Siapa Gerangan Patung Yang Terdapat Di Muzium Taiping?

OLEH: Iskandar Zulqarnain



Muzium Perak atau lebih dikenali sebagai Muzium Taiping sememangnya diketahui merupakan muzium yang tertua di negara ini. Banyak artifak yang tinggi nilai sejarahnya ditempatkan disini sebagai pelajaran untuk lebih mengenali masa lampau terutamanya mengenai sejarah negeri Perak.

Bahagian pameran luar bangunan pula terdapat beberapa pameran seperti kubur purba, jet pejuang, gerabak kereta api dan sebuah patung bagi memperingati seorang pegawai British yang telah berkhidmat di negeri Perak.

Kali ini penulis ingin memperkenalkan kepada pembaca semua siapakah individu yang telah didedikasikan dengan arca patung gangsa tersebut dan sejarah hidup beliau terutamanya berkenaan khidmat beliau di negeri Perak.

Patung tersebut dibina dengan menyerupai Lt. Col. Robert Sandilands Frowd Walker, (juga dikenali sebagai R. S. F. Walker) seorang pegawai British yang menjadi watak penting sewaktu pemerintahan kolonial British di Tanah Melayu suatu ketika dahulu (13 May 1850 – 16 May 1917).

R.S.F Walker dilahirkan di Chestercastle, Chester pada 13 Mei 1850, merupakan anak kepada John dan Camilla Walker. Beliau memperoleh pendidikan awal Brentwood School, Essex sebelum menyertai Royal Military College, Sandhurst.

Ketika berada di Sandhurst, beliau terkenal sebagai ahli sukan yang aktif dan sering mewakili kolej tentera tersebut dalam acara sukan pada tahun 1869 dan 1870 dalam pertandingan berdepan Royal Military Academy, Woolwich.

Pada tahun 1870, ketika berumur 20 tahun, beliau telah menyertai pasukan 28th (North Gloucestershire) Regiment of Foot yang pada 28 Oktober 1871, beliau telah digazetkan sebagai Ensign dan kemudiannya Leftenan, dan beliau telah dihantar untuk berkhidmat di Gibraltar dan Malta.

Pada 1874, beliau telah ditukarkan ke Perak, setelah itu beliau dihantar ke Hong Kong dan kemudian Singapura dimana pada 1878, beliau merupakan pembantu kepada Sir William Robinson, Gabenor Negeri-Negeri Selat.

Pada awal 1879, beliau memasuki perkhidmatan dalam pentadbiran Negeri-Negeri Melayu Bersekutu sebagai Pemangku Komisioner Angkatan Bersenjata Polis Perak dan juga sebagai Pemangku Pembantu Residen.

Menjelang 1884, beliau merupakan Komander 1st Perak Sikhs dengan jawatan sebagai Major. Lima tahun kemudian, beliau dianugerahkan pangkat kehormat sebagai Leftenan Kolonel dalam Pasukan Polis Perak.

Kemudian pada 1902, beliau telah menjadi Komander Pasukan Polis Negeri-Negeri Melayu. Beliau telah bertugas sebagai Pembantu Residen Perak pada 1882, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak pada 1889, Pemangku Residen Selangor pada 1899 dan Pemangku Residen Perak pada tahun 1900.

Pada 1879, R.S.F Walker mengambil alih tugas sebagai komander Pasukan Bersenjata Polis Perak daripada Major Paul Swinburne dan menukarkan pasukan tersebut sebagai pasukan separa tentera yang dianggotai hampir sepenuhnya oleh orang Sikh dan Pathan.

Pada 1884, Walker telah berjaya dalam petisyen beliau kepada Pasukan Bersenjata Polis Perak supaya dikenali sebagai “1st Battalion, Perak Sikhs”. Pada ketika waktu ini, pasukan polis telah mempunyai kekuatan seramai 650 anggota dan kebanyakkan daripada mereka dihantar ke Parit Buntar danTelok Anson (Teluk Intan).

Anggota yang lain menjalankan tugas sebagai pengawal di Residensi British di Taiping dan mengawal ketenteraman di seluruh negeri Perak. Pasukan ini banyak terlibat dalam menguruskan kebangkitan tempatan, dan campur tangan dalam urusan yang melibatkan kumpulan kongsi haram Cina.

Pada 29 November 1887, disebabkan ketegangan sedia ada diantara kumpulan kongsi gelap Ghee Hin dan Hai San, pergaduhan di pusat perlacuran di Papan Ipoh bertukar menjadi ganas yang akhirnya dikenali sebagai Rusuhan Papan.

Peristiwa ini menjadi pertempuran paling serius diantara persatuan kongsi gelap Cina yang pernah berlaku dalam daerah Kinta. Rusuhan ini kemudiannya berjaya dikawal oleh Walker dan pasukan polis Perak Sikhs namun berulang kembali pada September 1889.

