Perkembangan Ilmu di Malaysia dan Indonesia

OLEH: Taufiq Tuah



Ilmu merupakan nilai terpenting bagi sesuatu tamadun dan pembentukan masyarakat. Ilmu yang ingin dibincangkan di dalam artikel kali ini ialah daripada konteks umum dan bukan ilmu yang disilibeskan sahaja.

Bagaimana Indonesia dan Malaysia melalui zaman-zaman perkembangan ilmu di negara masing-masing?

INDONESIA
Saya kira Indonesia agak terkehadapan dalam bab ini berbanding Malaysia. Saya katakan begitu kerana di Indonesia mempunyai lebih banyak faktor dalam usaha mempergiatkan perkembangan ilmu.

Antaranya ialah Indonesia ialah negara yang terawal dalam menterjemahkan pelbagai karya luar ke dalam bahasa Nusantara (samada Bahasa Indonesia mahupun Bahasa Jawa). Pada tahun 1960-an sahaja kita dapat melihat betapa mereka seolah-olah berlari pecut dalam dunia penterjemahan. Penterjemahan pula dilakukan untuk buku di dalam hampir semua bidang.

Sebenarnya sangat penting untuk memperbanyakkan terjemah buku di dalam bahasa sendiri kerana ini lebih menambahkan lagi minat pembaca dikalangan orang tempatan. Bayangkan, ilmu yang ditulis di dalam Bahasa Latin, kini boleh difahami oleh orang Indonesia sementara mungkin sahaja ilmu yang sama belum diterjemah oleh Jepun. Hal seperti ini mampu menambah pecutan perkembangan ilmu di Indonesia.

Jika kita lihat kesannya pada tahun-tahun sekitar itu, Indonesia melahirkan begitu ramai golongan intelektual. Tokoh-tokoh mereka menjadi wakil antarabangsa untuk bidang-bidang yang pelbagai malah tokoh-tokoh mereka ketika itu juga menjadi rujukan negara-negara jiran.

Perkembangan ilmu Indonesia juga menjadi semakin pesat apabila syarikat penerbitan buku mulai muncul bagai cendawan yang tumbuh. Syarikat penerbitan buku mereka begitu banyak dan ibarat sangat mudah untuk didirikan. Hal ini menambah lagi variasi buku yang boleh dipilih oleh masyarakat Indonesia ketika itu.

Hal ini tidak termasuk kumpulan-kumpulan tertentu di Indonesia yang dengan mudah mampu membuka sekolah-sekolah dan universiti-universiti atas nama kumpulan mereka. Indonesia seolah-olah memberikan kelonggaran untuk institusi pengajian seperti ini dibuka dengan banyak dan pesat.

Maka dapat dilihat Indonesia memecut dalam bidang perkembangan ilmu kerana,
1. Percambahan syarikat penerbitan buku.
2. Usaha penterjemahan buku ke bahasa tempatan yang banyak di tahun yang awal.
3. Percambahan sekolah-sekolah dan universiti-universiti milik kumpulan tertentu yang banyak.
4. Tokoh-tokoh intelektual yang ramai muncul pada tahun-tahun awal itu.

MALAYSIA
Malaysia agak lewat dalam mempergiatkan penterjemahan karya luar ke dalam Bahasa Melayu. Bukan lah Malaysia tidak ada penterjemah, tetapi penterjemah kita tidak seramai dan sedrastik penterjemah di Indonesia.

Mungkin juga salah satu aspeknya kerana Malaysia sedang sibuk menterjemahkan tulisan Jawi kepada Rumi pada setiap naskah dan lembaran ketika zaman itu. Hal ini sehingga buku-buku terjemahan Bahasa Melayu itu tidak banyak sehingga akhirnya orang Malaysia sendiri sanggup beli terjemahan Bahasa Indonesia sahaja dari seberang walaupun akan ada beberapa perkataan yang lambat untuk difahami oleh orang Malaysia.

Syarikat-syarikat penerbitan buku juga agak suam-suam kuku ketika itu berbanding dengan keadaan di Indonesia yang sedang membanyakkan penerbit buku. Di Malaysia, mungkin mereka yang ingin menerbitkan buku ini ramai yang takut untuk mengambil risiko. Maka ramai diantara mereka hanya mencetak sendiri dan edarkan sendiri sahaja. Jadi kos dan jumlah produk mulai terbatas malah ruang edaran juga tidak luas.

Tokoh-tokoh intelektual Malaysia ketika itu ramai namun tidak dikehadapankan. Kebanyakan tokoh-tokoh ini tidak mendapat perhatian.

Institusi pengajian swasta di Malaysia ketika itu pula lebih tertumpu kepada madrasah, pondok, sekolah agama dan sekolah tabligh gereja sahaja. Sekolah swasta untuk bidang selain itu boleh dikatakan hampir sahaja tidak ada.

Asbab-asbab di atas menjawab kenapa Indonesia lebih maju perkembangan ilmunya berbanding Malaysia.

HARI INI
Kedua-dua negara masih lagi meneruskan usaha perkembangan ilmu. Institusi pengajian swasta di Malaysia juga telah mula membuka untuk pelbagai bidang.

Penerbit-penerbit buku di Malaysia juga semakin banyak. Namun disebabkan mungkin ada yang tidak laku, banyak juga penerbit-penerbit ini yang akhirnya menutup perkhidmatan. Namun masih boleh dikatakan penerbit buku di Malaysia masih banyak.

Penterjemah di Malaysia juga sedang giat pada hari ini untuk menterjemahkan karya ilmu bahasa luar ke dalam bahasa tempatan.

HARAPAN
Walaupun Indonesia pada awalnya memecut dalam merialisasikan perkembangan ilmu di sana, saya berharap agar Malaysia juga menjadikan apa yang berlaku sebagai penaik semangat untuk menyebarkan ilmu.

Kini kita telah melalui zaman IT dimana perkembangan ilmu juga boleh dibuat melalui laman web, blog, sosial media, e-book, PDF san youtube. Maka diharapkan agar masyarakat IT ini menggunakanya.

Comments