Bagaimana Ebrahim Raisi Menang Bergaya Dalam Pilihan Raya Presiden Iran 2021 Walaupun Dia Memiliki Rekod Buruk Dalam Hak Asasi Manusia?

 OLEH: Ahmad Muziru Idham


𝐁𝐀𝐆𝐀𝐈𝐌𝐀𝐍𝐀 𝐄𝐁𝐑𝐀𝐇𝐈𝐌 𝐑𝐀𝐈𝐒𝐈 𝐌𝐄𝐍𝐀𝐍𝐆 𝐁𝐄𝐑𝐆𝐀𝐘𝐀 𝐃𝐀𝐋𝐀𝐌 𝐏𝐈𝐋𝐈𝐇𝐀𝐍 𝐑𝐀𝐘𝐀 𝐏𝐑𝐄𝐒𝐈𝐃𝐄𝐍 𝐈𝐑𝐀𝐍 𝟐𝟎𝟐𝟏 𝐖𝐀𝐋𝐀𝐔𝐏𝐔𝐍 𝐃𝐈𝐀 𝐌𝐄𝐌𝐈𝐋𝐈𝐊𝐈 𝐑𝐄𝐊𝐎𝐃 𝐁𝐔𝐑𝐔𝐊 𝐃𝐀𝐋𝐀𝐌 𝐇𝐀𝐊 𝐀𝐒𝐀𝐒𝐈 𝐌𝐀𝐍𝐔𝐒𝐈𝐀?

Kemenangan Ebrahim Raisi dalam Pilihan Raya Presiden (PRP) Iran 2021 sebetulnya adalah sesuatu yang tidak mengejutkan. Banyak media telah meramalkan kemenangan tersebut, ditambah lagi dengan undian awam atas talian yang dijalankan beberapa hari sebelum itu menunjukkan bahawa Ebrahim Raisi merupakan calon presiden kedua tertinggi mendapat sokongan umum, di belakang calon presiden Mahmoud Ahmadinejad, mantan presiden Iran itu yang berhajat untuk bertanding sekali lagi kerusi presiden.

Tapi, sayangnya Mahmoud Ahmadinejad telah dinafikan oleh Shūrā-ye Negahbān (Majlis Syura) daripada bertanding dalam PRP kali ini. Maka pada akhirnya memang terbuktilah kemenangan Ebrahim Raisi telah menang PRP kali ini dengan mendapat majoriti 61.95% daripada jumlah pengundi paling sedikit dalam sejarah Republik Iran semenjak tahun 1978, iaitu hanya sekitar 48.78% sahaja yang mengundi.

Ebrahim Raisi ini sebenarnya memiliki rekod sejarah yang buruk, iaitu terlibat dalam pembunuhan tahanan dalam penjara sebanyak ribuan orang pada tahun 1988 sehingga disekat daripada memasuki US dan sangat diawasi oleh badan-badan kemanusiaan antarabangsa seperti Amnesty International dan PBB. Jadi rekod hak asasi manusia bagi Ebrahim Raisi di peringkat antarabangsa sebenarnya adalah teruk.

Persoalannya, bagaimana Ebrahim Raisi masih mendapat sokongan majoriti dalam PRP Iran kali ini? Malah kemenangannya sebanyak 61.95% tersebut jauh meninggalkan pencabar keduanya, iaitu Mohsen Rezae (11.79%), Abdolnaser Hemmati (8.38%), dan Amir-Hossein Ghazizadeh Hashemi (3.45%). Kenapa rakyat Iran masih memilih Ebrahim Raisi sedangkan dia memiliki rekod paling buruk berbanding pencabar-pencabarnya yang lain?


