OLEH: Dr Sahul Hamid Mohamed Maiddin
Peristiwa sekitar 2014, ketika saya berbual dengan seorang rakan Phd di Sydney. Beliau warga Serbia. Semasa meminta pandangan saya berkaitan satu perkara, beliau menunjukkan tulisannya berkaitan peristiwa Hijrah Nabi dari Makkah ke Madinah. Istilah yang digunakannya adalah "absconded". Dengan pantas saya menegur tulisan beliau dan kami berbicara panjang mengenainya. Akhirnya saya berjaya meyakinkan rakan saya itu bagi menukar istilah tersebut kepada "migrated (Hegira)", dengan istilah Hegira itu dinotakakikan. Beliau berterima kasih kepada saya atas cadangan tersebut.
Hari ini, salah faham ini muncul semula di tempat kita. Dikhabarkan bahawa Abang Mat Sabu, Presiden Amanah mengatakan Nabi saw adalah pelarian. Beliau berkata begitu ketika menjustifikasikan perlindungan terhadap pelarian Rohingya. Saya kira ini satu falasi yang parah. Beliau salah. Nabi bukan pelarian. Nabi adalah penghijrah. Ada beberapa faktor yang boleh kita huraikan di sini berkaitannya.
Pertama, Nabi saw menerima wahyu untuk berhijrah dari Makkah ke Madinah. Ia bukan pilihan, tetapi arahan terus dari Allah. Hadith Bukhari no. 3902 ada mencatatkan mengenainya.
Kedua, penduduk Yathrib, iaitu nama lama, kota Madinah, mengalu-alukan kehadiran Nabi. Mereka tidak ragu-ragu menerima Baginda kerana mereka memandang tinggi akan kedudukan Baginda. Masakan seorang pelarian dinanti-nanti sedemikian rupa?
Ketiga, nama Yathrib ditukar kepada Madinah, yang bermaksud Kota yang Bercahaya atau Kota yang Tercerah selepas kehadiran Nabi di buminya pada tahun 622 Masihi. Nabi diangkat sebagai Ketua Negara, lalu Piagam Madinah diwartakan, menandakan permulaan suatu sejarah baharu dalam tamadun manusia keseluruhannya. Bagaimana mungkin seorang pelarian bisa berpengaruh sedemikian rupa?
Keempat, kamus bahasa Inggeris Cambridge dan juga Oxford, kedua-duanya mempunyai korpus kata "Hegira" di dalamnya. Ini jelas menunjukkan Hijrah adalah satu konsep yang tersendiri. Ia tidak sama dengan "migration", "refugee", apa lagi "abscond".
Kelima, istilah konsep dalan sejarah perlu dinilai dari sudut zamannya sendiri. Seperti yang biasa saya sebutkan, sesuatu peristiwa perlu dinilai dari kacamata masa kejadiannya, bukan dengan kacamata hari ini. 'Autonomy of the past'.
Keenam, Nabi saw sudah sedia mempunyai pengaruh yang meluas ketika peristiwa Hijrah tersebut berlaku. Baginda bukan "pergi" mencari pengaruh atau mencari penghidupan baharu.
Ketujuh, konsep "pelarian" terlalu jauh bezanya untuk dibandingkan dengan peristiwa Hijrah. Pelarian, secara umumnya, tidak dialu-alukan. Pelarian tidak disanjung di negara yang dimasukinya. Pelarian tidak menentukan hala tuju negara yang dimasukinya. Pelarian hidup dalam kerunsingan. Pelarian adakalanya mencari suaka politik. Jelas,sudah terang lagi bersuluh, tidak ada satupun ciri ini kepada Nabi saw.
Demikianlah serba sedikit pandangan saya tentang isu ini. Memperjuangkan isu Rohingya adalah baik, tetapi mengaitkannya dengan peristiwa Hijrah Nabi tidaklah cerdik.
Kepada kawan-kawan dalam Amanah, nasihatkanlah Presiden kalian dengan betul. Ini isu besar, melibatkan Nabi saw. Tak payah nak 'defend' sangatlah.
___________________________
Dr Sahul Hamid Mohamed Maiddin
Telegram: https://t.me/revolusimelayubaru
Instagram: https://www.instagram.com/revolusimelayubaru
_____________________________
Comments
Post a Comment