Sultan Salim I Mengalahkan Raja Pembunuh Sejuta Manusia

OLEH: Halim Abdurrahman

Syah Ismail Ash-Shafawi, setelah menakluk banyak tempat dan melakukan banyak kerosakkan untuk mendirikan kerajaan Syiah Iran, berita berkenaan dirinya telah sampai ke pengetahuan Sultan Salim I iaitu Sultan bagi Kerajaan Turki Uthmaniyyah.

Hal itu terjadi disebabkan pemikiran dan gerakannya telah merebak hingga ke wilayah Uthmani serta mengancam akidah Ahlus Sunnah yang berada di bawah naungan kerajaan Uthmani. Maka Pada tahun 920 H/1514 M, Sultan Salim I telah mendeklarasikan bahawa Iran (Safawid) dan pemerintahan yang beraliran Syiah merupakan ancaman serius, bukan hanya pada pemerintahan Utsmani namun juga pada seluruh dunia Islam secara umum. Bahaya Syiah yang dibawa oleh Syah Ismail ini bukan sahaja melibatkan akidah, bahkan sikap Syah Ismail yang melakukan kekejaman terhadap lawannya dengan menyembelih mereka dalam jumlah teramat ramai ketika dia menyerang Iraq.

Biadabnya Syah Ismail sampaikan masjid-masjid sunni diruntuhkan dan kubur-kubur orang muslim dibongkar. Keghairahan Syah Ismail melakukan semua itu makin terserlah ketika pemerintahan Sultan Bayazid II (Uthmaniyyah). Lalu setelah Salim I menggantikan posisi Bayazid II, akhirnya Salim I berikrar mahu melancarkan perang terhadap Syah Ismail serta kerajaan Iran Shafawid.

Setelah pengisytiharan perang, Sultan Salim I segera mengumpulkan bala tentera beliau bagi mengepung kaum Uthmani yang memberontak dan berpihak kepada Syah Ismail. Setelah itu pengikut-pengikut Syah Ismail ditangkap dan dipenjarakan, serta dipancung di Anatolia. Kemudian barulah Sultan Salim I memasang persediaan untuk menyerang Syah Ismail dan kerajaannya di Iran. 

Sebelum perang benar terjadi, berlaku sesi saling berutus surat antara Sultan Salim I dengan Syah Ismail. Antara isi surat tersebut:
"Sesungguhnya para ulama dikalangan kami dan ahli hukum telah menghukum dengan qisas, wahai lsmail sebab engkau telah  dianggap sebagai orang yang murtad. Mereka mewajibkan bagi setiap muslim yang hakiki untuk membela agamanya dan wajib menghancurkan kesesatan yang ada dalam dirimu ataupun di dalam pengikut-pengikutmu yang bodoh. Namun sebelum memulai perang melawan kamu, kami mengajakmu untuk kembali ke jalan agama yang lurus sebelum pedang kami hunus. Lebih dari itu, wajib bagimu untukmeninggalkan wilayah-wilayah yang kamu rampas dari tangan kami. Maka jika itu yang kamu lakukan, kami siap memberi jam inan keselamatan kepada kamu. "

Kemudian surat Sultan Salim dibalas oleh Syah Ismail sambil dihantarkan sekali dengan candu (dadah). Katanya dalam surat tersebut:
"Sesungguhnya surat yang kau kirim itu ditulis saat kau berada di bawah pengaruh candu." (lihat: Juhud Al:Utsmaniyyin Li Inqodz Al -Andalus, hlm. 435)

Setelah beberapa kali berutus surat, akhirnya Sultan Salim I mempersiapkan tenteranya dan mereka bergerak dari Istanbul menuju ke Iran. Ketika dalam perjalanan tersebut sekali lagi Sultan Salim menghantar surat berupa ancaman kepada Syah Ismail. Pergerakan Sultan Salim menuju ke gurun Yasin Jaman, sebuah tempat di Azerbaijan. Namun para pengintip Sultan telah menghantarkan maklumat bahawa Syah Ismail tidak ingin berperang dan mahu melakukan perdamaian dengan Sultan Salim. Lalu dihantarlah utusan Syah Ismail kepada Sultan Salim untuk menyampaikan pesanan perdamaian tersebut.

