OLEH: Saufy Jauhary
Haji Abdullah Hukum (1835-1943) sebagai antara orang yang terawal meneroka Kuala Lumpur, menceritakan keadaan di Kuala Lumpur pada tahun 1850, ketika itu baru sahaja beliau menjejakkan kaki di Kuala Lumpur iaitu sebelum Yap Ah Loy menjadi Kapitan orang Cina di Kuala Lumpur pada tahun 1868. Beliau telah menceritakannya di dalam Riwayat Kuala Lumpur yang disiarkan oleh akhbar Warta Ahad tahun 1935. Cerita beliau:-
"Kuala Lumpur pada masa itu sibuk cara zaman dahulu. Ada dua lorong sahaja, iaitu Java Street (kini Jalan Tun Perak) dan Market Street sekarang (kini Lebuh Pasar Besar), manakala Ampang Street/Lorong Ceti (kini Jalan Ampang) yang ramai sekarang ini masih kolam ikan dipunyai oleh Almarhum Sutan Puasa.
Rumah-rumah kedai masa itu atap bertam dinding pelupuh (buluh) dan orang yang berniaga di situ seperti menjual kain-kain dan makanan semuanya orang Melayu, iaitu bangsa Rawa dan Mendahiling dan ketuaan masa itu ialah Sutan Puasa dan Raja Bilah. Kedua-dua ketua ini mengutip hasil dagangan yang lalu lintas melalui Sungai Kelang atau Sungai Gombak. Adapun cukai timah ialah seringgit sebahara (tiga pikul).
Adapun Setapak sekarang di hulu Sungai Tapak namanya dan Hulu Gombak sekarang Air Panas namanya. Maka Sutan Puasalah yang membuka sawah pada kedua-dua tempat ini. Saya ingat mengambil bahagian mengambil upah membuat tali air di Serambut (Batu Lima Setapak sekarang) dan juga di tempat-tempat lain diupah oleh Sutan Puasa.
Sawah yang dibuka oleh Sutan Puasa itu mudah sahaja. Apabila tali air sudah siap maka orang ramai barang siapa sahaja boleh membuat sawah tetapi syaratnya hendaklah membayar cabut 10 gantang padi pada tiap-tiap seratus gantang (10 peratus) kepada Sutan Puasa apabila habis musim menuai. Kiraan membayar cabut itu tidaklah begitu keras, hanya mengikut pengakuan masing-masing orang yang bersawah sahaja. Pendeknya berapa yang dihantarkan orang kepadanya itulah diterimanya.
Lepas daripada mengambil upah membuat tali air itu, saya melampan di Setapak berkekalan kira-kira tiga tahun lamanya. Masa itu tiada apa-apa huru-hara dalam Kuala Lumpur. Semua orang Melayu tinggal dalam aman dan tetuaan semuanya orang Mendahiling."
Tuan Haji Abdullah Hukum
CERITA SETELAH TAMAT PERANG SAUDARA SELANGOR (1867 HINGGA 1874)
Haji Abdullah Hukum menceritakan suasana selepas perang di Kuala Lumpur, iaitu setelah tahun 1874:-
"Apakala aman telah tersiar di Kuala Lumpur, maka orang Melayu pun daripada segala bangsa mulai ramai mengambil tanah membuka kebun dan membuat kampung. Di antara tanam-tanaman yang disukai orang pada masa itu ialah kopi dan lada hitam. Orang mulai berladang di Setapak, Hulu Gombak, Batu, Pudu, Petaling dan tempat-tempat lain sekeliling Kuala Lumpur dan saya pun pada suatu hari datang menghadap Raja Laut di rumahnya berbetulan di hadapan sekolah Melayu Gombak Lane sekarang (pada zaman dahulu Kuala Gombak namanya). Adapun Raja Laut itu ialah putera Sultan Muhammad dan ialah jua Raja Muda Selangor.
Kedatangan saya menghadap itu ialah kerana meminta tanah. Raja Laut memberi sepucuk surat kebenaran kepada saya mengambil tanah di Pudu serta dianugerahkannya sepucuk surat lagi menjadikan saya ketuaan dengan gelaran Penghulu Masjid. Oleh sebab itu, ramai orang Kerinchi mengikut saya di Pudu, iaitu tempat yang dinamakan sekarang Bukit Bintang. Duduklah kami di situ dengan aman bertanam sayur, tebu, pisang dan tanam-tanaman lain termasuk seperti sirih dan pokok-pokok yang lekas berbuah manakala di tempat-tempat yang lain ramai orang membuka sawah. Lamanya saya di Pudu rasanya ada kira-kira enam tujuh tahun.
Di antara berbagai-bagai pekerjaan yang telah saya cuba termasuk menjadi nakhoda mengambil upah atau tambang membawa beras dari Kelang ke Kuala Lumpur dengan perahu. Upahnya sekoyan $40. Perahu saya itu ialah buatan Linggi dan pelayaran dari Kelang ke Kuala Lumpur itu selamanya bergalah dan lamanya di antara 10 dan 15 hari tetapi jika musim hujan boleh sampai dalam tiga hari kerana air dalam.
Orang putihnya masa itu ialah Tuan Douglas, Tuan Sawyer dan dua tiga orang lagi. Kepala mata-mata bernama Sarjan Mejar Ahmad dan Sarjan Long orang Melaka. Saya mula-mula berjumpa dengan Tuan Dauglas dan Tuan Sawyer di rumah Kapitan Yap Ah Loy kerana mendengar bicara beberapa orang tertuduh mencuri padi. Bicara itu dibuang sahaja sebab tiada cukup keterangan.
