Asal-usul Perkataan 'Doh' Di Dalam Bahasa Melayu

 OLEH: Taufiq Tuah


Perkataan yang dibincangkan kali ini ialah perkataan 'Dowh' atau juga dieja dan disebut dengan pelbagai variasi seperti 'Do', 'Doe', 'Doh' dan 'Dow'. Variasi tidak seragam ini muncul kerana walaupun telah berdekad digunakan tetapi tidak pernah dirasmikan oleh Dewan Bahasa Pustaka seperti perkataan 'swafoto'.

Perkataan ini kebiasaannya diletakkan dihujung ayat seperti contoh ayat, "Kau kat mana doh?" Seolah-olah 'doh' sebagai kata ganti nama. Juga boleh digunakan seperti "Harga tiket tadi mahal doh" sebagai kata seru.

Dipercayai gaya bahasa ini banyak digunakan oleh orang-orang muda di bahagian Kuala Lumpur dan Selangor. Disebabkan gaya bahasa ala Kuala Lumpur ialah gaya bahasa dominan di siaran radio dan televisyen, maka orang daripada luar Selangor lain juga akhirnya menerima pengaruh yang sama.

Namun perkataan ini bukanlah berasal dari Selangor. Malah perkataan ini agak baharu sebenarnya. Saya sendiri pertama kali mendengar istilah 'doh' digunakan pada tahun 2004 di Negeri Sembilan. Mungkin sahaja sebenarnya perkataan itu wujud lebih awal. Namun perkataan itu boleh dikira sebagai baharu kerana jika kita tanyakan atuk dan nenek kita, mereka sendiri tidak pernah menggunakan perkataan 'doh' itu di dalam generasi mereka.

Maka di sini saya ada beberapa teori tentang dari mana datangnya perkataan 'doh'.


TEORI SATU:

Perkataan 'doh' ialah singkatan dari perkataan 'bodoh'. Kalau kita lihat pengaruh televisyen sejak zaman P.Ramlee lagi, istilah 'bodoh' memang dijadikan bahan jenaka. Sehingga banyak terdapat di babak-babak filem dan drama 'hey bodoh', yang kononnya membawa maksud jenaka. Namun kita perlu menerima hakikat kaedah jenaka seperti ini ialah kaedah yang negetif dan dapat menghakis budaya budi bahasa generasi baharu kita.

Malah ayat contoh jenaka 'bodoh' yang diletakkan juga sangat bertepatan dengan kedudukan istilah 'doh' di dalam bahasa pasar moden ini. "Apa benda bodoh?" yang kemudiannya menjadi "Amende doh?".


TEORI DUA:

Perkataan 'doh' ialah pengaruh daripada perkataan 'dol'. Perkataan 'dol' pula dipercayai singkatan daripada perkataan 'samdol'. Di Pulau Pinang dan Melaka, samdol bermaksud 'sangat bodoh'. Malah memang kebiasaan dengar di Melaka, sebutan 'samdol' akan diringkaskan kepada 'dol' sahaja.

Kegunaan dan kedudukan perkataan 'samdol', 'dol' dengan 'doh' di dalam ayat adalah sama.

Contoh ayat,

"Kau kenapa dol?"

"Kau kenapa doh?"

Namun di dalam teori kedua ini juga masih tidak dapat membuang pengaruh negatif perkataan itu memandangkan perkataan 'dol' itu sendiri lebih berat berbanding 'bodoh'. Sekali lagi, perkataan ini mampu menghakis sifat budi bahasa dan sopan santun generasi kita.


TEORI TIGA:

Dikatakan diambil daripada Bahasa Inggeris iaitu perkataan 'though'. Contoh ayat, "It looks delicious though!" sebagai kata seru.

Maka persamaan kata 'though' di dalam Bahasa Inggeris dengan 'doh' di dalam Bahasa Melayu ialah kedua-duanya boleh digunakan ketika penyampaian kata seru.

Namun, perkataan 'though' tidak boleh dijadikan kata ganti nama sebagaimana 'doh' boleh digunakan sebagai ganti nama. Maka boleh saya katakan teori ketiga ini agak lemah.


Kesimpulannya, permulaan daripada istilah 'doh' ini ialah daripada perkataan yang buruk. Maka sebaiknya budaya istilah 'doh' ini perlu dibendung. Apatah lagi istilahnya sahaja sudah tidak jauh dengan 'bodoh', lalu dijadikan kata ganti nama kepada orang sewenang-wenangnya. Maka gunakanlah perkataann yang lebih baik. Budi bahasa budaya kita.

Daripada Abu Hurairah r.a, bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Barang siapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata baik atau diam...” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)


[Legasi Pemikir - LEKIR]

Comments