𝟏) 𝐏𝐫𝐨𝐬𝐞𝐬 𝐩𝐢𝐥𝐢𝐡𝐚𝐧 𝐫𝐚𝐲𝐚 𝐈𝐫𝐚𝐧 𝐤𝐚𝐥𝐢 𝐢𝐧𝐢 𝐛𝐞𝐫𝐥𝐚𝐤𝐮 𝐝𝐞𝐧𝐠𝐚𝐧 𝐬𝐚𝐧𝐠𝐚𝐭 𝐭𝐢𝐝𝐚𝐤 𝐝𝐞𝐦𝐨𝐤𝐫𝐚𝐭𝐢𝐤.

Calon-calon PRP yang ingin bertanding sebagai Presiden Iran perlu melalui tapisan daripada Shūrā-ye Negahbān terlebih dahulu sebelum bertanding. Shūrā-ye Negahbān ini terdiri daripada 12 orang ahli yang merupakan ulama-ulama tertinggi Iran dan wujud sebagai peringkat pengurusan tertinggi bagi Republik Iran dalam hal ehwal perundangan, kehakiman, dan pilihan raya.

Untuk PRP 2021 ini, Shūrā-ye Negahbān dilihat sangat memihak kepada calon-calon daripada parti konservatif, dan calon-calon daripada parti reformasi disingkirkan mentah-mentah daripada pencalonan, termasuklah Mahmoud Ahmadinejad sendiri yang dilihat sebagai pesaing terbesar kepada Ebrahim Raisi. Calon-calon yang disingkirkan itu tidak diberikan alasan munasabah berhubung penyingkiran tersebut.

Kemungkinan besar Shūrā-ye Negahbān telah mendapat arahan daripada rahbar-e mo'azzam (supreme leader) Iran, iaitu Ayatollah Ali Khamenei. Ayatollah Ali Khamenei ni ibaratnya ialah YDPA di Malaysia, iaitu sebagai ketua politik dan agama tertinggi di negara. Jadi, Ebrahim Raisi ini sangat rapat dengan Ayatollah Ali Khamenei sehingga dicanang-canang sebagai pengganti kepada Ayatollah Ali Khamenei.

Jadi, selain daripada permainan politik Shūrā-ye Negahbān yang terang-terang dilihat hendak menaikkan Ebrahim Raisi daripada awal lagi, Ebrahim Raisi itu sendiri memiliki pengaruh yang kuat sebagai sebagai seorang ulama dan jawatannya sebagai Peguam Negara (2014-2016) dan Ketua Hakim Negara (2019 - sekarang) menguatkan lagi karismanya pada mata rakyat.


𝟐) 𝐊𝐞𝐦𝐩𝐞𝐧 𝐛𝐨𝐢𝐤𝐨𝐭 𝐩𝐢𝐥𝐢𝐡𝐚𝐧 𝐫𝐚𝐲𝐚.

Disebabkan proses pencalonan presiden itu sendiri sudah tidak telus, maka ramai rakyat Iran mengumumkan buat boikot undi ataupun undi protes. Gelombang besar boikot ini lebih kuat apabila Mahmoud Ahmadinejad dinafikan pencalonannya dalam PRP menyebabkan dia mengumumkan untuk boikot PRP 2021 Iran dan mengatakan bahawa adalah satu dosa untuk mengundi dalam PRP Iran kali ini.

Lebih lagi pula calon bertanding semakin mengecil apabila 3 orang calon bertanding menarik diri sewaktu pilihan raya berlangsung, iaitu Saeed Jalali, Mohsen Mehralizadeh, dan Alireza Zakani. Saaed Jalali dan Alireza Zakani memang sengaja mengundurkan diri demi memberi laluan kepada Ebrahim Raisi. Manakala beberapa orang calon bertanding lain yang mengundurkan diri sebelum PRP lagi memang semuanya menyokong Ebrahim Raisi.

Jadi, memang PRP kali ini didominasi oleh calon-calon konservatif. Rakyat Iran tidak punya banyak pilihan untuk mengundi calon presiden kali ini, lalu ramai yang membuat keputusan untuk boikot PRU atau membuat undi protes. Sebab itulah PRP Iran kali ini memiliki jumlah pengundi terkecil dalam sejarah, iaitu hanya sebanyak 48.78% sahaja jika dibandingkan dengan PRU 2017 yang diundi oleh rakyat Iran sebanyak 73.33% yang membawa kepada kemenangan Hassan Rouhani.

