OLEH: Haffez Amin
Keadaan politik negara yang memuncak dengan kehadiran pakar-pakar yang terlahir dalam media sosial dilihat mudah melabelkan sesuatu hal. Contohnya pengiat seni bawah tanah atau underground beraliran punk boleh sahaja dipertikai ke-punk-an mereka kerana mereka menyokong kerajaan, manakala artis media utama yang mengkritik kerajaan terlihat lebih punk. Jika begitu mengapa mereka yang anti sistem kapitalis tidak digelar komunis?, bukankah Karl Marx tokoh komunis itu gemar mengkritik kapitalis.
Pemikiran sempit pengguna media sosial dalam budaya label melabel perlu dipandang serius. Siapa sahaja yang bekerjasama dengan Amerika dianggap musuh, sedangkan orang Amerika sendiri mempunyai konflik pemikiran mereka tersendiri. Malah siapa sahaja yang mempunyai sifat anarki mula dianggap wira, adakah khawarij yang menentang Saidina Ali itu wira?.
Perbezaan pendapat tanpa kaedah dan disiplin ilmu amat menakutkan, sensasi, tular dan jumlah pengikut menjadi sandaran melebihi hujah. Tuduhan menjual negara, kafir, dan sesat seperti ringan dalam dunia media sosial. Rakyat Malaysia seharusnya lebih terbuka dalam perbezaan dan berilmu sebelum meletakkan suatu gelaran.
2021, masih ramai yang mengganggap semua Cina di Malaysia ini Komunis, sedangkan ramai orang Melayu yang berfahaman komunis seperti Shamsiah Fakeh dan Rejimen ke-10 PKM. Malah perkataan “Rebel” juga telah disalah gunakan, seorang yang bertanya pada gurunya akan dianggap Rebel, namun seorang yang akur kesilapan gurunya dianggap pelajar baik, tetapi marah jika di cop macai, barua atau kaki jilat.
Kemelut memperdagangkan label ini tidak ubah hanya untuk menakutkan atau menolak hujah. Sejarah Kaum Muda-Kaum Tua, Wahabi-Sufi dan sebagainya cukup melemaskan negara hingga hari ini, tidak termasuk aliran batiniah yang rata-ratanya akan diakhiri dengan label melabel.
Kebobrokkan ini disebabkan kepercayaan dan ketaksuban seseorang dalam hal yang mereka yakin, malah lebih buruk, hal itu tidak dikaji sendiri, hanya mendengar sesuatu yang tular di media sosial ataupun pendapat orang ramai disekelilingnya.
Kesimpulannya, tomahan dan labelan pada seseorang itu tidak boleh diucapkan, ditaip atau dilafazkan dengan ringan, kerana lebih baik kita tidak mempunyai pendapat dalam suatu hal yang tular daripada kita berpura-pura pandai. Lebih baik tidak menyokong daripada menyokong hal yang salah.
[Legasi Pemikir - LEKIR]
Comments
Post a Comment