Kembalikan Kuasa Tidak Memperkenan Yang di-Pertuan Agong

 OLEH: Saufy Jauhary




Situasi terkini negara memberikan pengajaran kepada kita bahawa seharusnya kuasa "tidak memperkenan" oleh Yang di-Pertuan Agong (YDPA) yang telah dipinda pada tahun 1983 perlu dikembalikan semula. Sebelum tahun 1983, segala rang undang-undang (RUU) yang telah diluluskan oleh Parlimen akan dipersembahkan untuk mendapat perkenan daripada YDPA, jika YDPA tidak memberi perkenan maka undang-undang tersebut dinyatakan sebagai tidak sah.


Tetapi pada tahun 1983, ketika Tun Mahathir memegang tampuk pemerintahan Malaysia sebagai Perdana Menteri, beliau telah mencadangkan untuk membuat pindaan tentang beberapa perkara dalam Perlembagaan Persekutuan seperti pindaan sebahagian besar RUU perkara 66(1), (5), dan 150 (1). Perkara 66 dan 150 Perlembagaan Persekutuan adalah berkaitan tentang pengisytiharan darurat dan perkara mengenai perkenan oleh YDPA dan Yang di-Pertuan Negeri ke atas undang-undang yang diluluskan oleh Dewan Rakyat dan Dewan Negara bagi Perlembagaan Persekutuan serta Dewan Undangan Negeri bagi Pelembagaan Negeri.


Tun Mahathir mencadangkan RUU yang tidak diperkenan oleh YDPA dalam tempoh 15 hari setelah dipersembahkan akan terus menjadi undang-undang. Manakala kuasa mengisytiharkan darurat dipindahkan daripada YDPA kepada Perdana Menteri.


Pindaan ini telah menyebabkan krisis perlembagaan berlaku kerana mendapat bantahan oleh Majlis Raja-Raja (MRR). Hal ini kerana menurut Perkara 38(4) 2 Perlembagaan Persekutuan menyebutkan bahawa sebarang pindaan mengenai kedudukan Raja-Raja mestilah mendapatkan persetujuan MRR terlebih dahulu. Hal ini disebabkan kedua-dua pindaan tersebut berkait dengan kedudukan raja-raja.


Namun MRR akhirnya terpaksa beralah dan terpaksa mengubah keputusan mereka kerana Tun Mahathir dilihat telah berjaya mendapat sokongan rakyat dengan mengadakan sesi penerangan "rapat umum" secara berterusan. Perlu diingat bahawa pada zaman tersebut belum lagi wujud media sosial dan segala maklumat ke atas rakyat jelata hanya diperoleh daripada pihak kerajaan sahaja. 


Akhirnya, Perlembagaan Persekutuan telah mendapat perkenan MRR untuk dipinda iaitu apabila satu RUU diluluskan oleh Parlimen kemudian akan dipersembahkan kepada YDPA, pada 30 hari yang pertama baginda akan memberi perkenan atau jika tidak, baginda akan mengembalikannya semula kepada Parlimen untuk dibahaskan kembali. Apabila parlimen tetap meluluskannya maka 30 hari yang seterusnya adalah tempoh YDPA untuk memberi perkenan atau tidak sekali lagi. Selepas itu, undang-undang tersebut secara automatik akan menjadi undang-undang tidak kira sama ada ia mendapat perkenan baginda ataupun tidak.


Manakala Perkara berkenaan dengan perisytiharan Darurat dibawah Perkara 150 kekal  milik YDPA seperti sebelumnya namun hendaklah dengan mendapat nasihat daripada Jemaah Menteri.  


Admin berpendapat mengapa orang-orang politik pada hari ini dilihat seperti tidak menghormati institusi Diraja kerana telah hilangnya kuasa YDPA yang sepatutnya milik baginda sebagai ketua negara. Kuasa tidak memperkenan ini penting kerana ini adalah bukti bahawa YDPA dan Raja-Raja Melayu adalah kuasa sebenar yang mentadbir negara Malaysia.  Bahkan seandainya orang-orang politik bersepakat membuat RUU yang bakal memberi kesusahan kepada rakyat atau merugikan negara, maka rakyat masih boleh mengharapkan baginda YDPA untuk tidak memperkenan RUU tersebut. Dengan hal sedemikian barulah layak untuk dikatakan bahawa Raja-Raja Melayu sebagai "check and balance" atau pengimbang bagi sesebuah kerajaan.


Ironinya, sistem Raja Berperlembagaan kita yang asasnya diambil dari Raja Berperlembagaan United Kingdom, tetapi hingga ke hari ini United Kingdom dilihat masih mengekalkan kuasa tidak memperkenan bagi Queen Elizabeth tanpa memindanya. Sebaliknya negara kita pula dilihat lebih sudu dari kuah dengan merampas kuasa tidak memperkenan tersebut dari tangan Raja-Raja Melayu dan memberikan kuasa yang amat besar pula kepada Perdana Menteri.


Gambar:-

Almarhum Sultan Ahmad Muazzam Syah dan para pembesar Pahang pada tahun 1897. Baginda adalah Sultan Pahang yang pertama dalam dinasti Bendahara dan merupakan nenda moyang kepada Duli Yang Maha Mulia YDPA sekarang, al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.


[Legasi Pemikir - LEKIR]

Comments