Manakala kekuatan Ebrahim Raisi pula adalah disokong oleh ramai tokoh penting Iran sama ada dari segi politik dan agama yang menyebabkan mereka semua menggunakan pengaruh mereka untuk berkempen untuk Ebrahim Raisi.

Boikot pilihan raya tidak berkesan. Sebabnya, yang hendak boikot itu ialah pihak yang tidak bersetuju dengan proses demokratik dan calon-calon yang dibenarkan bertanding. Manakala rakyat yang tidak mahu boikot ialah rakyat yang menyokong calon bertanding dan tidak kisah tentang proses yang dijalankan oleh Shūrā-ye Negahbān tersebut. Jadi, ketidakseimbangan itu saja sudah memberi laluan mudah kepada Ebrahim Raisi yang memang sudah popular dalam kalangan rakyat itu.

Malah pada PRU 2017, Ebrahim Raisi kalah di belakang Hassan Rouhani dengan undi sebanyak 38.28% berbanding Hassan Rouhani yang mendapat undi sebanyak 57.14%. Sekarang ini apabila semua orang dari kem Hassan Rouhani tidak dibenarkan bertanding, lagilah memberi laluan mudah kepada kemenangan Ebrahim Raisi.


𝟑) 𝐇𝐢𝐥𝐚𝐧𝐠 𝐤𝐞𝐩𝐞𝐫𝐜𝐚𝐲𝐚𝐚𝐧 𝐭𝐞𝐫𝐡𝐚𝐝𝐚𝐩 𝐤𝐞𝐦 𝐫𝐞𝐟𝐨𝐫𝐦𝐢𝐬.

Rakyat Iran banyak yang hilang kepercayaan terhadap sistem. Bukan sahaja kegagalan kerajaan dalam menguruskan pandemik sehingga menyebabkan kadar inflasi dan pengangguran yang tinggi, malahan sekatan ekonomi US terhadap Iran ketika era Hassan Rouhani memberi tamparan yang kuat kepada rakyat Iran.

Sekatan ekonomi US itulah faktor terbesar yang menyebabkan sokongan terhadap kem Hassan Rouhani semakin merudum, sehingga dikatakan bahawa harga seekor ayam meningkat lebih dua kali ganda dalam tempoh 10 tahun.

Sudah tentulah rakyat tidak percaya lagi bahawa reformis boleh menguruskan negara dengan baik. Rakyat Iran telah lama memberi peluang kepada reformis untuk mentadbir negara. Selepas era Akbar Hashemi Rafsanjani yang berakhir pada tahun 1997, Iran diperintah oleh dua orang presiden dari kem reformis, iaitu Mohammad Khatami (1997-2005) dan Hassan Rouhani (2013-2021). Bermaksud, telah 16 tahun presiden daripada kem reformis yang telah memerintah Iran.

Tetapi apabila 10 tahun kebelakangan ini banyak polisi luar Iran tidak memihak dan konflik dengan AS yang semakin merugikan Iran, rakyat Iran semakin merasai keperitannya. Sebetulnya generasi muda Iran lebih banyak menyokong agar Iran bekerjasama dengan AS supaya keadaan ekonomi Iran kembali stabil. Mereka lebih pragmatis dalam hal ini kerana yang lebih penting ialah agar ekonomi Iran dapat pulih semula dan kebajikan mereka terjaga dengan baik.

Pencabar dari kem reformis untuk Ebrahim Raisi untuk PRP kali ini hanyalah Abdolnaser Hemmati. Tapi Hemmati pula ialah calon teknokrat yang tidak ada pengalaman politik yang kuat. Dia sekarang ini ialah gabenor Bank Pusat Iran dan banyak terlibat dengan sektor perbankan sebagai jawatankuasa atas.

