Sejarah Awal Teater Bangsawan Di Tanah Melayu

OLEH: Saufy Jauhary



Gambar: Teater Bangsawan di Pulau Pinang, pada tahun 1895.


Keterangan Gambar:


Kira-kira pada tahun 1885, Mama Pushi (Mamak Pushi atau Mohamad Pusi) yang merupakan orang kaya dari Parsi di Pulau Pinang telah mengumpulkan para pelakon dan menubuhkan satu kumpulan wayang. Wayang Mama Pushi ini dikenali juga dengan nama 'Empress Victoria' dan 'Jawi Peranakan Theatrical Company'. Kumpulan wayang Mama Pushi kemudiannya menggunakan nama 'Bangsawan' apabila ia menamakan kumpulannya dengan 'Pushi Indera Bangsawan of Penang'.


Para pelakon atau pemain bangsawan dikenali sebagai anak wayang atau orang wayang. Anak wayang meliputi semua pelakon, penyanyi, penari, pelawak, dan pemain muzik. Manakala persembahannya pula adalah persembahan cerita-cerita dongeng dari parsi seperti Ali Baba.


Publisiti kumpulan ini tersiar dalam akhbar tempatan. Kebaikan kumpulan ini dikatakan:


"Adapun pakaiannya dan gambarnya amatlah cantik dan baru dan permainannya terlalulah bagus dan boleh kasi orang tertawa. Sungguhpun cakapnya bahasa Parsi tetapi kita boleh mengerti ceritanya apabila kita tengok orang main."


 "Maka sekalian ini lebih ditambahkan lagi keelokannya oleh beberapa perempuan muda yang elok dengan pandai menari dan menyanyi dengan suara yang sedap nyaringnya, tambah pakaian barunya." [Akhbar Bintang Timor, 20 & 28 Julai 1894]


Wayang Mama Pushi merupakan kumpulan teater profesional yang pertama yang mengambil orang perempuan sebagai pelakon. Tiga orang seri panggungnya yang terkenal yang berlakon secara bergilir-gilir ialah Siti Hawa, Hitam Kerasau, dan Minah Kapri. Pada zaman awal perkembangan teater, kesemua para pelakon terdiri daripada orang lelaki. Orang mudanya ialah Che Mai atau Ismail; peranan jin dibawa oleh Encik Babjan; pelawak pula ialah Maula Shah dan Arshad bin Galun. Semasa di Singapura mereka tinggal di sebuah rumah kongsi di North Bridge Road berdekatan dengan Brass Basah Road. Mama Pushi sangat mengambil berat tentang akhlak dan perlakuan anak wayangnya, terutama pelakon perempuan. Mereka hanya dibenarkan bergaul sesama mereka dalam rumah kongsi. Apabila mereka keluar mereka dikehendaki menjaga perlakuan dengan baik.


Wayang Mama Pushi mula menunjukkan ciri-ciri teater popular. Para pelakonnya merupakan orang profesional. Rombongan ini sudah menunjukkan usaha mencari untung dengan menjelajah bandar-bandar besar dan menggunakan pawang dengan tujuan menarik ramai penonton supaya dapat menambahkan pendapatan (hal ini sudah tentulah merupakan satu perkara syirik, dan kesyirikan ini timbul dari kejahilan mereka). Ketika memasang pentas, misalnya, mereka selalu memulakan dengan doa/mentera dan merenjiskan tepung tawar di sekeliling pentas itu. Apabila waktu permainan dimulakan semua anak wayang disuruh mencuci muka dengan air yang telah dijampi oleh pawang.

Seorang Tok Pawang yang tidak diketahui namanya dan umurnya ketika itu. Gambar di Singapura, Negeri-Negeri Selat - sekitar tahun 1890.



Kumpulan bangsawan sejak awal lagi mengenakan tiket kepada penonton. Selalunya harga tiket bersesuaian dengan kemampuan penonton. Pada tahun 1894 harga tiket bangsawan yang dikenakan kepada penonton adalah berasaskan kelas tempat duduk: tempat duduk pertama $1, kedua 50 sen, dan ketiga 25 sen. Harga tiket penonton perempuan pula: tempat duduk pertama 50 sen, dan kedua 25 sen.


Oleh sebab sambutan begitu menggalakkan, Mama Pushi mula mengadakan persembahannya di tempat-tempat lain seperti di bandar-bandar besar di Indonesia. Malah rombongan Mama Pushi ini telah membuat pertunjukan buat beberapa lama di Betawi.


#KoleksiGambarLangka


[Legasi Pemikir - LEKIR]

Comments