OLEH: Ustaz Ahmad Fazrin Yahaya
Negara-negara EU banyak yang melaksanakan moratorium untuk membantu rakyat mereka yang terkesan dengan pandemik Covid19. Italy antara negara yang paling besar tawaran moratorium iaitu sehingga 18 bulan.
“In Italy, as part of a legislation with a broader application, measures have also been taken to postpone the repayment of loan instalments. Thus, the repayment of instalments will be suspended for companies until 30 September and for consumers, the suspension will operate for up to 18 months.”
Portugal juga ada menawarkan moratorium sehingga 6 bulan. Kebanyakan negara EU yang lain pula menawarkan moratorium untuk tempoh 3 bulan.
Sumber: https://www.lexology.com/library/detail.aspx...
Banyak lagi negara lain yang menawarkan moratorium termasuk India.
“To give relief to borrowers hit by COVID-19 lockdown, the Reserve Bank of India (RBI) last month announced that EMI payments for all term loans, including retail and crop loans and working capital payments, will have the benefit of three-month moratorium.”
Sumber: https://www.freepressjournal.in/.../covid-19-moodys-says...
Mungkin benar Malaysia merupakan negara pertama memberi moratorium automatik selama 6 bulan. Bahkan kita akan menjadi negara pertama juga yang bakal memberi moratorium automatik selama 6 bulan sebanyak DUA kali dalam tempoh pandemik Covid19 ini.
Alhamdulillah kita wajib bersyukur akan kesediaan kerajaan dan para pemain industri perbankan yang telah bersetuju untuk bersama dalam usaha meringankan beban rakyat. Penghargaan juga wajib diberikan kepada para ahli politik dan aktivis rakyat yang tanpa jemu mengutarakan cadangan untuk pelaksanaan moratorium ini.
Walau bagaimanapun, Malaysia juga setakat penelitian saya merupakan negara pertama yang melaksanakan perintah darurat selama hampir 7 bulan (11 Januari - 1 Ogos).
New Zealand contohnya melaksanakan perintah darurat selama hampir 2 bulan sahaja. Sejak ditamatkan perintah darurat pada pertengahan Mei 2020, kes baharu tertinggi yang pernah dicatatkan negara tersebut adalah sebanyak 24 kes, pada 17 April 2021. New Zealand mencatatkan 0 kes baharu pada 30 Jun 2021. (Rujuk video)
Jepun juga telah melaksanakan perintah darurat. Hanya setelah sebulan perintah tersebut telah ditamatkan setelah berlaku penurunan kepada kes harian.
Sumber: https://www.nst.com.my/.../other-countries-too-have...
Dalam pada itu, kes harian negara kita amat tinggi pada saat Tuanku YDPA memperkenankan Pengisytiharan Proklamasi Darurat pada awal Januari lepas berbanding beberapa negara lain yang melaksanakan perintah yang sama.
Namun, penurunan kes tidak pun berlaku dengan signifikan sepanjang beberapa bulan perintah darurat ini terlaksana, bahkan graf peningkatan pula yang mendadak naik dan terus menaik.
Di mana silap kita? Apa yang kita belum laksanakan? SOP yang tidak tepat atau rakyat yang gagal patuh SOP?
Saya bukanlah insan yang layak untuk memberi jawapan kepada umum bagi soalan-soalan di atas. Saya hanya mampu melontarkan idea dan komen dalam platform media sosial yang tertutup sesama rakan-rakan di pelbagai peringkat.
Tapi saya teringin untuk menzahirkan harapan, yang mungkin telah pun dizahirkan oleh ramai di pelbagai platfrom yang ada.
Harapan saya agar kerajaan mampu untuk terus seimbangkan antara SOP yang ketat dan juga bantuan buat rakyat. Kita sedar kewangan negara bukanlah berada pada tahap yang memberangsangkan seperti beberapa tahun yang lalu.
Jadi kerajaan boleh sahaja mengambil kesempatan dengan pelaksanaan perintah darurat ini untuk samada ‘memaksa’ warga Malaysia yang memiliki kekayaan luar biasa dari kalangan jutawan dengan aset berbilion ringgit untuk membantu kerajaan dalam menghulurkan bantuan kepada rakyat yang memerlukan.
Kenapa tidak dikenakan kepada para jutawan luar biasa ini cukai yang sedikit luar biasa pada tahun-tahun mencabar ini? ‘Super-Rich Tax’ pastinya amat membantu negara dan rakyat atau para usahawan kecil dan sederhana untuk terus ‘survive’ dalam tempoh kritikal seperti sekarang.
Sewaktu ekonomi negara dan rakyat berada pada tahap yang mampan, para jutawan luar biasa ini jugalah yang terus mendapat rezeki melimpah ruah hasil ringgit dan sen yang dibelanjakan oleh rakyat selain dari pelbagai kemudahan, insentif dan peluang perniagaan yang disediakan oleh kerajaan.
Maka, amat wajarlah golongan jutawan luar biasa ini membalas kembali jasa negara dan rakyat. Mereka pastinya faham, jika lebih lama negara dan rakyat berada dalam kewangan yang merudum, kekayaan mereka juga secara automatik pasti juga terjejas.
Lihat bagaimana para jutawan luar biasa barat yang menawarkan kesediaan mereka untuk membantu negara mereka dalam menghadapi dugaan pandemik ini.
“As Covid-19 strikes the world, millionaires like us have a critical role to play in healing our world,” the millionaires said in a letter shared with the Guardian. “No, we are not the ones caring for the sick in intensive care wards. We are not driving the ambulances that will bring the ill to hospitals. We are not restocking grocery store shelves or delivering food door to door. But we do have money, lots of it. Money that is desperately needed now and will continue to be needed in the years ahead, as our world recovers from this crisis.”
Sumber: https://www.theguardian.com/.../super-rich-call-for...
Paling tidak pun, kerajaan boleh juga menawarkan kepada para jutawan luar biasa ini ‘tax holiday’ sekiranya mereka menyumbang jumlah sumbangan yang luar biasa besar kepada Tabung Covid19 negara atau mana-mana platform kebajikan yang sah. Tax holiday juga boleh ditawarkan kepada syarikat besar yang membayar zakat dan menyumbang derma yang besar kepada institusi zakat untuk Covid19.
Kita pernah berjaya mencapai 0 kes baharu pada satu masa dahulu. Tiada yang mustahil untuk kita ulanginya sekali lagi. Banyak negara telah berjaya melakukannya, dan Malaysia bukanlah negara paling teruk fasilti dan kemampuan perubatan begitu juga mentaliti rakyatnya.
Akhir sekali, setelah semua usaha yang kita lakukan, wajib untuk kita kembalikan segala hasilnya kepada Allah Yang Maha Berkuasa. Selain dari kerajaan yang wajib bermuhasabah, rakyat juga tak terlepas dari kewajipan yang sama.
Kita telah banyak lalai untuk bersyukur semasa kita berada dalam keadaan yang aman dan makmur. Sama-samalah kita memikul berat dan menjinjing ringan amanah untuk memakmurkan negara ini. Sejahtera negara kerana tangan kita, porak dan perandanya juga datang dari tangan kita.
Semoga Allah angkat segera wabak bencana ini dan gantikan kepada kita sebuah negara yang kembali aman dan makmur dengan rakyatnya yang bersatu dan bersyukur.
[Legasi Pemikir - LEKIR]
Comments
Post a Comment