Tetapi Hemmati ini menanggung beban imej yang buruk disebabkan beliau menggantikan Valiollah Seif yang telah dipecat pada tahun 2018 oleh Hassan Rouhani kerana terlibat dalam skandal wang lebih daripada $30 billion dan 60 tan simpanan emas negara.

Dalam keadaan rakyat Iran yang mengalami kesempitan ekonomi, dan ditambah pula skandal terbesar kewangan negara itu, sudah tentu sesiapa yang terlibat dengan dunia bank dianggap sebagai kapitalis pemeras wang rakyat dan reputasi Hemmati dilihat buruk ditambah pula pengalaman politiknya tidak banyak berbanding Ebrahim Raisi. Itu saja sudah cukup menjadikan kedudukan Ebrahim Raisi dalam PRP Iran 2021 sangat kukuh dan dapat menang bergaya kerana tidak ada sesiapa yang menjadi pencabar terkuatnya untuk PRP kali ini.


𝐀𝐩𝐚 𝐚𝐤𝐚𝐧 𝐛𝐞𝐫𝐥𝐚𝐤𝐮 𝐬𝐞𝐭𝐞𝐫𝐮𝐬𝐧𝐲𝐚?

Jadi, tidak hairan kenapa Ebrahim Raisi yang memiliki rekod buruk dalam kemanusiaan itu berjaya memenangi PRU Presiden dengan undian majoriti yang sangat banyak. Persoalan seterusnya, apa yang akan berlaku ke dalam dasar Iran dengan kemenangan Ebrahim Raisi ini?

Pandangan awal saya, walaupun ramai orang risau kemenangan Ebrahim Raisi dilihat akan membawa perubahan buruk terhadap dasar di Timur Tengah disebabkan sejarah politiknya itu dan dia dari aliran jalur keras, tetapi sudah tentu Ebrahim Raisi perlu memulihkan semula reputasinya untuk mendapat kepercayaan antarabangsa. Raisi mungkin mendapat sokongan negara besar seperti China dan Russia, tetapi itu belum cukup kerana buat masa ini Iran memerlukan pemulihan ekonomi secara besar-besaran dan meraih sokongan rakyatnya yang telah berpatah arang dengan kem reformis. Raisi kena buktikan bahawa kem dia mampu untuk membawa perubahan.

Semenjak berlangsungnya PRP Iran, media antarabangsa terus-menerus mempersoalkan tentang isu perundingan nuklear. Sebab semenjak tahun 2015, Iran telah bersetuju untuk menghentikan projek pembangunan nuklear bagi menamatkan sekatan ekonomi ke atas Iran oleh antarabangsa. Tetapi sejak bekas Presiden AS, Donald Trump menarik diri daripada JCPOA (Joint Comprehensive Plan of Action) dan mengenakan sekatan semula ke atas Iran pada tahun 2018, maka Iran memulakan semula pembangunan projek nuklearnya.

Lantaran AS telah mendapat presiden baru (Joe Biden) dan Iran juga mendapat presiden baru (Ebrahim Raisi), jadi persoalannya apakah Raisi dan Biden akan memulakan semula rundingan tersebut? Rundingan tersebut adalah dasar luar yang besar kepada Iran kerana sekatan ekonomi AS benar-benar memberi kesan besar terhadap ekonomi Iran. Ucapan pertama Raisi selepas kemenangan itupun menunjukkan bahawa dia sudi untuk memulakan semula rundingan nuklear dengan syarat-syarat tegas yang boleh menjamin kepentingan nasional Iran.

Okay cukuplah setakat itu dulu. Macam dah panjang sangat saja. Nanti tulis panjang-panjang takut korang suruh lukis pula. Nanti saya lukis betul-betul karang, menyesal pula sebab makin tak faham.


[Legasi Pemikir - LEKIR]

Comments