Kali ini Walker dan pasukan polis Perak Sikhs mengambil inisiatif dengan menunjukkan kekuatan pasukan polis, dan bertindak melalui laporan yang diberikan oleh pemangku majistret, melawat kawasan perlombongan di Kinta, dan memeriksa rumah-rumah kongsi yang menjadi kediaman anggota kongsi gelap.

Dengan penampilan pasukan polis yang digeruni dan dikenali sebagai “Mungkali Kwai” (Syaitan Sikh) telah membantu menghalang insiden-insiden keganasan dari berulang kembali.

Usaha Walker dalam membendung rusuhan telah dihargai oleh Gabenor, “Beliau telah berjaya mengangkat dirinya dengan baik, sering berkerja dari siang hingga ke tengah malam dan beliau berjaya menyelesaikan pertelingkahan diantara Taukey-taukey Cina dan kumpulan kuli dengan kesabaran, penilaian dan tindakan yang tepat”.

Beliau bermain dalam pasukan kriket Sandhurst pada 1869, termasuk perlawanan menentang Royal Military Academy, Woolwich pada Mei. Pada tahun berikutnya beliau telah menjadi kapten pasukan kriket tersebut.

Apabila tamat pengajian daripada Sandhurst pada 1870, beliau telah dianugerahkan Pedang Kepujian (Sword of Honour) oleh Duke of Cambridge, yang merupakan Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera British.

Beliau menggunakan pedang ini disepanjang karier ketenteraan beliau dan dipercayai bahawa pedang ini merupakan pedang yang diukir bersama arca patung beliau yang berada di luar Muzium Perak di Taiping.

Ketika ledakan perlombongan pada awal tahun 1890, Kinta telah dilanda dengan gelombang jenayah yang kebanyakannya dipengaruhi oleh aktiviti perjudian dan pengambilan minuman keras.

Kesan dari usaha memburu kumpulan kongsi gelap yang dilakukan oleh beliau, jenayah terancang semakin berkurangan namun daerah tersebut terpaksa pula menghadapi kumpulan perompak.

Walker menyatakan aduan beliau kepada pegawai atasannya bahawa beliau tidak mampu untuk mengawal sebuah daerah dengan kekuatan polis hanya seramai 196 orang anggota.

Di awal tahun 1892, sekumpulan besar anggota polis dari Perak Sikhs telah dihantar ke Pahang untuk menangani kebangkitan orang-orang Melayu disana. Kemudian setelah berjaya menangani keadaan huru hara di Pahang, Walker kembali menumpukan usaha untuk mengawal keadaan di Perak.

Berikutan berlakunya peningkatan drastik kegiatan jenayah di Ipoh dalam separuh pertama tahun tersebut, Walker melawat semua pekan-pekan utama, memeriksa kawasan perlombongan dan berjumpa dengan taukay bijih timah yang mahukan perlindungan dari pihak polis.

Walker kemudia menghantar telegraf kepada ibu pejabat di Taiping untuk mendapat bantuan tambahan dan dalam tempoh dua bulan, angkatan beliau di Ipoh telah dipertingkatkan dengan tambahan 100 orang anggota.

Beberapa balai polis baru telah dibuka dengan bantuan kewangan daripada pemilik lombong dan rondaan di Jalan Tambun telah dipertingkatkan sekaligus berjaya mengurangkan rompakan dan serangan yang berlaku di jalan tersebut.

Menyentuh mengenai peningkatan jenayah di utara Kinta, Walker menyebut, “Tidak hairanlah jika jenayah meningkat, ianya memang akan meningkat, dengan populasi kawasan perlombongan terdiri dari kaum Cina, satu bangsa yang tidak mengenal rehat, yang hanya memikirkan untuk memperoleh wang dengan cara yang mudah, yang sanggup merompak kawan baiknya sendiri jika mereka kehilangan wang simpanan di atas meja perjudian”.

Untuk membantu menangani jenayah dari terus berleluasa, Walker telah mencadangkan agar ibu pejabat polis daerah Kinta dipindahkan dari Batu Gajah ke Ipoh.

Cadangan oleh Walker telah diterima oleh pihak kerajaan dan ibu pejabat polis telah dipindahkan ke Ipoh pada 1894 dan pada masa yang sama juga ibu pejabat Perak Chinese Protectorate telah dipindahkan dari Taiping ke Ipoh.

Menjelang pertauliahan Negeri-Negeri Melayu Bersekutu pada 1896, Pasukan Polis Sikh Perak dan Selangor telah disatukan kedalam Pasukan Polis Negeri-Negeri Melayu “Malay States Guides” dengan Lt. Colonel Walker menjadi komander pertama.

Mengenai keperibadian R.S.F Walker, beliau mempunyai reputasi sebagai seorang yang sangat mementingkan displin dan garang. Beliau dikenali dikalangan penduduk Melayu tempatan sebagai Harimau Kumbang serta digambarkan sebagai seorang yang terbaik dalam disiplin dan seorang yang sukar untuk berkerja bersama.

