Boneka Rom dan Parsi : Kerajaan Ghassanids dan Kerajaan Lakhmid

 OLEH: Shafiz Shukri


Sewaktu mempelajari sirah Nabi Muhammad, jika kita peka pasti sesekali akan menyedari kewujudan nama kerajaan Ghassan pada era berkenaan.

Ramai yang tidak tahu kewujudan dua kerajaan Arab di sempadan semenanjung Arab dengan Syam (Syria, Jordan, Palestin) dan sempadan Arab dengan Iraq (Mesapotamia). Waktu itu Syam berada di bawah empayar Rom (Byzantine) manakala Iraq di bawah empayar Parsi (Sassanid).


Dinasti Ghassan

Kerajaan di sempadan Tanah Arab-Syam adalah kerajaan Ghassan (naungan Rom), terdiri dari orang-orang berbangsa Arab beragama Kristian. Mereka asalnya immigran Arab Kristian dari Yaman yang berjaya mendirikan kerajaan di Syam. Kerajaan ini ditubuhkan pada tahun 220 masihi oleh King Jafnah I yang memulai penguasaan Dinasti Bani Ghassan di area (Syria, Jordan, Palestin moden).

Selepas kerajaan mereka kukuh, mereka mula menjalinkan hubungan mesra dengan Empayar Rom (Byzantine) yang bersebelahan dengan mereka. Ghassan menjadi kerajaan  tajaan Empayar Rom yang bertindak sebagai penyokong kerajaan Rom dari sudut politikal, ekonomi dan ketenteraan.


Fungsi Kerajaan Ghassan :

- Membantu empayar Rom dalam menampan serangan tentera Parsi setiap kali berlaku peperangan antara Rom dan Parsi. 

- Menjadi benteng dalam mengawal kekacauan yang ditimbulkan oleh orang-orang Arab badwi dari Semenanjung Arab di belah bawah Syam. 

- Kerana mereka sesama Arab, maka Caesar Rom lebih mempercayai Kerajaan Ghassan sendiri berurusan dengan orang-orang Arab badwi yang liar dan sukar dikawal.


Dinasti Lakhmid

Kerajaan besar yang menaungi selatan Iraq hingga ke Timur Semenanjung Arab. Kerajaan ini adalah milik Bani Lakhm, juga orang Arab Kristian dari Yaman. Ia didirikan pada tahun 300 masihi di mana turut memiliki pengaruh di Bahrain dan Yamamah di semenanjung Arab.

Mereka juga dikenali sebagai Kerajaan Hirah, kerana berpusat di Kota Hirah, Iraq.

Asalnya Kerajaan Lakhmid ini bebas dari mana-mana pengaruh, sehinggalah pada tahun 325, Kisra Empayar Parsi, Shapur II menawan bandar Hirah. Lalu menaungi kerajaan Lakhmid dengan menjadikan Lakhmid sebagai kerajaan boneka Parsi.

Maka hubungan Lakhmid dan Ghassan juga sentiasa tegang kerana mewakili Empayar Rom  dan Parsi yang sentiasa bermusuhan.


Fungsi Kerajaan Lakhmid : 

- Menjadi sekutu Empayar Parsi setiap kali berlaku peperangan dengan Empayar Rom.

- Juga menjadi penampan kepada kekacauan Arab badwi di Semenanjung Arab agar penguasa Parsi tidak pening kepala menguruskannya.

- Kerajaan Lakhmid sendiri memiliki cita-cita mahu menyatukan seluruh Tanah Arab di bawah kekuasaannya satu hari nanti.

Permusuhan Kerajaan Ghassan dan Lakhmid mewakili Empayar Rom dan Parsi menjadikan mereka sebagai musuh tradisi yang berpanjangan.

Pertembungan pertama kerajaan Ghassan dengan Kerajaan Islam Madinah pemerintahan Nabi Muhammad adalah pada 629 masihi yang mana terjadinya Pertempuran Mu'tah pimpinan Zaid bin Harithah (anak angkat Nabi Muhammad) sebagai komander tentera Islam melawan tentera gabungan Ghassan dan Rom pimpinan Theodore (abang tiri Caesar Rom, Heraclius).

Pertembungan pertama Kerajaan Islam Madinah dengan Kerajaan Lakhmid pula lebih kurang tahun 633 selepas tamatnya perang Ridda di semenanjung Arab. Apabila Al Muthanna ibn Harith mewakili kerajaan Khulafa Rashidun yang memerangi golongan murtad di sebelah Bahrain mengejar musuh-musuh yang tewas hingga memasuki wilayah Mesapotamia lalu bertembung dengan pusat kerajaan Lakhmid di Hirah. Sehinggalah Khalifah Abu Bakr menghantar bala tentera dipimpin Khalid Al Walid untuk membantu Al Muthanna ibn Al Harith menyerang Kota Hirah. Lalu bermulalah perang Arab-Parsi...



[Legasi Pemikir - LEKIR]


Dapatkan buku Kisah Pelayaran Abdullah Munsyi Ke Kelantan 27 Mac 1838. Sebuah catatan penulisan Abdullah Munsyi sendiri yang telah diterjemah rumikan. 
Boleh dapatkan  KLIK DI SINI.



Comments