Sultan Salim I tidak melayan permintaan Syah Ismail bahkan utusan Syah Ismail turut dibunuh. Sultan tidak peduli dan tetap dengan pendiriannya, bahkan dia tahu bahawa sebenarnya Syah Ismail sengaja berbuat demikian bagi melengah-lengahkan masa pertempuran supaya sempat masuk ke musim sejuk. Kerana pertempuran musim sejuk memberi kelebihan kepada pihak Syah Ismail.

Sekali lagi Sultan menerima maklumat, bahawa Syah Ismail rupanya sudah bersiap dengan kekuatan tenteranya dan kini ia sedang menghampiri ke gurun Jalayadaran. Apa lagi, Sultan Salim I terus bergerak dengan bala tentera menuju ke tempat tersebut dengan penuh perasaan berkobar-kobar. Kejadian ini berlaku pada bulan Ogos tahun 1514M.


MENEMPATKAN TENTERA DI DATARAN TINGGI

Sampai sahaja Sultan Salim I ke Jalayadaran, segera itu dia menempatkan posisi tentera di tempat-tempat strategik dan kawasan dataran tinggi. Dengan harapan dapat memberikan impak maksima kepada pihak Syah Ismail. Berdasarkan sumber, anggaran tentera Sultan Salim I adalah sekitar 60,000-100,000 orang dan disertai 150-200 buah meriam. Manakala di pihak Syah Ismail pula terdiri daripada 55,000 tentera, sumber lain mengatakan 80,000 tentera. Kemudian berlakulah pertempuran antara mereka pada 23 Ogos 1514M.

Pada peperangan ini, tentera Uthmaniyyah mempunyai kelebihan dari sudut senjata kerana mereka memiliki ratusan meriam untuk melumpuhkan lawan. Sedangkan di pihak Shafawid tidak memiliki kelebihan tersebut. Apa yang boleh dilakukan, ketika berlaku pertentangan antara dua pihak, pasukan berkuda tentera Shafawid cuba menggempur posisi sayap Uthmaniyyah bagi tujuan mengelak meriam yang berada di posisi hadapan. Malangnya strategi mereka gagal kerana meriam tersebut amat mudah dikendalikan sampai dapat melumpuhkan mereka. Akhirnya pihak Syah Ismail mengalami kekalahan.

Selepas kalah di medan tempur, Syah Ismail melarikan diri ke Ibu Kota Iran di Tibriz. Kemudian ia dikejar oleh Sultan Ismail dan tenteranya serta terus menawan Kota Tibriz pada 7 September 1514M. Kaum kerabatnya Syah Ismail ditangkap termasuk 2 orang isteri beliau dan kemudiannya Syah Ismail bersara dari kerusi pemerintah.


KALAH PERANG; JADI PEMABUK

Selepas daripada itu, kerana kecewa akan kekalahan perang, Syah Ismail tidak lagi terlibat dengan urusan-urusan kerajaan. Dia menjadi seorang pemabuk dan banyak minum minuman keras. Urusan kerajaan diserahkan kepada Mirza Syah Husain, yang juga merupakan teman mabuknya. Pada 23 Mei 1524, Syah Ismail meninggal dunia pada usia 36 tahun. Lalu tahta kerajaan diganti oleh anaknya Tahmasp I yang membawa gelar Syah II, Shafawid Iran. 


Lakaran 1: Pertempuran Jalayadaran 1514 (Battle of Chaldiran). Lakaran ini boleh dilihat di Chehel Sotoun Pavilion, Isfahan, Iran.


Lakaran 2 & 3: Pihak Uthmani sebelah kiri, kanan pihak Syah Ismail.

Lakaran 4: Lokasi peperangan Jalayadaran/Chaldrian


[Legasi Pemikir - LEKIR]

Comments