OLEH: Taufiq Tuah
Ini ialah cerita pandangan politik. Jika tak minat, boleh terus skrol ke bawah. Akhir-akhir ini kecoh dengan isu kerajaan nak lupuskan kereta yang usianya melepasi 10 tahun.
Cadangan ini diacukan kononnya bagi mengurangkan kesesakan jalan raya yang memang makin hari makin menjadi-jadi. Saya sendiri memandu kereta pun boleh 'fed-up' dengan masalah kesesakan jalan raya yang tak berpenghujung.
Namun adakah melupuskan kereta ini idea yang bagus bagi menyelesaikan masaalah ini?
Pandangan saya, bagus jika menjadi kempen tetapi musibah jika menjadi syarat. Bermakna, kalau hanya sekadar kempen maka saya setuju. Tetapi jika menjadi syarat atau undang-undang setiap kereta lebih 10 tahun wajib dilupuskan, saya tak setuju.
Kempen bermaksud, apa sahaja aktiviti yang dipromosikan dapat melupuskan kereta lebih 10 tahun. Contoh yang saya ingat ialah seperti Perodua yang memulakan 'Used Car Trade In'. Perodua menberikan diskaun beberapa ribu ringgit untuk pelanggannya yang memberikan kereta lama mereka kepada Perodua.
Dengan cara ini, setidak-tidaknya dapat bantu mengekalkan bilangan kenderaan di jalan raya jika pun tidak berkurang sekaligus dapat mengurangkan juga kesesakan di jalan raya.
Namun jika melupuskan kereta menjadi syarat, maka saya kira itu sebagai keputusan yang tidak adil. Mungkin rakyat akan kurang berkira untuk menerima cadangan itu jika harga kenderaan dapat diturunkan kepada harga yang lebih rendah.
Namun implikasinya pula, jika kereta harga lebih rendah maka orang akan semakin mudah membeli kereta dan menambahkan lagi kesesakan jalan raya.
CADANGAN LAIN BAGI MENGURANGKAN KESESAKAN JALAN RAYA
1. Mungkin kerajaan perlu menaik taraf sebaiknya sektor pengangkutan ber-rel (seperti MRT, KTM dll). Bukan sahaja menyediakan pengangkutan yang boleh memuatkan lebih ramai orang, malah yang boleh tepati waktu dan 'schedule' perjalanan.
2. Membina laluan pejalan kaki dan basikal yang selesa dan selamat. Ini dapat menggalakkan rakyat Malaysia lebih memilih berjalan kaki atau memudahkan lagi mereka menaiki pengangkutan awam.
3. Mengurangkan lagi harga motorsikal di dalam negara. Apabila harga motosikal jauh lebih murah dari biasa, pasti ramai yang akhirnya akan memilih bermotosikal. Jika ramai yang sudah beralih ke motosikal, maka bersedia pula untuk melapangkan lagi laluan motosikal. Saya lihat 'trend' ini dengan mata kepala saya sendiri ketika di Vietnam.
4. Jangan menunda lagi konsesi tol. Sepatutnya tamat secepat mungkin dan bukannya ditunda dan tunda lagi. Rakyat pun dah malas nak bayar tol. Jika tol dapat dihapuskan, maka lebih mudah perjalanan.
5. Jika ada tol yang belum habis konsesi, gunakan sistem pembayaran yang lebih mudah. Kerajaan perlu buat secara berperingkat. Ketika kerajaan cuba menghapuskaj TouchNgo tempoh hari, kerajaan sendiri tak ada usaha dalam memperkasakan RFID dalam masyarakat.
Contoh, TouchNgo digunakan oleh pengguna bukan sahaja untuk tol, malah untuk bayar parking, naik kenderaan awam malah beli makanan di mesin gedegang. TouchNgo juga digunakan di dalam Smart Tag dan Smart Tag pula dah mula 'built-in' dalam kereta² model terbaharu. Sementara pemerkasaan RFID memang tidak pernah dilakukan walaupun tidak dinafikan sepatutnya menggunakan RFID boleh melancarkan lagi arus trafik.
Namun RFID juga lah lorong yang palangnya tidak terangkat dek tersalah tampal tempat stiker atau kerana stikernya yang terkoyak atau terguris atau kerana stikernya terkena cat dll. Tukar sahaja cermin atau lampu kereta terpaksa cari pula pusat penyedia RFID untuk tampal stiker baharu. Hal ini memang sangat menyusahkan rakyat.
Kerajaan perlu cari alternatif kepada RFID dan memperkasakan penggunaannya. Yang lebih mesra pengguna dan tak menyusahkan.
Mungkin pembaca ada lebih banyak cadangan bernas. Saya pun teringin nak tahu cadangan anda. Boleh berikan cadangan anda di komen atau 'reply' tweet. Insyaallah.
Wallahualam.
[Legasi Pemikir - LEKIR]
Comments
Post a Comment