Kisah Perang Antara British Dan Perak Pada 1875

 OLEH: Iskandar Zulqarnain



Ramai yang mengetahui kisah terkenal kebangkitan orang Melayu Perak menentang campur tangan British dalam pemerintahan negeri Perak yang berakhir dengan peristiwa pembunuhan Residen British Pertama di Perak iaitu J.W.W Birch.


Kali ini penulis ingin mengupas dengan lebih mendalam kisah rentetan daripada pembunuhan residen British tersebut dan tindak balas British membalas dendam terhadap kebangkitan orang Melayu Perak dalam peristiwa yang dikenali sebagai Perang Perak.


Pada 2 November 1875 J.W.W Birch, Residen pertama Perak terkorban ketika sedang mandi dalam rumah rakit dari kapal beliau iaitu SS Dragon di Sungai Perak dekat Pasir Salak.


Beliau dibunuh setelah orang-orang Melayu tidak berpuas hati dengan kaedah pentadbiran beliau dan langkah beliau untuk mencampuri urusan orang-orang Melayu. Penterjemah beliau berbangsa Melayu juga maut dalam serangan tersebut.


Pejuang-pejuang Melayu turut mengepung kediaman residen British di Bandar Tua, Kg Gajah. British menganggap kebangkitan ini akan berlaku serentak di seluruh Tanah Melayu, justeru itu pihak British segera bertindak memohon bantuan dari Pejabat Kolonial untuk menghantar tentera bagi menghalang orang-orang Melayu dari membuat kebangkitan bersenjata menentang British.


60 tentera British dari Rejimen ke-10 dan 30 polis dari Pulau Pinang mula tiba Perak pada 5 November dan mula merancang untuk menawan kembali Bandar Tua dan kemudiannya menyerang kubu orang Melayu.


Dua hari kemudian berlakunya pertempuran pertama di antara tentera British dan pejuang-pejuang Melayu di Bandar Tua, Kg Gajah. Pihak British berjaya menawan kembali kediaman Residen British yang sebelum ini diduduki oleh pejuang-pejuang Melayu.


Pahlawan Melayu setelah bertempur dengan hebat akhirnya berundur ke kubu Pasir Salak. Mereka mengukuhkan lagi kekuatan kubu Pasir Salak dan bersedia menghadapi serangan besar-besaran pihak British. Mayat J.W.W Birch dijumpai di tebing Sungai Perak berhampiran Bandar Tua ini sejurus tamatnya pertempuran tersebut.


Gabenor Negeri-Negeri Selat Sir William Francis Drummond Jervois melawat Perak pada 9 November 1875 untuk memantau operasi ketenteraan British keatas pejuang-pejuang Melayu.


Beliau mendapati kubu orang Melayu di Pasir Salak agak ampuh untuk diserang menggunakan kekuatan sedia ada British di Perak ketika itu. Akhirnya beliau mengambil keputusan untuk memohon bantuan tentera tambahan dari London, India dan Hong Kong.


Tentera British tiba di Pasir Salak dan memulakan kepungan ke atas kubu Pasir Salak pada 15 November 1875. Mereka melakukan kepungan dan menghalang sebarang pergerakan keluar masuk ke kawasan kubu Pasir Salak namun tidak memulakan serangan keatas kubu tersebut. Kubu ini dipertahankan oleh hampir 800 orang pahlawan Melayu dan mempunyai beberapa laras meriam rentaka serta senapang.


Kapal perang yang membawa 300 tentera British dari Rejimen ke-80 yang berpengkalan di Hong Kong tiba di Singapura untuk mengisi muatan pada 16 November 1875 dan memulakan kembali perlayaran ke Perak pada keesokan harinya.


Kemudian seramai hampir 1400 tentera British dari India yang terdiri daripada Rejimen ke-3, 1st Gurkhas dan The Madras Sappers tiba di Pulau Pinang daripada India pada 26 November 1875.


Pasukan ini dipimpin oleh Brigadier General J. Ross turut memiliki beberapa laras meriam dan pelancar roket. Ketumbukan ini kemudiannya bergerak ke Perak menggunakan jalan darat melalui Krian menghala ke Pasir Salak.


Rejimen ke-80 Tentera British dari Hong Kong tiba di Perak pada awal Disember 1885 dan bergabung dengan tentera British dari India serta yang telah mengepung kubu Pasir Salak.


Tentera British memulakan serangan ke atas kubu Pasir Salak dengan kekuatan hampir 2000 orang tentera. Serangan pertama oleh pihak British berjaya digagalkan oleh orang-orang Melayu dan menyebabkan Kapten Innes dan beberapa orang tentera British dari rejimen ke-10 terbunuh.


Setelah beberapa kali serangan ke atas kubu Pasir Salak gagal akhirnya tentera British berjaya mengalahkan hampir 800 pejuang Melayu yang bertahan di kubu tersebut pada 12 Disember 1875.


Kubu Pasir Salak, masjid dan beberapa kampung sekitar kubu tersebut dibakar oleh tentera British melalui arahan William Jervois. Datuk Maharaja Lela dan pengikutnya berundur ke Sayong.


Sewaktu sedang memburu Dato Maharaja Lela serta pejuang Melayu yang lain, tentera British telah diserang hendap di Kota Lama Kanan pada 4 Januari 1876.


Beberapa orang tentera British termasuk Brigadier H.J Hawkin terbunuh dalam serangan tersebut. H.J Hawkin merupakan merupakan pegawai tinggi tentera British yang berjaya dibunuh oleh orang Melayu. Namun kemudiannya pejuang Melayu berundur setelah tidak dapat bertahan berhadapan dengan serangan meriam dan roket.


Kampung Kota Lama Kanan kemudiannya dibakar oleh tentera British. Dari Kampung Kota Lama hingga ke Enggor, semua kampung yang dilalui tentera British telah dimusnahkan meskipun pejuang melayu tidak berlindung di kampung tersebut. Pertempuran hebat di Kampung Kota Lama Kanan merupakan pertempuran hebat terakhir diantara orang Melayu dengan pihak tentera British.


3 pembunuh J.W.W Birch telah berjaya ditangkap oleh tentera British pada 17 Februari 1876. Mereka ditahan sementara menunggu tarikh untuk dibicarakan. Raja Ismail yang menyerah diri kepada Sultan Kedah pada awal Mac telah diserahkan kepada pihak British di Pulau Pinang.


Pada 21 Julai 1876 Sultan Abdullah dan Ngah Ibrahim dibuang negeri ke Pulau Seychelles dan Raja Ismail dibuang negeri ke Singapura. Berlansungnya perbicaraan di Matang untuk menentukan nasib pembunuh J.W.W Birch pada 14 hingga 22 Disember 1876.


Keputusan mahkamah kemudiannya mendapati kesemua yang ditangkap bersalah kerana membunuh pegawai British. Akhirnya pada 20 Januari 1877, Dato Maharaja Lela, Si Puntum, Pandak Endut digantung sampai mati di Kota Ngah Ibrahim, Matang.


[Legasi Pemikir - LEKIR]

Comments