu juga masih ada di dalam edaran. Kedua-dua akhbar ini diterbitkan oleh penerbit yang sama.

Disebabkan pembelian Utusan Melayu (Jawi) semakin hari semakin kurang dan menanggung kerugian, maka pihak penerbit Kumpulan Utusan mulai menfokuskan kepada kerja-kerja di Utusan Malaysia (Rumi).

Akhirnya Utusan Melayu ditamatakan secata rasmi pada 2003 (setelah 63 tahun berjuang) kerana tidak mampu lagi menanggung rugi yang banyak. Akhbar yang sepatutnya menjadi akhbar harian ini tertamat.

Bagi kesinambungan itu, Utusan Melayu sebagai akhbar mingguan pula diperkenalkan tetapi tidak lama dan tidak mendapat banyak sambutan. Walaupum hanya akhbar mingguan, kerugian yang ditangguh agak tinggi sehingga terpaksa disokong oleh Tan Sri Rais Yatim dan juga Yayasan Bukhari.

Tamatnya Utusan Melayu merupakan tamatnya riwayat akhbar jawi di Malaysia. Hal ini kerana cetakan akhbar dan majalah jawi seperti Majlis dan Pengasuh telah lebih awal terkubur.

Kumpulan Utusan secara seluruhnya akhirnya telah tamat perkhidmatan pada 9 Oktober 2019. Maka terkubur bukan sahaja pada Utusan Melayu (Jawi), tetapi juga dengan akhbar lainnya seperti Utusan Malaysia (Rumi), Kosmo! (Rumi) , Utusan Karya (Terbitan Majalah), Utusan Publication & Distributor (Cetakan buku) dan juga Utusan Airtime (Iklanan TV dan Radio).

Maka kita mencari mana-mana lagi penerbit yang sudi mencetak bahan penulisan jawi lagi. Agar dapat menjadi penyambung pejuangan tulisan jawi. Wallahualam

___________________________
Taufiq Tuah 


Comments