Pelepasan Kesultanan Trengganu dari Naungan Siam kepada British – 1909.

OLEH: Izmal Karim

Deksripsi:

Terjemahan

Daripada : Yang Mulia Krom Luang Damrong Rachan Nob Hab, Perdana Menteri Kerajaan Siam.

Kepada : Duli Yang di Pertuan Trengganu, Phya Pichai Pubin.

Tuanku Yang Dikasihi,

Dengan titah perintah Yang Mulia Raja Siam, Raja Chulalongkorn ingin dimaklumkan kepada sahabat kita, perjanjian telah diadakan di antara Kerajaan Siam dan Kerajaan Inggeris pada 10 Mac 1909. Perjanjian ini telah dipersetujui dan ditandatangani pada 09 Julai 1909, Kerajaan Siam telah menyerahkan naungannya Kesultanan Trengganu kepada Kerajaan Inggeris. Yang Mulia Raja Siam berasa dukacita di atas tindakan ini lantaran jalinan persahabatan akrab yang telah wujud sekian lama. Kerajaan Siam amat mengambil berat hal-hal yang berkaitan dengan Kesultanan Trengganu. Kerajaan Siam berjanji serta memberikan jaminan seandainya Kesultanan Terengganu menghadapi sebarang kesulitan pada hadapan mereka sedia membantu.

Dengan ingatan tulus ikhlas Kerajaan Siam berdoa agar Kesultanan Trengganu terus maju, sejahtera dan kekalkan perhubungan persahabatan yang sedia ada.

Damrong Rachan Non Hab.

(Perdana Menteri Kerajaan Siam)

(dengan titah perintah Kerajaan Siam)

Warkah ini di sediakan oleh Jens Iverson Westengard, berbangsa Denmark dari Amerika Syarikat yang di lantik sebagai General Adviser Kerajaan Siam. Ianya di terjemahkan ke dalam bahasa Siam dan di bawa oleh Phya Raj Winichai ke Singapura bagi di sampaikan kepada Sultan Zainal Abidin III sejurus selepas penyerahan Kesultanan Trengganu dalam Perjanjian Bangkok dari Kerajaan Siam kepada British pada 10 Mac 1909.

W.R.D.Beckett, wakil British di Bangkok memaklumkan warkah ini kemudiannya di terjemahkan semula ke bahasa Inggeris dan bahasa Melayu di Singapura kepada Sir John Anderson, Gabenor Negeri-Negeri Selat.

British keliru dengan tindakan Kerajaan Siam mengutuskan warkah ini seolah-olah timbul rasa bersalah kerana melepaskan naungannya, Kesultanan Trengganu kepada British di Singapura dalam keadaan terpaksa. Pada masa yang sama Sultan Zainal Abidin III sendiri tidak akui ataupun menerima persetujuan dalam perjanjian Bangkok di antara Kerajaan Siam dengan British yang mendakwa negerinya bernaung di bawah mana-mana kuasa asing.

Warkah ini di temui oleh Professor Kokoro Soseki dari Universiti Thammasat, Phra Nakhon Thailand ketika menjalankan penyelidikan di British Archives dengan dikongsikan di FB beliau pada 13 October 2018.

Ulasan

Warkah ini menjadi bukti sahih hubungan Raja Chulalongkorn dengan Sultan Zainal Abidin III istimewa dan rapat walaupun status Kerajaan Siam itu sendiri lebih besar dan gah berbanding dengan Kesultanan Trengganu. Tidak pasti samada Raja Chulalongkorn pernah mengutuskan warkah yang sama kepada Sultan Kedah, Sultan Kelantan ataupun Raja Perlis.

Selain itu di temui dari makluman sahabat-sahabat dari Bangkok bersandarkan rujukan dari rekod-rekod Siam, Raja Vajiravudh pernah mengutuskan warkah memaklumkan kematian ayahandanya dengan di lampirkan sekeping portrait Raja Chulalongkorn dengan Sultan Zainal Abidin III pada tahun 1910. Ini menjadi bukti kedua keakraban di antara Raja Siam dengan Sultan Terengganu ketika itu.

Walaupun ada ikatan hubungan diplomatik dan budaya namun kedua-duanya berbeza dari sudut agama dan bahasa. Jalinan persahabatan diantara Raja Chulalongkorn dengan Sultan Zainal Abidin III agak unik. Ianya menarik jika dapat di perkembangkan lagi dalam bentuk kajian penyelidikan yang lebih khusus.

Foto dari Kanan, Raja Chulalongkorn (Rama 5) dan Krom Luang Damrong Rachan Nob Hab, Perdana Menteri Kerajaan Siam.

Rujukan :

FB Professor Kokoro Soseki ,Universiti Thammasat,Thailand – 13 October 2018 (https://www.facebook.com/thanet.aphornsuvan/posts/2163577803674153)

[Legasi Pemikir - LEKIR]

Comments