Dalam buku “Personalities of Old Malaya”, yang ditulis oleh Cyril Baxendale pada 1930, beliau ada menyentuh satu insiden yang melibatkan R.S.F Walker dan Chief Inspector John Symes.

Ketika lawatan oleh Frank Swettenham (beliau merupakan Residen Perak diketika itu) ke sebuah berek polis, Swettenham menganggumi barisan pokok-pokok yang menghiasi padang kawad di berek tersebut.

Apabila beliau diberitahu oleh John Symes bahawa Walker telah mengarahkan pokok-pokok itu ditebang, Swettenham bertegas agar pokok-pokok tersebut dibiarkan.

Kemudian pada lawatan rasmi berikutnya yang turut dihadiri oleh Walker, Swettenham terkejut melihat pokok-pokok tersebut telah ditebang. Beliau kemudiannya menyoal Symes mengenai siapa yang mengarahkan pokok-pokok tersebut ditebang, Symes membalas, “Arahan Kolonel, Tuan” balas Symes.

“Inskpektor Symes, adakah kamu telah memberitahu Kolonel Walker yang Residen telah mengarahkan kamu agar tidak menebang pokok-pokok tersebut?” soal Swettenham. “Ya Tuan” balas Symes. “Apa yang Kolonel Walker katakan?” Swettenham menyoal. Untuk beberapa ketika dalam keadaan teragak-teragak, tiba-tiba Symes mengangkat tabik hormat dan berkata “Celaka Residen British, Tuan!”

Dalam bidang sukan pula, Walker terus bergiat aktif dalam pelbagai aktiviti sukan disepanjang hidupnya. Bersama dengan Sir Frank Swettenham, Gabenor Negeri-Negeri Selat dan Mr. E. W. Birch, Residen British di Perak, beliau telah memperkenalkan sukan kriket di negeri Perak dan kawasan sekitar.

Walker juga bertanggungjawab memperkenal sukan bola sepak ke negeri ini, dan beliau telah menubuhkan pasukan bola sepak di Taiping serta menyumbang piala yang dikenali sebagai “Ship Challenge Trophy”.


Beliau telah membantu menubuhkan Perak Club pada 1881 yang mempunyai padang untuk kegunaan kriket, bola sepak, hoki dan tenis. Disebut sebagai “Bapa Sukan Kritket Dan Bola Sepak Di Semenanjung Malaya”, kelab ini telah menguruskan perlawanan antara negeri di Tanah Melayu.

Perak Club merupakan kelab yang senior dan utama di Negeri-Negeri Melayu. Walker juga merupakan seorang yang mengumpul barangan seperti senjata-senjata, barangan, tembaga dan perak dari orang Melayu dan koleksi beliau ini dikatakan yang terbaik dari wilayah nusantara dan kini dipamerkan di Muzium Pitt River di Universiti Oxford.

Ketika berada di Perak, Walker telah melakukan beberapa sumbangan kepada masyarakat tempatan dan beberapa darinya masih kekal hingga kini. Padang yang terdapat di pusat Bandar Ipoh pada asalnya merupakan padang kawad dan ianya telah dibuka oleh Walker pada 1890.

Di Taiping dan Pokok Assam dahulu terdapat jalan yang dinamakan sempena Walker namun kemudian dinamakan semula sebagai “Jalan Maharajalela” dan “Jalan Temenggong”. Taman Tasik Taiping juga diwujudkan hasil ilham daripada beliau.

Sebagai penghargaan oleh kerajaan British kepada beliau, Walker telah ditauliahkan sebagai Companion of the Order of St Michael and St George pada 1901.

Beliau juga merupakan felo di Royal Geographical Society, the Royal Zoological Society, the Royal Colonial Society dan the Royal Colonial Institute. Atas usaha beliau menyelesaikan masalah dikalangan buruh, beliau telah dihadiahkan sebilah pedang daripada komuniti Cina.

Walker bersara pada 1910 akibat masalah kesihatan. Selepas persaraannya, sebuah patung gangsa yang diukir oleh Charles Leonard Hartwell sebagai penghormatan kepada telah didirikan di Taiping dan patung tersebut kini berada di luar muzium Taiping. Menurut inskripsi pada patung tersebut,

“This statue was erected by public subscription of the Sultans of Perak and Johore and many personal friends of the principal Chinese Towkays and of the officers and men of the Regiment of Malay State Guides to be a memorial of ROBERT SANDILANDS FROWD WALKER Companion of the Most Distinguished Order of St. Michael and St. George who retired in 1910 after 31 years in Perak and the Federated Malay States. For his hospitality and encouragement of all branches of sport and his success in raising the Regiment of Malay States Guides to the highest excellence this statue will serve as a continued remembrance.”



Selepas pulang ke England, Walker tinggal di Scott’s Lodge, Knockholt Kent. Beliau yang telah lama bertarung dengan masalah kesihatan dan akhirnya meninggal dunia akibat serangan jantung pada 16 Mei 1917 iaitu beberapa hari sebelum hari lahirnya yang ke 67.

[Legasi Pemikir - LEKIR]

Comments