Jalan-jalan keluar Kuala Lumpur belum ada. Orang keluar masuk ikut jalan perahu atau ikut jalan kesan jejak orang. Rumah-rumah kedai Kuala Lumpur atap bertam, tembok tanah liat di Java Street dan di Ampang Street sekarang. Jambatan Java Street itu diperbuat daripada buluh dan tambatan dekat pasar itu diperbuat daripada dua batang kayu tetapi orang putih telah datang, jambatan-jambatan itu diganti dengan papan.
Pada suatu masa Kuala Lumpur telah terbakar, habis jadi abu semua sekali melainkan rumah Kapitan Yap Ah Loy sebab rumah itu jauh tidak dapat disambar api. Sudah terbakar itu diganti balik dengan tanah liat dan atap bertam jua tetapi tiada berapa lama datang pula bah besar dan rumah-rumah itu habis binasa dan hanyut melainkan satu dua buah. Kemudian daripada bah itu didirikan orang balik rumah-rumah lebih banyak daripada yang telah hanyut itu. Itu pun rumah-rumah yang di Ampang Street terbakar pada waktu siang hari ketika Haji Ali memasak nasi minyak dan kata-kata orang, dari situlah asal api. Sudah terbakar itu rumah-rumah dibangunkan lagi dengan keadaan yang bertambah-tambah banyak dari dahulunya.
Pada masa Raja Mahmud ibnu Sultan Muhammad menjadi penghulu Kuala Lumpur, saya mendapat surat kebenaran membuka kebun di Bukit Nenas, kemudian saya mendapat surat kebenaran daripada Tuan Maxwell dan Raja Laut membuka Sungai Putih, iaitu Bangsar Road sekarang (kini Jalan Bangsar).
Kuala Lumpur semakin lama semakin ramai dan semakin banyak perniagaan di tangan orang Melayu dan rumah-rumah kedai pun banyak dipunyai oleh orang Melayu. Adapun orang yang kaya pada masa itu pada ingatan saya yang terbanyaknya ialah orang Minangkabau, iaitu Haji Abdul Samad, Haji Abdul Majid Panjang, Haji Abdul Samad Panjang, Haji Abdul Samad Kecil, Haji Muhammad Ali, Haji Osman (Imam kemudian Kadi Kuala Lumpur), Haji Zainal Abidin, Hajjah Fatimah bonda Haji Ali (sekarang Pemeriksa Sekolah-sekolah Agama Johor), Haji Abdullah Panjang Hashim, Baginda Kaya Haji Arsyad, Datuk Maharaja. Daripada orang Mendahiling ialah Sutan Puasa, orang Kerinchi Haji Arsyad, orang Melaka Datuk Abdullah, orang Pulau Pinang Che Din, Encik Baki Melaka (mentua Tuan Haji Abdullah Hukum), orang Acheh Haji Salleh dan seorang Linggi dan orang Terengganu Che Soh.
Masjid yang mula-mula sekali didirikan oleh Mentua saya (Encik Baki) di Kampung Melaka (sekarang Masjid Keling atau Masjid Chulia). Masjid ini didirikan oleh pakatan orang Melaka dan orang Melaka jua tukangnya dan segala pegawainya tetapi orang Minangkabau telah mendirikan sebuah masjid lain berbetulan tentang gedung Gian Singh di Java Street sekarang. Disebabkan Masjid Batu ini orang Melayu pun mulai bersinggit. Akhirnya berseteru sebab masing-masing pihaknya hendak mendirikan Jumaat. Masing-masing pihaknya tak mahu beralah malah masing-masing hendak mengalahkan pihak yang lain.
Perseteruan itu semakin merebak dan hampir-hampir akan membangkitkan perkelahian besar. Mujurlah kerajaan campur tangan, iaitu Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Abdul Samad Alam Shah (ninda Sultan Sekarang ini-1935) sedang melawat Kuala Lumpur dengan jalan sungai dan kereta dengan segala alat kebesarannya. Duli Yang Maha Mulia telah memadamkan perseteruan itu dengan titahnya, iaitu sembahyang Jumaat hendaklah bergilir-gilir di antara dua buah masjid itu. Titah itu disambut oleh orang ramai kedua-dua pihaknya dengan sukacita dan kemudian daripada itu perseteruan itu pun padam. Manandakan terima kasih orang ramai apabila Duli Yang Maha Mulia Sultan telah berangkat balik ke Kelang, maka orang pun menghantar persembahan seperti berikut:
Haji Baki seekor kuda putih dan enam ekor kerbau dari Datuk Sati Penghulu Setapak, Mat Saman Penghulu Batu, Haji Kecil Penghulu Petaling, Raja Mas Penghulu Hulu Kelang, Imam Muhammad Penghulu Ampang dan saya.
Pada masa itu saya berkekalan duduk di Sungai Putih dan hutan Bukit Changgi Puteri itu sayalah kepala membukanya dengan orang saya. Ada yang duduk di situ sampai masa ini. Tempoh perintah Tuan Simmon dan pada masa tuan itu mula-mula melawat tempat itu sayalah menunjukkannya. Masa itu penghulunya ialah Encik Ahmad bin Datuk Panglima Garang (sekarang Chief Penghulu Kuala Lumpur)."
Sumber:
1) Kuala Lumpur Dari Perspektif Haji Abdullah Hukum, terbitan Berita Publishing Sdn. Bhd, cetakan 1997.
2) List of roads in Kuala Lumpur: https://en.m.wikipedia.org/wiki/List_of_roads_in_Kuala_Lumpur
3) Gambar: https://vincentloy.wordpress.com/2011/02/15/hard-to-find-old-pics-of-kl/
[Legasi Pemikir - LEKIR]
Comments
Post a Comment