OLEH: Taufiq Tuah
Menjadi norma kebanyakan tamadun manusia menjadikan sesuatu haiwan sebagai sinonim sesuatu sifat. Contoh di dalam budaya Melayu sendiri sering berkata "Malu-malu kucing" kerana sifat pemalu.
Bagi sifat berani, kuat , megah dan gagah biasanya akan disinonimkan dengan haiwan-haiwan pemangsa. Ada juga sesetengah tempat yang lebih suka mensinonimkan dengan haiwan mitos.
Di Malaysia, kita dapati harimau belang dipamerkan pada jata negara. Orang sering kaitkan harimau ini kerana berkebetulan adanya spesis harimau yang disebut Harimau Malaya (bukan team bola) atau nama Inggerisnya The Malayan Tiger.
Saya sebenarnya tidak bersetuju dengan kaitan ini kerana ada sahaja haiwan lain yang juga ada istilah 'Malaya' pada spesisnya. Contohnya 'Tenuk Malaya' dan Malayan Pit Viper.
Jadi saya beranggapan harimau ini kaitannya muncul lebih awal. Istilah 'Malaya' dikomersil kan oleh British dalam istilah 'British Malaya' pada tahun 1826. Tapi saya yakin Istilah Malaya sebenarnya wujud lebih awal. Apa pun, nama 'Malayan Tiger' diperkenalkan pada 2004. Diubah kerana nama saintifiknya juga diubah kepada 'Panthera tigris malayensis' yang merujuk kepada populasi spesis harimau ini.
Sedangkan istilah 'Malayan Tiger' muncul jauh lewat berbanding penciptaan jata negara Malaysia atau Malaya. Maka dapat disimpulkan bahawa mustahil terletaknya harimau itu kerana namanya 'Harimau Malaya'.
Di sini perlunya kita kembali kepada kemungkinan di mana sejarah merupakan kaitan sebenar harimau ini ada kaitan dengan Malaysia. Antaranya ialah kerana harimau sangat berkait rapat dengan mistik masyarakat Melayu dahulu. Gigi, kuku, telinga malah kemaluan harimau dijual dan dijanjikan dengan pelbagai khasiat dan kaifiat. Pastilah kaifiat itu syirik namun khasiat itu boleh diteliti lagi. Sehingga ada juga istilah mistik seperti 'Saka Rimau'.
Kita boleh teliti bendera Kelantan yang digunakan sebagai panji-panji negeri Kelantan ketika pemerintahan Sultan Muhammad IV pada tahun 1912. Ia kaligrafi berbentuk ayat Quran yang membentuk seakan-akan seekor harimau. Ada juga yang kata ia merupakan anjing Ashabul Kahfi. Kemudiannya bendera itu ditukar kepada yang lain kerana ayat Al-Quran tidak sepatutnya dibentukkan sebagaimana bentuk makhluk bernyawa. Apatah lagi kalimah suci daripada ayat Al-Quran yang sepatutnya disucikan dan ditinggikan akhirnya terpaksa juga ditinggikan dengan haiwan. Maka akan berlaku tashabbuh dengan agama lain. Maka mufti ketika itu menasihati untuk mengubah bendera.
Di Kedah pada 1804, telah digunakan bendera yang diberi nama 'Harimau Menerkam' dan ada juga memanggilnya 'Harimau Melompat'. Panji ini lah juga yang digunakan pada tahun 1821 ketika Perang Musuh Bisik.
Johor pula menggunakan harimau di jata negeri bermula pada zaman Sultan Abu bakar (naik takhta tahun1855). Mengikut cerita orang tua-tua, harimau tersebut bernama Dengkes dan Tepok. Seekor daripadanya tempang.
Daripada 3 kegunaan ini, jelan bahawa harimau memang digunakan sebelum tahun 1957 lagi. British juga membuat bendera Negeri-Negeri Melayu Bersekutu dengan lambang harimau. Malah setem-setem pada zaman itu juga banyak dipaparkan gambar harimau. Sehingga penjajah juga tahu betapa kuatnya kaitan kita dengan harimau.
Walaupun begitu, perlu diingtakan kepada pembaca. Walaupun kita mensinonimkan kemegahan dengan haiwan, ingatlah sebenarnya manusia sendiri sebenarnya tetaplah ia sebaik-baik kejadian. Di dalam kalangan manusia lah diturunkan para nabi. Kepada manusialah diberikan kitab suci. Kepada manusialah diberikan tanggungjawab khalifah.
لَقَدْ خَلَقْنَا الْإِنْسَانَ فِي أَحْسَنِ تَقْوِيمٍ
“Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya”.
(QS. At-Tin: 04).
Wallahualam.
[Legasi Pemikir - LEKIR]
Comments
Post a Comment