Pengguna Muslim: Apabila Sarana Menjadi Matlamat

OLEH: Mukhtaruddin Bin Sahid 


Seorang makcik masuk ke kedai dan bertanya tentang suatu produk kepada peniaga, "ni siapa yang buat? melayu atau cina?". Sebaik sahaja peniaga itu memberitahu bahawa produk tersebut dihasilkan oleh non-muslim, terus sahaja makcik tersebut membatalkan hasrat untuk membeli produk tersebut meskipun diberitahu bahawa produk itu memiliki sijil halal dan mengamalkan amalan pengilangan yang baik.

Sebagai pengguna muslim, kita tentu biasa dengan dialog diatas. Kita menyedari akan keprihatinan pengguna muslim terhadap tuntutan makanan yang halal.

Kita maklum, bahawasanya mencari makanan yang halal itu fardhu. Dan kita tidak akan dapat mencari makanan yang halal kecuali ia dikendalikan oleh mereka yang berpengetahuan dan mempunyai keperihatinan tentang aspek halal dan haram. Sudah tentu kedua aspek tadi kebanyakannya dimiliki oleh pengusaha muslim. Oleh itu, mencari makanan yang dikendalikan oleh orang muslim adalah SARANA untuk memastikan sesuatu makanan itu diyakini kehalalannya walaupun pada umumnya semua umat Islam tahu status kehalalan itu bergantung kepada bahan yang dibuat - bukan pada pembuat makanan.  

Namun, seiring dengan perkembangan persaingan industri makanan halal, kini pengusaha bukan muslim pun turut merebut peluang dalam potensi industri makanan halal yang sangat luas di negara kita. Kini ramai pengusaha non muslim turut memohon pensijilan halal. Di Selangor umpamanya, Exco Perumahan Dan Kehidupan Bandar Selangor, Haniza Mohd Talha dalam satu laporan Sinar Harian menyebut, daripada sejumlah permohonan yang diterima, hanya 20% sahaja permohonan dari pengusaha muslim. Malah diperingkat kebangsaan, data JAKIM menunjukkan bahawa 60% dari pengeluar makanan halal dimiliki oleh syarikat non-muslim. Ini merupakan suatu isyarat bahawa pengusaha muslim bukan lagi menjadi peneraju dalam mengeluarkan makanan halal.

Apa kaitan dengan isu diatas? Ya, isunya ialah sarana mencari makanan halal telah berubah. Kita ada pihak autoriti seperti JAKIM yang bertanggungjawab mengendalikan status kehalalan sesuatu produk. Maka, jika sesuatu produk itu telah disahkan oleh JAKIM, yakinilah kehalalannya. Asas kehalalan adalah daripada bahan dan kaedah pembuatan, maka selagimana dua syarat ini dipatuhi, makanan itu halal tanpa mengira siapa pun pembuatnya.

Adapun dalam kes tadi, bertanyakan bangsa pembuat makanan tersebut bukanlah menggambarkan kefahaman yang baik tentang konsep makanan halal terutama dalam persekitaran dimana industri makanan halal telah dikawal selia oleh pihak berwajib.

Mengambil sarana 'bangsa' sebagai kriteria pilihan adalah amat sempit dan tidak menggambarkan keluasan Islam. Bayangkan, jika yang membuat produk makanan tersebut adalah cina muslim!  

Demikian juga, menjadikan bangsa sebagai ukuran, tidak menjadikan makanan itu diyakini kehalalannya sepenuhnya. Lihat, betapa banyak produk yang diragui kehalalannya menjadikan unsur melayu sebagai umpan dan pelaris dagangan. Bayangkan pula jika ada restoran milik bukan melayu dan non-muslim yang menggunakan orang melayu sebagai tukang masak dan pelayan, atau produk makanan buatan non muslim yang menggunakan orang melayu sebagai duta dan jurucakap - tanpa mempedulikan apakah bahan dan kaedah pembuatannya?

Oleh sebab itu, ada restoran yang dimiliki oleh non muslim dipenuhi oleh pelanggan-pelanggan beragama Islam hanya kerana kedai itu menggunakan beberapa pekerja melayu dan menggantung ayat-ayat Al-Quran di dinding sebagai daya penarik. Lebih malang, jika pekerja melayu tersebut tidak pun mendirikan solat hatta asas dalam fiqh thaharah pun tidak lepas!

Maka tidak hairanlah, syarikat judi online pun menggunakan orang melayu sebagai umpan kerana kita sangat memerhatikan faktor bangsa, dan bukan pada hakikat sesuatu produk.

Mungkin ada juga yang kata, bangsa kita jujur dan boleh dipercayai, bangsa lain tidak jujur - dengan kata lain - penipu. Soalan itu saya pulangkan kepada pengalaman pembaca yang membesar dikalangan 'orang kita' untuk mengukur sejauhmana dakwaan tersebut.

Oleh itu - dalam kes tadi, perkara yang sepatutnya ditanya ialah, SEJAUHMANA pemilik pengusaha makanan tersebut telah menepati kriteria halal dan peraturan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa. Saya rasa, jika semua umat Islam menjadikan soalan ini sebagai soalan utama kepada pengusaha non muslim setiap kali membeli barangan dari mereka, sudah tentu semua pengusaha makanan non-muslim tidak akan bersikap sambil lewa dan mengambil mudah dalam urusan penyediaan makanan halal. Ini terlebih lagi apabila mereka hanya sekadar menjadikan orang melayu sebagai imej tunggangan tanpa mempedulikan kehalalan bahan mentah dan kebersihan dalam proses pembuatan.

Perkara ini sebenarnya perlu diingatkan agar umat Islam kembali kepada asas syarak dan kefahaman yang betul berkenaan konsep makanan halal. Sarana pada asalnya baik untuk menyampaikan kita kepada tujuan, namun sarana bukanlah tujuan kita. Namun malangnya kini, masyarakat sudah keliru antara sarana dan matlamat, sehingga mereka seakan menjadikan sarana itu sebagai matlamat.



[Legasi Pemikir - LEKIR]


Comments